Halaman

30 August 2013

500 tidak berganjak tonton Forum Perdana


Teks dan gambar: Aminudin Ismail

Ustaz Norhisham (kiri) bersemangat ketika menyampaikan ceramah sambil di perhatikan oleh Ustaz Badlishah (kanan) dan ustaz Ramli.
“SETIAP warga negara ini dikehendaki menghormati bendera negara sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah di mana para sahabat begitu menyanjungi bendera Rasulullah sehinggakan mereka berlumba-lumba untuk menyambut bendera baginda yang hampir terjatuh menyebabkan tangan-tangan sahabat di potong satu persatu.

“Sehubungan itu, penduduk di negara ini perlu menghormati dan mencinta bendera (Malaysia) kerana bendera adalah symbol kepada Islam di zaman Rasullullah,” kata Ustaz Badlishah Alauddin ketika berceramah di Forum Perdana Pekan Budaya Daerah Setiu 2013, di Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, malam semalam.

Kira-kira 500 penonton hadir menyaksikan forum perdana itu tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sehingga forum tamat kerana tertarik mendengar ceramah dari ahli panel.

Sebahagian penonton yang datang menyaksikan Forum Perdana di Sungai Tarom, malam semalam.
Forum Perdana yang bermula kira-kira jam 9.30 malam itu juga turut menampilkan seorang lagi penceramah iaitu Ustaz Syed Norhisham Al-Idrus manakala pengerusinya ialah Ustaz Ramli Nuh, bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Tepoh.

Forum yang bertajuk “Syawal Dirai Merdeka Di Hayati” itu membincangkan soal kemerdekaan negara di mana penceramah menitikberatkan soal menghayati erti kemerdekaan dan meminta orang ramai bersama-sama mengekalkan keamanan yang dinikmati negara sekarang.

Ustaz Norhisham pula menyarakan supaya sebagai umat Islam penduduk negara ini perlu membina kekuatan Islam bagi mempastikan umat Islam akan terus dihormati dengan meniru cara hidup Nabi Muhammad s.a.w. 

Mengakhiri ceramah, pengerusi majlis, Ustaz Ramli Nuh mahu semua pihak bersama-sama menjaga keamanan negara dan menghayati erti kemerdekaan supaya Malaysia akan terus maju dan makmur tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini yang boleh memusnah kemerdekaan.

3000 hadir Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Langkap

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Ahmad (empat dari kiri), Sabri (kiri) dan Zulkifli bersama isteri masing-masing memotong kek.

SETIU: Seramai kira-kira 3,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2013 Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap yang diadakan di Pekan Sungai Tong, di sini, semalam.

Majlis yang bermula jam 11 pagi itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud yang tiba kira-kira jam 11.30 pagi.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh, pegawai-pegawai kerajaan dan penduduk setempat.

Pada majlis itu tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah antaranya ialah nasi minyak, nasi dagang, ketupat, tapai dan kuih muih.

Suasana bertambah meriah apabila Ahli DUN Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor dan isteri menghulurkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir.

Sabri sedang membahagikan duit raya kepada kanak-kanak.

Acara memotong kek sempena perasmian majlis turut dilakukan oleh Menteri Besar , Dato’ Sabri, Che Zulkifli bersama isteri masing-masing.

Dalam ucapan ringkasnya, Dato’ Sabri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Ahmad Said kerana sudi meluangkan masa hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri 2013 Dun Langkap serta kepada semua tetamu yang hadir.

Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said memberi jaminan akan menunaikan setiap janji pilihanraya Barisan Nasional baru-baru ini dengan memberi pembangunan kepada daerah Setiu.



29 August 2013

Gangguan bekalan air di 30 kawasan

Oleh: Suriati Ali

 Lebih 10,000 pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu) membabitkan hampir 30 kawasan sekitar Kuala Terengganu dijangka mengalami gangguan bekalan air.

Ganguan bekalan air yang berlaku secara berperingkat-peringkat bermula jam 11 malam hingga 5 pagi pada 2, 8 dan 11 September itu akibat daripada kerja-kerja penambahbaikan sistem agihan.

Antara kawasan yang terlibat, termasuk Kampung (Kg) Panji Alam, Kg Nibong, Perumahan Kastam, Kg Bukit Besar, Kg Chendering, Kuala Ibai, Kg Kolam, Gong Baru dan Gong Pak Maseh.

