Halaman

18 February 2014

Noorul Shazrina: Jangan buat spekulasi terhadap kematian suami saya.


Noorul Shazrina bersama dua anaknya Wan Nor Sofia (kanan) dan Wan Iman (kiri).

Oleh: Mohammad Ishak

 “Jangan buat sebarang spekulasi terhadap punca kematian arwah suami saya”, kata Noorul Sharina Shafiee, 33, guru dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan,Marang.

Noorul Shazrina, isteri, Penolong Kanan Pentadbir Tanah, Kuala Terengganu, Allahyarham Wan Hariff Rafany Wan Muda,35, yang ditemui mati lemas di Sungai Tajin, Hulu Terengganu, kelmarin selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Beliau sedih dengan sesetengah pihak yang membuat andaian sendiri terhadap kematian arwah suami sedangkan perkara itu masih dalam siasatan polis.

Katanya, dia rasa tertekan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang membuat pelbagai andaian terhadap kes kematian arwah suami yang tersebar luas menerusi media sosial.

Ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Limbongan,Besut yang ditemani dua anaknya, Wan Nor Sofia Hana,6 , dan Wan Iman Nashrid, 4 tahun beliau kelihatan tenang walaupun perasaan sedih dan dengan kehilangan suami tersayang.

Jenazah Allahyarham Wan Hariff Rafany selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Besut selepas solat isyak malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Yang Berhormat Mohd Mahdi Musa adalah antara pemimpin yang hadir pada majlis perkebumian arwah.

“Saya berharap tidak ada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kematian arwah dan serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Lapan pasukan rebut Piala Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu terus memberi suntikan baharu bagi memperkasakan pembangunan bola sepak negeri seperti era zaman kegemilangan bola sepak yang lalu, apabila bakal menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 20 Tahun bagi merebut Piala YB Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber manusia negeri.

Kejohanan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan bermula 7 Mac hingga 23 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, MSNT dipertanggungjawabkan sebagai urusetia bagi kejohanan yang akan melibatkan satu pasukan dari setiap daerah kecuali Kuala Terengganu yang menghantar dua pasukan, iaitu Kuala Terengganu Utara dan Selatan.

“ Kejohanan bawah 20 tahun ini yang melibatkan lapan pasukan ini bertujuan mencungkil bakat baru bagi diketengahkan untuk mewakili pasukan negeri atau T-Team.

“Malah, program ini diharap menjadi pelengkap kepada struktur program pembangunan bola sepak negeri yang sudah kerajaan negeri laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Menurut beliau, kejohanan kali ini mendapat sentuhan baharu dengan kerjasama daripada pegawai daerah sebagai pihak yang turut penting dalam proses pembangunan bola sepak negeri.

Tambah beliau, pada tahun ini sahaja, seramai 13 anak Terengganu dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mewakili pasukan kebangsaan, masing-masing enam orang mewakili Harimau C (bawah 19 tahun), enam orang mewakili Harimau B (bawah 21 ) dan seorang Harimau A (bawah 23).

“Ini terbukti menerusi kejayaan program pembangunan yang kita laksanakan selama ini. Daripada kesemua yang berjaya diserapkan di bawah pasukan Malaysia, sebahagian mereka sudah bersama pasukan masing-masing, manakala selebihnya akan dipanggil pada bila-bila masa bagi menjalani latihan,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau berharap kejohanan anjuran kerajaan negeri bersama PBSNT itu mampu melahirkan lebih ramai anak Terengganu yang dapat menyarung jersi kebangsaan dalam sukan bola sepak serta acara lain di masa depan.


JHEAT sedia RM2.9 juta untuk masjid dan surau

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memperuntukan kira-kira RM2.9 juta bagi membina, membaik pulih dan melaksanakan pelbagai program pengimrahan masjid dan surau sepanjang tahun ini.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri itu turut dibelanjakan bagi bayaran elaun imam bilal, elaun penceramah, kursus dan membeli peralatan.

