Halaman

02 January 2013

HSNZ sedia khidmat urut ibu bersalin

Oleh; Esah Abdullah

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu menjadi hospital keempat di negara ini yang menawarkan rawatan kepada ibu-ibu selepas bersalin.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said memotong riben sebagai gimik perasmian Unit Perubatan dan Komplementari di HSNZ
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebelum ini pusat itu diwujudkan di Putrajaya, Johor Baharu dan Kepala Batas, Pulau Pinang.


 “Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK) yang mula beroperasi pada 2010 telah memperkenalkan perkhidmatan baru iaitu amalan perubatan tradisional Melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin sejak Disember tahun lalu.

“Ini merupakan satu lagi kemudahan rawatan yang disediakan kerajaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke HSNZ hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman.

Katanya, khidmat yang ditawarkan merangkumi urutan kesegaran badan dan penjagaan payudara serta rawatan perbidanan yang dikendalikan oleh seorang pengamal PTK terlatih dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu unit PTK juga menawarkan dua perkhidmatan lain seperti urut tradisional Melayu dan akupuntur di mana antara yang telah dirawat adalah pesakit angin ahmar serta pesakit yang menghidap penyakit kronik melebihi tiga bulan.

 “Sehingga ini seramai 1,847 pesakit telah menerima rawatan di pusat ini iaitu 733 pesakit (2010), 251 pesakit (2011) dan 593 pesakit antara Januari hingga November tahun lalu,” katanya.

Menteri Besar yang diiringi isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut meninjau Unit Rawatan Kecemasan (CCU) yang baru siap diubahsuai dengan kos RM14 juta di HSNZ.

 

JKKK Alur Tuman amal sikap gotong royong

Oleh :Amirullah Othman

Amalan gotongroyong dalam masyarakat kita dewasa ini telah terhakis kerana kebanyakan orang ramai lebih senang menggunakan khidmat tempahan untuk mengadakan kenduri-kendara atau majlis keraian.

Namun begitu, amalan gotong royong masih sebati di jiwa penduduk Kampung Alur Tuman, Marang, apabila semua program yang dijalankan di kampung itu mendapat sambutan sangat baik dari segi wang dan tenaga.

Ini menggambarkan jika adanya perpaduan yang baik dan ketelusan antara pemimpin akar umbi dengan setiap penduduk sudah pasti segala bentuk program dan perancangan dapat dilakukan dengan lancar.

Kampung Alur Tuman didiami 153 keluarga dan penduduk seramai 612 orang yang menjalankan pekerjaan sebagai kakitangan kerajaan, berniaga, nelayan, petani dan kerja sendiri.

Program terbaru, masyarakat di sini telah menjalankan program memasak bubur asyura sebanyak lima kawah untuk dibahagikan kepada semua penduduk.

Kerjasama bagi menyempurnakan program ini telah melahirkan rasa syukur kepada penduduknya kerana mereka didatangi semua ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang pergi ke rumah mereka bagi mengagihkan bubur asyura.

Sokongan dan sentuhan dari pimpinan DUN Rhu Rendang iaitu Haji Nik DirNik Wan Ku dan pimpinan Parlimen Marang iaitu YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar telah menyemarakkan lagi semangat gotong royong dan silaturahim di kalangan penduduk.


Pemuda Umno tubuh SBP

Oleh: Suriati Ali 

Pergerakan Pemuda Umno Terengganu menubuhkan Skuad Banjir dan Penyelamat (SBP) seluruh bahagian negeri ini sebagai langkah membantu pihak tertentu menjayakan misi menyelamat mangsa banjir.

Ketuanya Encik Saiful Bahri Baharuddin berkata skuad berkenaan yang sememangnya telah bersedia daripada awal berjaya melaksanakan engan baik dan berkesan dengan berpandukan kepada ‘Standard Operatian Procedur’ (SOP) yang telah digariskan.

 “Kerjasama erat antara skuad tersebut bersama agensi kerajaan yang lain telah berjaya membantu mangsa banjir selain inisiatif sendiri skuad berkenaan di beberapa kawasan yang ditenggelami air.

“Alhamdulillah, kita berjaya membantu memindahkan mangsa banjir selain menyediakan apa yang perlu di pusat-pusat pemindahan yang diwujudkan oleh agensi terlibat,” katanya.

 Katanya, ini adalah misi bersama masyarakat yang mana kita bersedia berkhidmat untuk mereka. “Skuad sukarelawan ini berkhidmat setiap masa di semua kawasan.

