Halaman

01 January 2012

Gelombang banjir kedua mula melanda Terengganu

Oleh: Esah Abdullah



Seramai 753 mangsa banjir membabitkan 179 keluarga dari dua daerah di negeri ini iaitu Besut dan Setiu mula berpindah ke Sembilan pusat perpindahan mulai hari ini.



Keadaan hujan lebat yang turun sejak malam tadi mengakibatkan beberapa batang sungai utama dilimpahi air.

Daerah Besut paling terjejas apabila tujuh pusat perpindah dibuka membabitkan 641 mangsa daripada 151 keluarga.

Pusat perpindahan yang dibuka di daerah itu ialah Dewan Serbaguna Kampung Apal (316 orang), Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tempurung (29), Balai Raya Kampung Cabang 3 Oh (84), SK Lubuk Kawah (6), Masjid Kampung Oh (80), Pusat Perpindahan Dalam Tasek Renek (28) dan Surau Asrama Perkaya Besut (98).

Manakala daerah Setiu seramai 112 mangsa daripada 28 telah dipindahkan ke SK Kampung Besut (39) dan Masjid Guntung Luar (73).

Menurut kenyataan bilik gerakan banjir negeri, semua mangsa masih berada di pusat perpindahan banjir sehingga jam 4 petang ini.




Sikap cakna mampu gembirakan rakyat

Oleh: Suriati Ali

Sikap cakna dan keprihatinan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri Puan Harlina Ab Rashid yang tidak jemu-jemu`turun padang’ nyata mengembirakan rakyat terutama, tetamu yang dikunjungi.



Setiap kali turun padang bagi mengetahui masalah rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir itu tidak lupa menghulurkan sumbangan berupa barang keperluan dapur bagi meringankan beban.

Dalam kunjungan sempena program Pemimpin Bersama Warga Tangkas Berjuang di 18 Rijmen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Kem Seri Pantai, Seberang Takir ,semalam, 10 anggota yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) turut menerima sumbangan.

Penerima sumbangan, Koperal Zaini Tumin, 38, berkata dia terharu kerana YB Haji Ahmad Razif sudi berkongsi dan mengambil cakna masalah yang dialami anaknya, Zainul Ariffin Zaini, 9 bulan.
Zainul Ariffin yang mengalami kecacatan mata akibat barah hanya menunggu tempoh usia sesuai bagi membolehkan pegawai perubatan menjalani pembedahan mata di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, kunjungan seumpama ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan masalah yang dialami walaupun pada awalnya dia dan isteri, Siti Rahmah Kasim sukar menerima ketentuanNya.

“YB Ahmad Razif banyak memberi kata-kata perangsang dan nasihat supaya redha dan tabah menghadapi ujian,” katanya.

Penerima sumbangan lain, Koperal Hassan Sulaiman, 42, berkata dia tidak akan lupa jasa YB Ahmad Razif dan isteri kerana sudi meluangkan masa menjenguk masalah yang dialami.

“Saya juga terharu kerana YB sudi dan tidak segan melayan kerenah anak OKU kami yang sememangnya terlalu aktif terutama apabila menerima tetamu yang tidak dikenali,” katanya.





Dua pelumba wanita Terengganu sertai ACC

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika sebelum ini pelumba sensasi dari Terengganu, Fatehah Mustafa, sudah melakar nama di persada dunia, kini dua lagi nama pelumba wanita bakal mencuri tumpuan apabila tersenarai mewakili negara ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Putrajaya dari 18 hingga 22 Februari ini.

Pelumba berkenaan, Nor Ain Mahmud dari Besut dan Suryani Mohamad dari Kuala Terengganu pertama kali terpilih ke kejohanan dunia berkenaan.
Jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata kedua-dua atlet itu kini berada di Melaka untuk menyertai latihan pusat bersama-sama tiga lagi pelumba wanita yang lain iaitu masing-masing dua dari Angkatan Tentera Malaysia dan seorang dari Johor.

Kedua-dua pelumba berkenaan bersama rakan pasukan yang terpilih kini sedang menjalani latihan sebagaimana dijadualkan yang akan memasuki tahap kedua sebagai persiapan menghadapi kejohanan ACC itu nanti.

“Mereka berdua terpilih berdasarkan pencapaian semasa dan terkini menerusi kejohanan yang disertai sepanjang tahun ini,” katanya.

Malah, pemilihan itu membuktikan Terengganu bukan hanya `kilang’ melahirkan jaguh lumba basikal lelaki, tetapi turut menghasilkan jaguh di kalangan wanita.





SOROTAN 2011

Oleh FAUZI MOHD

Tahun 2011 menyaksikan Terengganu terus mengukir pelbagai kejayaan baru dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, pelancongan dan sukan. Dalam tempoh itu juga pelbagai peristiwa suka, duka, pahit dan manis menjadi titik-titik penting perjalanan kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said yang mengemudi Kerajaan Terengganu. Lonjakan nama anak Terengganu yang melakar kemasyhuran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa menjadikan negeri ini tumpuan segenap masyarakat. Berikut antara peristiwa yang mewarnai Terengganu sepanjang 2011.



25 Januari – ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman dilantik Ketua Penerangan UMNO negeri dan ADUN Rantau Abang, Datuk Zaabar Mohd. Adib dilantik Bendahari.