“Pihaknya terharu kerana kerajaan negeri memberi kepercayaan penuh dengan mengagihkan peruntukan besar kepada JHEAT bagi merancang perbelanjaan itu.

“Oleh itu, pihak berkaitan terutama jawatankuasa masjid, imam dan bilal, sewajarnya mengambil peluang ini sebaik mungkin supaya masjid di kawasan masing-masing aktif dengan aktiviti berfaedah.

 “Usaha itu penting, bagi menarik minat penduduk setempat terutama golongan muda untuk bersama-sama terlibat selain menanam minat rajin ke masjid untuk solat berjemaah,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu lagi wujud sikap `berpuak-puak’ dan ada jemaah yang masih berpegang kepada fahaman politik ketika berada di masjid.

“Kita mengakui apa yang diperkatakan itu masih wujud di beberapa masjid di Terengganu dan sebahagiannya sudah ditangani secara berperingkat-peringkat.

“Mana-mana masjid yang masih bermasalah, akan diselesaikan secara bijaksana dengan memanggil dan berbincang dengan jawatankuasa berkaitan..

“JHEAT serius menangani perkara itu kerana tidak mahu perkara negatif masih dibawa ke masjid sehingga boleh merosakan hubungan persaudaraan antara umat Islam,” katanya.

 

Ibu bapa contoh terbaik anak-anak : A Latiff

Oleh: Amirullah Othman

Ibu bapa haruslah menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak serta menitikberatkan pendidikan mereka supaya mampu menjadi generasi cemerlang.
Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri YB A Latiff Awang, berkata peranan ibu bapa amat mencabar dewasa ini, dalam memastikan anak-anak tidak hanyut dengan gejala sosial yang tidak sihat.

“Ibu bapa harus menjadi contoh yang baik, sentiasa menanamkan semangat dan jati diri dalam diri anak-anak supaya belajar dengan bersungguh-sungguh. Hanya dengan pelajaran dapat mengubah nasib dan kehidupan kea rah lebih baik.

“Sementara kita sebagai pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab pula menyediakan segala keperluan yang sepatutnya kepada anak-anak supaya dapat menimba ilmu dalam persekitaran yang baik dan kondusif,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan kali ke 22 Tahun 2014, hari ini.

A Latiff berkata, kerajaan bersedia memberi pelbagai pengiktirafan dan ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dengan menyediakan peruntukan yang amat besar saban tahun, berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, rakyat sepatutnya menghargai dan menyambut baik inisiatif kerajaan dengan memastikan kejayaan anak-anak di sekolah, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah dalam aktiviti luar kelas seperti kokurikulum dan sukan.


Sukan, kokurikulum komponen lahir generasi cemerlang

Oleh: Amirullah Othman

Kegiatan sukan dan kokurikulum menjadi komponen penting dalam sistem pendidikan negara kita untuk melahirkan generasi pelajar yang berwibawa dan cemerlang, kata Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan,Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang.
Beliau berkata demikian di Program Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Daerah Marang bertempat di Padang Bola Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, semalam.

A Latiff berkata, program tiga hari berakhir 20 Februari ini dapat menyokong dan melengkapkan proses pendidikan seseorang pelajar.

“Oleh itu adalah penting aktiviti-aktiviti sukan dan permainan, kelab dan badan beruniform dijalankan secara bersepadu dan tidak diabaikan dalam perancangan pihak sekolah.

“Saya menyarankan kepada ibu bapa supaya memberi sokongan yang padu kepada anak-anak yang berminat ke arah aktiviti sukan kerana ia boleh dijadikan satu platform ke arah kerjaya anak-anak kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga menaruh kepercayaan yang tinggi untuk melahirkan barisan atlet yang bermutu supaya dapat mewakili Marang ke peringkat negeri nanti supaya dapat mengharumkan nama daerah ke peringkat yang lebih termasuk mewakili negeri dan negara.

