Halaman

06 September 2012

TCS, bekas TCS bergerak seirama mantapkan jentera kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar bermesra dengan TCS dan juga bekas TCS di majlis Hari Keluarga dan Majlis Hari Raya Persatuan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua pegawai dan bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) supaya berganding bahu, bergerak sederap dan seirama antara barisan kepimpinan pentadbiran dan politik bagi memantapkan jentera kerajaan hari ini.

“Mudahan-mudahan dengan amalan itu membolehkan negeri kita terus maju dan makmur buat selama-lamanya. Kita percaya dengan semangat kesatuan dan penyatuan, dengan usahasama kita semua dalam memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dapat memastikan Terengganu terus dipacu dan dibangunkan sekali gus dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Majlis Hari Raya TSC meriah dan berwarna-warni.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada TCS yang menjadi tulang belakang kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri ketika ini. Begitu juga terima kasih kepada bekas TCS kerana sumbangan bakti selama ini dan masih tidak putus-putus memberikan khidmat bakti, nasihat dan pandangan selain berpesatuan bagi menjaga kebajikan ahli bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Keluarga dan Majlis Hari Raya Persatuan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam.

Menteri Besar dan isteri menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Haji Mohd Kamil Othman.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kekuatan dan semangat perpaduan yang dibentuk dalam persatuan di kalangan TCS serta bekas TCS juga mampu merealisasikan hasrat kerajaan dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan negeri.




Selain itu, majlis itu menurut beliau, boleh menjadi wadah bagi menyatukan dan mengumpul semua TCS yang jarang berjumpa ketika waktu pejabat disebabkan komitmen tugas dan kekangan waktu sebelum ini.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi ahli TCS, saya menyanjung tinggi dengan usaha yang dilakukan oleh persatuan untuk mengadakan hari keluarga sempena sambutan hari raya pada tahun ini.

“ Sesungguhnya ini menjadi wadah bertemu, bersua muka kerana walaupun kita berada dalam satu bumbung tetapi kadangkala amat jarang bertemu, apatah lagi dalam keadaan hilai ketawa menjalankan tugas, ada tersentuh dan tersinggung perasaan di kalangan kita. Inilah masa terbaik untuk memohon maaf anatara satu sama lain,” katanya.




Dato’ Seri Shahrizat rasmi Persidangan Wanita Hulu Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil akan merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu bertempat Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang, jam 10 pagi esok (7 September).

Dato’ Seri Shahrizat kemudiannya akan menghadiri program ‘Salam Sayang’ Pergerakan Wanita negeri di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada jam 3 petang.

Sementara itu, pada tarikh yang sama Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiu turut bersidang bertempat di SMK Tengku Ibrahim, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan. Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said pula akan merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Bahagian Kuala Nerus bertempat di SMK Ibrahim Fikri Seberang Takir, jam 9 pagi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Maznah Mazlan pula akan merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Dungun 8 September (Sabtu) bertempat di Dewan Majlis Daerah Dungun kira-kira jam 10 pagi.




JKNT anjur Karnival Keselamatan Makanan 1Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan mengadakan Karnival Keselamatan Makanan 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran Kuala Terengganu bermula 6 hingga 8 September ini.

Karnival yang bertemakan ` Keselamatan Makanan Tanggungjawab Semua’ anjuran bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNT dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berlangsung jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Sementara perasmian karnival pada 6 September (Khamis) jam 10.00 pagi di Galeri A, TTC.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman, berkata karnival bertujuan memberikan pendedahan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam bidang makanan,pelajar-pelajar, guru-guru dan orang awam mengenai aspek keselamatan, kebersihan dan kualiti makanan di sepanjang rantaian makanan.

“Kami menyarankan agar pengilang makanan (IKS/EKS), pelajar sekolah/institusi pengajian tinggi awam dan swasta, penjawat awam dan orang ramai turut menyertai Karnival Keselamatan Makanan 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu pada 2012 ini.

“Antara pengisian program dan faedah karnival itu adalah ceramah keselamatan dan kualiti makanan, penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan Premis Makanan 2012 bagi kategori restoran, kategori keropok lekor, kategori gerai di zon tumpuan penjaja dan kategori zon penjaja tumpuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Turut diadakan, pertandingan mewarna kanak-kanak pra sekolah dan sekolah rendah tahap I, `germ buster’ dan `giant games’, pertandingan teka lihat, hidu dan rasa, pameran kesihatan oleh keselamatan makanan, pemakanan, farmasi dan NCD, pameran agensi luar, bimbingan oleh Fama, Jabatan Pertanian, YPU, Mardi,Ketengah,UniSZa dan UMT.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma, pembimbingan keselamatan makanan pembungkusan, pelabelan, GMP dan HACCP, Pendaftaran FOSIM DOMESTIK secara online serta kuiz kesihatan, gerai jualan dan cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.




