Halaman

27 August 2012

Lebih 6,000 tertamu hadir Majlis Sambutan Merdeka Raya PDKT

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terenganu (PDKT) tidak pernah ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Merdeka Raya setiap kali menjelang Syawal bagi meraikan penduduk sekitar Kuala Terengganu dan pelanggan pejabat itu.



Lebih 6,000 tetamu termasuk 25 penghuni Taman Sinar Harapan (TSH), Bukit Besar, Kuala Terengganu hadir pada majlis yang bermula jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu.



Pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional Terengganu dihidang kepada tetamu termasuk nasi dagang, nasi minyak, tapai pulut, ketupat pulut, mee kari, laksa Terengganu, nasi himpit dan pelbagai jenis biskut raya.

Pegawai Daerah PDKT, Haji Nawawi Wan Ismail, berkata majlis seumpama ini menjadi program tahunan kepada PDKT untuk meraikan orang ramai dan pelanggan.

“Apa yang istimewanya, kita bukan saja menyelitkan replika ketupat nasi pada kanopi malah turut memasang bendera Malaysia sebagai menyokong saranan kerajaan, selain menyuburkan lagi semangat kemerdekaan.

“Majlis kali ini pun, kita mempunyai temanya tersendiri iaitu `Kegembiraan dan
Keceriaan Hari Raya Dalam Suasana Sebenar Menyambut Kemerdekaan’,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu, di perkarangan PDKT, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, dia ingin berpesan kepada kakitangan khususnya penduduk seluruh Terengganu supaya setia kepada kerajaan sedia ada jika ingin terus merasai kemakmuran dan keamanan.



“Kepada generasi merdeka diharap tidak melupakan jasa-jasa pemimpin terdahulu dan yang ada sekarang, ingat jasa mereka yang banyak berkorban demi menjaga kedamaian negeri dan negara.

“Jangan mudah percaya segala hasutan dan fitnah yang dilempar pihak tertentu kerana mengetahui mereka berniat jahat dan apa yang dilakukan itu semata-mata ingin merosakkan keharmonian Terengganu dan negara,” katanya.


Terengganu cadang wujud Kolej Pengajian Kinesiologi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang membina Kolej Pengajian Kinesiologi Terengganu bagi mewujudkan saluran untuk pembangunan sukan yang lebih holistik dan berkesinambungan pada masa depan.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSN) Encik Ibni Amin Busu, berkata MSN berperanan merealisasikan hasrat membina pusat pengajian tinggi itu sebagai kesinambungan kepada usaha membudayakan sukan di negeri ini.

“Berdasarkan objektif Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu bermula 2010 hingga 2020, MSNT akan menggerakkan usaha secara bersepadu bagi mewujudkan kolej yang bakal merancakkan lagi pembangunan sukan negeri merangkumi aspek membuka peluang pengajian tinggi yang lebih terbuka kepada atlet negeri ini yang memiliki potensi tinggi.

“Malah, penubuhannya nanti akan melahirkan generasi atlet yang berdaya saing serta mempunyai tahap intelek yang tinggi dalam sukan,” katanya.

Selain itu, Encik Ibni berkata, kolej berkenaan juga dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang sukan.

Katanya, pusat pengajian itu juga mampu menyemai kesedaran kepada masyarakat mengenai potensi bidang sukan sebagai satu kerjaya, sekali gus menawarkan program akademik jangka panjang dan jangka pendek bagi meningkatkan tahap profesional jurulatih, pentadbir serta pegawai sukan.

“Kolej berkenaan menjadi satu platform bagi penyelidikan saintifik yang dapat menggalakkan budaya penyelidikan sukan. Pada masa yang sama, ia juga mempromosi Terengganu sebagai hab untuk pendidikan sukan,” katanya.



Penghuni TSH dirai

Oleh: Suriati Ali

Nasib penghuni Taman Sinar Harapan (TSH), Bukit Besar, Kuala Terengganu tidak dilupakan apabila turut dirai dan disambut `bak’ tertamu kehormat pada Majlis Sambutan Merdeka Raya di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terenganu (PDKT)Jalan Sultan Mohamad, hari ini.

Lebih mengembirakan, seramai 25 penghuni dari taman itu diberi peluang memotong kek hari raya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana sudi hadir.

Pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional Terengganu dihidang termasuk nasi dagang, nasi minyak, tapai pulut, ketupat pulut, mee kari, laksa Terengganu, nasi himpit dan pelbagai jenis biskut raya.

Pegawai Daerah PDKT, Haji Nawawi Wan Ismail bersama beberapa kakitangannya mengambil kesempatan beramah mesra dan mengagihkan sumbangan duit raya.

Menurut Haji Nawawi berkata, pihaknya tidak pernah melupakan penghuni TSH setiap kali mengadakan majlis seumpama ini.