Kawasan lain, Taman Purnama, Kg Banggol, Kg Ladang, Jalan Tekukur, Jalan Kamarudin, Batu Burok, Jalan Sultan Mahmud, Jalan Cherung Lanjut dan Kg Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata pihaknya akan berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaan kerja dan meminimakan tempoh gangguan di kawasan yang terlibat.

“Pengguna dinasihatkan supaya menyimpan air dengan secukupnya untuk kegunaan masing-masing.

“Pengguna juga diminta untuk bersabar atau boleh menghubungi talian aduan Satu di talian 1300 882 111 untuk sebarang pertanyaan dan aduan,” katanya .

 

Sedia RM3.67 juta untuk pelajar peringkat ijazah

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.6 juta kepada 3,677 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara peringkat ijazah bagi kemasukan pertama tahun ini.

Sebahagian daripada pelajar yang menerima bantuan persediaan melanjutkan pelajaran ke IPT daripada kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu.
Berdasarkan bilangan itu, setiap pelajar layak menerima wang tunai RM1,000,, sebagai langkah meringankan bebanan kewangan ibu bapa, selain melahirkan modal insan serba boleh pada masa akan datang.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan serius dan sentiasa memberi fokus untuk menjadikan pendidikan sebagai satu landasan melahirkan modal insan yang serba boleh. “Pelajar hari ini merupakan penyumbang utama dalam menentukan masa depan negara dan kerajaan akan melakukan apa saja untuk menjana kejayaan mereka.


“Kerajaan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat khusus untuk melanjutkan pelajar ke mana-mana IPT dan sedia mengeluarkan berapa banyak belanja pun asalkan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bantuan Persediaan Pelajaran, di Stadium Tertutup, Komples Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM17.3 juta bagi bantuan persediaan pembelajaran yang membabitkan 22,851 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke asrama penuh serta pengajian peringkat sijil, matrikulasi, diploma dan ijazah.



Jumlah itu termasuk pembiayaan bagi pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah dalam dan luar negara. Daripada jumlah itu 8,836 pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dengan peruntukan RM8.7 juta dan peringkat diploma (6,876 orang) membabitkan kos RM5.6 juta.

 Terdapat 2,966 pelajar mengikuti matrikulasi dengan kos RM1.5 juta, sijil (1,865 orang) RM816 ribu dan Sekolah Berasrama Penuh pula seramai 2,269 orang membabitkan perbelanjaan RM1.2 juta..

 Setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam negeri menerima RM1,000 (RM1,300 Sabah/Sarawak) diploma (RM750) dan matrikulasi, sijil dan SBP (RM500) manakala ijazah di luar negara mengikut kos pengajian yang mereka ambil.

 Sejak bantuan itu diperkenalkan pada 2006 kerajaan telah membelanjakan RM105.6 juta membabitkan 145,079 pelajar anak tempatan.

 Seramai 21,880 pelajar terima bantuan itu pada 2006 membabitkan peruntukan RM15.5 juta; 22,513 orang (2007) RM15.8 juta; 22,813 orang (2008) RM16.1 juta, 26,205 orang (2009) RM19.7 juta, 26,801 orang (2010) RM20.034 juta, 24,867 orang (2011) RM18.4 juta dan 22,851 orang dengan peruntukan 17.3 juta.

 

Ahli rukun tetangga dilindungi insuran

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan mengiktiraf peranan ahli-ahli Rukun Tetangga (RT) yang membantu menjaga ketenteraman dalam masyarakat dengan menyediakan insuran perlindungan berkelompok kepada mereka yang ditimpa kemalangan ketika bertugas.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu, Encik Baharuddin Daud berkata, warga rukun tetangga berkorban masa dan tenaga menjaga keamanan dalam kampung tanpa mengharap imbuhan.

“Kerajaan menghargai pengorbanan mereka dan mewujudkan skim insuran bagi membantu meringankan beban mereka bila ditimpa kemalangan,” katanya selepas merasmikan Program Secangkir Kasih Sekalung Budi di Terengganu Equestrian Resort(TER) , Kuala Ibai semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Batu Rakit yang juga Pengerusi KRT Terengganu Utara, YB Haji Bazlan Abdul Rahman dan Pegawai JPNIN Daerah Kuala terengganu, Encik Kamaruddin Ali serta 500 orang ahli RT daerah Kuala Terengganu.

Katanya, setiap ahli yang ditimpa kemalangan ketika menjalankan bertugas dan meninggal dunia akan mendapat RM40,000 manakala ahli meninggal di luar tugas menerima RM20,000 dan khairat kematian RM1,000.