1,061 unit rumah untuk penduduk Hulu Terengganu


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri menyediakan 1,061 unit rumah kos rendah dan rumah mampu milik di kawasan Parlimen Hulu Terengganu dalam tempoh empat tahun lalu, bagi menyediakan kediaman lebih selesa kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata empat projek perumahan bernilai kira-kira RM98.5 juta dilaksanakan dalam tempoh berkenaan dan kesemua projek tersebut kini siap sepenuhnya.

Beliau berkata, semua keluarga yang terpilih bagi membeli rumah-rumah berkenaan kini menunggu masa untuk mendudukinya.

“Kerajaan akan melaksanakan dua projek perumahan lagi sebelum pilihan raya akan datang, iaitu 300 unit rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan 300 unit di DUN Kuala Berang,” katanya ketika berucap pada Majlis Raya Perdana Daerah Hulu Terengganu di Padang Astaka, Kuala Berang, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Yang Dipertua Dewan Udangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan saf kepimpinan negeri.

Sebelum itu, Menteri Besar mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Pejabat Daerah Hulu Terengganu.

Beliau berkata, sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat untuk memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), 600 unit rumah lagi akan dibina di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

“Saya harap penduduk di kawasan Parlimen ini memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada caln-calon BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan Hulu Terengganu, termasuk memajukan Tasik Kenyir bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, pada masa yang sama beliau berharap pembangunan Tasik Kenyir akan menyediakan lebih banyak peluang pernigaan kepada penduduk kawasan itu dan memajukannya dari semasa ke semasa.



05 September 2012

Pesta Makanan Terengganu di Seri Pasific Hotel

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak untuk mempromosikan produk makanan tradisional dan kebudayaan sebagai usaha merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu.


Dato' Abdul Rahin menyediakan hidangan keropok lekor di majlis perasmian Pesta makanan Terengganu dan Tahun melawat Terengganu 2013 di hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, pelancongan berasaskan makanan dan kebudayaan merupakan salah satu cabang dalam industri pelancongan yang semakin diminati ramai.

Menurutnya, inisiatif Seri Pasific Hotel Kuala Lumpur bekerjasama dengan Hotel Primula, Terengganu menganjurkan Pesta Makanan dan Kebudayaan Terengganu di ibu kota itu merupakan langkah terbaik dalam merancakkan industri pelancongan kedua-dua negeri.

“Ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan di atas usaha progresif untuk memajukan lagi industri pelancongan negeri dan negara,” katanya semasa merasmian Pesta Makanan dan Kebudayaan Terengganu di Seri Pasific Hotel Kuala Lumpur, malam tadi.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar; ADUN Tepoh, YB. Muhammad Ramli Nuh; Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali; Timbalan Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Azizan Noordin dan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima, Dato’ Ahmad A. Talib.

Dato’ Abdul Rahin berkata, pesta yang bermula 4 hingga 10 September itu merupakan permulaan acara promosi Tahun Melawat Terengganu 2013 serta lanjutan kepada program sama yang diadakan di Terengganu dan Melaka tahun sebelumnya.

Beliau berkata, penduduk sekitar Kuala Lumpur dan pelancong asing dialu-alukan untuk datang ke Seri Pasific Hotel bagi merasai dan menikmati keunikan makanan dan kebudayaan Terengganu.

Katanya, promosi selama seminggu itu melibatkan penyediaan masakan Terengganu yang didatangkan khas oleh dua chef terkemuka dari Hotel Primula iaitu Chef Mohd Ariffin Minggu dan Chef Ahmad Sabri Kadir.

“Juadah yang pasti menambat selera termasuklah Nasi Dagang, Singgang Sotong, Ayam Kerutub Terengganu dan Telur Itik Masak Lemak.

“Turut disediakan pelbagai kuih-muih tradisional seperti Akok, Lepat Pisang, Belebab Pisang, Poli Ubi Kayu, Tok Aji Serban, Lompat Tikam, Mas Jemput, Laksam, Rojak Betik, Satar, Ketupat Sotong, Otak-Otak dan Kerepok Lekor,” katanya.

Selain makanan kata Dato’ Abdul Rahin, orang ramai juga berpeluang untuk melihat hasil kraf tangan pengusaha batik serta songket Terengganu yang disediakan di lobi hotel berkenaan.


MBKT proses akhir pastikan Taman Panorama beroperasi sebelum 2013

Oleh: Aida Abd Rahman
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini dalam proses penilaian akhir untuk melantik syarikat pengendali Taman Panorama , Bukit Pak Apil bagi memastikan lokasi pelancongan baru Terengganu itu mampu beroperasi sebelum 2013.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata pihaknya sedang meneliti secara terperinci sebelum menentukan mana-mana syarikat yang layak daripada tiga syarikat yang terdapat dalam senarai akhir permohonan tender berkenaan .