“Mereka bukan saja dihidang dengan pelbagai juadah istimewa malah diberi sedikir sumbangan duit raya,” katanya.


JKKK Jalan Tekukur wakil Parlimen Kampung Merdeka 2012

Oleh: Aida Abd Rahman
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Tekukur, Kuala Terengganu menyediakan lebih 2,000 helai bendera bagi diagihkan kepada setiap penduduk kampung sempena pertandingan Kampung Merdeka dan Anugerah Desa Sejahtera 2012.

Kampung berkenaan terpilih mewakili Parlimen Kuala Terengganu dalam pertandingan anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 13 Ogos lalu sempena sambutan kemerdekaan ke-55 selepas memenangi Kampung Bersih dan Ceria peringkat negeri (kategori dalam kawasan operasi) 2012, baru-baru ini.

Pengerusi JKKK, Hajah Arpah Othman berkata, kampung yang turut memenangi kategori Kebersihan Persekitaran Dalam Kawasan kampung, Keceriaan Landskap, Kawalan Vektor dan Kepimpinan kini dihiasi dengan kibaran jalur gemilang di setiap sudut kampung dalam pelbagai saiz sejak mendapat pencalonan dalam pertandingan yang berlangsung sebulan itu.

“Setiap rumah kita bekalkan bendera supaya mereka mengambil tanggungjawab mengibar dan menaikkan bendera di rumah masing-masing. Selain itu, kita juga hiasi bendera di tepi-tepi jalan dan premis kerajaan termasuk balai raya.

“Semua penduduk terutama golongan muda saling bermuafakat dan bekerjasama menaik dan menggantungkan bendera di kawasan strategik dengan kreativiti masing-masing,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri JKKK Jalan Tekukur, hari ini.

Malah, kemuncak pertandingan JKKK berkenaan turut menaikkan 55 wau bendera Jalur Gemilang bermula dari pintu gerbang laluan masuk ke kampung itu sebagai simbolik sambutan Kemerdekaan negara ke-55.

Hajah Arpah berkata, selain memastikan pengalaman pertama menyertai pertandingan Kampung Merdeka sebagai batu loncatan meneruskan kesinambungan kejayaan, program itu juga dapat menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan penduduk.

Katanya, menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan itu turut menguatkan lagi persefahaman dan sikap berganding bahu di kalangan komuniti tanpa mengira latar belakang dan usia.

Menurutnya, JKKK Jalan Tekukur juga akan menyertai perbarisan sempena sambutan kemerdekaan peringkat negeri pada 31 Ogos ini dengan mengetengahkan kelainan termasuk menampilkan seorang anak kecil yang lahir pada tarikh kemerdekaan itu mengenakan kostum Jalur Gemilang untuk sama-sama dalam kumpulan perbarisan.




Lebih 8,000 tetamu ke rumah terbuka YB Khazan

Oleh; Esah Abdullah



Lebih 15 menu disediakan untuk tetamu di majlis rumah terbuka Aidilfitri Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

Nasi dagang, nasi minyak, satay, laksa, ketupat, tapai dan pelbagai kuih muih termasuk ais krim antara menu wajib yang dihidangkan untuk para tetamu yang terdiri dari pelbagai golongan.



Kemeriahan dan keceriaan lebih tetamu 8,000 yang hadir jelas terbayang apabila berkesempatan bersalam-salaman dengan pemimpin yang mereka kasihi serta berpeluang bertemu orang ramai dari berlainan kampung.

Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Adun Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw yang bersama meraikan hari kemenangan bagi umat Islam itu.



Kehadiran orang ramai yang mewakili 30 buah kampung dalam Dun Batu Rakit dilihat lebih meriah tahun ini di tambah pula dengan kehadiran pemimpin parti dari luar kawasan.




26 August 2012

Penduduk Marang kunjungi rumah terbuka `giant killer'

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 10,000 tetamu membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar, di Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, semalam (25 Ogos).



Turut hadir memeriahkan majlis anjuran bekas Ahli Parlimen Marang dan isteri, Datin Robiah Hitam itu adalah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud serta anak-anak, kira-kira jam 1.30 petang.



Hadir sama, Ketua Bahagian Umno Marang, Dato' Yahya Khatib Mohamad merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Saiful Bahri Baharuddin dan beberapa pemimpin politik serta pegawai kanan kerajaan .

Dalam kunjungan itu, Menteri Besar mengucapkan terima kasih dengan jemputan dan kehadiran penduduk tempatan yang memeriahkan sambutan rumah terbuka anjuran pemimpin yang pernah digelar `giant killer’ berkenaan.



“Majlis seumpama ini mampu mengeratkan hubungan antara kita khususnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, berlainan parti dan ideologi.

