Halaman

02 December 2013

Jangan diskriminasi pesakit HIV

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Terengganu terpilih menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 yang bertemakan ‘Menuju Sifar’.

Selari dengan sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember setiap tahun, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung Yayasan AIDS Malaysia telah menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih menarik, majlis anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu itu turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa duta selebriti riben merah seperti Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Hafiz Hamidun, Bob Yusof (AF), Najwa Latiff dan Dayang Nurfaizah.

Pelakon terkenal, Fahrin Ahmad berkata, tahun ini cukup menarik kerana Hari AIDS Sedunia disambut secara besar-besaran di Kuala Terengganu dan mendapat sokongan padu duta selebriti riben merah yang lain.

 “Saya amat terharu dan berbangga dengan sokongan semua rakan artis terutama yang bersama dengan Majlis AIDS Malaysia kerana sanggup turun padang untuk menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada golongan masyarakat berkaitan HIV/AIDS.

“Bukan kami sahaja sebagai artis, saya juga berharap ahli masyarakat yang pelbagai latar belakang tidak kira golongan agama, ahli akademik mahupun para pelajar dapat bersama-sama berkongsi maklumat berkenaan HIV/AIDS ini dengan orang lain,” ujar Fahrin yang telah empat tahun menjadi duta selebriti riben merah.

Fahrin berkata, selebriti sokongan riben merah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan berbilang bangsa dan sumbangan mereka kepada masyarakat juga adalah pelbagai.

 “Bagi saya sendiri, kebanyakan yang saya lakukan ialah berkongsi kisah-kisah pengalaman yang diceritakan pesakit HIV/AIDS dengan masyarakat.

“Sebagai selebriti, dengan pengaruh dan peminat yang kami ada, kami harapkan dapat menjadi orang tengah dalam menyampaikan mesej yang cuba disampaikan oleh Majlis Aids Malaysia dan mereka yang menghidap HIV/AIDS kepada masyarakat dengan lebih efektif lagi,” katanya.

Fahrin turut memgharapkan masayarakat di luar sana tidak mendiskriminasi mereka yang hidup dengan HIV/AIDS.

Sementara itu, hero filem Ombak Rindu, Aaron Aziz berkata, hampir dua tahun menjadi duta selebriti riben merah memberinya banyak peluang untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Program ini sangat bagus kerana banyak memberi pendedahan kepada masyarakat terutama maklumat berkaitan HIV/AIDS,” ujarnya.

 

01 December 2013

Pengerusi Biotech terima ijazah kedoktoran kehormat dari UniSZA

Pengerusi Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) Prof Emeritus Dato' Seri Zakri Abdul Hamid dianugerah ijazah kedoktoran kehormat dalam Bioteknologi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sempena konvokesyen kelima universiti itu di Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Seri Zakri yang juga Pengerusi bersama Kumpulan Teknologi Tinggi Industri -Kerajaan Malaysia (MIGHT), berkata beliau berbesar hati dan berterima kasih kepada UniSZA atas penganugerahan ijazah kedoktoran kehormat itu sebagai menghargai kerja-kerjanya dalam bidang bioteknologi.

"Banyak lagi yang perlu dilakukan, dan saya sangat yakin bahawa menerusi sokongan institusi pengajian tinggi seperti UniSZA, kita boleh merealisasikan potensi sebenar dalam bidang ini," katanya dipetik berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MIGHT.

Dato' Sri Zakri yang baru-baru ini merupakan antara 26 tokoh yang dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Saintifik Setiausaha Agung PBB, melakar sejarah apabila dipilih sebagai Pengerusi pertama Platform Dasar Sains mengenai Biokepelbagaian dan Perkhidmatan ekosistem Antara Kerajaan PBB.


Yusof Noor dilantik Pro-Canselor pertama UniSZA

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Datuk Dr. Mohd. Yusof Noor dilantik secara rasmi sebagai Pro-Canselor UniSZA yang pertama sempena Istiadat Konvokesyen UniSZA Kali Kelima di Taman Tamadun Islam, semalam.

Pelantikan tersebut mendapat perkenan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA.

Yusof yang juga bekas Pengerusi Majlis Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) berkata, pelantikan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar baginya.

Menurutnya, penghargaan yang diberikan Tuanku Canselor itu amat dihargai dan beliau bersedia memberi komitmen sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti universiti berkenaan.

Tambah beliau, pelantikan itu juga ibarat sirih pulang ke gagang kerana sejarah penubuhan pusat pengajian tinggi tersebut bukan asing kepada beliau yang sebelum ini merupakan Pengerusi Kusza.

 



MARA anjur mini pesta kahwin

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Amanah Rakyat (MARA) Terengganu akan menganjurkan Mini Pesta Kahwin di Plaza D’Mara Kuala Terengganu pada 8 sehingga 12 Disember ini.