“MBKT akan melihat kemampuan syarikat berkenaan, jika hanya mampu urus kafe atau restoran sahaja, kita akan menguruskan kawasan lain keseluruhan bukit itu.

“Untuk jangka panjang, jika syarikat itu berkeupayaan, kita akan menyerahkan pengurusan keseluruhan lokasi yang dilengkapi kemudahan dan prasarana moden termasuk pusat rekreasi, laluan pejalan kaki, pondok rehat, menara tinjau serta taman orkid berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui selepas Jamuan Hari Raya MBKT, di Batu Burok, baru-baru ini.

Menurut Dato’ Adzlan, restoran dikenali sebagai panorama kafe mampu menampung 200 pengunjung pada satu masa dibina bagi menarik minat pelancong tempatan dan luar negara bertandang ke taman itu.

Selain itu, katanya pembangunan fasa pertama taman yang membabitkan peruntukan RM7.5 juta dilaksanakan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

“Kita yakin pengunjung pasti teruja apabila berada di bukit berkenaan kerana hampir keseluruhan kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu boleh dilihat melalui menara tinjau di taman itu,” katanya.

“Selain pusat pelancongan lain seperti seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Chendering, Taman Tamadun Islam, Pulau Warisan, Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok , kewujudan Taman Panorama bakal menjadi satu lagi tarikan pengunjung ke sini,” katanya.



Pelabur asing rancang projek ternakan udang besar-besaran di Mercang

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Orang ramai berebut mendapatkan aiskrim yang diagihkan Menteri Besar.

Sebuah syarikat asing dari China akan melaksanakan projek ternakan udang secara besar-besaran di Mercang, Marang, melibatkan kos sebanyak RM1.082 bilion, tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata syarikat berkenaan yang bakal mengadakan usahasama dengan syarikat tempatan akan melaksanakan projek tersebut di Kampung Pasir Putih, melibatkan tanah seluas 1,090 hektar.

“Projek ini yang dijangka dimulakan sebelum akhir tahun ini, akan menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Raya Perdana Daerah Hulu Terengganu di Padang Astaka, Kuala Berang, hari ini.

Ribuan penduduk membanjiri Padang Astaka Kuala Berang pada sambutan Majlis Raya Perdana Daerah Hulu Terengganu.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Yang Dipertua Dewan Udangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan saf kepimpinan negeri.

Sebelum itu, Menteri Besar mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Pejabat Daerah Hulu Terengganu.

Beliau berkata, permohonan syarikat berkenaan untuk melabur di bidang akuakultur marin telah diluluskan oleh mesyuarat Exco hari ini.


Syarikat tersebut merupakan pengeluar udang terbesar di negara China dan mempunyai rangkaian pasaran meluas di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan negara China sendiri.

“Sebelum ini, kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan projek ternakan udang bersepadu di Setiu yang dikenali sebagai ‘Intergrated Shrimp Aquaculture (i-SHARP) yang dilaksanakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad di kawasan seluas 1,000 hektar,” katanya.

Projek berkenaan akan mula beroperasi pada tahun 2014 dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada 1,140 penduduk di sekitar daerah Besut dan Setiu.


Menteri Besar berkata, selepas kedua-dua projek ini beroperasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Terengganu bakal menjadi pengeluar udang terbesar di negara ini.

“Inilah usaha yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional untuk menarik pelabur asing datang ke Terengganu dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.




Pejabat Mara sementara di TTC

Oleh: Aida Abd Rahman
Susulan insiden kebakaran bangunan Mara pada 1 September lalu, Pejabat Mara Negeri Terengganu kini beroperasi sementara di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula 3 September lalu.

Pengarahnya, Encik Abdullah Muhamad, menjelaskan pejabat transit Mara di TTC yang dijangka akan beroperasi selama sebulan boleh dikunjungi mana-mana usahawan atau orang ramai yang mempunyai urusan dengan Mara dalam tempoh terdekat ini.

“Walaupun ditimpa musibah, tetapi kita tetap beroperasi seberapa segera kerana banyak permohonan dan urusan yang perlu diselesaikan, apatah lagi membabitkan pinjaman pelajaran dan usahawan.

“Pada masa sama, kita juga membuat pengubahsuaian di bangunan KWSP, yang mana akan menyewa sementara. Kita harapkan akan dapat masuk segera ke tempat baru apabila siap pengubahsuaian.

“Cuma untuk sementara waktu ini, mana-mana pelajar atau usahawan yang ingin berurusan dengan Mara, boleh datang ke TTC dan berjumpa pegawai berkaitan. Kita juga akan memasang kain rentang bagi memudahkan orang ramai mengetahui perpindahan sementara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Aidilfitri Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di TTC, Kuala Terengganu, semalam (4 September).