“Bagaimanapun, di kesempatan ini saya berharap penduduk di sekitar Marang ini merenung semula sejarah dan perkembangan semasa di sekeliling kita mengenai apa yang sudah kerajaan Barisan nasional (BN) laksanakan hari ini yang memberi pelbagai manfaat kepada kehidupan kita dari kecil sehingga dewasa,” katanya.

Beliau berkata, jika penduduk Marang memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, lebih banyak kemajuan dan pembangunan dapat dilaksanakan selaras dengan kesinambungan pentadbiran di peringkat Parlimen, negeri mahu pun Pusat.




Bina jalan dan jambatan baru, elak kesesakan-MB


Masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud dan sekitar pusat bandar raya ini dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun lagi apabila empat jambatan baru akan dibina dan siap dalam tempoh itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika memberi jaminan itu berkata, empat jambatan itu adalah Jambatan Manir, Jambatan Seberang Takir, Jambatan Bukit Tumbuh dan Jambatan Pulau Sekati di Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan memohon kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi membantu projek pembinaan kesemua jambatan berkenaan termasuk dari segi kos.

Dato’ Ahmad Said berkata pembinaan dua jambatan akan diberi keutamaan iaitu jambatan yang menghubungkan Seberang Takir dengan pusat bandar dan jambatan Kampung Losong yang menghubungkan Pulau Sekati dan Teluk Pasu.

"Bagi jambatan Seberang Takir-pusat bandar, kini kerja-kerja reka bentuk peringkat akhir sedang dalam proses untuk disiapkan manakala pengeluaran tender akan dikeluarkan pertengahan tahun depan.

"Bagi jambatan Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu, kerja awal di tapak pembinaan sedang berjalan. kedua-dua jambatan berkenaan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka hari raya Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman di Seberang Takir, semalam.





SBM atur aktiviti lepas raya

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu merancang mengadakan lima program untuk ahli bermula bulan depan.

Pengerusinya, Mohamad Abdul Nasir Malek berkata, sambutan hari keluarga SBM akan diadakan di kawasan Air Terjun Sekayu, Kuala Berang pada 8 September depan.

“Kita juga akan menganjurkan kursus bebekam selama dua hari mulai 15 September ini untuk ahli yang berminat menjadikankannya satu kerjaya bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Menurutnya, usaha sentiasa dibuat untuk memberi peluang mereka mencari pengalaman dan mampu berdikari tanpa mengharap bantuan semata-mata,” katanya.

Katanya, ahli-ahli juga dipelawa ke majlis bersama Perdana Menteri di PWTC Kuala Lumpur pada 23 September dan lawatan bermaklumat ke Parlimen Kuala Lumpur pada 27 dan 29 September.

“Bagi sambutan ‘hari tongkat putih’ semua peserta diminta berkumpul di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu pada 20 Oktober jam 7 pagi,” katanya.

Katanya, kepada ahli yang ingin menyertai aktiviti di atas, diminta berhubung dengan pejabat SBM untuk pengesahan kehadiran.





DILEMA PAS DAN DAP

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

Amat serba salah bagi Pas dan DAP. Bagi Pas untuk memastikan hubungan mereka dengan DAP terjalin baik dalam pakatan pembangkang, mereka harus melupakan soal hudud dan negara Islam. Justeru sokongan bukan Islam dalam DAP amat tinggi kepada pakatan mereka jika Pas melupakan dua perkara asas perjuangan Pas sebelum ini.

Oleh kerana mahu sokongan bukan Islamlah, Presiden Pas Dato’ Seri Haji Hadi Awang sanggup melupakan perjuangannya selama ini untuk membentuk negara Islam. Untuk menghalalkan tindakannya itu, Haji Hadi mengatakan tuntutan menegakkan negara Islam tidak ada pun di dalam al-Quran.

Berikutan itu sokongan orang bukan Islam, khususnya dalam pakatan pembangkang menjadi bertambah bila Pas menggugurkan hasrat itu. Maka tersenyum lebarlah pimpinan DAP kerana rakan pakatan mereka sanggup menggugurkan asas perjuangan, iaitu untuk menegakkan negara Islam, sekaligus perundangan Islam.

Sedangkan selama ini, pemimpin Pas termasuk Haji Hadi sendiri mengkafirkan orang Umno atas asas kononnya menolak negara dan perundangan Islam yang menurutnya ditetapkan di dalam al-Quran.

Sesiapa yang menolak hukum Allah yang telah ditetapkan, maka kufurlah ia, demikian hujah pemimpin Pas suatu masa dulu dengan memetik beberapa ayat al-Quran berkaitan.
Tita-tiba tanpa disangka-sangka Pas dan Haji Hadi sanggup menggugurkan perjuangan asasnya itu demi menjaga hubungan dengan DAP.

Justeru itu, saham dan sokongan umat Islam, termasuk ahli Pas sendiri kepada parti itu, hari demi hari semakin menurun dan merosot.

