Halaman

06 March 2014

JAS pasang alat pengesan habuk di sekolah.

Roshadah menunjukan kawasan yang terbakar di Lembah Bidong.
Oleh: Aminudin Ismail.

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Terengganu memasang alat pengukuran habuk halus (PM10) di dua buah sekolah berhampiran Lembah Bidong yang mengalami kebakaran hutan bagi mengesan Indek Pencemaran Udara (IPU) di kawasan dua sekolah itu.

Pangarahnya, Roshadah Hashim berkata, alat itu yang kini di pasang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong akan dipasang pula di Sekolah Kebangsaan  (SK) Pagar Besi.

"Kita sudahpun memasang alat pengukur habuk halus itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong sejak 3 Mac lalu dan IPU didapati pada tahap sederhana pada 4 dan 5hb Mac tetapi pada hari ini IPU adalah baik.

"Asap tebal didapati menghala ke arah Kampung Pagar Besi pada awal pagi sejak pagi semalam. JAS dimaklumkan pihak SK Pagar Besi yang murid sekolah itu memulakan sessi  persekolahan agak lewat kerana asap tebal waktu pagi," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan memasang alat PM10 yang dipasang di SMK Lembah Bidong itu untuk di pasang di sekolah itu pula bagi memantau tahap kualiti udara di kawasan sekolah itu.

"Petang tadi kami ke SK Pagar Besi berbincang dengan pihak sekolah untuk memasang alat pengukuran habuk halus PM10 di kawasan sekolah itu," katanya.

JAS juga sudah memasang alat PM10 itu di Sekolah Kebangsaan Tok Kah, Dungun sebelum ini.

Roshadah mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar dan boleh memburukkan lagi keadaan berikutan kebakaran hutan gambut yang berlaku di beberapa kawasan di Lembah Bidong itu.

Petang tadi Roshadah sempat meninjau beberapa tempat kebakaran berhampiran Ladang Rakyat Lembah Bidong bersama beberapa pegawainya.

 

Bomba teruskan usaha padam kabakaran di Lembah Bidong.

Kenderaan Bomba menghampiri kawasan kebakaran.
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI antara 30 dan 60 anggota Bomba masih meneruskan usaha bagi memadam kebakaran yang berlaku berhampiran Ladang Rakyat di Lembah Bidong sejak 25 Februari lalu.

Komender Operasinya, Kamerul Bieza Mohd Kasim berkata, usaha anggota Bomba itu berjaya menghalang kebakaran itu daripada merebak ke ladang-ladang dan hutan berhampiran.

Katanya, anggota terbabit itru ialah daripada Balai Bomba Kuala Terengganu, Balai Bomba Permaisuri, Balai Bomba Jerteh, Balai Bomba Marang dan Balai Bomba Kuala Berang.

Bieza..kawal api daripada merebak.
"Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan tetapi ia dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka dan tanah yang terbabit kita pasti ia bukan milik ladang," katanya.

Kamerul berkata, pihaknya membuat pemadaman dengan mengunakan pelbagai cara, antaranya ialah cara pancutan air dan membuat 'fire break' dengan mengunakan jalan-jalan balak yang tidak digunakan.

"Kita juga membuat pemadaman dengan pergi terus ke kawasan yang mengalami kebakaran. Punca air kita perolehi daripada parit yang berhampiran," katanya.

Menurutnya, pihak Bomba yang sudah sembilan hari berada di tempat itu, agak sukar untuk memadam terus kebakaran kerana api berada di dalam tanah gambut.

"Walaupun kita sudah memadamkan api itu tetapi ia boleh timbul semula bila-bila masa kerana api tidak padam sepenuhnya walaupun disembur dengan air," katanya kepada Teganukita yang meninjau kawasan kebakaran hari ini.

Kamarul berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kebakaran itu kerana pihak Bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran yang mengakibat asap di beberapa kampung berhampiran.

"Jika berlaku hujan, Insya Allah dalam tempoh seminggu lagi kita menjangkakan dapat memada
mkan api di kawasan ini sepenuhnya," katanya mengenai kawasan kebakaran hutan seluas kira-kira 500 hektar itu.
Dua anggota bomba gigih memadam api.

Tanah gambut sukar usaha pemadaman


Penolong Pengurus  Ladang Rakyat memantau kawasan kebakaran.

Kenderaan Bomba melalui jalan yang agak sukar.

Dua anggota Bomba sedang menyiapkan laporan.

Seorang anggota Bomba meneliti kawasan kebakaran.

