Halaman

07 October 2012

100 Rela derma darah di Kampung Langgar

Oleh: Mastura Jamaluddin

Kira-kira 100 anggota RELA telah berbakti dengan menyumbangkan darah di Program Derma Darah anjuran Penyelaras Pemuda UMNO DUN Kuala Berang di Balai Raya Kampung Langgar, kelmarin.

Angota RELA tidak takut  untuk menderma darah di Balai Raya Kampung Lamggar sambil dibantu oleh jururawat yang bertugas.
Program itu mendapat sambutan baik oleh masyarakat sekitar dan ramai di antara mereka yang teruja untuk bersama-sama menderma darah sambil berbakti kepada mereka yang memerlukan.


Malah, sesetengah pengunjung kecewa kerana gagal menderma darah disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan namun tetap bersemangat untuk mencari pengganti agar bekalan darah diperolehi.

“Program derma darah sebenarnya cukup bagus dan harus dilakukan dari masa ke semasa kerana ini adalah satu cara pak cik boleh membantu orang ramai yang memerlukannya.

“Pak Cik cukup suka nak derma darah sebab salah satu kebaikannya,badan terasa segar macam orang muda,” kata seorang penderma Pak Cik Idris, yang ditemui pada majlis tersebut.

Antara penderma-penderma darah yang di temui merupakan penderma yang telah biasa menderma dan ada yang terpaksa menunggu untuk satu tempoh bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti ini semula.


BN diramal tawan semula Marang, Bukit Payong, Rhu Rendang

Oleh: Aida Abd Rahman

Berdasarkan prestasi Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, tidak mustahil parlimen Marang dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bukit Payong dan Rhu Rendang yang kini ditawan pembangkang, mampu dirampas semula BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Dalam tempoh lebih 20 tahun itu, menurut Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar, kebanyakan keputusan PRU memihak kepada BN dan Umno.

 “Sebenarnya Marang satu kawasan yang cukup menjadi rebutan antara BN dan Pas sejak 1985 hingga sekarang, berdasarkan PRU 1986, 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008. Jadi, sepanjang tempoh berkenaan, menang.. kalah, menang.. kalah, menang.. kalah. Kebanyakannya Umno yang kuasai.

“Pada PRU 1986 BN berjaya merampas kembali DUN Bukit Payong selain Rhu Rendang tetap samar. Ada sekali kita kalah pada 1999 disebabkan `tsunami Anwar Ibrahim’. Masa tu bukan sahaja Marang tetapi semua Terengganu (majoriti) kalah. PRU 1986, kita menang 3 DUN dan 1 Parlimen,” katanya kepada Teganukita baru-baru ini.

 Manakala pada PRU 1990, Dato’ Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Marang berkata, BN memenangi dua kerusi DUN masing-masing Pengkalan Berangan dan Alor Limbat, manakala kerusi Parlimen Marang, DUN Rhu Rendang dan Bukit Payong tewas.

 Pada PRU berikutnya (1995) BN berjaya mempertahankan dua kerusi DUN berkenaan, selain merampas semula DUN Bukit Payong. Parlimen Marang dan Rhu Rendang masih gagal ditawan.

Menurutnya, tsunami Anwar pada PRU 1999 menyebabkan seluruh Parlimen dan DUN Marang turut menerima kekalahan sekali gus menggadaikan negeri ke tangan pembangkang.

Katanya, BN kembali merampas tiga DUN, iaitu Alor Limbat, Pengkalan Berangan dan Bukit Payong Ketika PRU 2004. Manakala pada PRU ke-12 lalu (2008) Alor Limbat dan Pengkalan Berangan terus kekal menjadi milik BN.

 Bagaimanapun, Bukit Payong jatuh ke tangan Pas dengan hanya majoriti kecil, 313 undi. “PRU 2008 kita menang dua DUN, Pengkalan Berangan dan Alor Limbat. Bukit Payong kita kalah. Rhu Rendang kalah, Parlimen kalah. Itu senario politik Marang.

 “Jadi, pada kali ini (PRU ke-13) saya amat yakin bahawa Umno dan BN akan terus kekalkan kerusi Pengkalan Berangan , Alor Limbat, selain merampas semula Bukit Payong dan Parlimen Marang.

