Halaman

15 July 2012

Ibu tunggal dinasihatkan rebut peluang dalam bidang usahawan

Oleh: Mohammad Ishak

Kehidupan sebagai ibu tunggal tidak selalunya menghadapi kesususahan sebaliknya ramai dikalangan mereka boleh menjadi golongan yang berjaya dalam kehidupan.

Ini kerana banyak peluang kini disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan ibu tunggal terutama dalam bidang keusahawanan


 Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, ibu tunggal mampu bersaing dengan wanita yang mempunyai suami jika mereka juga diberi peluang dan peluang itu hendaklah direbut oleh ibu tunggal.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, pelbagai agensi dan jabatan kerajaan kini menyediakan ruang yang lebih kepada ibu tunggal terutama mereka yang berminag untuk menjadi usahawan berjaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Karisma Selendang Biru, Semarak Kasih Peringkat Daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, di Jertih, hari ini.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah Besut, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) dan Persatuan Ibu Tunggal Daerah Besut, bertujuan menghimpunkan ibu tunggal sekitar daerah itu. Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh serta pegawai kanan jabatan kerajaan daerah Besut.

Seramai 1,500 ibu tunggal daerah itu menghadiri program sehari yang dipenuhi dengan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Tadika, deklamasi sajak, ceramah motivasi dan persembahan marhaban.

Hasrat Anwar Undur - ADUN Pas Batu Burok sanggah Nik Aziz?

Oleh FAUZI MOHD

Hasrat Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu bersara daripada dunia politik jika tewas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin tertinggi Pas.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang dilihat menyokong pengunduran itu, sekali gus menolak tanggapan bahawa kepimpinan Pas tidak bersetuju keputusan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Syed Azman menyifatkan kenyataan Anwar mahu berundur sebagai seorang yang berjiwa besar apabila tetap dengan pendirian bersara sekiranya Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya.

Penolong Setiausaha Agong Pas itu berkata, tindakan sedemikian pernah dilakukan pemimpin-pemimpin negara asing lain yang tidak mampu mengekalkan kemenangan bagi pihak masing-masing.

“Kalau kita lihat banyak contoh-contoh sebelum ini yang dilakukan pemimpin-pemimpin negara lain yang berjiwa besar dan berundur daripada kepimpinan apabila kalah,” katanya kepada akhbar Sinar Harian semalam.

Pendirian itu membuktikan, tidak semua kepimpinan Pas ‘sehati sejiwa’ dengan Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan hasrat Anwar untuk berundur jika gagal PRU 13.

Tindak balas Syed Azman itu dikatakan mempunyai kaitan dengan rasa ‘rimas’ penyokong-penyokong Pas yang merasakan hasrat Anwar berundur merupakan satu peluang untuk parti itu ‘sapu’ wajah politik pemimpin itu dalam Pakatan Rakyat.

Anwar bukan sahaja didakwa menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat, malah imej seperti pertuduhan liwat di mahkawah, video lucah, dakwaan skandal seks dan rasuah yang dikaitkan dengan Anwar telah menyebabkan nilai perjuangan Pas rosak teruk.

Sebelum ini, reaksi Nik Aziz menyebut, “Saya kurang bersetuju jika dengan hasrat beliau (Anwar) untuk bersara”.

“Berjuanglah di medan politik dan teruskan perjuangan mengajar rakyat,” kata Menteri Besar Kelantan itu.



Terengganu tuan rumah kejohanan taekwondo sekolah-sekolah seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 600 peserta daripada lebih 100 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menyertai Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 Kuala Terengganu.

Antara negeri-negeri yang menghantar penyertaan ialah Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelanatan, Pahang dan Selangor serta Terengganu sebagai tuan rumah.

Pengerusi Kejohanan, Mohd Zarriq Mamat berkata, kejohanan yang pertama kali diadakan itu adalah anjuran SK Sultan Sulaiman 1 dengan kerjasama Kelab Taekwondo Teguh dan Kelab Pergerakan Taekwondo.

Katanya ia betujuan mencungkil bakat pelajar dalam sukan mempertahankan diri selain dapat memperingkatkan lagi kemahiran taekwondo ketika diusia muda sekaligus mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, sebanyak empat kategori diadakan yang melibatkan peringkat umur tujuh hingga sembilan, sepuluh hingga 12 tahun, 13 hingga 14 tahun dan 15 – 17 tahun.

``Selain itu, peserta yang bertanding itu juga akan dibahagikan mengikut berat badan dan peringkat umur antara 18 kilogram sehingga 78 kilogram,’’ ujarnya.

Mohd Zarriq berkata, kategori yang dipertandingkan itu meliputi fin, fly, bantam, feather, ligh, welter, light middle, middle, light heavy dan heavy.




