Halaman

20 October 2013

Bersama teguhkan UMNO-Bazlan.


Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Bazlan..mahu khidmat untuk parti.
SETIU: Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu yang baru, Bazlan Abdul Rahman akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Setiu dalam menentukan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional untuk terus mentadbir daerah Setiu.

Bazlan yang mendapat majoriti sebanyak 326 undi dalam pemilihan UMNO Setiu semalam itu, berkata kerjasama erat antara kepimpinan dengan peringkat bawahan parti mampu memperteguhkan lagi UMNO Setiu daripada sebarang kemelut yang boleh mengugat kedudukan UMNO di kalangan rakyat.

"Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kepimpinan UMNO Setiu dalam melaksanakan agenda parti. Kita satukan semula barisan bagi mempastikan UMNO dan Barisan Nasional akan terus mendapat tempat di hati rakyat," katanya yang sebelum ini memegang jawatan AJK Bahagian itu

Bazlan berkata, jika dahulu parti yang memanggilnya untuk berkhidmat, kini tugasnya pula untuk berkhidmat untuk parti melalui tugas barunya sebagai orang ketiga terpenting dalam UMNO Setiu iaitu jawatan Naib Ketua Bahagian.

"Saya akan memikul tugas ini dengan sebaik mungkin demi untuk UMNO dan rakyat Setiu keseluruhannya. Apa yang lebih penting ialah rakyat akan mendapat manafaat dari tugasan yang akan saya lakukan," kata Adun kawasan Batu Rakit itu.

Sementara itu, Bazlan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada mesyuarat pemilihan semalam, menurutnya, soal kalah atau menang tidak lagi wujud selepas tamatnya mesyuarat pemilihan itu demi untuk perpaduan UMNO.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada semua perwakilan dari semua cawangan yang hadir dan tahniah kepada semua AJK yang berjaya manakala kepada yang tidak terpilih, teruskan setia berkhidmat kepada parti supaya UMNO Setiu akan tetap teguh dan sentiasa mendapat tempat di hati rakyat," katanya

.

MB bangga pencapaian terkini TATIuC

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, bangga dengan pencapaian Kolej Universiti Tati (TATiUC) yang kini berjaya mengukir nama di peringkat lebih tinggi dan mencatatkan pengambilan pelajar baru tertinggi 1,000 orang pada sesi pengajian baru tahun ini.

Beliau berkata, bagi pengambilan pelajar baru tahun ini kira-kira 1,000 orang telah mendaftar bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah dan diploma di TATIuC.

“Pada tahun ini seramai 800 pelajar telah memasuki TATIuC bagi mengikuti pengajian peringkat diploma manakala 200 orang peringkat ijazah. Ini merupakan rekod kemasukan pelajar tertinggi sejak institusi pengajian ini ditubuhkan,” katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Dewan Canselor & Pelancaran Program My-Tree di kampus TATIuC di Telok Kalong, hari ini.
\

Selain itu, katanya, TATIuC juga telah berjaya menubuhkan pasukan TATIuC Racing Team yang telah mengharumkan nama kolej berkenaan sebagai sebuah Kolej Universiti Teknikal yang terkenal dengan reka bentuk produk dan pembuatan di negara ini.

Lebih membanggakan pasukan berkenaan berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dalam Formula Varsity UTeM dan juara keseluruhan Kejohanan Formula Y anjuran Kementerian Belia dan Sukan 2013 apabila mengalahkan 24 buah jentera lain yang turut menyertai pertandingan berkenaan.

Beliau berkata, pasukan itu juga berjaya menjadi juara keseluruhan dalam Kejohanan Formula UniMAP baru-baru ini yang disertai lebih 30 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara di Litar UniMAP Perlis dan juara IPMA Race 2013 di Melaka.

“Semua kejayaan yang dicapai oleh TATIuC ini dan kemasukan pelajar yang luar biasa menjadi landasan kukuh kepada hasrat menjadikan kolej ini sebagai universiti penuh dalam tempoh terdekat,” ujar beliau.

Bangunan Dewan Canselor TATIuC bernilai RM17 juta uang dirasmikan hari ini mampu memuatkan 2,000 pelajar dan digunakan secara rasmi pada 30 Jun lalu sempena pendaftaran baru sesi kemasukan 2013/2014 dan Majlis Konvokesyen TATIuC kali ke-7 pada 28 September lalu.