Malah, menurut `The Giant Killer’ itu, kemungkinan DUN Rhu Rendang juga akan dimenangi BN jika percaturan baik dan calon boleh diterima umum.

Beliau berkata, kedudukan politik kini masih 50-50 disebabkan perkembangan sihat akhir-akhir ini di mana BN semakin diterima oleh rakyat disebabkan kepimpinan Umno dan Kerajaan BN Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang sudah melakukan pelbagai perubahan.

Katanya, pelbagai transformasi berlaku di peringkat Pusat dan negeri yang sudah diterima baik serta dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama melibatkan bantuan dan kebajikan yang diagihkan tanpa mengira waktu dan situasi.

Selain itu juga, kepimpinan peringkat negeri diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said begitu baik, terserlah, mudah meresapi jiwa rakyat lantas kian diterima semua masyarakat.

 “Dana yang diberikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa dijangka seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, dana hari raya, dana bakti remaja, bantuan kepada budak sekolah dan kemudahan untuk rakyat seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia (KR1M), tuisyen percuma, e-book dan macam-macam lagi.

“ Jadi bantuan itu melekat di hati rakyat. Dalam kerendahan jiwa, rakyat bersyukur walaupun ada di kalangan mereka tidak meluahkannya dan memendam sahaja, hakikatnya mereka berterima kasih dengan jasa kerajaan,” katanya.

 Dato’ Abdul Rahman berkata, pada masa yang sama juga, masalah dalaman di Terengganu amat kurang apabila sebelum ini dikatakan wujud dua puak melibatkan geng 10 budahk hitam dan perpecahan di kalangan pemimpin Umno itu kini sudah pulih, selain mereka sudah bersatu di bawah satu payung demi memperkasakan parti.

 

Produk ekspo SDSI dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menganjurkan Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) mampu mempromosi dan mengetengahkan produk-produk Insdustri Kecil Sederhana (IKS) secara berkesan kepada pelanggan.

Ekspo yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam diadakan di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik.

Antaranya demontrasi membuat coklat, masakan pelbagai produk antara daerah-daerah, pertandingan memasak nasi dagang dan persembahan kesenian dan kebudayaan.


Pada program sama turut diadakan Terengganu Chocolate & Bakery Fair 2012 sebagai langkah memperkenalkan pelbagai produk baru.

Tinjauan Teganukita mendapati sebanyak 114 pengusaha IKS dari Pahang, Terengganu dan Kelantan mengambil peluang mempromosi produk masing-masing di setiap kiosk yang disediakan penganjur.

 Orang ramai yang mengunjungi ekspo tidak melepaskan peluang membeli pelbagai produk IKS yang dijual dengan harga sangat berpatutan.

Rata-rata mereka tidak jemu untuk singgah di setiap gerai kerana selain berpeluang mengetahui kaedah membuat produk, pada masa sama berpeluang merasainya.

Pengurus Pemasaran Syarikat Nangka Madu Mastura, Maran, Pahang, Hifzul Akhtar Ismail, berkata terima kasih kepada penganjur kerana sudi menganjurkan ekspo seumpama ini yang jelas dapat membantu pengusaha IKS.

“Ia bukan saja dapat membantu usahawan memperkenalkan produk masing-masing malah menjadi tempat rujukan dan bertukar padangan bersama usahawan di tiga negeri,” katanya.

Usahawan MT Wannur Enterprise, Wan Lijah Wan Jusoh, berkata pelbagai produk seperti pasu bunga, bekas telur dan rantai kunci yang diperbuat daripada akhbar dan majalah lama mendapat sambutan menggalakkan.

 

Petai belalang-JPNT hantar permohonan rasmi kepada MTIB

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) akan membuat permohonan rasmi supaya spesis petai belalang diterima sebagai spesis ladang hutan melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) kepada Malaysian Timber Industry Board (MTIB) dalam masa terdekat.

Anak pokok petai belalang.
Pengarahnya, Haji Azmi Nordin berkata, buat masa ini terdapat hanya tujuh spesis yang diiktiraf sebagai spesis ladang hutan iaitu Jati (tectona grandis), getah klon balak (hevea brasiliensis) , Khaya (khaya evorensis/khaya senegalensis), Kelempayan (neolamarckia cadamba), Sentang (azadirachta excelsa) dan Batai (paraserianthes falcataria).

