Halaman

06 May 2014

Sekitar operasi bersepadu Daerah Setiu, malam tadi.

Dua Pegawai JPJ membuat pemeriksaan di dalam bas.
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI kira-kira 80 peserta yang menyertai Operasi Bersepadu Membenteras Jenayah, penyalahgunaan dadah dan Maksiat Daerah Setiu bersengkang mata sehingga jam 4 pagi bagi mengesan dan menangkap mereka yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu, malam tadi.

Antara yang terbabit dengan operasi itu ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), RELA, Pejabat Daerah Setiu (PDS), Majlis Daerah Setiu (MDS), Pejabat Agama Daerah dan semua penghulu mukim.

Peserta mendengar taklimat.
Peserta operasi berkumpul di Rumah Rehat PDS kira-kira jam 8 malam dengan dimulakan sessi taklimat serta jamuan makanan malam.

Selesai taklimat kira-kira setengah jam, peserta mula bergerak ke tiga lokasi untuk membuat sekatan jalanraya iaitu di Stesyen JPJ Air Sejuk, Pekan Sungai Tong dan di depan masjid Kampung Penarik.

Dalam sekatan jalanraya itu, beberapa pemandu bas, lori dan kenderaan persendirian menjalani ujian saringan air kencing bagi mengesan menyalahgunaan dadah.

Mereka yang didapati positif dadah ditahan reman dan akan menjalani sessi kaunseling pada pagi ini sebelum diambil tindakan seterusnya.

Selesai sekatan jalanraya kira-kira jam 2 pagi, peserta operasi mula bergerak ke beberapa lokasi lain untuk mengesan dan menangkap mereka yang melaku pelbagai kesalahan termasuklah penagih dadah dan mereka yang melakukan maksiat.

Lizan (kanan) bersama seorang pegawai Polis.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Setiu, Lizan Che Mat berkata, operasi pada malam tadi adalah dirancang sendiri oleh Pegawai Daerah Setiu.

"Tujuan utama operasi ini adalah untuk membenteras kes-kes jenayah seperti mencuri, merompak dan penyalahgunaan dadah, selain itu operasi ini juga bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kes khalwat dan maksiat lain.

"Kita pernah membuat operasi bersepadu ini pada 2009 lalu tetapi kali ini lebih hebat lagi kerana ramai yang menyertainya dan mulai tahun ini kita merancang akan mengadakan operasi ini sebanyak tiga kali setahun," katanya.
Peserta mendengar taklimat.

Anggota Rela mendaftar diri.

Sebahagian peserta operasi yang hadir.

Anggota AADK mengatur  strategi.

Seorang pegawai penyampaikan taklimat operasi.

Bas ekpres turut ditahan untuk pemeriksaan.

Seorang anggota Polis memeriksa lesen pemandu.

Berita TV turut membuat liputan.

Pemandu menunjukan IC kepada anggota Polis.


Demi tugas.. Dua anggota AADK bersedia memeriksa 'urin test'

Suasana sekatan jalanraya di Air Sejuk.

Berita Awani turut hadir.

Anggota JPJ melihat data pemandu di pejabat JPJ Setiu.

Suasana ketika 'urin test'


 

05 May 2014

Enam JKKK Besut dapat insentif.

Terima...Rahim menyampaikan sumbangan makanan kepada seorang penduduk.
Oleh: Mohammad Ishak.

PEJABAT Daerah Besut (PDB) memilih enam daripada 178 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah itu untuk menerima insentif khas berupa bantuan kewangan kerana berjaya menggalakkan komuniti dalam program keindahan dan kebersihan kampung.

Pegawai Daerah, A Rahim Jusoh berkata insentif itu sebagai penghargaan kepada JKKK terbabit yang membantu kerajaan dalam usaha menjaga keindahan dan kebersihan kampung masing-masing.

Katanya, enam JKKK terbabit ialah Rumah Awam Seberang Jertih, Lay Out Tok Saboh, Bukit Payong, Kayu Kelat, Amer dan Gong Tanah Merah. Beliau berkata, semua kampung terbabit juga dipilih mewakili daerah itu ke Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu tahun ini. 

“Sumbangan RM5,000 daripada kerajaan negeri kepada JKKK terbabit diharap dapat meningkatkan lagi usaha jawatankuasa dan penduduk menjaga tahap kebersihan dan keindahan kampung,” katanya pada majlis penyerahan cek insentif kepada JKKK Rumah Awam Seberang Jertih di sini.