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Dalam kejadian pada 1 September lalu, Pejabat Mara Negeri yang terletak berdekatan Taman Syahbandar, Kuala Terengganu terbakar yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.25 pagi dan dalam kejadian itu, tingkat atas bangunan yang berusia 40 tahun itu hangus dijilat api, dipercayai merebak daripada sebuah rumah kedai terbiar yang terletak bersebelahan bangunan itu.

Encik Abdullah berkata, bangunan tersebut menempatkan Pejabat Mara Negeri dan Pejabat Mara Daerah Kuala Terengganu.



Penduduk DUN Jabi tidak sabar menunggu ketibaan Perdana Menteri



Oleh: Mohammad Ishak 

Penduduk di Kawasan Parlimen Setiu dan Besut khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi tidak sabar untuk melihat dan bertemu pemimpin negara,Yang Amat Berhormat Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak berkunjung ke kawasan berkenaan esok.

Program Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang akan berlangsung di Padang Bola Kampung Tempinis,Tasik Tok Lebai,Renik,dekat Jabi itu dijangka dijadiri lebih 30,000 penduduk negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Ramlan Ali, berkata kehadiran Perdana Menteri dan isteri ke kawasan berkenaan mencatat sejarah kerana sebelum ini bekas Perdana Menteri,Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah hadir ke DUN berkenaan.

Katanya, penduduk dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan bekerja keras untuk mempastikan program berkenaan berjalan lancar dan dihadiri ramai rakyat bukan sahaja dari daerah Besut dan Setiu tetapi juga seluruh negeri ini.

Menurutnya, Perdana Menteri dijangka tiba di tempat program kira-kira jam 11.30 pagi yang akan disambut dengan perarakan bungga manggar,pulut kuning dan persembahan silat.

Selain Perdana Menteri, program itu juga akan dihadiri Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’Seri Ahmad Said dan isteri serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Ramlan berkata,sempena kehadiran Perdana Menteri, beliau juga akan menyampaikan duit raya kepada anak yatim, Orang Kelanian Upaya (OKU),warga emas dan ibu tunggal yang terpilih.

Orang ramai yang hadir juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan SUKTRA dari Kuala Terengganu dan GAMUTERA dari Besut serta pelbagai hadiah menunggu menerusi acara cabutan bertuah.

PMINT wujud projek fasa lima di KP Perdana

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) terus berusaha menambah projek hartanah baru di KP Perdana, di Kubang Parit, Kuala Terengganu dengan mewujudkan pembangunan fasa ke 5.

Projek yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat, membabitkan 144 unit rumah berkembar dua tingkat itu sebagai kesinambungan kepada projek sedia ada iaitu fasa satu hingga empat.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda (gambar) berkata, kira-kira RM30 juta akan dibelanjakan bagi menyiapkan projek di kawasan seluas 1.4 hektar itu.

“Langkah itu menggambarkan keseriusan kerajaan negeri bersama PMINT untuk menyediakan kemudahan perumahan kepada rakyat.

“Apa yang membanggakan, keseluruhan projek sama ada berskala besar mahu pun kecil mampu disiapkan dalam tempoh ditetapkan sekaligus dapat mengelak dikenakan penalti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PMINT di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Kira-kira 150 tetamu istimewa terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal dijemput khas bagi menerima sumbangan duit raya dan hamper.

Hadir sama, lebih 2,000 jemputan dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pelanggan PMINT serta penduduk sekitar Kuala Terengganu .

Rata-rata mereka dilihat berselera menikmati pelbagai juadah, termasuk nasi dagang, nasi minyak, tapai, lemang, ketupat, rendang, asam gumpal dan pelbagai jenis kek serta biskut raya.

Dato’ Haji Osman turut memberitahu projek lain yang bakal dibangunkan, lapan unit rumah kedai empat tingkat membabitkan kos keseluruhan RM6.5 juta.

“Tapak yang dicadangkan untuk pembangunan itu, bertempat di Kampung Pak Sabah, Dungun,” katanya.

“Pmint juga akan membina tempat letak kereta bertingkat di Jalan Engku Embong Fatimah, Kuala Terengganu sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di kawasan bandar raya.

“Kemudahan setinggi 10 tingkat itu akan mengadungi 700 lot tempat letak kereta berada di tingkat 1 hingga tingkat 6 dan lapan lot kedai di tingkat 1,” katanya.

“Manakala kemudahan lain iaitu pusat boling yang mempunyai 30 lorong ditempatkan di tingkat 7 dan 10 dewan panggung payang berada di tingkat 8 hingga tingkat 10,” katanya.