 Arahan kita telah keluarkan sebelum ini yang mana apabila berlaku bencana seperti banjir ini, skuad di bahagian masing-masing akan terus beroperasi.
“Kita akan teruskan khidmat masyarakat ini dan berharap penduduk peka dan akur dengan segala arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa sekiranya mereka dikehendaki pindah dan sebagainya,” katanya.

 Encik Saiful yang juga Ketua Pemuda UMNO Marang seterusnya berkata dalam apa jua keadaan, skuad berkenaan akan terus memantau dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Skuad SBP diletakkan dalam keadaan sentiasa bersiap sedia di mana dalam situasi sama, kita juga beroperasi membantu mana-mana penduduk yang memerlukan rawatan, khimatan penghantara ke mana-mana hospital atau klinik, ” katanya.

 


Mangsa banjir di pusat pemindahan menurun

Oleh: Noraini Jusoh

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan banjir seluruh Terengganu sehingga 4.20 petang ini hanya tinggal 41 mangsa daripada 8 keluarga berbanding 80 mangsa daripada 18 keluarga pada 8.30 pagi tadi.

Berikutan keadaan banjir yang semakin pulih, ramai mangsa yang mengambil keputusan untuk pulang ke rumah masing-masing.

Menurut Portal Kenyatan Banjir negeri Terengganu, hanya dua pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu Dewan Sivik Batu 24 yang menempatkan 20 mangsa di Hulu Terengganu.

Sementara, satu lagi pusat pemindahan di Setiu iaitu Surau Kampung Nyatoh yang hanya menempatkan 21 mangsa.

Mengikut laporan statistik portal tersebut juga, terdapat enam kematian akibat mati lemas yang dicatat ekoran bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini, dimana masing-masing tiga mangsa di Kemaman, dua di Setiu dan seorang mangsa di Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa korban bencana ini sekiranya banjir kembali melanda negeri ini dalam masa terdekat.

 

Primula Beach Hotel laksana gaji minimum RM900

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum sektor swasta di mana, bagi Semenanjung Malaysia sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Sehubungan itu, Primula Beach Hotel yang merupakan hotel bertaraf empat bintang milik kerajaan negeri menyahut seruan tersebut dan akan melaksanakan gaji minimum RM900 sebulan mulai Januari ini.

Pengerusinya, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, kira-kira 50 peratus atau 115 kakitangan sokongan hotel tersebut bakal menikmati kadar gaji baru selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpendapatan tinggi.

"Pelaksanaan kadar gaji baru ini akan memberi cabaran dimana kita terpaksa menambah peruntukan baru kira-kira RM700 ribu untuk membayar gaji pekerja.

"Walaupun kos operasi akan meningkat, dengan adanya pelan tindakan serta perancangan strategi yang mantap dan ditambah dengan produktivi pekerja, saya yakin pihak kami mampu mengatasi cabaran ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita semasa ditemui pada Majlis Sepagi Bersama Warga Primula, di hotel tersebut, semalam.

Katanya, kakitangan hotel yang mempunyai 248 bilik itu sentiasa menawarkan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada setiap pengunjungnya dan sentiasa mengamalkan semangat bekerja dalam satu pasukan.

"Sebagai majikan, saya berharap dengan kenaikan kadar gaji ini dapat memberi khabar gembira kepada kakitangan sokongan yang banyak berjasa dan sebagai pendorong untuk mereka terus meningkatkan produktiviti semasa bekerja,” katanya.

 

107 pelajar cemerlang DUN Batu Rakit dirai

Oleh; Esah Abdullah


Sejumlah RM63,000 dibelanjakan sebagai insentif kepada pelajar cemerlang dan bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap ADUN Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, daripada jumlah itu RM11,000 diagihkan kepada pelajar cemerlang manakala RM52,000 lagi diberikan kepada sembilan sekolah rendah dan menengah yang ada di DUN untuk menjalankan aktiviti 2013.

Katanya, pelajar yang mendapat keputusan empat hingga 5A untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan enam hingga 9A untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima wang tunai dan peralatan sekolah bernilai RM100 seorang.

"Selain itu, setiap PIBG sekolah rendah menerima RM4,000 manakala RM8,000 untuk sekolah menengah,” katanya di majlis penyampaian insentif Pelajar Cemerlang UPSR /PMR dan Bantuan PIBG DUN Batu Rakit di Dewan Serbaguna Maras, baru-baru ini.

Pada majlis itu seramai 107 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR dalam berkenaan menerima hadiah kecemerlangan yang disampaikan oleh YB haji Khazan..

Seorang bapa Encik Pauzi Abdullah, 42 bersyukur dan gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam menghargai pencapaian cemerlang pelajar yang diharap dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar untuk memacu kejayaan.

