Halaman

30 January 2014

Sertai persatuan tingkat daya kreativiti - isteri MB

Oleh; Esah Abdullah

 Penjawat awam wanita diminta mengambil peluang dengan menyertai persatuan atau badan-badan amal untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di dalam diri masing-masing.


 Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, melalui persatuan perkongsian idea dan pandangan serta saling bertukar kemahiran dapat diwujudkan antara satu sama lain.

"Kita hendaklah meneroka bakat-bakat dan kualiti yang terpendam melalui aktiviti seperti kelas masakan, jahitan, sulaman dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Cawangan Terengganu Kali Ke-30, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Hajah Ramizah Hashim. Hadir sama Pengerusi Puspanita negeri, To' Puan Hajah Rohani Abdullah.

Katanya, Puspanita telah memain peranan penting dalam usaha meningkatkan kemajuan wanita di negeri ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan sehingga ini keahlian telah mencecah 4,429 orang.

Dalam pada itu Puspanita juga telah memperkenalkan kategori keahlian seumur hidup di samping keahlian biasa yang memberi banyak kelebihan.

"Selaras dengan saranan kerajaan agar mengamalkan langkah penjimatan, wanita merupakan satu kuasa besar yang mampu merealisasikan hasrat itu," katanya yang juga penaung Puspanita negeri.



Beliau yakin suri rumah boleh menilai apa yang patut didahulu dan dikemudiankan serta berperanan mendidik serta memupuk amalan berjimat di kalangan ahli keluarga dan di tempat kerja.

Pada majlis itu Puspanita Terengganu turut menyampaikan insentif kecemerlangan akademik kepada anak-anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun lalu.

101 mangsa banjir dapat RM500 seorang.

Terima ksaih..seorang mangsa banjir terima RM500 daripada Azmidi.
Oleh: Aminudin Ismail.

KESUSAHAN seramai 101 penduduk dari lapan buah kampung yang berpindah di pusat pemindahan banjir baru-baru ini sedikit terubat apabila mereka menerima wang bantuan mangsa banjir sebanyak RM500 setiap seorang dari kerajaan, di Pejabat Daerah Setiu, Bandar Permaisuri, hari ini.

Mereka yang kebanyakanya dari kawasan Langkap itu berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan itu yang boleh meringankan bebanan mereka membeli beberapa keperluan rumah yang rosak akibat banjir itu.

Nizam..Penolong SU MKNT
Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu, Shaiful Nizam Razali, berkata mereka yang menerima wang bantuan itu adalah daripada mangsa banjir yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Mereka ini terdiri daripada mereka yang yang terbabit dengan perpindahan pada banjir baru-baru ini samada yang berpindah di pusat pemindahan ataupun rumah saudara mara dan mendaftar dengan JKM,” katanya.

Shaiful Nizam berkata, setiu adalah daerah kedua yang diberi bantuan banjir ini selepas daerah Besut dan selepas ini, katanya, bantuan itu akan dihulurkan kepada mangsa banjir di daerah Marang dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Azmidi Abdullah berkata, beliau mengharapkan semua penerima bantuan hari ini supaya berjimat cermat dengan wang bantuan yang mereka perolehi.

“Saya harap tuan puan berjimat dengan duit yang kita dapat. Sekarang banyak bantuan yang diberi kerajaan antaranya bantuan banjir ini, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan hari raya, BR1M dan lain-lain. Kita kenalah berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Antara mangsa banjir yang hadir.

Surirumah juga turt terima bantuan.

Penerima cop jari sebelum terima duit.

Seorang pegawai MKN sedang menyemak nama wakil.

Seorang warga emas menerima bantuan.

Mohd Daud Seman, 62,,terima kasih kerajaan.

Abdullah Taib.70.dua orang berpindah.

Isa Tahir, 74,..beli keperluan rumah.

 

156 pelajar cemerlang DUN Seberang Takir dirai

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 156 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima hadiah insentif atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam peperiksaan awam tersebut tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata 109 pelajar cemerlang UPSR serta 47 pelajar cemerlang PMR dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dirai dan diberikan penghargaan.

"Setiap pelajar yang cemerlang dalam UPSR menerima wang tunai RM100 dan sijil penghargaan.

 "Manakala, bagi pelajar cemerlang dalam PMR pula menerima wang tunai RM150 dan juga sijil penghargaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2013 di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Katanya, pemberian wang tunai tersebut adalah sebagai galakan dan sokongan kepada pelajar untuk lebih bersemangat dalam meneruskan pelajaran dan sebagai motivasi untuk terus mengekalkan kecemerlangan.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri turut meminta guru-guru memberikan perhatian sama rata antara semua pelajar.

“Saya menyeru agar guru-guru tidak membezakan layanan terhadap pelajar yang pandai dan kurang pandai kerana setiap pelajar itu sangat bernilai dan mampu menjadi lebih baik sekiranya mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya.

 

Umno Kuala Terengganu perkenal Biro Khas Aduan Awam, kaedah terbaik bantu rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Bahagian Kuala Terengganu memperkenalkan kaedah terbaharu memudahkan bantuan disalurkan kepada rakyat apabila melancarkan Biro Khas Aduan Awam,  di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, kelmarin.