Dalam pada itu, beliau juga berharap peserta-peserta kejohanan Balapan dan Padang MSSD Marang kali ke- 23 ini dapat bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan silaturahim.

Katanya, kejohanan pada kali ini juga diharap akan mencipta beberapa rekod baru yang lebih baik dan berjaya mendidik mereka menjadi insan yang mementingkan gaya hidup yang sihat.


KK1M di Setiu April ini.

Dr.Akramuddin...dapatkan pemeriksaan mata.
Oleh: Aminudin Ismail.

ORANG RAMAI di daerah Setiu yang mempunyai masalah penglihatan berpeluang bertemu pakar mata bagi membuat pemeriksaan di empat kawasan di daerah itu, tidak lama lagi.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sri Langkap, Dr. Akramuddin Mohd Razi berkata, Program Bas Bergerak Klinik Katarak 1 Malaysia (KK1M) kini berada di Negeri Terengganu.

“Katarak ialah selaput mata, orang yang semakin berumur akan tumbuh selaput mata terutamanya mereka yang menghidap kencing manis.

“Situasi sekarang ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kira-kira 300 ribu penduduk di negara ini mengalami selaput mata dan hanya 28 ribu sahaja yang mendaftar untuk mendapat rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KK1M itu kini berada di seluruh daerah di negara ini untuk memberi rawatan termasuklah daerah Setiu.

“Klinik bergerak ini mempunyai peralatan yang cukup untuk membuat pemeriksaan mata dan kini berada di daerah Kemaman, Insya Allah klinik bergerak itu akan sampai di setiu April ini,” katanya.

“KK1M ini akan berada 11 hari di Setiu iaitu tiga hari di Kawasan Sungai Tong, Langkap dan empat hari di Kawasan Kampung Rahmat dan empat hari lagi di Permaisuri,” katanya ketika berucap di Program Gempur Aedes di Kampung Seri Kenangan, Pelong, dua hari lalu.

Dr. Akramuddin mahu semua penduduk di daerah Setiu mengunakan peluang yang ada dengan hadir beramai-ramai membuat pemeriksaan mata di kawasan terbabit.

“Kos membuat pemeriksaan mata ini sekitar RM3,000 jika dibuat di hospital dan klinik swasta tetapi melalui KK1M ini kosnya sekitar ratusan ringgit sahaja malah ada yang akan mendapat rawatan percuma mengikut kelayakan,” katanya.

 

17 February 2014

118,688 terima e-book sejak 2009 sehingga Februari ini

Seramai 118,688 murid di Terengganu telah menerima buku elektronik (e-book) sejak diperkenalkan pada 2009 sehingga Februari ini.

E-Book, komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan itu diberi oleh kerajaan negeri bertujuan memudahkan proses pembelajaran dalam kelas, sekali gus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Zakaria Hussin berkata e-book yang diberikan kepada murid Tahun Empat dan Lima ini sangat berkesan dalam pembelajaran di sekolah selain murid juga didedahkan dengan penggunaan komputer.

"Kerajaan negeri sangat komited dalam memastikan pendidikan di Terengganu terus meningkat demi menghasilkan anak-anak Terengganu yang berjaya.

"Untuk tahun ini dan tahun lepas, sebanyak RM57 juta dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk tujuan ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pembahagian E-Book kepada murid Tahun Lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Kemaman, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Haji Ahmad Said.

 

Malaysia rekod pelaburan tertinggi tahun lalu


Malaysia menerima pelaburan tertinggi dalam sejarah negara apabila mencatat RM38.7 bilion sepanjang tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan itu bukan sahaja daripada pelabur asing, tetapi juga pelabur tempatan.

"Kita tidak bergantung kepada pelabur luar semata-mata, tetapi dari pelabur dalam negara sendiri. "Sebab itu kerajaan memberi penekanan yang sama agar pelabur asing dan tempatan melabur di negara ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi Kompleks Petronas di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hawsnan Abdullah.