“Pengiktirafan ini perlu bagi tujuan pensijilan dan bantuan pinjaman yang dikeluarkan oleh MTIB dan pensijilan penting bagi memastikan pengeluaran hasil hutan memenuhi standard alam sekitar, undang-undang dan peraturan tempatan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah menetapkan seluas 30,000 hektar kawasan diperlukan bagi tanaman ladang petai belalang untuk penghasilan biojisim dan kawasan dikenalpasti adalah di Hutan Simpan Kekal (HSK) Mercang, Sungai Nipah, Rasau Kerteh dan Bukit Bandi, Kemaman.


Menurutnya, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum menubuhkan ladang hutan agar isu ini tidak diserang oleh badan bukan kerajaan di samping produk yang dihasilkan nanti dari kayu cip petai belalang dapat didagangkan.

Katanya, penubuhan ladang hutan hendaklah selaras dengan Pekeliling Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bl 01/2010 yang mana kawasan ladang hutan perlu dizonkan tidak melebihi lima peratus daripada jumlah keluasan hutan asli dalam HSK bagi tempoh tujuh tahun.

“Kalau mengikut perkiraan bagi negeri ini, tiga tahun pertama seluas 13,480 hektar dibenarkan, tahun kelima 8,088 hektar dan tahun ketujuh seluas 5,392 hektar dengan jumlah keseluruhan termasuk hutan simpan Mercang ialah 26,962 hektar,” katanya.

Selain itu, bagi hutan asli yang dizonkan di HSK Rasau Kerteh seluas 11,972 hektar, HSK Sungai Nipah seluas 24,593 hektar dan HSK Bukit Bandi Kemaman seluas 3,005 hektar dan hanya kawasan di bawah paras 500 meter di bawah paras laut dan kawasan hutan miskin disyorkan bagi penubuhan ladang hutan.

Bagaimanapun katanya, sebelum kawasan ini di tukar kepada ladang hutan, kajian perlu dijalankan bagi menilai kesesuaian tanaman petai belalang.

 

Peruntukan RM2 juta tambah baik jaringan IKS tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan menyediakan RM2 juta bagi menambah baik dan memajukan jaringan perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di seluruh Terengganu  pada tahun depan.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Haji  Azmi Razik, berkata peruntukan  yang disalur menerusi YPU meningkat 100 peratus berbanding dana yang diterima tahun ini.

"Dana ini meliputi modal pinjaman dan modal pusingan yang akan diberi kepada usahawan IKS sedia ada, malah YPU menggalakkan agar rakyat Terengganu terus menceburi perniagaan sebagai sumber pendapatan utama mereka," katanya.

Haji Azmi juga meminta rakyat negeri ini merebut peluang dana sebanyak RM1 bilion seluruh Malaysia yang disediakan untuk pengusaha IKS seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini.

 Mengenai ekspo itu yang bermula Khamis sehingga semalam, beliau berkata sebanyak 114 pengusaha IKS mengambil bahagian dan daripada jumlah itu 73 orang dari Terengganu, 30 dari Kelantan dan 11 pengusaha dari Pahang.

 Haji Azmi berkata melalui ekspo itu, produk terbaik dari Terengganu akan dipilih untuk menyertai pameran di 'Showcase SDSI' peringkat antarabangsa di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Disember ini.

"Matlamat kita untuk meningkatkan taraf hidup usahawan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat seterusnya menjana sosioekonomi Terengganu berjaya dicapai dengan penganjuran ekspo ini," katanya Setakat ini terdapat kira-kira 21,000 usahawan IKS di Terengganu.

 

Desa cemerlang bila ketua bijak agih tugas

Oleh; Esah Abdullah


Penghakiman pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) berada dipenghujung apabila barisan panel hakim mengunjung negeri terakhir di Semenanjung Malaysia iaitu Terengganu dalam siri jelajah 13 buah negeri yang terpilih dalam Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan, anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Pengerusi Panel Hakim, Encik Mohd Ali Sebran dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Terengganu merupakan negeri ke-11 yang dikunjunginya dan selepas ini akan ke Sabah dan Sarawak .

