Halaman

28 May 2012

Payang Walk guna terminologi bahasa Melayu

Oleh: Aida Abd Rahman

Produk pelancongan baru yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri, `Payang Walk’ yang mengambil nama `Pasar Kedai Payang’ dengan pangkalnya `Walk’ adalah menggunakan terminologi bahasa Melayu, iaitu`warisan alam dan kebudayaan’, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Lebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

“Saya sudah membentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai cadangan untuk menjadikan jajaran jalan daripada Pejabat Pos Terengganu melalui Kedai Payang masuk ke Pulau Warisan, seterusnya patah balik melalui Kampung Cina dengan menjenamakan program ini sebagai Payang Walk.

“Secara kebetulan nama Payang adalah nama `Pasar Kedai Payang’, manakala Walk bagi w adalah warisan, al adalah alam dan k merupakan kebudayaan. Trimologi yang digunakan Payang Walk ini adalah trimologi Melayu dan secara kebetulan `Walk’ itu perkataan bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap sempena pelancaran pesta pantai Terengganu 2012, di Datran Syahbandar, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Dato’ Abdul Rahin berkata, program baru itu membuktikan betapa kaya warisan dan seni budaya terdapat di Terengganu yang mampu dijenamakan sebagai produk pelancongan bagi menarik tumpuan pelawat secara berterusan ke Terengganu.

Beliau turut berharap untuk melihat seni budaya dan keseniaan warisan peninggalan nenek moyang sentiasa menjadi aspirasi kepada generasi baru supaya mereka mengenal serta berbangga dengan identiti bangsa selain mampu menjadi khazanah negeri yang tersohor.

Dalam laporan sebelum ini, kerajaan negeri akan menaik taraf beberapa jalan utama sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai kawasan pelancongan yang dikenali `Payang Walk’ melibatkan laluan Pejabat Pos cawangan Terengganu, Jalan Kampung Cina hingga ke Waterfront yang dianggarkan sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Dato' Abdul Rahin berkata, pada masa ini beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi sama-sama membantu melaksanakan projek berkenaan.

“Payang Walk berkonsepkan kawasan tumpuan pelancongan bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan dan persembahan kebudayaan selain melihat keindahan warisan negeri,’’ katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, projek Payang Walk itu dijangka akan dilancarkan pada Julai ini serentak dengan pra pelancaran Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan acara berbasikal sebagai acara besar-besaran.





PMINT labur RM400 juta laksana projek pembangunan

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dijangka melabur RM400 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan hartanah, termasuk pembinaan tempat letak kereta bertingkat bagi mencantikkan bandar Kuala Terengganu pada masa depan.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda berkata, langkah itu menggambarkan keseriusan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.

"Sesetengah daripada projek ini sudah dilaksanakan seperti projek perumahan, sementara tempat letak kereta bertingkat dijangka dibina bersebelahan bangunan Wisma PMINT," katanya pada sidang media PMINT baru-baru ini.

Dato' Haji Osman berkata, projek pangsapuri kos rendah KP Perdana di Kampung Kubang Parit di sini bernilai RM141 juta, mengandungi 120 unit rumah berkelulusan 700 kaki persegi.

“Projek itu sedang menunggu kelulusan sijil menduduki (CF) dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang dijangka diperoleh bulan depan.

“Rumah tersebut dijual pada harga RM65,000 seunit dan telah ditawarkan kepada pembeli yang disenaraikan oleh bahagian perumahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Dato’ Haji Osman berkata, projek lain yang dibina adalah projek pangsapuri mampu milik Pulau Duyong yang mengandungi 11 blok dengan keseluruhan 176 unit serta keluasan lantai 844.75 kaki persegi setiap unit.

Katanya, projek pangsapuri itu juga dalam proses mendapatkan kelulusan CF dan dijual pada harga RM42,000 seunit bagi rumah kos rendah dan RM68,000 seunit bagi rumah mampu milik.

“Projek seterusnya yang sedang dilaksanakan oleh PMINT ialah projek PB (Paya Bunga) Square setinggi 19 tingkat yang menelan belanja lebih kurang RM170 juta dan dijadualkan siap pada Julai 2013,” katanya.