 Beliau berpuas hati dengan keadaan kebersihan dan keindahan kawasan yang mewakili enam JKKK terbabit dan pihak PDB akan sentiasa memberi perhatian dan insentif lain sebagai galakkan kepada mereka. 

Sempena majlis itu, 30 penduduk di perumahan berkenaan turut menerima sumbangan berbentuk makanan terutama golongan miskin dan uzur.

Beliau berharap, JKKK lain yang tidak disenaraikan sebagai penerima insentif berkenaan supaya berusaha menjaga kebersihan dan keindahan di kawasan masing-masing kerana ia sebahagian imej JKKK di daerah ini.



 

270 pelajar IPG Sultan Mizan sertai “Green Robics dan Enviro-walk”

Antara penuntut IPG yang hadir.
Oleh: Mohammad Ishak.

JABATAN Alam Sekitar Negeri Terengganu (JAS) dengan kerjasama Institut Perguruan Sultan Mizan, Besut, menyemaikan semangat cintai alam sekitar kepada pelajar dalam usaha memupuk mereka terhadap suasana persekitaran.

Menerusi program “Green Robics dan Enviro-Walk” pelajar diberi pelbagai pendedahan menerusi aktiviti luaran yang berkonsepkan sumber alam. Seramai 270 pelajar menyertai program sehari sempena sambutan Hari Bumi 2014 yang disambut meriah oleh golongan pelajar dan penduduk setempat.

Majlis pelancaran program itu dilakukan Penolong Kanan Pentadbir Tanah Daerah Besut, Azrul Affandy Jusoh mewakili Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pegawai Kawalan Alam Sekitar JAS Terengganu, Noraini Ajlaa Omar berkata, sempena program berkenan aktiviti sampinag yang disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut mengadakan pameran berkaitan alam sekitar.

Antara yang terbabit ialah, Jabatan Perhilitan, Jabatan Taman Laut,Jabatan Mineral & Geosains, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Alam Sekitar. Manakala, aktiviti "enviro-walk" pula membabitkan jarak kira-kira 3.0km (pergi & balik) iaitu daripada IPG ke Pantai Bkt. Kluang.

Peserta diminta berjalan sambil menghayati keindahan sumber alam sekitar di sekeliling supaya dapat menanamkan sifat cinta akan bumi kita.

Setibanya di pantai, para peserta diminta untuk mengecopkan tapak tangan di Banner yang telah disediakan sebagai tanda penghargaan kepada Bumi dan perjanjian untuk melindungi bumi.

Turut diadakan Majlis Pelancaran Program Rakan Alam Sekitar di Peringkat IPT Sempena Sambutan Hari Bumi 2014 di Dewan Besar IPG Sultan Mizan Besut. Selesai majlis, orang ramai melihat booth-booth pameran daripada agensi yang terlibat, kemudian melihat sendiri pengujian asap dan refrigeran kenderaan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu.

 

Satu Nafi Dakwa Penduduk



Syarikat Air Terengganu (Satu) Sdn Bhd telah membuat siasatan di kawasan bermasalah seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian (4 Mei), bertajuk Terpaksa Guna Air Parit, didapati tujuh rumah kediaman, di Kampung Merbau Pulas, Hulu Terengganu yang dilaporkan itu sememangnya menggunakan kemudahan air perigi yang dipam.

 Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Husain Embong, berkata kemudahan bekalan air bersih yang dibekalkan Satu telah tersedia dengan jarak hanya 30 hingga 70 meter dari kediaman mereka.

 Katanya, projek bekalan air ini telah dilaksanakan di bawah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah yang telah disiapkan sejak tahun 2012.

“Namun sehingga hari ini, Satu tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan bekalan air bersih yang dibekalkan oleh Satu dari penduduk terlibat.

 “Mereka memilih untuk menggunakan bekalan air dari perigi yang dipamkan ke kediaman masing-masing. Ini mungkin kerana mereka lebih selesa dengan kemudahan mereka sedia ada dan ingin menjimatkan kos,” katanya.

 Menurutnya, bekalan air perigi yang digunakan sangat berisiko dari segi kualiti dan juga punca air akan bermasalah di musim kemarau.