“Sebuah komuniti yang baik apabila ketuanya pandai mengagihkan tugas kepada setiap ahli jawatankuasa untuk bersama main peranan membangunkan kampung,”.

“Sebuah desa cemerlang juga apabila pemimpinnya berfungsi mencari sumber kekayaan baru untuk diterokai dan diagih kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya dalam ucapan aluan di majlis Penghakiman ADC Peringkat Kebangsaan di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

 Beliau yang dipertanggungjawabkan sebagai pengerusi panel hakim pertandingan ADC Kebangsaan sejak 2010 itu mengakui tertarik dengan susunan landskap yang cantik terdapat sepanjang jalan di Kampung Bukit Wan dan teruja kerana diberi kesempatan merasai naik kereta api berhias sambil menikmati keindahan kampung.

 “Saya ingin mengingatkan para hakim agar bersabar dan tidak terburu-buru untuk memberi markah kerana ada lapan aspek perlu dinilai,” katanya secara berseloroh. Lapan aspek yang dinilai untuk ADC ialah ekonomi; pertanian dan penternakan ; teknologi maklumat (ICT); pendidikan; kebersihan dan kesihatan; keceriaan dan keindahan; kerohanian dan sivik serta kepimpinan.

Katanya, setiap kampung yang terpilih mewakili negeri-negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan akan disenaraikan untuk menerima dana pembangunan di bawah program Desa Lestari yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentang bajet 2013 baru-baru ini.

 “Sama ada menang atau kalah setiap kampung yang layak ke pertandingan ini akan menerima dana berkenaan mengikut kesesuaian projek yang diperlukan masyarakat setempat,” katanya.

 

PM galak rakyat tanam pokok petai belalang

Petani menunjukkan buah petai belalang.

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mahu petani digalakkan supaya menanam pokok petai belalang atau nama saintifiknya 'Leucaena Leucocephala' kerana ia merupakan bahan mesra alam dan boleh memberi kesan baik kepada alam sekitar.

Beliau berkata, tanaman tersebut memberi pilihan kepada petani bagi meningkatkan pendapatan mereka serta mudah diurus kerana ia tidak memerlukan penggunaan tanah yang terbaik.

“Tanaman ini tidak memerlukan tanah kategori terbaik, tetapi ia boleh ditanam di tanah yang bukan dari jenis kategori terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Loji Bio-Metionina dan Tiokimia bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, semalam.

Projek bernilai RM2 bilion yang terletak di kawasan seluas 70 hektar itu merupakan projek kerjasama antara CJ CheilJedang dari Korea dan platform tiokimia Arkema dari Perancis, bakal beroperasi pada Disember 2013.

Kemudahan bersepadu itu adalah yang pertama di dunia yang menggunakan proses penapisan dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.

Biopenapisan mempunyai konsep yang serupa dengan loji penapisan petroleum yang menghasilkan pelbagai bahan api dan produk kimia daripada petroleum.

Biopenapisan menggunakan komponen daripada biojisim seperti 'Acacia Mangium' dan Petai Belalang serta produk-produk perantara yang berkaitan, sekali gus memaksimumkan nilai yang diperoleh daripada bahan mentah biojisim.

Perdana Menteri juga mahu tanaman itu diperluaskan ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan industri bioteknologi.

Beliau berharap petani dari negeri-negeri lain dapat membekalkan hasil tanaman itu dengan harga yang baik bagi kegunaan industri berkenaan.

Baru-baru ini Kerajaan Terengganu memperuntukkan kawasan seluas 30,000 hektar untuk perladangan biojisim yang akan menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu setahun daripada pokok petai belalang.

Malah, Terengganu memulakan projek perladangan biojisim di kawasan seluas dua hektar di Hutan Simpan Merchang, Marang, bulan lepas.

Projek bio-metionina ini dijangka beroperasi pada Disember tahun depan.


Belia kunjung rumah orang tua



Oleh: Mohammad Ishak 

Tidak semua orang muda menyisihkan warga tua dalam kehidupan seharian sebaliknya masih ada golongan berkenaan yang prihaitin dan tanpil merapatkan hubungan silatulrahim dengan menjengok orang tua yang tinggal di kampung.