Dato’ Haji Osman berkata, pihaknya sedang mencari pembeli yang berpotensi untuk jualan blok hotel 19 tingkat manakala yang lain dibuka untuk permohonan sewaan yang diuruskan oleh bahagian pengurusan harta PMINT, yang kini siap 46.02 peratus.

Projek tempat letak kereta sembilan bertingkat adalah merupakan projek terbaharu yang akan dilaksanakan oleh PMINT bagi mengatasi masalah tempat letak kereta di pusat bandar raya itu terutamanya pada waktu pejabat dan cuti umum.

Beliau berkata, kawasan Jalan Engku Embong Fatimah di sini telah dipilih sebagai lokasi pembinaan tempat letak kereta bernilai kira-kira RM60 juta.

Dato’ Haji Osman berkata, ia mengandungi 718 lot tempat letak kereta, lapan lot kedai, pusat boling dan panggung wayang.



Selangor tagih air mentah dari Tasik Kenyir

Oleh: Aida Abd Rahman




Berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian, semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas mempertahankan pendirian kerajaan negeri bahawa bekalan air mentah adalah lebih penting daripada bekalan air terawat sebagai persiapan Selangor menghadapi masalah kekurangan air pada masa hadapan.

Malah, Abdul Khalid turut mencadangkan agar air mentah yang disalurkan di Selangor diambil dari Tasik Kenyir di Terengganu yang mempunyai kedalaman melebihi 100 meter dan mempunyai kapasiti menyimpan air terbanyak di seluruh Semenanjung.

Katanya penyaluran air mentah dari Tasik Kenyir adalah lebih rendah kosnya daripada menyalurkan air dari Sungai Pahang yang memerlukan pemasangan paip melalui Banjaran Titiwangsa dengan kos dianggarkan mencecah RM5 bilion.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan Surat Lanjutan Pajakan Tanah untuk 183 penduduk Shah Alam dan Surat Hak Milik Tanah untuk 27 peneroka tanah dari Bukit Cherakah, Shah Alam.

Abdul Khalid berkata kos memasang paip daripada Tasik Kenyir dianggarkan sekitar RM700 juta dengan memasang paip air bersebelahan dengan rangkaian paip saluran gas dari Terengganu ke Selangor, Pahang dan Johor yang sedia ada.

Tasik Kenyir seluas 369 km persegi mampu menakung 13.6 bilion meter padu air dibina bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik menerusi tenaga hidro. Stesen Janakuasa di Empangan Tasik Kenyir mampu menjana 400 megawatt tenaga untuk keperluan negara.

Memetik laman blog MyMassa, kenyataan terbaru itu bercanggah dengan kenyataan sebelum ini yang dibuat oleh pemimpin negeri itu di mana pada permulaan isu ini, Kerajaan Selangor memberikan alasan untuk menggunakan air lombong di sekitar negeri ini untuk menghentikan projek penyaluran air dari Pahang. Kini, MB Selangor mengemukakan cadangan untuk menggunakan air dari Tasik Kenyir pula. Satu pendirian yang `FLIP FLOP’ oleh Menteri Besar penggal pertama ini.

Selangor guna air lombong

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menggunakan air mentah dari bekas lombong di negeri itu bagi menampung keperluan air di Lembah Klang, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bercadang merawat dan menapis air dari bawah tanah, hujan dan sungai yang dilihat lebih banyak memberi manfaat serta menjimatkan berbanding projek membangunkan infrastruktur pemindahan air dari Pahang.
Selain itu, katanya, jika dilaksanakan, dakwaan pihak tertentu akan berlaku krisis air di Lembah Klang krisis air 2014 tidak tepat.

Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih tergendala selepas isu penyusunan semula industri air negeri itu melalui perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan masih gagal mencapai penyelesaian.

Isu utama dalam kemelut air Selangor bukannya air mentah tetapi AIR TERAWAT. Walaupun tinggi rizab air mentah di Selangor tetapi loji rawatan air tidak cukup, maka masalah ini tidak selesai. Bukan sahaja keperluan penduduk sahaja memerlukan air terawat, malah keperluan industri juga memerlukan air yang telah diproses melalui loji rawatan air.