 “Pihaknya sudah tentu tidak dapat mengarah atau jauh sekali memaksa pengguna supaya menggunakan bekalan air bersih daripada Satu. Pengguna mempunyai hak dan pilihan sendiri.

 “Dalam kes ini, penduduk yang terlibat memilih untuk menggunakan kemudahan bekalan air yang telah sedia ada di kalangan mereka kerana alasan dan rasional mereka sendiri,” katanya.

 Menurut Husain, Satu sangat mengalu-alukan sebarang permohonan penduduk terlibat bagi mendapatkan bekalan air bersih serta bersedia mengambil tindakan bersegera dalam hal tersebut.

 “Pihak kami sangat berharap agar penduduk yang terlibat segera membuat permohonan supaya mereka dapat menikmati kemudahan air bersih demi kesejahteraan dan keselesaan hidup mereka.

 “Bagaimana pun, bagi mengatasi masalah secara sementara, SATU akan berusaha untuk membekalkan air bersih melalui lori tangki dan juga tangki-tangki statik untuk ditempatkan di tempat bermasalah bagi meringankan masalah dan kesusahan penduduk terlibat,’ katanya

 

Orang Ramai Sokong Pembinaan Litar

Oleh: Suriati Ali

Orang ramai terutama peminat sukan pemotoran menyatakan sokongan penuh hasrat kerajaan negeri membina Litar Lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Terengganu. Pembinaan yang bakal bermula tahun depan itu mampu menangani masalah kegiatan lumba haram dikalangan mat motor di negeri ini.

 Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Majlis Penutupan Karnival Pemotoran Terengganu 2014, di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Naib Presiden Persatuan Pemotoran Daerah Hulu Terengganu, Othman Endut, berkata pihaknya ingin menyatakan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar kerana memahami jiwa peminat sukan pemotoran.

 Katanya, langkah itu sangat bertepatan dan yakin kewujudan litar lumba tersebut, sudah tentu dapat mengurangkan masalah mat motor di Terengganu yang sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya. “Sudah tiba masanya mereka membuktikan kehebatan menunggang motosikal dengan berlumba di litar lumba yang dilindungi insuran.

 “Sebaliknya, tidak wajar menjadikan jalan raya sebagai lokasi menunjuk bakat kerana sudah tentu mengancam keselamatan dan membahayakan nyawa pengguna lain,” katanya dihubungi Teganukita.

 Othman turut memberitahu, jika mat motor menggunakan kaedah yang betul, mereka bukan saja dilindungi insuran malah ditegaskan memakai pakaian keselamatan, kasut dan topi kaledar. Katanya, segala peraturan yang ditetapkan itu sudah tentu menjamin keselamatan penunggang.

 “Kita tidak mahu lagi mendengar kejadian mengerikan atau istilah orang awam `mati katak. Oleh itu sewajarnya mat motor menggunakan peluang ini sebai mungkin untuk beraksi,” katanya.

 

PERLANTIKAN JKKK DAERAH KEMAMAN 13 MEI INI



Seramai 118 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Kemaman bakal menerima watikah perlantikan dari Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohd Kamil Othman memberitahu demikian dalam perjumpaan beliau dengan Pengerusi JKKK dalam Daerah Kemaman, di pejabat Daerah Kemaman semalam.

Majlis penyampaian watikah perlantikan itu dijangka pada pagi 13 Mei ini bertempat di Institut Kemahiran Belian Negara (IKBN), Kemasik Kemaman.

Bazlan rai Suksis UMT di Lingai.

KENANGAN...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit (Duduk, tengah) bergambar kenangan bersama pegawai dan anggota Polis serta anggota Suksis ketika hadir di Majlis Program Bakti Siswa Anak Angkat dan Kemasyarakatan Siri III Kor SUSKSIS Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  Bersama KRT Kampung Lingai, baru-baru ini.

Turut hadir pada program yang diadakan di Kampung Lingai, Batu Rakit itu  ialah SAC Dato' Wan Mohammad bin Wan Abdullah ( Penolong Pengarah Pencegah dan Pembenterasan Jenayah Bukit Aman ).

"Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program. Saya mengharapkan program seperti ini dapat diadakan lagi di kawasan Batu Rakit ini bagi mendekatkan hubungan penduduk dengan Polis.

"Saya juga mengharapkan lebih ramai pelajar sekolah menyertai Suksis kerana ia mampu membentuk jati diri pelajar serta memberi peluang pekerjaan dalam bidang kepolisan apabila tamat belajar nanti," katanya.- Aminudin Ismail.
Kehadiran Bazlan di sambut pegawai Polis.