UniSZA anjur Seminar Kualiti dan Agama

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (PPSK) akan mengadakan Seminar Kualiti dan Agama di Dewan Auditorium UniSZA, Kampus Gong Badak pada 18 Julai ini.

Dekan PPSK, Prof dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A.Latif berkata, program ini melibatkan warga UniSZA dan komuniti luar kampus seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Program berlangsung sehari itu mengundang beberapa orang tokoh ilmuan sebagai panel dalam tiga sesi perbincangan ilmiah termasuklah Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, Tuan Kamalruazmi Ismail; Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Prof Madya Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr Balkis Ab. Karim.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh akan merasmikan seminar berkenaan pada jam 9.30 pagi.




Sukma Pahang : Kepulangan wira Terengganu bakal disambut meriah

Oleh: Aida Abd Rahman
Kontinjen `Terengganu Hanelang’ yang selangkah mengesahkan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) secara rasmi buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 Pahang yang berakhir esok dijangka akan tiba di sempadan Pahang-Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi lusa (Selasa).

Ketibaan wira-wira sukan dengan diketuai Ketua Kontinjen, Haji Wan Nawawi Wan Ismail yang berjaya merekod sejarah tersendiri buat negeri dan negara selepas melepasi sasaran 47 emas itu akan disambut orang-ramai sebaik sahaja memasuki Kemaman.

Skuad Terengganu dijangka akan berarak bersama piala kejuaraan Sukma singgah di Pejabat Daerah Kemaman sebelum dibawa mengelilingi bandar Kemaman dan menikmati makan tengahari di situ.

Pada sebelah petangnya, rombongan akan bergerak ke Kuala Terengganu dan menyertai acara Pengibaran Jalur Gemilang Peringkat Negeri, di Dataran Syahbandar, kira-kira jam 9 malam.

Program pengibaran Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-55 dijangka akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sehingga petang semalam, Terengganu kian mengukuhkan cengkaman untuk mempertahankan juara keseluruhan Sukma ke- 15 Pahang apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke- 14 temasya itu dengan 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.

Kontinjen Hanelang merampas takhta Selangor sejak semalam dengan dibezakan lapan pingat emas ketika Sukma masih berbaki dua hari lagi sebelum melabuhkan tirai secara rasmi.

Sementara itu, Terengganu meraih emas ke-53 menerusi acara pentaque lelaki akhir gandingan trio Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani, Mohd Adri Abd jalil dan Syed Akmal Fikri Syed Ali, kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Sehubungan itu, orang ramai dan peminat sukan negeri diminta menyambut kepulangan atlet Terengganu di sepanjang laluan rombongan bermula dari Kemaman sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi atas pencapaian cemerlang mereka di persada sukan negara. Terengganu Hanelang!




Terengganu bangga dapat anjur Pertandingan ROBOCON 2012

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu bangga dapat menjadi tuan rumah bagi Pertandingan ROBOCON 2012 berikutan dapat memberi pendedahan baru dan tambah nilai kepada peserta dalam bidang robotik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata program seumpama ini memberi manfaat dalam usaha mengerakkan serta mencipta inovasi bagi negara, seterusnya merapatkan lagi silaturahim dan semangat kerjasama yang sedia terjalin di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Katanya, pada masa sama mampu membuktikan kehebatan kemahiran kreativiti dan inovasi setiap pasukan bertanding di dalam bidang sains dan teknologi.

“Setiap peserta atau pelajar yang menyertainya dapat menimba pengalaman berharga melalui curahan idea, kreativiti, di samping kerja keras dan semangat kerjasama yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam bagi meraikan peserta pertandingan itu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden Sirim Berhad, Ir Dr Mohamd Jamil Sulaiman; Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Zakaria Husin dan Jabatan Penerangan Terengganu Hajah Azizah Awang.

Dato’ Mazlan turut memberitahu kemajuan teknologi yang pesat mampu meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir berkualiti, berpengetahuan luas serta mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, justeru itu, keperluan terhadap tenaga kerja terlatih dan berkemahiran tinggi di dalam pelbagai bidang pekerjaan akan menjadi kritikal untuk mencapai hasrat negara meningkat pendapatan rakyat ke tahap berpendapatan tinggi.

“Oleh itu, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk membangunkan dan mengekalkan modal insane bertaraf dunia melalui budaya inovasi, peningkatan kemahiran dan berpretasi tinggi,” katanya.



61 pasukan berentap dalam Pertandingan ROBOCON 2012

oleh: Suriati Ali

Sebanyak 61 pasukan mewakili 44 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dari seluruh negara sedang menguji tahap kreativiti mereka dalam Pertandingan ROBOCON 2012 Peringkat Kebangsaan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.