Perkara ini dibuktikan oleh Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Daerah Besut apabila satu program khas dikenali “Rapat Ziarah” yang memberi fokus kepada usaha mendekati golongan belia dengan warga tua.

Pengerusinya,Wan Adilah Wan Awang berkata, program sehari yang diadakan di Kampung Denger,dekat Jertih, disertai oleh ahli jawatankuasa MAYC daerah itu dan memilih warga tua di Kampung Denger untuk dikunjungi.

Katanya, sepanjang program itu dijalankan pihaknya berjaya menjejak 40 rumah membabitkan warga tua yang uzur, tidak berupaya, keluarga yang mempunyai anak ramai dan ibu tunggal yang daif.

Menurutnya,program itu bertujuan merapatkan hubungan antara generasi muda dengan golongan tuan selain beramah mesra untuk membangkitkan semangat persaudaraan dikalangan penduduk kampung.

Wan Adilah berkata, sempena lawatan itu pihaknya juga turut menyumbangkan makanan yang disampaikan kepada keluarga terbabit.

Menerusi program itu,katanya, orang muda juga dapat mengetahui kisah hidup yang pernah dilalui orang tua ketika menghadapi zaman sukar dengan serba serbi kekurangan sehinggalah mereka juga sempat menikmati zaman pembangunan hasil usaha kerajaan.

Beliau berkata, MAYC daerah itu akan meneruskan aktiviti berbentuk khidmat sosial di sekitar daerah berkenaan dari masa ke semasa berdasarkan kemampuan yang ada kepada kelab berkenaan.

MBKT bawa pulang wang tunai RM20,000

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Datuk Bandar,  Dato' Adzlan Mohd Dagang menerima hadiah kemenangan yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Bijak mempamerkan keceriaan dan konsep `Bandaraya Persisir Air’ pada bot penambang memberi kelebihan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) apabila dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Citra Bot Berhias, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Bot berhias MBKT yang turut menekankan beberapa keunikan lain, termasuk logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, layar `Moosun Cup’, kubah Masjid Kristal, podium Wisma Darul Iman, songket dan batik layak membawa pulang wang tunai RM20,000.

Manakala naib johan pertandingan sempena sambutan ulangtahun yang ke-50 hari Keputeraan Sultan Terengganu itu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan pulangan wang tunai RM15,000.

Bot berhias MBKT
Tempat ketiga pula disandang, Pejabat Daerah Kemaman, layak memperoleh RM10,000; tempat keempat Pejabat Daerah Setiu dan kelima (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), masing-masing membawa pulang RM5,000.

Sebanyak 13 bot berhias millik jabatan kerajaan dan swasta lain seperti Jabatan Laut Terengganu, Taman Tamadun Islam, Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad, Pejabat Daerah Terengganu turut menampilkan pelbagai kreativiti menarik walaupun tidak memenangi sebarang hadiah.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri  Haji Ahmad Said itu dikunjungi lebih 5,000 penduduk.


Hadir sama isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah;  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Dato' Haji Rahin Mohd Said dan beberapa barisan exco lain.


Pada malam berkenaan turut diadakan pertunjukan bunga api, tarian tradisional serta cabutan bertuah dan paling menarik pelancong asing akan diarak dengan menaiki beca berhias yang disediakan ke tapak program.

Datuk Bandar MBKT, Dato' Adzlan Mohd Dagang, berkata sokongan padu semua pihak dan kerjasama 20 kakitangan antara petua bot berhias milik MBKT mampu memikat hati juri pertandingan.

“Kakitangan terlibat mengambil masa hanya empat hari dengan membelanjakan hampir RM20,000 bagi menyiapkan konsep yang diinginkan penganjur,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan.

 

MBKT juara Citra Bot Berhias 2012

TERKINI:
Warna-warni Pertandingan Citra Bot Berhias 2012 yang diadakan di Sungai Terengganu berhampiran Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi (6 Oktober 2012).

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Bot berhias dari MBKT dinobatkan juara pertandingan.
Percikan bunga api mewarnai lagi Pertandingan Citra Bot Berhias.

Bot dari Ketengah berjaya memikat orang ramai.
Kuala Sungai Terengganu bermandi cahaya dengan bot berhias.

PMINT dengan kreativiti menghias bot menarik perhatian ramai.