Kurang Air Bersih, 129 Projek Perkilangan Di Selangor Tidak Dapat Dilaksana

TANJONG KARANG: Sebanyak 129 projek perkilangan yang menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan di Selangor tidak dapat dilaksanakan berikutan bekalan air bersih yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi pihak industri.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak dapat menyalurkan bekalan air bersih kepada kilang berkenaan ekoran kekurangan air bersih di negeri ini.

"Meskipun 129 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan RM3.8 bilion diluluskan, Syabas tidak dapat memberikan komitmen untuk menyalurkan bekalan kerana kekurangan simpanan air bersih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) peringkat Tanjong Karang oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini, Jumaat.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/4/14/mstar_berita/20120413201842&sec=mstar_berita

3. Walaupun Kerajaan Selangor mengemukakan cadangan baru iaitu mengambil sumber air mentah dari Tasik Kenyir, air tersebut juga turut perlu dirawat terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada pengguna. Oleh yang demikian, loji rawatan air yang baru seperti Loji Rawatan Air Langat 2 (untuk projek PPAMPS) perlu dibina secepat mungkin sekiranya ramalan bahawa Selangor akan mengalami krisis air pada tahun 2014 menjadi kenyataan.

4. Sikap berlengah-lengah Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja menyebabkan negeri Selangor sahaja diancam krisis air, tetapi ianya juga melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Tambahan, sikap berlengah-lengah ini juga akan menyebabkan kos projek tersebut meningkat dari tahun ke tahun (kira-kira 5% setahun).

5. Untuk memahami beza antara air mentah dan air terawat, MyMassa telah ubah suai rajah dari Puncak Niaga. Bulatan merah dalam rajah tersebut adalah proses yang akan dilakukan dalam loji rawatan air. Sekiranya Kerajaan Selangor berdegil untuk tidak membenarkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 atau seumpama dengannya, maka pengguna akan menikmati 'air mentah' berkebajikan dari Kerajaan Selangor.

6. Kepada rakyat Selangor, nilaikan sendiri tindakan Kerajaan Selangor ketika ini. Adakah cakap berpusing-pusing dan tindakan 'pi mai pi mai tang tu' akan menyelamatkan negeri ini dari dilanda krisis air pada tahun 2014? Kalau krisis air berlaku, mungkin Khalid Ibrahim pun kena angkat air macam ni.





PSTNT anjur Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Ogos ini

Dalam usaha memantapkan lagi sukan sepak takraw di negara ini, Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Ogos depan.

Pengerusi PSTN, Encik Mohd Shapian Ali berkata kejohanan itu akan menawarkan hadiah wang tunai lebih RM10,000 yang merupakan hadiah terbesar dalam kejohanan yang dianjurkan di Terengganu.

"Kejohanan ini terbuka kepada pasukan negeri, kelab dan sebagainya. Surat jemputan menyertai kejohanan yang mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan negeri itu, akan dihantar ke persatuan negeri dan kelab tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, juara kejohanan itu akan menerima RM5,000, naib juara RM3,000 manakala tempat ketiga dan keempat, masing-masing RM1,000.

Mohd Shapian berkata kerajaan negeri memberi sokongan dalam menjayakan kejohanan itu selari dengan matlamatnya untuk melihat sukan berkenaan terus berkembang di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, PSTNT sedang membuat persiapan bagi memilih pemain untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuantan, Pahang, Julai ini.





27 May 2012

Prasarana sukan RM7.4 juta untuk SMK Bukit Nenas

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan menyediakan peruntukan RM7.4 juta bagi menyediakan prasarana sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas Terengganu, Setiu bagi meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat berkata antara kemudahan sukan yang diterima sekolah itu termasuk dewan sukan serbaguna berbumbung, astaka, trek olahraga dan kerja menaik taraf padang bola sepak.

Katanya kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 setahun kepada sekolah melalui kemudahan biasiswa pelajar.

"Dengan adanya kemudahan prasarana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan prasarana sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.