Penolong Pendaftar (media) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Encik Sabri Ahmad memberitahu, ini merupakan penyertaan terbanyak sejak pertandingan tahunan yang bermula sejak 2002 dan terbuka kepada pelajar universiti, kolej dan institusi kemahiran.

Katanya, buat pertama kalinya juga Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan penganjuran kepada sebuah institusi pengajian tinggi awam dan UTM memikul tanggungjawab itu.

“Terengganu mempunyai kemudahan sesuai dipilih menjadi tuah rumah dalam pertandingan yang semakin berprestij dengan penyertaan terus meningkat malah makin mencabar keupayaan para peserta,” katanya.

Pertandingan kali ke-11 yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan SIRIM Berhad tersebut bertemakan "Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran".

UTM memenangi tujuh daripada 10 siri pertandingan robot itu yang diadakan sebelum ini, manakala tiga lagi dikuasai oleh Universiti Multimedia.

Johan keseluruhan akan menerima RM10,000 di samping RM5,000 insentif persiapan ke peringkat antarabangsa selain setiap RM3,000 bagi kejuruteraan robot terbaik, reka bentuk robot terbaik dan idea robot terbaik.

Encik Sabri turut memberitahu pertandingan di Stadium Negeri di sini yang akan berakhir pada 17 Julai ini menarik penglibatan 427 pelajar dan Terengganu turut diwakili oleh pasukan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kemaman.

“Pihak kami menyasarkan program kali ini yang terbuka kepada umum bakal dikunjungi lebih 10,000 pelawat dari seluruh negara terutama kalangan pelajar dan belia.

"Pertandingan dibawa ke sini untuk memberi pendedahan meluas terutama kepada generasi muda dalam teknologi robotik dan kejuruteraan seiring dengan perkembangan dunia sains dan teknologi.

"Ia juga dapat membantu menjana minda kreatif dan inovatif, selain menarik minat generasi muda dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka merasmikan program penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu pada petang 17 julai.

Pemenang peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong Ogos depan.



DATO' SERI HAJI AHMAD SAID MELANCARKAN PERKHIDMATAN UNIFI DI NEGERI TERENGGANU DI BALAI RAYA BUKIT KUANG KEMAMAN

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA









MENTERI BESAR DI MAJLIS PERASMIAN PENUTUP SATU KOMINITI SATU JPJ DI PADANG ASTAKA BANDAR BARU CHENEH KEMAMAN

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA











Sukma Pahang : Terengganu kukuh cengkaman pertahan kejuaraan

Oleh: Aida Abd Rahman



Terengganu kian mengukuhkan cengkaman untuk mempertahankan juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) ke – 15 Pahang apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke- 14 temasya itu dengan merangkul 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.

Kontinjen `Hanelang’ merampas takhta Selangor sejak semalam dengan perbezaan lapan pingat emas ketika Sukma masih berbaki dua hari lagi sebelum melabuhkan tirai secara rasmi.

Pungutan pingat itu juga berjaya mengatasi sasaran 47 pingat emas keseluruhan kontinjen yang digelar `kuasa baru sukan negara ‘ itu.

Selangor yang mengambil tempat Terengganu kekal menghuni tangga kedua keseluruhan dengan menggumpul 45 pingat emas, 48 perak dan 51 gangsa.

Dua daripada enam pingat emas kontinjen Terengganu semalam dilakar dari acara pencak silat menerusi Normanjalina Madon (Kelas A 45-50kg Puteri) dan Norfarana Mohd Kamil (Kelas Bebas 75-90kg Puteri).

Sebagaimana ramalan, skuad berbasikal yang menjadi lubuk emas membolot 12 pingat emas sekali gus melakar sejarah membawa pulang pingat emas terbanyak pada temasya itu kali ini sebaik sahaja acara itu menutup saingan semalam.

Dua emas berbasikal menerusi acara Kriterium 54.4km wanita yang dihasilkan Zahraa Anuawar dan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri (Kriterium 81.6km lelaki).

Baki dua lagi emas Terengganu diraih Nurul Iryani Muda (Compound perseorangan wanita pusingan olimpik) dan petanque lelaki triples (Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani/Mohamad Adri Abdul Jalil/Syed Akmal Fikri Syed Ali).

Dalam saingan semalam, Selangor hanya mengutip dua pingat emas dalam acara pencak silat menerusi Nor Afizah Yajis (Kelas E 65-70kg Puteri) dan Partini Sakrikin Adnan (Kelas B 50-55kg Puteri).

Sementara tuan rumah Pahang menduduki tangga ketiga dengan mengumpul 40 pingat emas, 32 perak dan 31 gangsa.