 


Kerjasama dengan PBT pantau aktiviti perniagaan pasar malam

Oleh: Noraini Jusoh

Semua Pejabat Kesihatan Daerah diarah berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pemantauan dan mengambil tindakan segera bagi memastikan pasar malam di seluruh negeri ini bebas daripada aktiviti perniagaan yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, langkah pemantauan itu perlu sebagai usaha memastikan peniaga pasar malam mermatuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Pemantauan ini akan dibuat berterusan sehingga kita yakin keadaan kembali reda dan peniaga memahami dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kita mengambil pendekatan dalam masa terdekat ini dengan cara yang agak agresif sedikit supaya peniaga pasar malam lebih peka terhadap aspek kebersihan dan mengharapkan peraturan dan ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa diberi perhatian sewajarnya oleh mereka,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai kes keracunan makanan di bandaraya ini yang menyebabkan 155 orang dilaporkan mendapatkan rawatan sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Pelatih Jahitan SLDN Khas Sesi 2013 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, di Kuala Ibai, hari ini.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas pesakit terbabit makan makanan dijangkiti bakteria Salmonella yang menyebabkan mangsa muntah dan cirit birit.

Menurutnya, semalam lebih 20 peniaga pasar malam telah dikenakan kompaun melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tidak menutup kepala, tidak memakai apron, tiada lesen dan tidak memperbaharui lesen.


Kebakaran di Lembah Bidong tidak membabitkan Ladang Rakyat.

sebahagian hutan yang terbakar.
Oleh: Aminudin Ismail.

LADANG rakyat Sdn. Bhd. milik kerajaan negeri Terengganu tidak terlibat dengan kebakaran yang melanda di Lembah Bidong sejak dua minggu lalu, kata Pengurusnya, Mohd Zukri Mamat.

Zukri berkata kawasan yang terbabit dengan kebakaran itu ialah tanah hutan tanah gambut milik kerajaan negeri yang terletak bersebelahan ladang itu.

"Setakat ini diladang rakyat lembah bidong ini tidak lagi mengakibatkan kerugian, cuma yang terbakar ialah di sempadan ladang.

Mohd Zukri (kanan) berbincang sesuatu dengan pegawai Bomba.
"Bagaimanapun kita sentiasa memantau kebakaran itu dan beberapa pekerja ladang membantu bagi mengawal kebakaran daripada masuk ke kawasan ladang. Menurutnya, jarak antara ladang dan kawasan terbakar sekitar 50 meter dan terhalang oleh parit besar dan keadaannya terkawal.

"Dengan bantuan bomba keadaan adalah terkawal. Dengan cara kawalan ini saya mengharapkan ia tidak akan merebak ke kawasan ladang ini," katanya ketika ditemui di markas sementara Bomba yang mengawal kebakaran di ladang itu, hari ini.

Kebakaran hutan paya gambut seluas kira-kira 500 hektar di Lembah Bidong berlarutan sejak dua minggu lalu hingga kini dan keadaan di kawasan hutan itu masih lagi terbakar.

Tinjauan Teganukita mendapati anggota Bomba giat melakukan kerja-kerja pemadaman dan mengawal api dari terus merebak ke ladang dan kampung berhampiran.


198 kes denggi dilaporkan seluruh Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak 

Terengganu mencatat kes denggi agak ketara bagi tempoh sepuluh minggu pertama tahun ini apapila 198 kes dilaporkan berlaku sehingga 4 Mac.

Berbanding pada tempoh sama tahun lalu (2013) ia hanya mencatat 40 kes dan ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 395.0 peratus. Perkara ini diakui Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman yang mahu semua pihak dapat bekerjasama dengan jabatan itu untuk mencegahnya daripada terus meningkat

Katanya, daripada jumlah itu Kuala Terengganu mencatat kes paling tinggi dengan 150 kes diikuti Besut (14), Dungun (14), Marang (8), Kemaman (7), Hulu Terengganu (4) dan Setiu, 1 kes.

Menurutnya, pihak jabatan sudah meningkatkan tahap pencegahan dengan memberi tumpuan aktiviti kawasan di lokaliti kes dan lokaliti wabag dengan menjalankan pemeriksaan premis seluruh negeri.

Katanya, sebanyak 42,913 premis sudah diperiksa oleh jabatan berkenaan dan daripada jumlah itu 150 positif dengan tempat pembiakkan aedes.

“Semua premis berkenaan sudah dikenakan kompaun di bawah akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika merasmikan Program Perhimpunan Penyayang dan Jasamu Dikenag, Peringkat Daerah Besut, di Hospital Daerah Besut, hari ini.