MBKT sasar RM14 juta hasil cukai pintu

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) yakin sasaran RM14 juta kutipan cukai taksiran (cukai pintu) berjaya dicapai berdasarkan pencapaian memberangsangkan pada tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bahagian Penilaian Pengurusan Harta MBKT, Puan Zanila Ibrahim berkata, pihaknya berjaya memperolehi RM4 juta kutipan hasil cukai pintu dalam tempoh empat bulan pertama tahun Ini.

Katanya, melalui kaunter bergerak yang dibuka sejak Februari lalu di beberapa lokasi di bandar dan di kawasan perumahan telah memberi kemudahan kepada orang ramai membayar cukai pintu masing-masing.

“Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar membayar cukai pintu termasuk mengedarkan risalah dan sebagainya,” katanya kepada Teganukita.

Menurut Puan Zanila, tahun lalu sebanyak RM12.3 juta berjaya dikutip dan RM10.8 juta pada 2010 terdiri daripada cukai kediaman, perniagaan/industri, hotel dan juga stesen minyak.

Tambahnya, selain membayar cukai pintu di kaunter-kaunter bergerak yang disediakan, orang ramai juga boleh membuat semakan bil dan pertanyaan serta khidmat nasihat yang diperlukan.





Ukom anjur Program Mencandat Sotong

Oleh: Suriati Ali

Aktiviti mencandat sotong yang dulu menjadi punca rezeki nelayan kini melalui transformasi hingga mendapat perhatian ramai apabila diberi nilai tambah sebagai pakej pelancongan baru di Terengganu, sekali gus menjana ekonomi setempat.

Aktiviti mencandat sotong yang menjadi warisan sejak zaman-berzaman kini diiktiraf ikon pelancongan yang hanya ada di negeri ini.

Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menganjurkan Program Mencandat Sotong, Pemimpin Bersama Media 2012 di persekitaran Pulau Kapas, Kuala Terengganu, selama dua hari satu malam.

Program yang bermula hari ini disertai kira-kira 52 warga media dari pelbagai agensi, termasuk Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Berita Harian, Utusan, Sinar Harian dan Bernama.

Pemimpin yang turut serta, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Muhammad Ramli Nuh.

Semua peserta dikehendaki berkumpul di jeti pelabuhan Lembaga Perikanan Ikan Malaysia (LKIM) kira-kira jam 5 petang sebelum bertolak ke lokasi yang ditetapkan.

Pengarah Ukom Haji Shamsuddin Sulong, berkata aktiviti mencandat sotong boleh dikategorikan sebagai produk pelancongan kerana ia mampu menggamit kehadiran pengunjung

"Hasil program sebegini, ia berjaya memperkenalkan aktiviti ini kepada pelancong dalam dan luar negara yang kebanyakannya datang secara pakej.

“Apabila mereka datang ia bukan saja mampu memberi pendapatan kepada pemilik bot, malah pengusaha chalet, pemilik restoran, pemandu teksi dan peniaga kraftangan turut merasai limpahan rezeki.





Sengaja cari isu remeh kerana kehabisan modal

Oleh: Suriati Ali



Pihak pembangkang yang kini kehabisan modal sengaja mencari isu remeh dan tidak munasabah semata-mata mahu memburukkan kebenaran serta kebajikan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata semakin hebat orang BN mentabdir Terengganu makin kuat hasad dengki puak Pas.

“Apabila tengok orang BN maju, mereka akan mencipta pelbagai helah dan fitnah supaya timbul kebencian di kalangan rakyat.

Katanya, inilah sifat sebenar puak Pas sejak daripada azali lagi yang sememangnya gemar melihat pepecahan.

“Sepanjang pemerintahan Pas di kawasan yang ditakluki mereka, apa kebajikan atau pembangunan yang dilaksanakan untuk rakyat.



“Jelas mereka tidak berbuat apa-apa melainkan hanya BN sehingga kini setia berbakti kepada rakyat walaupun di kawasan kubu Pas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir di Teluk Ketapang, Seberang Takir, petang kelmarin.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To' Puan Hajah Norliza Mahmud; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir yang bernilai RM700,000 dibina hasil sumbangan penyokong parti dan orang ramai itu kini sudah 98 peratus siap.