Ketuanya, Datuk Mohd Sabri Alwi, berkata penubuhan biro itu adalah antara inisiatif bagi memberi perkhidmatan secara lebih berkesan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata, biro yang sudahpun memulakan operasi itu membolehkan rakyat mengemukakan sebarang masalah termasuk isu persekolahan anak-anak, perumahan, perbandaran atau mendapatkan bantuan kebajikan disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Walaupun Parlimen ini dikuasai parti pembangkang, ramai rakyat datang jumpa saya mengadu wakil rakyat mereka gagal melaksanakan tugas menyebabkan kita terpaksa mengambil alih tanggungjawab membela kebajikan rakyat.

"Justeru, kita putuskan untuk tubuhkan biro khas ini bagi memberi tumpuan penuh sekaligus membolehkan aduan atau masalah rakyat diselesaikan dengan cepat tanpa melalui banyak karenah birokrasi.

"Selain itu, rakyat juga boleh membuat aduan terhadap masalah yang melangkaui isu setempat dan jika tidak mampu menanganinya kita akan salurkan masalah itu kepada pimpinan lebih tinggi," katanya selepas pelancaran Biro Khas Aduan Awam, di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu. Kelmarin.

Turut hadir, Ketua Wanita dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar dan Dr Najmil Faiz Mohamad Aris.



Mohd Sabri berkata, biro itu akan berperanan sebagai alternatif bagi suara rakyat berikutan kerajaan negeri belum memutuskan untuk meneruskan kewujudan pusat pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Katanya, Umno Kuala Terengganu adalah satu-satunya kepemimpinan peringkat bahagian yang mengambil pendekatan seumpama itu sekaligus membuktikan bahawa UMNO benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua ketua cawangan Umno serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di parlimen ini supaya lebih bertanggungjawab serta mengurarangkan karenah birokrasi ketika berurusan dengan rakyat.

"Jika kita mahu rakyat berubah menyokong Umno, kita perlu berubah terlebih dulu. Berilah perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik," katanya.





Ops Selamat: Tumpu tiga lokasi kerap kemalangan

Oleh: Noraini Jusoh

Polis Terengganu menumpukan perhatian di tiga lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini dalam Ops Selamat 4 sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, tiga kawasan berbahaya berkenaan adalah di kilometer (km) 20 hingga km 26 bagi daerah Marang.

Hulu Terengganu di km 40 Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang dan km 98 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan iaitu Kampung Nyior dan Kampung Tebing Tembah bagi daerah Dungun.

“Pemandu dinasihati supaya lebih berhati-hati di kawasan berkenaan terutama di selekoh,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina (Ops Selamat 4) Peringkat Negeri Terengganu, di Jambatan Sultan Mahmud (Bekas Rumah Tol), semalam.

Majlis perasmian kempen berkenaan telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Zubir Embong.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof.

Menurut Datuk Hamzah, pihaknya kesal kerana masih ramai pengguna jalan raya yang kurang peka terhadap undang-undang jalan raya dan tidak mengamalkan pemanduan secara berhemah sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Malah, lebih ketara lagi melibat golongan belia yang berumur antara 16 hingga 25 tahun di mana sebanyak 125 kes telah direkodkan sepanjang kempen berkenaan tahun lalu.

“Ia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal yang menyebabkan enam kematian,” ujarnya.

Katanya, seramai 210 anggota polis negeri ini terlibat dalam Ops Selamat 4 yang bermula 24 Januari dan berakhir 7 Februari depan.

 

Ops Selamat dilancar sempena Tahun Baru Cina

Oleh: Noraini Jusoh

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina yang menitikberatkan keselamatan di jalan raya dan rumah sepanjang tempoh perayaan tersebut di seluruh negara.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, bagi Negeri Terengganu, pihak polis bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi menjayakan Operasi Selamat 4 yang bermotokan ‘Rumah Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Sempena kempen yang bermula 24 Januari dan berakhir 7 Februari ini, pihak polis ingin memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja selamat dalam perjalanan untuk pualng bercuti tetapi rumah yang ditinggalkan juga berada dalam keadaan selamat.

“Melalui Operasi Selamat 4, kita ingin menyeru masyarakat semua terutama pengguna jalan raya berhati-hati semasa memandu supaya sampai ke destinasi dengan selamat dan kita juga ingin memastikan rumah yang ditinggalkan mereka berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina (Ops Selamat 4) Peringkat Negeri Terengganu, di Jambatan Sultan Mahmud (Bekas Rumah Tol), semalam.

Majlis perasmian kempen berkenaan telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Zubir Embong.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof.

Menurut Datuk Hamzah, setiap pemandu perlu mengamalkan semua etika pemanduan secara berhemah untuk memastikan perjalanan berjalan lancar dan selamat.

“Manakala, bagi yang ingin meninggalkan rumah pastikan maklum kepada pihak polis dibalai-balai berdekatan,”ujarnya.