 "Saya berbangga dengan kejayaan yang diperoleh semua pelajar di negeri ini dan inisiatif diberikan kerajaan negeri ini dapat memotivasikan pelajar untuk belajar dengan lebih tekun sebagai penentu masa depan mereka," kata Pemandu Majlis Bandaraya Kuala Terenggnu (MBKT),

 Seorang penerima hadiah kecemerlangan,adik Aimie Syahira Pauzi 15, dari SM Imtiaz yang memperoleh 9A dalam PMR bersyukur dengan pemberian berkenaan.

 "Saya bersyukur dengan penghargaan yang diberikan oleh kerajaan kerana penganugerahan seperti ini memberi semangat kepada pelajar untuk lebih cemerlang dalam peperiksaan yang mereka duduki.

 "Selain itu, ia juga secara tidak langsung dapat memberi motivasi dan galakan kepada pelajar untuk berusaha mendapat keputusan cemerlang dan semua A dalam peperiksaan mereka pada masa akan datang," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

 

Pemuda UMNO Kuala Besut bantu mangsa banjir


Penduduk dapat bantuan beras dari Pemuda UMNO Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Pergerakan Pemuda UMNO DUN Kuala Besut yang prihatin terhadap mangsa banjir di kawasan berkenaan mengambil tindakan turun padang menemui mangsa banjir dan menyampaikan bantuan beras kepada mangsa terbabit semalam.

Dua kampung yang terjejas dengan banjir dua hari lalu iaitu Kampung Nangka dan Kampung dan Kampung Lampu menjadi lokasi misi bantuan makanan berkenaan. Penyelaras Pemuda DUN,

Maliki Jusoh berkata, sejumlah 200 kampit beras diagihkan kepada penduduk dua kampong berkenaan.

Katanya, pengagihan terpaksa di lakukan di atas jalan raya dan menggunakan sampan dari rumah ke rumah kerana rumah mereka masih ditengelami air.

Menurutnya, bantuan awal itu sebagai persediaan mangsa untuk memasak dan pihaknya akan memberikan bantuan lain selepas ini.

Maliki berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan menghantar bantuan berupa makanan dan keperluan lain yang akan dilakukan hari ini kepada mangsa banjir di kawasan DUN Kuala Besut.

Beliau berharap, mangsa yang ditimpa bencana bersabar kerana pelbagai pihak akan tanpil menyalurkan bantuan kepada mangsa di daerah ini.

01 January 2013

1,000 Pelajar Elit di Imtiaz Kemaman

Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman yang mula dibina dengan kos RM60 juta awal tahun lalu di Kijal, Kemaman bakal siap hujung tahun ini dan mampu menampung sehingga 1,000 orang pelajar.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh itu bagi menampung permohonan kemasukan yang meningkat saban tahun termasuk dari luar Terengganu serta Sabah dan Sarawak.

 "Cawangan iaitu Imtiaz Kemaman telah beroperasi selama dua tahun di bangunan sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang menempatkan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.



"Apabila siap, dua lagi sekolah yang sama akan dibina di Setiu dan Marang bagi menjadikan setiap daerah mempunyai sekolah elit berkenaan," katanya pada majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu kali ke-33 tahun 2012 peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 447 pelajar menerima sijil dan hadiah kecemerlangan berjumlah RM81,020. Daripada jumlah itu, 367 pelajar PMR, SPM (109) dan STAM (1).

Hadir sama, Pengarah Yayasan Terengganu, Zakaria Yusof.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, Yayasan Terengganu dalam perancangan untuk menaik taraf cawangan pertama sekolah itu di Kampung Raja, Besut menjadi Sekolah Menengah Imtiaz Antarabangsa selaras dengan hasrat Kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai 'Negeri Anjung Ilmu'.


 





31 buah sekolah terpaksa tangguh hari pertama sesi persekolahan

Oleh; Esah Abdullah

Sejumlah 31 buah sekolah dengan melibatkan seramai 12, 000 pelajar terpaksa menangguhkan sesi baru persekolahan yang bermula hari ini bila banjir gelombang kedua kembali melanda Terengganu sejak kelmarin,

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, antara faktor sekolah yang terlibat ditutup adalah disebabkan dinaiki air, menjadi pusat pemindahan sementara serta masih ada sebahagian yang dijadikan pusat pemindahan dalam proses pembersihan.

Katanya, daerah Hulu Terengganu mendahului senarai sekolah terbanyak yang ditutup iaitu sejumlah 13 buah, diikuti Besut 12, manakala masing-masing tiga buah di Setiu dan Kemaman.