Pelbagai program dan aktiviti bakal dilaksanakan di bangunan itu untuk kebaikan parti BN.



Pada majlis sama, seramai 178 penduduk di DUN itu menerima geran tanah bagi lot kediaman dan pertanian.



Katanya, keyakinan rakyat terhadap BN terus meningkat selepas melihat kesanggupan kepimpinan parti sanggup turun padang, menabur bakti dan mengutamakan kebajikan terhadap rakyat.

“Tiada alasan bagi puak pembangkang untuk menghentam BN, jika ada di kalangan mereka tetap menabur fitnah, ia sememangnya tabiat dan hobi yang sukar dikikis.

“ Beri atau laksana apa jua kebajikan pun, mereka tetap mencari idea dan helah untuk memburukkannya walaupun mereka sedar ia adalah untuk kebaikan bersama,” katanya.



Lonjak pelancongan sasar 4 juta pelawat TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memperkasakan usaha melonjak sektor pelancongan negeri bagi memastikan sasaran kira-kira empat juta pelancong mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) tercapai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata antara langkah bagi memastikan hasrat itu mampu direalisasikan adalah menerusi penganjuran pelbagai karnival dan pesta bertaraf antarabangsa yang mampu menarik tumpuan pelawat tempatan serta luar negara.

“Malah, masih banyak ruang dan peluang yang belum kita eksploitasi sepenuhnya terdapat di Terengganu termasuk kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, pulau dan tasik terbesar di Asia Tenggara.

“Kerajaan sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi mewujudkan infrastruktur berkaitan pelancongan yang mampu memberi faedah secara langsung kepada rakyat serta mendatangkan keuntungan lumayan kepada negeri dan rakyat Terengganu khususnya ,” katanya ketika merasmikan Pesta Pantai Terengganu, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam (25 Mei).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Menteri Besar turut berharap, jumlah kedatangan pelancong dan kemeriahan penganjuran pelbagai program tarikan pelawat tidak hanya tertumpu pada TMT 2013 sahaja, sebaliknya akan berterusan pada tahun-tahun seterusnya memandangkan sektor itu menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

Untuk rekod, sejumlah 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu pada tahun lalu, manakala sasaran 3.9 juta pelancong melawat Terengganu pada tahun ini.

Dalam perkembangan yang lain, kerajaan negeri berhasrat untuk memindahkan Pesta Pantai Terengganu ke muara utara atau Pantai Teluk Ketapang yang lebih sinonim dengan acara `main pantai’ sebagai kesinambungan warisan kebudayaan negeri ini.

“Selepas sekian lama Pesta Pantai Terengganu tidak diwujudkan, ia kini muncul kembali. Walaupun kali ini tidak benar-benar di tepi pantai, berada di tepi laut dan tepi sungai .. tiada pantai di sebelahnya. Insya-Allah, pada tahun depan kita memindahkannya ke (pantai) muara utara atau pantai Teluk Ketapang pula,” katanya.





Kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke Jedah

Oleh; Esah Abdullah



Usaha kerajaan negeri menjadikan negeri ini sebagai hab umrah dan haji di Pantai Timur dengan menyediakan kemudahan lebih luas telah terlaksana apabila seramai 450 orang jemaah berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah .



Penerbangan menggunakan pesawat Airbus 350 itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) kira-kira pukul 3.50 pagi semalam dan kumpulan ini menjadi penumpang pertama menggunakan perkhidmatan penerbangan terus ke Jedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat turut hadir menyaksikan pelepasan jemaah umrah.



Penerbangan itu susulan daripada temeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan syarikat Penerbangan Saudi Arabian Airlines pada 19 April lalu untuk meningkatkan pengendalian urusan umrah dan haji secara terus dari sini.

Usaha ini juga mendapat sambutan baik daripada panel-panel ejen pengendali umrah, haji dan pelancongan termasuk Rayhar Travel, TH Travel, Zahafiz Travel, Interleisure Travel, Asari Murni Travel, Yaskin Travel dan Imtiyaz Travel.

Penerbangan umrah kedua secara terus dari LTSM ke Jedah dan Madinah dijadual pada 19 Julai depan.