Katanya, pihak polis mendapat maklum balas positif daripada orang ramai semasa Ops Selamat 2 pada tahun lalu kerana 279 pemilik rumah telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa mereka akan meninggalkan rumah masing-masing dan mengharapkan semakin ramai masyarakat yang prihatin terhadap keselamatan rumah masing-masing.

 

Terengganu atasi nasional

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.98 dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 yang diumumkan hari ini.

Pelajar cemerlang dari Institiut al-Quran Terengganu bersama keputusan masing-masing.

Gred Purata Nasional ialah 3.21, manakala Gred Purata Ngeri (GPN) bagi calon sekolah kerajaan ialah 2.23, iaitu peningkatan 0.14 berbanding tahun sebelumnya (2.37).

Encik Ahmad Shukur ketika mengadakan sidang media mengenai keputusan STAM Terengganu.

Ketua Sektor Pengurusan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Ahmad Shukur Mansor, berkata GPN STAM 2013 adalah yang terbaik dalam tempoh tiga tahun.

 “Bagi tempoh tiga tahun bermula 2011, GPN merekodkan 2.54, meningkat pada 2012 kepada 2.37 dan terbaru, 2.23.

 “Sementara itu, pencapaian individu pula seorang calon mendapat keputusan 10 mumtaz, Amjad fakhri At Tamimi Ismail dari Institut al-Quran Terengganu (IQT),” katanya kepada pemberita di JPNT, Kuala Terengganu.

Ahmad Shukur berkata, daripada 124 calon menduduki STAM pada 2013, sekolah agama kerajaan (45), institusi kerajaan negeri (46) dan calon persendirian (33).

“Keputusan STAM pada kali ini merekodkan 12 calon berjaya memperolehi keputusan keseluruhan cemerlang, masing-masing enam dari sekolah agama kerajaan dan enam lagi sekolah agama negeri,” katanya.

Menurutnya, daripada 45 pelajar dari Sekolah Menengah Agama (A) Sultan Zainal Abidin, enam atau 13.33 peratus mendapat mumtaz (cemerlang), sementara 23 (jayyid jiddan) dan 16 (jayyid).

Selain itu, daripada 28 pelajar dari Institut al-Quran Terengganu, enam atau 21.43 peratus daripadanya memperolehi mumtaz, 14 (jayyid jiddan) dan masing-masing tujuh (jayyid) dan seorang (rasib).


Terengganu terima 20 guru ETA

Oleh: Suriati Ali 

 Seramai 20 daripada 100 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) telah dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu.

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib, berkata program itu merupakan tahun ke sembilan Terengganu mendapatkan khidmat guru ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

 Menurutnya, bagi program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit. Antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar; SMK Tengku Bariah; SMK Seberang Takir dan SMK Wakaf Tapai.

"Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak tahun 2006 lagi.

"Bezanya tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)," katanya.

 ETA adalah program jalinan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS. Kumpulan 100 guru ETA itu tiba di negara ini awal Januari lalu dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan.

 Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan. “Kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA, pada setiap tahun,” katanya.

 

UMNO Kuala Nerus Rai Masyarakat Cina



UMNO Bahagian Kuala Nerus mengagih hamper kepada masyarakat Cina sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut esok.

 Ketuanya, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program itu merupakan tradisi yang diadakan pihaknya pada setiap tahun menjelang perayaan tersebut.

 "Sumbangan itu diagihkan kepada masyarakat Cina di Parlimen ini sebagai simbolik untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri.

 Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan hamper kepada masyarakat Cina bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Pejabat UMNO Kuala Nerus, semalam.






PEMERGIAN AHMAD SAID KE ANTARTIKA MENEPATI AJARAN ISLAM- KATA PENASIHAT AGAMA KEPADA PERDANA MENTERI


Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr.Abdullah Md Zin menyokong penuh lawatan kerja Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke Antartika berasaskan tuntutan dalam Islam. Ketika ditemubual Pengarang Teganukita semalam,  Tan Sri Dr Abdullah yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, mengembara, mencari ilmu dan pengalaman, apatah lagi bersama saintis membuat penyelidikan adalah budaya Islam sejak dahulu lagi, bukan sahaja di masa Nabi Muhammad s.a.w, bahkan nabi-nabi sebelumnya.
  Beliau kemudiannya menyebut ayat Al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya kemudian Allah memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu.  Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
 Tan Sri Dr. Abdullah juga meminta umat Islam merujuk kepada Rehlah Ibn Battuta (Abu Abdullah Muhammad Ibn Battuta) yang diiktiraf sebagai pengembara paling cemerlang dalam sejarah manusia.
  Difahamkan Ibn Battuta mengembara sejauh lebih kurang 117,000 kilometer selama hampir 30 tahun. Penjelajahannya meliputi daerah yang sekarang merupakan Afrika Barat hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China, jarak yang jauh lebih hebat dari Marco Polo yang hidup hampir seera dengan beliau.
  Tan Sri Dr.Abdullah yang baru sahaja diamanahkan oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) berkata, umat Islam seharusnya melihat usaha yang dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu itu sebagai positif dan menepati ajaran Islam.