“Pembinaan dewan ini amat bertepatan sekali dengan penambahan pelajar TATIuC yang semakin bertambah,” katanya. Kini TATIuC mempunyai 3,000 pelajar yang mengikuti 14 program diploma dan sembilan program ijazah.

Menteri Besar berkata, pihak pengurusan TATIuC dengan dibantu kerajaan negeri akan menambah pelbagai kemudahan seperti asrama tambahan dan kompleks sukan untuk kemudahan dan keselesaan pelajar di masa depan.

“Kerajaan negeri berharap TATIuC akan meraih kejayaan lebih besar di masa depan bagi menarik lebih ramai pelajar memohon untuk melanjutkan pelajaran di sini,” katanya.

 

Enam muka baharu terajui Umno di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Proses Pemilihan Umno 2013 di lapan bahagian di negeri ini menyaksikan transformasi kepimpinan besar-besaran apabila enam muka baharu memenangi pertandingan merebut jawatan ketua Umno bahagian bagi penggal 2013-2016.

Daripada enam bahagian yang mendapat ketua baru, tiga daripadanya ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) iaitu Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Kuala Nerus), YB A Latiff Awang (Marang) dan YB Nawi Muhamad (Besut).

Muka baharu lain yang turut diberi mandat menerajui bahagian ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari (Hulu Terengganu); Dato’ Din Adam (Dungun) dan Dato’ Mohd Sabri Alwi (Kuala Terengganu).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu, Dato’ Muda Mamat, berkata dua ketua bahagian yang mengekalkan jawatan mereka bagi pemilihan kali ini ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (Kemaman) yang memperolehi majoriti undi paling tinggi dengan mengumpul 753 undi berbanding pencabar beliau, Mat Dalam yang hanya mendapat 41 undi.


Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Mohd Jidin Shafee (Adun Permaisuri) menewaskan pencabarnya, Datuk Mamat Ghazali dengan majoriti 314 undi untuk kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Setiu.

 “Daripada keseluruhan pertandingan, enam bahagian mengalami transformasi kepimpinan apabila jawatankuasa tertinggi bagi ketua bahagian, timbalan ketua dan naib ketua beralih kuasa kepada kepimpinan baru.

 “Pada pandangan saya, peralihan itu menyaksikan akar umbi mahukan suatu transformasi dalam kepimpinan di setiap bahagian sebagaimana dengan perubahan pemilihan sayap-sayap Umno pada minggu lalu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, hari ini.

Dato’ Muda berkata, keputusan pemilihan Umno itu juga dilihat mampu memperkasakan lagi Umno di peringkat bahagian, selari dengan perubahan di peringkat Pusat sebagai  satu langkah bagi memperkasakan lagi parti Melayu itu.


Y.B Latiff menang Ketua UMNO Bahagian Marang

Oleh : Amirullah Othman 

Perebutan Jawatan Ketua Umno Bahagian Marang yang melibatkan empat penjuru antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Y.B. A. Latiff Awang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Dato’ Dr. Latiff Awang dan Zainal Alang Abdul Rahman menyaksikan kemenangan berpihak kepada Y.B. A. Latiff. Beliau yang memperolehi 596 undi mangetepikan penyandang jawatan, Dato’ Yahya yang meraih 477 undi manakala Dato Dr Latiff mendapat 75 undi.

Seorang lagi pencabar, Zainal Alang tidak mendapat sebarang undi. Proses pengundian bagi pelbagai jawatan Umno Marang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir dengan proses pengiraan undi jam 2 pagi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, menyaksikan Haji Nik Dir Nik Wan Ku iaitu Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar telah dipilih sebagai pemenang dengan memperoleh undi sebanyak 532 undi mengalahkan Haji Alias Abdullah yang memperolehi 290 undi manakala Dato’ Razali Idris mendapat 271 undi.

Jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula dimenangi Haji Saiful Bahari Dato’ Baharuddin yang juga merupakan Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Terengganu dengan memperolehi 477 undi, manakala lawannya Dato’ Tengku Zainuddin memperolehi 291 undi, Encik Rozi bin Mukhtar 257 undi dan Encik Razak Mat Amin memperolehi 53 undi.

Bagi pemilihan perwakilan ke Kuala Lumpur (G7) telah dimenangi oleh Anuar Yahya, Dato’ Abdul Rahman Bakar, Abdul Muttalib Samion, Latef Mohd Noor, Marina Endut, Aidi Ahmad dan Zulfazli Rozi.