Pelbagai acara menarik menanti pengunjung antaranya pertandingan gubahan bunga, solekan, menjahit, ukuran buah-buahan, karaoke dan banyak lagi.

Program berkenaan diadakan sempena cuti sekolah berikutan ramai yang memilih untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh itu.

Seluruh rakyat Terengganu dialu-alukan hadir memeriahkan pesta berkenaan sekali gus menyertai pertandingan yang disediakan penganjur.

 

25 negara sertai Terengganu Rainforest Challenge

Oleh: Suriati Ali 

Seramai 500 peserta pacuan empat roda dari 30 buah negara menyahut cabaran Terengganu Rainforest Challenge 2013 selama 10 hari bermula, semalam (30 November).



Acara pelepasan peserta yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafie di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

 Peserta akan melalui beberapa kawasan berliku, termasuk di Gong Chempedak, Hutan Rezab Merchang, Marang; Hutan Rezab Besul, laluan terakhir Hutan Rezab Sungai Nibong, Hulu Kemaman;
.


Sebanyak 25 negara menyertai sukan lasak itu, termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Fliphina, Poland, United Kingdom, Vietnam, China, Australia dan Colombia. Program kali kelima anjuran kerajaan negeri ini turut disertai 50 wakil media dari 13 buah negara.

Dato' Mohd Jidin, berkata acara itu merupakan pengembaraan yang terpanjang dan paling sukar di dunia kerana diadakan pada musim tengkujuh dan peserta akan menempuhi cuaca yang tidak menentu serta hujan dan ia menjadikan pengembaraan ini pasti lebih sulit dan mencabar,.



. “Rainforest Challenge sebelum ini turut dianjur beberapa negeri dan Terengganu pernah menganjurkannya pada 2005, 2007, 2008 dan 2011. ‘Program itu dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan destinasi pelancongan Terengganu ke luar negara melalui liputan media luar,” katanya.

 






KBS harap Terengganu terus taja LTdL


Kementerian Belia dan Sukan berharap kerajaan negeri Terengganu dapat terus bersama dalam penajaan kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Menterinya, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata bagaimanapun Terengganu perlu memberi jawapan muktamad dalam masa terdekat sama ada mahu menarik diri atau meneruskan tajaan mereka, bagi menentukan laluan kejohanan itu nanti.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said telah menyatakan hasrat bahawa kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tajaan RM2 juta bagi kejohanan itu tahun depan berikutan kegagalan negeri mendapatkan hak penganjuran beberapa acara sukan seperti menjadi venue kepada acara lumba basikal Sukan SEA 2017 dan Piala Monsun tahun depan.

YB Khairy berkata jika Terengganu tidak mahu lagi terlibat dalam LTdL, pihaknya terpaksa menamatkan laluan acara itu yang dijangka di Kuala Lumpur.

"Setakat ini kita ada dua alternatif. Satu yang tamat di Terengganu dan satu lagi kalau Terengganu tak nak terlibat, kita terpaksalah tamatkan di Kuala Lumpur. Jadi LTdL kena lalu dari Johor, Pahang dan kena patah balik ke Lembah Klang.

 "Bagi saya, kita (KBS) tidak ada masalah dari segi laluan tetapi pilihan saya adalah lebih baik laluan Terengganu dikekalkan sebagai vanue terakhir acara itu," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Piala Monsun di Pulau Duyong di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut YB Khairy, Terengganu telah banyak melahirkan jaguh berbakat besar dalam arena berbasikal dan pihaknya akan memberi pertimbangan terbaik untuk negeri itu menjadi lokasi venue sukan berbasikal pada temasya Sukan SEA 2017 sekiranya Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.



1,444 graduan UniSZA terima ijazah dan diploma


Sejumlah 1,444 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menerima ijazah dan diploma pada istiadat Konvokesyen UniSZA kali ke-5 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu yang berlangsung selama dua hari sejak semalam.

Naib Canselornya, Profesor Dr Yahaya Ibrahim berkata daripada jumlah itu, tiga graduan merupakan penerima ijazah Doktor Falsafah, 11 penerima Sarjana Sains, 10 penerima Sarjana Sastera, 659 penerima Ijazah Sarjana Muda manakala 761 graduan penerima Diploma.

Beliau berkata kesemua graduan itu dari lapan fakulti yang terdapat di UniSZA antaranya Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan, Fakulti Pertanian Bioteknologi dan Sains Makanan serta Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa.

"Pada istiadat konvokesyen kali ini juga, buat julung kalinya satu anugerah ijazah kehormat iaitu Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Bioteknologi akan dianugerahkan kepada seorang individu, tetapi namanya kita rahsiakan dahulu," katanya.


YB bantu naiktaraf kelas KAFA.

Seorang murid menerima hadiah daripada Bazlan.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BATU RAKIT: Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit akan berusaha untuk mendapatkan dana bagi menaiktaraf bangunan Pusat Pegajian Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Kampung Bukit Cempaka di sini, yang kini kurang lengkap dan bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah.