Beliau juga meminta RT menghidupkan aktiviti Jiran Muda dan Jiran Wanita agar setiap lapisan masyarakat tidak terpinggir dan bersama menjayakan aktiviti dalam kampung.

“Setiap RT juga digalakkan mengadakan kerjasama dengan agensi lain menjayakan program dalam komuniti masing-masing serta cuba mencari dana sendiri bagi membiayai program,” katanya.

Katanya, jabatan menyediakan geran tahunan RM6,000 kepada setiap RT yang aktif dan digalakkan juga mencari mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau agensi untuk berkongsi bajet bagi menjayakan aktiviti yang diadakan.
 

To’ Puan Seri Norliza hadir rumah terbuka Puspanita

Oleh: Amirullah Othman 

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, hadir majlis rumah terbuka Puspanita di di pejabat pertubuhan itu di Batu Buruk, pagi ini.

Jawatan kuasa Puspanita dan ahli-ahli pertubuhan berkenaan turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut yang merupakan acara tahunan Puspanita.

Pelbagai juadah makanan tradisional seperti ketupat, lemang dan sate disajikan bagi hidangan tetamu.

Pada majlis itu, To’ Puan Seri Norliza mengambil kesempatan untuk beramah mesra sambil bertanya khabar ahli-ahli Puspanita dari seluruh negeri yang turut hadir bagi meraikan sambutan Syawal yang sudah di penghujung.


Umno Terengganu serah kepada perwakilan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Umno Terengganu menyerahkan kepada ahli Umno di bahagian masing-masing bagi menentukan kepimpinan mereka dalam pelbagai jawatan di peringkat bahagian pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung Oktober ini.

Dato' Seri Haji Ahmad said
Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata terpulang kepada perwakilan untuk membuat pilihan mengikut kebijaksanaan masing-masing bagi mengetuai kepimpinan umno bahagian.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan sekiranya berlaku pertandingan, bertandinglah dengan cara yang sihat dan mestilah akur dengan keputusan yang dibuat oleh perwakilan.

“Menang dan kalah adat pertandingan, tetapi janganlah jika kita kalah sehingga terbawa-bawa kepada merosakkan parti, perpaduan yang akhirnya melemahkan parti, “ katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Huaxicun di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Dato’ Mat Razali Kassim.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga meminta supaya mengelakkan pertelingkahan dan berjiwa besar dalam usaha memperkasa dan mengukuhkan penyatuan di kalangan ahli dan kepimpinan parti itu.


Pelajar di Mesir tanggung sendiri risiko jika enggan pulang

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri mengingatkan semua pelajar Terengganu yang masih berdegil dan enggan pulang dari Mesir walaupun sudah dinasihatkan berbuat demikian, perlu menanggung sendiri risiko jika berlaku kejadian tidak diingini sepanjang di negara sedang bergolak itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau mendapat maklumat masih terdapat kira-kira 800 penuntut Malaysia di Mesir termasuk pelajar tajaan dan persendirian yang belum pulang walaupun keadaan negara itu semakin bergolak.

"Kita terima maklumat masih ada 800 pelajar kita yang enggan pulang walaupun selepas dinasihatkan. "Saya tidak tahu sebab kenapa mereka tidak mahu balik. Mungkin disebabkan mereka yakin dengan keselamatan mereka tetapi mereka perlu menanggung risiko sendiri jika berlaku kejadian tidak diingini,"katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Huaxicun di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (Upen) Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan daud.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri akan menghantar seramai 17 pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Institut Al Quran (IQ Terengganu) Terengganu ke Arab Saudi bagi mempelajari bahasa Arab.

Menurutnya, penghantaran mereka berkursus selama sebulan pada September ini dalam usaha meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa Arab di kalangan pegawai dan kakitangan berkaitan.


Putera Jaya, Setiu jadi tumpuan ramai

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.
PEMBANGUNAN pesat Bandar Permaisuri , Setiu menjadikan Kampung Pak Kancil kini dikenali sebagai Putera Jaya, sebuah kampung terpencil suatu ketika daulu yang hanya dihuni beberapa keluarga kini bertukar wajah menjadi kawasan perumahan yang menjadi tumpuan ramai.

Antara rumah yang dibina di kawasan yang dahulunya kawasan hutan di Putera Jaya.
Selain penduduk setempat yang memiliki tanah di kawasan itu, penduduk luar Setiu juga memilih tempat itu sebagai tempat tinggal kekal mereka dengan membina rumah di atas tanah yang dibeli dari penduduk setempat.