 “Berdasarkan jumlah keseluruhan 31 buah sekolah yang terpaksa ditangguhkan itu menyaksikan 23 buah adalah sekolah rendah dan lapan buah lagi merupakan sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar baru di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Seberang Takir hari ini.

Menurutnya, kesemua sekolah yang dinaiki air melibatkan daerah Hulu Terengganu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periuk, SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Berang.

 “Di daerah Besut pula, SK Keruak, SK Tok Raja, SK Bukit Jeruk, SK Kg Nangka, SK Alor Keladi, SK Tok Dor dan SK Pasir Akar.

 “Manakala, sekolah yang masih menjadi pusat pemindahan sementara adalah SK Bukit Payong dan SK Tenang di Besut, sementara di Setiu adalah SK Anak Ikan,” katanya.

Sekolah yang ditutup akibat terputus hubungan pula adalah SK Kuar, SK Tersat, SK Matang, SK Tengkawang, SK Bukit Taduk, SMK Matang, SMK Jenerih dan SMK Menerong, di mana kesemuanya adalah di daerah Hulu Terengganu, di Setiu pula adalah SK Tak Ba dan SK Sungai Las, di Besut, SMK Bukit Payong dan SMK Putera dan dua buah sekolah di Kemaman, SMK Padang Kubu dan SK RKT Seberang Tayor.

 Sebuah lagi sekolah di Kemaman iaitu SMK Bukit Mentok ditutup adalah disebabkan proses pembersihan yang belum selesai selepas ia dijadikan pusat pemindahan ekoran banjir yang disifatkan terburuk di daerah berkenaan dengan jumlah mangsa seramai 9, 000 orang.

 “Buat masa sekarang, kita belum dapat tentukan bila sekolah yang berkenaan akan dibuka kembali kerana ia bergantung pada situasi banjir, tetapi kita berharap agar banjir gelombang kedua yang sedang melanda ini akan cepat surut,” katanya

Sehubungan itu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan memaklumkan perkembangan dari masa ke semasa kepada semua ibu bapa dan mana-mana sekolah yang terlibat dengan penutupan ini akan menggantikan sesi persekolahan pada hari Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNT, Haji Hashim Mohd Zin yang turut serta dalam lawatan ke SK Tok Jembal yang turut dijadikan pusat pemindahan banjir sebelum ini, memaklumkan jumlah keseluruhan pelajar Tahun Satu yang memulakan sesi persekolah tahun ini adalah seramai 19, 878 dengan melibatkan 350 buah sekolah di seluruh negeri.

 

Primula Beach Hotel rai kakitangan

Oleh: Noraini Jusoh

Primula Beach Hotel Kuala Terengganu, hari ini meraikan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2012 sehingga hotel berkenaan berjaya mencatat perolehan pendapatan tertinggi tahun lalu.

Pengerusinya, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1972, pencapaian hotel ini pada tahun lepas sangat memberangsangkan dan mencatat jumlah tertinggi yang pernah pihaknya perolehi.

"Sasaran kita pada tahun 2012 cuma sekitar RM15 juta sahaja, tetapi saya sungguh bangga dan bersyukur kerana apa yang kita capai melebihi sasaran iaitu sebanyak RM17 juta.

"Berdasarkan pendapatan yang kita perolehi pada tahun 2011 iaitu kira-kira RM14.3 juta, peningkatan pendapatan sebanyak RM2.7 juta adalah satu angka yang besar untuk dicapai dan mustahil tanpa kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui pada Majlis Sepagi Bersama Warga Primula, di hotel tersebut, hari ini.

Katanya, majlis itu diadakan untuk meraikan 233 orang pekerja yang telah banyak berjasa dan sebagai tanda penghargaan atas komitmen yang telah mereka tunjukkan.

Menurut beliau, semua kakitangan turut menerima pemberian bonus sebagai galakan dan motivasi untuk mereka terus memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada tetamu yang datang ke sini.

"Semangat bekerja sebagai satu pasukan dan sokongan semua pihak terutamanya kerajaan negeri, pihak kementerian dan swasta banyak membantu memperkenalkan hotel ini yang sekaligus menjadikan perolehan pendapatan kita pada tahun lalu melebihi sasaran,” ujarnya.

Katanya, bagi tahun 2013, beliau meletakan sasaran RM18.5 juta perolehan pendapatan dan menjangkakan ia dapat dicapai sekiranya para pekerja terus menunjukkan prestasi cemerlang dan kepercayaan semua pihak memilih hotel ini untuk menginap atau membuat sebarang aktiviti atau program di sini.