Yayasan Terengganu taja lima pelajar ke Jerman kuasai bidang automotif

Teks oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh: Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menaja lima anak Terengganu melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif di beberapa universiti terkemuka Jerman bagi kemasukan September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib (gambar), berkata, matlamat kerajaan negeri menghantar anak-anak Terengganu yang cemerlang dalam pelajaran itu ke Jerman adalah sebagai projek perintis memandangkan negara berkenaan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang automotif.

"Lima pelajar bertuah itu adalah Sayyid Abdul Halim Syed Omar (20), Wan Muhammad Syakiran Wan Mazlan (20), Ahmad Ahsan Yusob (20), Wong Soo Siang (20) dan Nor Hidayati Zaim (20).

“Sebagai persediaan, kita menghantar anak Terengganu ke Jerman untuk melahirkan jurutera dalam bidang automotif memandangkan negara kita secara formal belum mempunyai jurutera yang berkemahiran tinggi mengikut teknologi semasa dalam bidang tersebut.

“Selari dengan hasrat menuju negara maju, sememangnya kita memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kecekapan dan kepakaran dalam bidang itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Diri Kepada Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Ke Jerman, di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik serta Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Haji Mohd Razali Mahmud.

Menurut YB Ghazali, lima pelajar berkenaan akan mengikuti pengajian selama empat tahun di Jerman termasuk menjalani latihan industri di bandar Leipzig dan Ingolstadt, Jerman yang terkenal dengan pengeluaran kereta berteknologi tinggi seperti Porche dan Audi.

Katanya, bagi mencapai hasrat melahirkan jurutera automotif berkemahiran tinggi di kalangan anak Terengganu, kerajaan negeri menawarkan biasiswa RM290 ribu seorang untuk tempoh empat tahun kepada lima pelajar itu yang sebelum ini mengikuti program A-Level di German Malaysian Institute (GMI).

Tambah beliau, walaupun lima pelajar tersebut tidak diwajibkan berkhidmat di Terengganu apabila menamatkan pengajian nanti, tetapi kerajaan negeri menggalakkan mereka menabur bakti dalam bidang kepakaran masing-masing di negeri ini.

 

Aku Janji BN Terengganu Bina 10,000 Lagi Rumah Mula Dilaksana

Oleh FAUZI MOHD

Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum 13 untuk membina 10,000 lagi unit rumah sepanjang tempoh lima tahun telah mula dilaksanakan tahun ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, setakat ini Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan sebanyak 500 unit rumah mampu milik di Seri Bandi, Kemaman dan 300 lagi di Pengkalan Nyireh, Besut. 

“Jumlahnya sebanyak 800 unit untuk permulaan awal tahun ini. Surat kelulusan kepada pihak kontraktor telah dikeluarkan untuk dilaksanakan mengikut jadual yang telah kita persetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Taman Batin Perdana di Seberang Takir, Kuala Terengganu pagi tadi.

 Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda.

Tambah Ahmad, aku janji itu dibuat berdasarkan kemampuan Kerajaan Terengganu untuk menunaikan janji membina 10,000 unit rumah untuk rakyat dalam tempoh lima tahun pada 2008 hingga 2013.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 9,078 unit telah dibina dan sebahagian dari jumlah itu masih dalam peringkat pembinaan melibatkan 29 projek di seluruh negeri.

"Bagi mencukupkan jumlah 10,000 unit, 1,883 unit rumah dalam peringkat perlaksanaan membabitkan pembinaan rumah mampu milik di Banggol Tuan Muda sebanyak 314 unit, RPMM Pulau Redang sebanyak 160 unit, RPMM Ladang Tok Pelam berjumlah 407 unit dan Perumahan Rakyat Padang Hiliran sebanyak 1,002 unit," katanya.

 Pada majlis itu, sebanyak 92 keluarga menerima surat tawaran pertama rumah berkenaan yang disampaikan oleh Ahmad.

RPMM Taman Perdana Batin yang mula dibina pada Oktober 2009 di tanah milik kerajaan berkeluasan 17 hektar merangkumi 722 unit rumah terdiri daripada 19 blok 4 tingkat dengan menelan belanja RM101.8 juta. 


Mangsa harap peniaga ambil iktibar

Oleh: Suriati Ali

“Saya berharap peniaga pasar malam terbabit sedar dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak dan hampir 150 lagi pelanggan alami keracunan makanan, akibat hidangan yang dijual..

 “Peniaga tidak wajar memikirkan mengenai untung saja dengan menjual makanan basi dan sudah tercemar, sebaliknya perlu menjaga kebersihan dan patuh undang-undang bagi mengelak perkara seumpama ini berulang,” kata mangsa Khairul Hamizy Ramlee, 28.