Menyampaikan sijil penghargaan.
Pemeriksaan kesihatan turut diadakan.

 

04 May 2014

TASIK KENYIR: TEMPAT KHAS UNTUK KEMUDAHAN PELANCONG WANITA BAKAL DIWUJUDKAN


Di antara perkara menarik yang bakal diwujudkan di Tasik Kenyir ialah tempat khas untuk kemudahan pelancong di kalangan wanita sahaja, kata Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

 "Di dalam tasik ini mempunyai banyak air terjun dan satu daripadanya kita akan khaskan untuk kaum wanita sahaja, iaitu semua urusan seperti pemandu bot, bahagian keselamatan dan sebagainya akan dikendalikan petugas wanita," katanya.

 Katanya, apa yang bakal dibuat itu adalah setelah menerima permintaan pelancong asing terutamanya dari Asia Barat yang mahukan kawasan khas untuk kemudahan wanita.

Menteri Besar berkata demikian di perasmian Festival Kenyir, di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir hari ini. Dalam masa terdekat juga katanya, pembinaan jambatan baru empat lorong yang merupakan kemudahan utama menghubungkan Pengkalan Gawi ke Pulau Poh Besar akan dijalankan.

 "Kita juga akan bina dua jeti, satu untuk penumpang dan satu untuk kargo,"tambahnya lagi.

 Di Pulau Poh ini, akan dibina hotel, taman permainan air, selain 1 000 lot tempat letak kereta kerana di Pengkalan Gawi tidak mempunyai kawasan yang luas, katanya.

Dua maut kemalangan di Sungai Tong, tengahari ini.(Sabtu: 4.5.14)

Remuk...keadaan kereta yang terbabit kemalangan.
Oleh: Aminudin Ismail.

DUA maut apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda bertembung dengan dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan di satu selekoh berhampiran pekan Sungai Tong, Setiu, tengahari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP, Abdul Rahman Raja Mohamed berkata, kedua-dua mangsa itu pemandu dan penumpang sebelahnya mati serta merta di tempat kejadian.

"Kemalangan mungkin berpunca daripada sebuah pacuan roda yang memasuki laluan bertentangan ketika melalui satu selekoh lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah hadapan," katanya.

Katanya, pemandu yang maut itu berasal dari Kubang Parit, Kuala Terengganu dan bekerja di Melaka, berusia 35 tahun manakala penumpang sebelahnya berusia 33 tahun.

"Dua lagi yang berada dalam kenderaan itu, iaitu kanak-kanak berusia 10 dan remaja 15 tahun kini di rawat di Hospital Kuala Terengganu kerana mengalami kecederaan parah," katanya.

Menurutnya, difahamkan mangsa datang dari Melaka untuk ke Kuala Krai Kelantan kerana mahu menziarahi bapa saudaranya yang meninggal dunia semalam.

 

Kerajaan Negeri Luluskan Pembinaan Litar Lumba di Gong Badak

Kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan sebuah litar lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Terengganu sebagai usaha menangani kegiatan lumba
haram dalam kalangan mat rempit di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerja-kerja tapak akan dimulakan tahun ini dan beliau yakin dengan kewujudan litar lumba tersebut dapat mengurangkan masalah mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya yang lain.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada pemenang 
di majlis perasmian penutup Karnival Permotoran Terengganu 2014 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Katanya, pembinaan litar itu juga sebagai medan mencungkil lebih ramai bakat baru dalam sukan permotoran, sekali gus melahirkan pelumba profesional dalam kalangan anak Terengganu yang mampu menaikkan nama negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau ada bakat-bakat yang hebat, kerajaan negeri sentiasa bersedia membiayai mereka ini untuk menjadi pelumba profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup Karnival Permotoran Terengganu 2014 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan tender untuk membina tiga buah asrama sukan di kawasan Kompleks Sukan Gong Badak dalam masa terdekat di mana setiap satu boleh memuatkan 350 orang.

“Apabila siapnya asrama yang turut dilengkapi dengan kemudahan kafeteria, perkhidmatan dobi serta trek jogging ini, lebih 1000 atlet boleh manfaatkannya untuk mengikuti sesi latihan pada satu-satu masa,” ujarnya.