Pemilihan Y.B. A. Latiff Awang sebagai ketua bahagian pada pemilihan kali ini sebagai satu isyarat warga UMNO Marang yang mahukan perubahan bagi memastikan Marang menjadi sebuah daerah yang beridentiti dan bertransformasi.

Beliau dilihat mampu mengubah lanskap politik di Marang dengan suntikan semangat baru dan lebih bertenaga di mana pada PRU ke-13 yang lepas hanya DUN Pengkalan Berangan yang diwakilinya sahaja dimenangi Barisan Nasional (BN).

Justeru itu, Pengerusi jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat itu bukan sahaja bertekad mengekalkan kerusi yang di sandang, tetapi mahu mengeembalikan semua kerusi yang ditawan oleh pembangkang dalam PRU 13 baru-baru ini.

Sebagai wakil tunggal Barisan Nasional di Marang, beliau akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin dalam memperjuangkan inspirasi dan keluhan rakyat di peringkat akar umbi.

Selain itu, beliau juga inginkan perhatian khusus di daerah ini terutamanya dalam bidang ekonomi , politik, pendidikan dan pelancongan dalam kalangan masyarakat yang amat diperlukan sekarang.

Suatu kejayaan memerlukan pengorbanan besar

Oleh: Noraini Jusoh

“Seperti selalu orang cakap, suatu kejayaan memerlukan pengorbanan besar dan bagi saya, untuk berjaya memerlukan usaha yang lebih. Kalau orang lain usaha sepuluh kali ganda kita kena usaha lebih lagi,” kata penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen kali ke-11 Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Raveca A/K Ridi, 24.

Pencapaian cemerlang gadis kelahiran Sarawak itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85 membolehkan beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah pada majlis konvokesyen sesi pertama berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, semalam.

Raveca berkata, kedua ibu bapa serta ahli keluarga banyak memberi dorongan sehingga beliau berjaya muncul sebagai pelajar terbaik.

"Perasaan saya sungguh gembira dan terharu dengan kejayaan ini. Segala usaha gigih saya berbaloi apabila menjadi salah seorang penerima anugerah pada hari yang amat bermakna ini.Terima kasih saya ucapkan khususnya kedua ibu bapa yang banyak memberi dorongan,” ujar graduan yang bergiat aktif dalam aktiviti kepimpinan dan persatuan di peringkat universiti mahupun negeri kelahirannya itu.

Menurut Reveca, beliau ingin menimba pengalaman bekerja terlebih dahulu sebelum berhasrat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada majlis konvokesyen yang turut menerima keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan pengurniaan dua anugerah istimewa iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid manakala Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dianugerahkan kepada Tan Sri Dato’ Dr Mohd Yusof Md Noor.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan 1962 orang graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing, iaitu 15 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 114 penerima Ijazah Sarjana, 1727 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dan 106 penerima Diploma.

Sementara itu, Ng Bee Yin yang turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja mendedikasikan kejayaan yang dirangkul terhadap kedua ibu bapanya.

Anak kelahiran Perak yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 itu berterima kasih kepada kedua ibu bapanya yang sangat memahami minat beliau dan menyokong apa sahaja yang dilakukan.

"Saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa kerana memberi sokongan terhadap apa yang saya buat. Bidang pemuliharaan yang saya pilih bukanlah bidang popular tetapi mereka tetap menyokong saya untuk menghabiskan pengajian kerana memahami minat saya terhadap bidang ini,” kata graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti yang aktif menyertai aktiviti debat ketika di universiti.

Bagi penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Nur Nadjla Ahmad Razei ,24, beliau melahirkan raya syukur dengan kejayaan yang dikecapinya.

Anak kelahiran Sri Serdang, Selangor yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82 itu berkata, beliau tidak pernah terfikir akan dikurniakan anugerah berkenaan.

"Semasa pengajian, saya menyertai aktiviti yang saya suka dan alhamdulillah pihak universiti menghargai apa yang saya lakukan,” ujar graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) yang juga bekas penari kebudayaan UMT yang turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan ketika di universiti.

Nur Nadjla berkata, beliau tidak mempunyai rahsia kejayaan khusus tetapi memberi tumpuan sepenuhnya dan fokus terhadap apa yang diajar pensyarah ketika kuliah dan sewaktu membuat ulangkaji.