Berucap ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah kepada murid cemerlang sekolah itu, kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pihaknya memandang berat mengenai permasalah itu dan akan berusaha membantunya.

“Mengenai kelas ini yang agak kurang lengkap ini, kita akan cuba baikpulih. Kita berpakat-pakat cuba cari dana untuk membaikpulihnya. Pihak pengurusan sekolahpun perlu juga mencari ruang-ruang seperti meminta bantuan MAIDAM.

Bazlan bersama Hamzah (dua dari kiri) dan Mohd Ali (berucap)
“Saya akan cuba membantu dan memberi sokongan terhadap permohonan peruntukan untuk membaiki kelas ini ataupun di mana-mana jika saya ada ruang, saya akan bercakap dan saya akan mintak supaya kelas ini dinaiktaraf untuk kemudahan anak-anak kita semua,” katanya.

Sementara itu, seramai kira-kira 10 murid pusat pengajian itu menerima hadiah kecermelangan masing-masing yang disampaikan oleh Bazlan.

“Tahniah kepada yang berjaya dan moga-moga dengan didikan agama yang diberikan dapat menjadikan akhlak yang lebih sempurna. Saya turut berharap agar kelas fardhu ain ini akan dapat diteruskan dengan lebih berjaya pada masa hadapan,” kata Bazlan.

Turut hadir ialah Hamzah Harun, Penyelia Kafa, Yayasan Islam Terengganu Daerah Setiu dan Guru Besar Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Kampung Bukit Chempaka, Mohd Ali Abdullah.
Pengacara majlis.
Hadir..sebahagian murid hadir memeriahkan majlis.

 

Teganukita 91

TeganuKita91


Pemegang Ijazah Perikanan Tanam Rock Melon.

Hanif di ladang rock melonnya.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

MINAT mendalam dalam bidang pertanian mendorong seorang siswazah dari Kampung Tok Dor, Besut, Terengganu menceburi bidang penanaman rock melon biarpun pada mulanya beliau tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang penanaman buah itu yang mengunakan teknik fertigasi.

Mohd Hanif Amali, 26 pemegang ijazah dalam Bidang Perikanan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, nekad untuk menyertai projek Usahawantani Siswazah di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) Wilayah Timur, Tok Dor dengan meninggalkan projek pertamanya mengusahakan ternakan air tawar di kampung halamannya di Perak.

"Selepas tamat belajar di UMT, saya pulang ke kampung di Teluk Intan, Perak dengan mengusahakan ternakaan air tawar tetapi selepas berkahwin saya mengambil keputusan untuk ke Terengganu mengikuti isteri saya bekerja di Terengganu, dia juga orang Terengganu dengan membuka sebuah kedai di Kampung Tok Dor, Besut.

"Semasa berada di Kampung Tok Dor inilah saya mendapat tahu tentang projek Usahawantani Siswazah bawah Jabatan Pertanian yang diadakan di PLPP di sini.

"Saya begitu berminat terus memohon untuk menyertainya dan saya bersyukur kerana terpilih dan saya mula mengusahakan projek penanaman rock melon ini pada Jun 2011 lalu," katanya yang juga suami kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiu, Norfuzilawati Yusoof.

Mohd Hanif...minat pertanian
Hanif berkata, ketika mula-mula menyertai projek penanaman rock melon itu, beliau agak kekok mengusahakanya kerana bidang fertigasi itu adalah satu pengalaman baru baginya kerana dia belajar dalam bidang perikanan.

"Mula-mula agak kekok juga kerana banyak perkara baru yang saya pelajari kerana penanaman pokok ini tidak mengunakan tanah tetapi ianya mengunakan habuk kelapa tetapi lama-lama ia menjadi mudah malah teknik penanaman ini jauh lebih mudah dari penanaman biasa di atas tanah. 

"Setiap peserta mendapat empat bangsal penanaman yang boleh muat kira-kira 6,000 pokok semusim. Seramai lapan orang terlibat dengan Usahawantani Siswazah ini di sini," katanya. 

Menurut Hanif, dia lebih bersemangat apabila pada musim pertama pengeluaran, projek yang disertainya itu membuahkan hasil yang begitu memuaskan.

"Saya tidak mempunyai banyak masalah dengan penanaman buah 'rock melon' ini. Tanaman ini dilakukan sebanyak tiga kali dalam setahun iaitu pada Januari hingga Mac, Mei hingga Ogos dan bulan September hingga Disember. Pemasaran dilakukan oleh Jabatan Pertanian sendiri.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan khususnya Jabatan Pertanian kerana banyak membantu saya menjayakan projek ini." katanya yang kini memperolehi pendapatan bersih lebih RM3,000 sebulan itu.

Lazat...buah rock melon yang masak.
Segar..buah yang belum masak.

Hijau..ladang fertigasi Mohd Hanif.
Bantu...Nur Fuzilawati turut membantu.