 Khairul yang bertugas sebagai wartawan sambilan Harian Metro turut memberitahu, dia dan empat ahli keluarga lain alami cirit birit dan muntah-muntah, beberapa jam selepas makan mee goreng , nasi goreng dan ayam goreng.

“Kami berlima dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah secara berasingan, di mana anak saudara berusia lima tahun, terlebih dahulu mendapatkan rawatan dan saya yang paling akhir, iaitu pagi semalam,” katanya.

 Seorang lagi mangsa, Muhammad Farid Aizuddin Abd Rahsid, 22, berkata dia mula agak alami keracunan makanan selepas makan nasi goreng yang di jual di pasar malam, Taman Shahbandar, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

 “Pada awalnya, ingat saya perut biasa, lama kelamaan mula muntah dan ciri birit, sebelum bagi tahu ayah , minta hantar ke HSN,” katanya.

 Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan seramai 37 orang lagi mangsa keracunan makanan dimasukkan HSNZ, Kuala Terengganu, sehingga petang semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr. Anwa Sulaiman ketika mengesahkan perkara itu berkata, mereka terdiri daripada 25 pesakit dewasa dan 12 lagi kanak-kanak.

"Perkembangan itu tidak bermakna kes keracunan makanan tersebut semakin serius sebaliknya menunjukkan tahap kesedaran orang ramai yang semakin baik untuk segera mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita ketika mengiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melawat sebahagian mangsa keracunan makanan di wad hospital berkenaan, semalam.

 Katanya, tiga peniaga berkenaan disiasat dan pihaknya kini menunggu laporan penuh sebelum mendakwa tiga peniaga berkenaan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

 “Hasil bedah siasat Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilmie, 5, menemui bakteria Salmonella dalam badannya. Bakteria itu dikesan menerusi air tulang belakang serta darah dari saluran jantung kanak-kanak itu dan kami yakin punca kematiannya disebabkan bakteria berkenaan.

 “Kami percaya bakteria berkenaan datang dari pasar malam di Dataran Shahbandar dan Jalan Hiliran. Buat masa ini, kita masih menunggu bukti dan ketiga-tiga peniaga pasar malam terbabit pasti berdepan hukuman sekiranya bakteria berkenaan dikesan di gerai mereka,” katanya.


 

Le Tour de Langkawi 2014 Stage 7 - Kota Tinggi - Pekan






















05 March 2014

PBT bertegas soal kebersihan makanan - MB

 Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha makanan, termasuk peniaga pasar malam yang didapati mengabaikan aspek kebersihan.

Menteri Besar dan isteri melawat mangsa keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
 “Perkara itu perlu dipandang serius bagi mengelak kejadian seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan berulang dan hampir 150 pelanggan lagi menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat masalah yang sama,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa keracunan makanan di HSNZ, Kuala Terengganu hari ini.


 Turut mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, YB Muhammad Pahemi Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib dan Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr. Anwa Sulaiman.

 Mereka itu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sejak 28 Februari sehingga awal pagi ini kerana mengalami muntah-muntah dan cirit-birit selepas membeli makanan di dua pasar malam iaitu di Dataran Shahbandar dan Padang Hiliran.


Dato’ seri Haji Ahmad turut memberitahu, PBT perlu kerap kali mengadakan pemantauan dan patut kenakan kompaun terhadap peniaga-peniaga yang masih ingkar dengan undang-undang yang ditetapkan.

“Undang-undang yang dilaksanakan kerajaan, seperti peniaga perlu mengambil suntikan, pakai apron dan denda jika premis atau gerai kotor bukannya perkara yang menyusahkan sebaliknya untuk kesihatan dan keselamatan.

 “Jika peniaga-peniaga amal dan patuh dengan undang-undang yang ditetapkan, perkara seumpama ini, mungkin tidak akan berlaku,” katanya. Menurutnya, berdasarkan siasatan Jabatan Kesihatan Negeri, mangsa keracunan makanan didapati mengambil makanan seperti nasi goreng, mee goreng dan ayam goreng yang dijual tiga pemilik gerai di dua lokasi pasar malam.

“Diharapkan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang, saya minta jasa baik peniaga, amalkan kebersihan sama ada berkaitan makanan yang dijual atau tempat berniaga, jangan fikir hendak untung saja.

“Jika makanan yang dijual itu tidak laku, anggaplah tiada rezeki, janganlah pula dipanaskan lagi untuk dijual pada keesokan hari, “katanya.