"Apabila tiba musim peperiksaan, saya akan betul-betul fokus terhadap apa yang diulangkaji. Saya seorang yang tidak boleh belajar lama dan disebabkan itu lebih suka belajar apabila tidak tertekan dan fokus terhadap apa yang dilakukan,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir (kontrak) di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada majlis konvokesyen berkenaan, dua anugerah lain iaitu Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (Bidang Sains) turut dianugerahkan kepada graduan Doktor Falsafah (Penyelidikan) Sains Matematik, Dr. Mohd Rivaie Mohd Ali manakala Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (Bidang Sains Sosial) pula dianugerahkan kepada graduan Sarjana Sains Perakaunan (Penyelidikan), Jaya Kumar Shanmugam.


 

Nik Danya, AJK mahu kuatkan UMNO Setiu.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Nik Danya Nik Abdul Rahman.
SETIU: Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiu yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan UMNO Setiu, semalam, Nik Danya Nik Abdul Rahman, mahu bekerja lebih kuat lagi untuk memantapkan UMNO supaya Barisan Nasional terus mentadbir daerah Setiu.

Nik Danya, 52, memperolehi undi sebanyak 767 itu, berterima kasih kepada semua perwakilan yang hadir pada pemilihan semalam kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan dalam UMNO sebagai ahli jawatankuasa.

“Ini adalah satu amanah untuk saya meneruskan agenda parti dan saya akan pegang amanah ini demi untuk UMNO dan penduduk Setiu keseluruhannya. Barisan (AJK UMNO Setiu)  inilah akan bekerja keras untuk UMNO Setiu bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Setiu itu.

Nik Danya dari Dun Permaisuri itu, menganggap ‘perlawanan’ sudah selesai dan semua ahli UMNO perlu kembali bersatu supaya UMNO Bahagian Setiu terus mantap dan stabil.

“Slogan ‘meremajakan’ UMNO perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak dalam UMNO bagi menarik lebih ramai golongan muda dan remaja menyertai UMNO demi masa depan UMNO itu sendiri kerana lambakan maklumat melalui media siber banyak mempengaruhi golongan muda hari ini.

“Kami barisan AJK akan memberi sokongan padu kepada pemimpinan UMNO Setiu untuk menjayakan segala perancangan dan agenda parti demi untuk keutuhan UMNO dan kemajuan seluruh penduduk di daerah Setiu,” katanya yang aktif dalam UMNO sejak hampir 30 tahun itu.


Sultanah Terengganu mencemar duli lancar buku Keropok Lekor Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh



Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan mencemar duli melancarkan buku Keropok Lekor Terengganu terbitan Penerbit UMT.

Turut berangkat mencemar duli menyaksikan pelancaran buku tersebut ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Buku yang dihasilkan Prof. Madya Dr. Noraien Mansor itu dilancarkan sempena Majlis Santapan Konvokesyen UMT kali ke-11 yang diadakan di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman; Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus serta Naib Canselor UMT, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.

Turut hadir, Ahli-Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UMT, buku Keropok Lekor Terengganu adalah dokumentasi khas warisan kebanggaan masyarakat negeri Terengganu.

Buku tersebut merungkai proses penghasilan keropok lekor di negeri ini daripada lokasi pendaratan ikan hinggalah ke peringkat pemasaran di peringkat global.

Ia juga memberi tumpuan kepada hasil penyelidikan penyelidik UMT berkaitan industri keropok lekor di Terengganu.

 

Graduan cemerlang UMT terima anugerah

 Oleh: Noraini Jusoh

Sudah menjadi tradisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan graduan cemerlang sebelum berlangsungnya majlis konvokesyen pada setiap tahun.
Seramai 36 graduan UMT menerima anugerah kecemerlangan yang merupakan pengiktirafan kepada usaha mereka dalam mengharumkan nama universiti yang diadakan sehari sebelum majlis konvokesyen bertempat di Auditorium Mahyuddin, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UMT.

Naib canselornya, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo (gambar) berkata, anugerah tersebut merupakan anugerah tahunan yang diberi oleh UMT kepada graduan berdasarkan kecemerlangan graduan secara holistik.

“Penerima anugerah dipilih berdasarkan kriteria tertentu seperti kecemerlangan pelajar dalam akademik, bidang kokurikum serta sahsiah diri," katanya dalam sidang media di Majlis Anugerah Graduan Cemerlang UMT 2013, baru-baru ini.

Katanya, selain menghargai jasa dan sumbangan pelajar kepada universiti, anugerah itu juga diharap dapat menjadi perangsang kepada mahasiswa lain.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Zaharudin Idrus.

Sebanyak dua kategori anugerah diberi oleh UMT iaitu Anugerah Naib Canselor yang disampaikan kepada 10 penerima dan Anugerah Fakulti untuk 26 graduan.