Indeks menunjukkan Pas sudah tidak diyakini lagi, bahkan terdapat segelintir dari pimpinan mereka menentang tindakan menolak perjuangan bagi mewujudkan negara Islam itu.

Menyedari keadaan ini, pemimpin Pas sedar kalau keadaan ini berterusan boleh menjejaskan sokongan orang Islam terhadap parti itu.

Betul, sokongan bukan Islam meningkatkan kepada Pas dan pakatan mereka bila menggugurkan perjuangan negara Islam dan ditukarkan kepada negara kebajikan sahaja, tetapi salahnya sokongan umat Islam kepada parti itu kian merosot.

Akhirnya, Pas terpaksa membuka mulut semula, kononnya parti itu tetap memperjuangkan perundangan Islam, khususnya hukum hudud, dengan menuduh Umno menolak hudud.

Harapannya dengan berbuat demikian, sokongan kepada Pas oleh umat Islam dapat dikembalikan.

Tetapi pemimpin DAP menentang habis-habiskan bila Pas bersuara semula tentang hudud dan negara Islam yang sememangnya tiada dijanjikan dalam Buku Jingga, iaitu suatu perjanjian yang ditandatangani bersama, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR), Lim Kit Siang (DAP) dan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas).

Jika lagu ini dimainkan kembali oleh Pas, sokongan kaum Cina dan lain lain bukan Islam dalam DAP itu akan merosot, sebab itu DAP dan pakatan pembangkang terpaksa menentang habis-habisan.

Karpal Singh (DAP) yang pernah mengatakan langkah mayatnya dulu jika nak laksanakan hudud mengulangi kata kata bahawa undang undang Islam itu mustahil dilaksanakan di Malaysia, malah menempelak Pas dengan mengatakan hudud tidak mampu basmi jenayah.

Tetapi nampaknya Haji Hadi amat takut kepada Karpal dengan hanya berkata semalam dalam satu sidang akhbar bahawa Karpal hanya menentang dan tidak setuju hudud dan negara Islam,” itu hak dia, itulah demokrasi dan Pas menyokong demokrasi”.

Alahai lembutnya kalau dengan DAP, kalau sesama Islam (Umno) bukan main keras lagi, sehingga sanggup kafirkan orang Umno.

Dulu Haji Hadi menolak sebarang idealogi, kerana katanya yang diterimanya hanya ideologi Islam (lihat tulisan beliau dalam buku-buku beliau sebelum ini), tetapi sekarang dengan mudahnya menerima ideologi “demokrasi”.

Bila Pas bersuara lagi tentang hudud, Dato’ Seri Anwar mengingatkan hudud dan negara Islam tiada dalam agenda pembangkang. Ini semua kerana bimbang sokongan bukan Islam kepada pakatan akan terjejas, berikutan tindakan Pas cuba menghidupkan kembali hudud dan negara Islam.

Kesimpulannya, asas pakatan pembangkang menjadi tidak menentu, belum apa apa lagi mereka sudah bercanggah sesama sendiri, kerana kepentingan yang berlainan.

Pas, jika tidak menjaja perjuangan hudud dan negara Islam akan ditolak oleh pengikut dan penyokongnya, tetapi untung bagi DAP bagi melipatgandakan sokongan ahli dan penyokongnya yang terdiri dari bukan Islam itu.

Demikian sukarnya kedudukan pakatan PKR, DAP dan Pas dalam pakatan. Bagaimana mungkin mereka boleh bersepakat kerana yang dua (PKR) menolak dasar Islam untuk sokongan dan kekuatan dan pada masa yang sama satu pihak lagi (Pas) memerlukan imej hudud dan negara Islam untuk juga meraih sokongan (orang Islam).

Satu tambah loji, elak gangguan air

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) akan membina sebuah lagi loji rawatan air di kawasan Kuala Nerus yang dianggarkan menelan belanja RM390 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong berkata, loji itu dijangka beroperasi pada 2016 bagi menampung keperluan yang makin bertambah ekoran kepesatan penduduk.

Katanya, loji sedia ada iaitu Loji Air Kepung 1 dan Loji Air Kepong 11 serta Loji Air Losong tidak lagi mampu menampung keperluan bagi memproses air untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ketika ini loji-loji berkenaan membekalkan air di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan sebahagian Kuala Terengganu Utara (Kuala Nerus) yang kini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Loji baru itu dijangka dimulakan pembinaannya pada tahun depan dengan reka bentuk kapasiti sehingga 226 juta liter air sehari dan mampu dimanfaatkan kira-kira 200,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, persediaan itu selaras dengan langkah kerajaan negeri untuk menjadikan Kuala Nerus satu daerah baru tidak lama lagi.

“Sudah tentu pembangunan di situ akan lebih pesat dan penduduknya makin bertambah dalam tempoh yang singkat,” katanya.