Mustapa berkata, pelabur asing membawa teknologi tinggi yang lebih canggih dan lengkap di mana kadang kala tidak ada di negara ini, kebanyakannya dalam bidang perkhidmatan dan teknologi tinggi.

Manakala pelabur tempatan pula menceburi bidang hartanah, pembinaan, perladangan, pelancongan dan sebagainya. 

"Jadi di sini, ia ada pengasingan antara pelabur asing dan tempatan yang kedua-duanya sangat penting. Tetapi pelabur asing lebih penting sedikit dari segi teknologi canggih dengan mewujudkan peluang pekerjaan tenaga mahir seperti di bidang teknologi maklumat (IT)," katanya.

Mustapa berharap negara mampu mengekalkan momentum pertumbuhan tahun lepas dan dengan keadaan ekonomi yang masih kukuh, pelaburan dapat dipertingkatkan lagi berbanding tahun lepas. Beliau mahu kerjasama lebih rapat dijalinkan antara Petronas, Mida dan Miti untuk mengembangkan lagi industri petrokimia di negara ini.

"Kita bangga sejak Petronas mula beroperasi di Terengganu pada 1984, ia berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan di samping memberi sumbangan besar di bidang pendidikan," katanya.

Menurutnya, syarikat kebanggaan negara itu bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di luar negara. 

"Semua rakyat Malaysia berhutang budi dan bergantung kepada Petronas, bukan sahaja dari segi hasil, tetapi juga peluang pekerjaan yang diwujudkan di negara ini dan juga di luar negara.

"Kita akan teruskan kerjasama yang erat ini untuk membangunkan lagi sektor petrokimia di negara ini," katanya.


Unit Rondaan Bermotosikal (URB) PDRM Besut dilancar


YB Muhamad Pehimi melepaskan anggota peronda URB Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Penduduk sekitar bandar Jertih terutama kawasan perkedaian dan perumahan akan mendapat khidmat Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia bermula hari ini.

Perkhidmatan 24 jam membabitkan 15 lokasi terpilih bertujuan mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit yang sebelum ini merekodkan kes yang membimbangkan.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof melancarkan unit berkenaan dalam satu upacara khas di Tapak Medan Selera Jerih, pagi tadi.

Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Majlis pelancaran itu mendapat sambutan penduduk setempat yang hadir memeriahkannya yang dihadiri pemimpin masyarakat, wakil badan bukan kerajaan dan peniaga sekitar bandar Jertih.

Sebanyak 17 motosikal peronda disediakan untuk membuat rondaan 24 jam di kawasan yang dipilih oleh PDRM daerah Besut.

Tugas utama unit berkenaan adalah untuk membuat rondaan di kawasan taman perumahan dalam tempoh 24 jam bagi mencegah berlakunya jenayah khususnya jenayah pecah rumah dan mencuri motosikal.

Kontrak 160 guru KAFA disambung

Oleh: Suriati Ali

Seramai 160 daripada 303 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang tidak disambung kontrak akhir Disember tahun lalu telah diambil berkhidmat semula dengan yayasan itu awal bulan ini.

 Pengarah YIT, Md Kamarul Al Amin Ismail berkata, pengambilan semula guru-guru berkenaan telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pendidikan YIT yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib.

 "Sebenarnya seramai 240 orang daripada 303 guru itu telah membuat rayuan,” katanya.

Menurut Md Kamarul Al-Amin, guru-guru tersebut telah bertugas pada 3 Febuari yang lalu sama ada di sekolah masing-masing atau sekolah baharu.

 Dalam pada itu beliau berkata, YIT mengambil seramai 140 orang guru baharu daripada 500 orang yang memohon bagi memantapkan kelas KAFA.

 Katanya, dengan pengambilan guru-guru baharu dan pengambilan semula guru-guru lama itu, tidak timbul lagi masalah kekurangan guru KAFA di sekolah-sekolah YIT.

-