Hadiah berbentuk sijil penghargaan dan pingat diberikan kepada penerima Anugerah Naib Canselor manakala cek bernilai RM500, sijil penghargaan dan pingat diberikan kepada penerima Anugerah Fakulti.
Graduan Sarjana Muda Kuanseling, Mazzaid Mazelan, 25, berkata, perasaannya sungguh terharu apabila dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Naib Canselor.

“Segala penat lelah dan kerja kuat saya sepanjang bergelar pelajar berbaloi apabila menerima anugerah ini.

"Walaupun selalu mengulangkaji pelajaran di saat akhir kerana mengutamakan tanggungjawab terhadap aktiviti kepimpinan dan persatuan, saya bersyukur kerana tersenarai sebagai salah seorang penerima anugerah,” ujarnya yang berjaya mendapat CGPA 3.1 walaupun memegang beberapa jawatan penting universiti.

Sepanjang pengajian di UMT, Mazzaid yang kini berkhidmat di Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya pernah menyandang beberapa jawatan antaranya sebagai Timbalan Pengarah Program Intergrasi 1Malaysia Kepimpinan Pelajar di Korea Selatan, Sekretariat Majlis Perwaklian Pelajar UMT Sesi 2010/2011, Timbalan Presiden 1 Kelab Pengurusan Kaunseling (PEKA) Sesi 2010/2011 serta Exco Latihan dan Perhubungan Korporat Kelab Gemersik.





Pemilihan Umno 2013

Oleh: Aida Abd Rahman 

Bahagian Kemaman 

Ketua
Dato’ Seri Haji Ahmad Said

Timbalan Ketua
Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek

Naib Ketua
Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid

Bahagian Kuala Nerus

Ketua
Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman

Timbalan Ketua
Dato’ Basir Ismail

Naib Ketua
Apli Yusoff

Bahagian Besut

Ketua
YB Nawi Muhamad

Timbalan Ketua
YB Mohd Mahdi Musa

Naib Ketua
Dato’ Seri Haji Idris Jusoh

Bahagian Setiu

Ketua
Dato’ Mohd Jidin ShafEe

Timbalan Ketua
Dato' Sabri Mohd Noor

Naib Ketua
YB Bazlan Abdul Rahman

Bahagian Kuala Terengganu 

Ketua
Datuk Mohd Sabri Alwi

Timbalan Ketua
Dato’ Wan Hisham Wan Salleh

Naib Ketua
Badrul Hisham Zaki

Bahagian Dungun

Ketua
Dato’ Din Adam

Timbalan Ketua
YB Roslee Daud

Naib Ketua
Datuk Matulidi Jusoh

Bahagian Marang 

Ketua
YB A Latiff Awang 

Timbalan Ketua
Nik Dir Nik Wan Ku

Naib Ketua
Saiful Bahri Baharuddin

Bahagian Hulu Terengganu 

Ketua
YB Dato’ Jailani Johari

Timbalan Ketua
 YB Rozi Mamat

Naib Ketua
Yusof Awang Hitam

 

MB Kekal Terajui Bahagian Kemaman

Oleh : Kamarudin Mat Akib dan Nurul Aziella Saberi

Ketua UMNO Bahagian Kemaman Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengekalkan jawatan setelah menewaskan pencabarnya Mat Dalam Awang dengan majoriti 716 pada pemilihan UMNO Bahagian tersebut yang diisytiharkan malam ini.

Pada pemilihan bahagian ini Dato’ Seri Haji Ahmad mendapat 757 undi manakala Mat Dalam memperolehi 41 undi sahaja.

Bagi jawatan Naib Ketua Bahagian, penyandangnya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang mendapat 445 undi mengetepikan pencabarnya YB. Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang meraih 347 undi.

Terdahulu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek mengekalkan jawatannya tanpa bertanding.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu ketika ditemui selepas pengumuman keputusan ketika itu kira-kira jam 11.30 malam ini memberitahu sidang media beliau akan memperkemaskan jentera UMNO Bahagian ini bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang semua kerusi DUN dan Parlimen Kemaman pada pilihanraya umum yang akan datang.

“Saya akan memikul mandat yang diberi oleh perwakilan sebaik mungkin dan merapatkan jurang dalam UMNO Bahagian bagi memantapkan Jentera UMNO dan BN bagi memastikan kita mendapat kemenangan yang lebih besar pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti”, katanya.