Tinjauan Teganukita mendapati, rumah-rumah baru wujud bagaikan cendawan tumbuh di Putera Jaya samada melalui projek perumahan swasta ataupun persendirian dan beberapa buah rumah lagi sedang dalam pembinaan dan akan dibina oleh pemilik tanah sekaligus akan menjadikan kawasan itu padat dengan penduduk menjelang 2020.


Hartanah juga meningkat berkali ganda, jika 10 tahun dahulu nilai harga satu lot tanah perumahan sekitar RM10 ribu hingga RM20 ribu kini ianya mencecah sehingga RM30 ribu hingga ke RM45 satu lot berganding pada saiz tanah.
Keperihatinan kerajaan Barisan Nasional membina jalan-jalan ke kawasan perumahan baru dalam tempoh yang singkat menjadikan antara faktor orang-ramai mendirikan rumah masing-masing di atas tanah milik mereka malah beberapa jalan dibina terlebih dahulu sebelum wujudnya kawasan perumahan bagi memberi kemudahan kepada orang –ramai.

Walaupun rumah belum didirikan tetapi kerajaan membina jalan terlebih dahulu.

Kemudahan sekolah juga antara faktor mengapa orang ramai memilih Putera Jaya sebagai tempat tinggal mereka kerana terdapat dua buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah di kawasan itu, ini memudahkan ibu-bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Penduduk, Norzawatil Ishqi Ismail, 36, berkata, dia memilih untuk membina rumah dan menetap di Putera jaya kerana yakin kawasan itu akan menjadi kawasan maju suatu hari nanti dengan mempunyai penduduk yang padat.

“Dulu rumah saya dan sebuah rumah lain yang ada di berhampiran rumah saya tetapi dalam tempoh tidak sampai 10 tahun saya tinggal di sini, wujud lebih 10 buah rumah berhampiran rumah saya dan jika dahulu saya agak bimbang juga tinggal di sini tetapi kini perasaan itu berkurang dan saya harap lebih banyak lagi rumah akan di bina di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu di kenali sebagai Asri, 42, berkata dia dalam tempoh sepuluh tahun lagi, hampir kesemua tanah di Putera Jaya akan dipenuhi rumah kerana beberapa kawasan baru sudahpun diteroka oleh pemilik tanah untuk mendirikan rumah masing-masing.

Di Putera Jaya terdapat rumah Pegawai Daerah, rumah kakitangan Pejabat Daerah, perumahan kakitangan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ), taman perumahan pertama di daerah Setiu, sebuah taman perumahan yang dibina swasta, perumahan guru, masjid, perkedaian dan lain-lain.

 

Nik Ismail cacat akibat jatuh pokok kelapa

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

SEORANG Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kampung Sungai Lerek, Setiu yang menerima bantuan bulanan dari kerajaan berjumlah RM300 tabah menghadapi hidup walaupun dia tidak mampu bergerak dengan sempurna kerana mengalami kecacatan dari bahagian pinggang hingga ke kaki.

Nik Ismail di rumahnya di Kampung Sungai Lerek terima bantuan RM300 sebulan dari kerajaan.
Nik Ismail Abdullah, 56, yang cacat akibat terjatuh dari pokok kelapa kira-kira 30 tahun lalu itu berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberi bantuan bulanan itu bagi menampung perbelanjaan sejak 20 tahun lalu.

“Baru-baru dulu saya hanya menerima RM40 sebulan selama beberapa tahun tetapi bantuan itu dinaikan kepada RM50, RM100 dan kini saya menerima RM300 sebulan, cukuplah untuk menampung perbelanjaan saya kerana saya tidak mempunyai isteri dan anak,” katanya ketika berkunjung ke rumahnya, semalam.

Nik Ismail berkata, keperihatinan kerajaan terhadap OKU sepertinya membuktikan kerajaan sememangnya sentiasa mengambil berat tentang orang yang mengalami nasib sepertinya dan beliau berterima kasih kepada kerajaan. 

“Bukan saya tidak mahu bekerja tetapi dengan keadaan saya seperti ini saya tidak boleh melakukan kerja berat, dulu saya berniaga kecil-kecil dengan mengunakan motosikal khas tetapi sekarang saya sudah tidak berniaga lagi kerana sentiasa tidak sihat," katanya yang kakinya terpaksa dipotong beberapa bulan selepas kemalangan itu.

Selain mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Nik Ismail juga mendapat bantuan tahunan dari Yayasan Terengganu dan menerima zakat dari Maidam.