31 Januari - Jurutera perunding, Wan Manan Wan Ali, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada 2 Jun 2009.

3 Februari - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid tiba untuk lawatan tiga hari di Terengganu.

5 Februari - Sistem parkir automatik bertingkat mengaplikasikan kaedah rotary type yang pertama di Malaysia mula beroperasi di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu. Menggunakan teknologi dari Guangzhou, China, ia menelan kos RM9.8 juta dan mampu menampung 232 unit kenderaan.

12 Februari – Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktaraf Hospital Kemaman yang diumumkan Menterinya, Dato’ Seri Liow Tiong Lai dalam lawatan kerja ke hospital berkenaan.

21 Februari – Terengganu diumumkan terus cemerlang dalam peperiksaan STPM 2010 apabila 22 daripada 52 sekolah catatkan kelulusan 100 peratus berbanding 13 sekolah tahun 2009.

2 Mac – Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik 621 pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir akibat pergolakan negara Timur Tengah itu.

10 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar memaklumkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi pusat pengesahan Amphetamine Type Simulant (ATS) pertama di Pantai Timur dan kedua di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur.

12 Mac – Kerajaan Terengganu dan Persatuan Seni Khat Malaysia menganjurkan Pertandingan Seni Khat Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam yang disertai 300 peserta.

18 Mac - Terengganu mencipta sejarah menjadi negeri pertama di Malaysia melakukan penerbangan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, KualaTerengganu ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, Arab Saudi membawa 451 jemaah.

21 Mac - Kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah pada usia 78 tahun di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor. Jenazah disemadikan di Makam Diraja Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang. Menteri Besar mengumumkan perintah berkabung 40 hari mulai 21 Mac hingga 29 April.

23 Mac - Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2010 apabila gred purata negeri mencapai 5.03 berbanding 5.17 tahun 2009. Bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) juga menunjukkan peningkatan ketara daripada lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pada 2010.

23 Mac - Genaplah tiga tahun Dato’ Seri Ahmad Said menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang berlandaskan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

10 April - Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail berkenan berangkat mengisytiharkan pemansyuran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail , Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

25 April - Pulau Bidong mula memperolehi capaian internet apabila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbelanja RM80,000 untuk tujuan itu bagi kemudahan pelancong dan penyelidik, kata Naib Canselor UMT Prof Dato’ Dr. Aziz Deraman.

30 April – Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengadakan lawatan sehari ke Terengganu sempena Program Turun Padang (PTP). Perdana Menteri melawat Pekan Batu Enam, Kampung Pengkalan Arang, Pasar Bukit Tunggal, Pulau Bahagia, Pulau Duyong dan berakhir di Dataran Shahbandar.

2 Mei - Pelumba keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan atlit berbasikal negara, Fatehah Mustafa masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu.

6 Mei – Tasik Kenyir menjadi tumpuan hampir 20,000 pengunjung dalam program tiga hari, Festival Kenyir yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-38 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

10 Mei - Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak yang melibatkan 16 peserta iaitu lapan qari dan lapan qariah.

14 Mei – Dato’ Seri Ahmad Said bertemu rakyat dalam program Sehari Bersama Menteri Besar di DUN Batu Buruk.

24 Mei – Buku Pelan Strategik Agenda Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Terengganu yang menjadi indikator kepada penjawat awam merancang dan melaksanakan usaha ke arah memajukan negeri dilancarkan Dato’ Seri Ahmad Said.

25 Mei - TDM Berhad mengumumkan lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 67 peratus kepada RM129.2 juta untuk tahun 2010 berbanding RM77.5 juta tahun sebelumnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari.

9 Jun - Yayasan Islam Terengganu (YIT) melancarkan terjemahan kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

11 Jun - Terengganu menamatkan kemarau 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

12 Jun - Terengganu mencipta rekod muncul juara kali ketiga berturut-turut Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-13 di Melaka dengan meraih 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

18 Jun - Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai Kejohanan Malaysia –Thailand Open Endurance Challenge Trophy 11 yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu.

24 Jun – Dato’ Seri Ahmad Said melepaskan 200 kenderaan pacuan empat roda program kembara dan memancing “Boat On The Road” dari Sri Pentas TV3 Bandar Utama ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

7 Julai - Kira-kira 650 peserta yang terdiri daripada 14 pasukan dari seluruh negara berkampung tiga hari di Terengganu bagi menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011

9 Julai – Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tuan Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tiba di Terengganu bagi menghadiri majlis penutup Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011.

10 Julai - Kerajaan negeri menaja 12 guru besar dan pengetua dari sekolah terpilih seluruh Terengganu bagi mengikuti Kursus `Confratute’ di University of Connecticut, Amerika Syarikat.

16 Julai - Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan upacara penutup Kejohanan Motosikal Lasak Asia (FIM) 2011 yang berlangsung di Trek Sukan Lasak di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

20 Julai - Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Dato’ Toh Chin Yaw menerima pingat kebesaran Darjah Dato’ Paduka Terengganu (D.P.M.T) sempena Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan mengurniakan darjah berkenaan.

30 Julai – Dato’ Seri Ahmad Said menyempurnakan majlis pecah tanah kilang besi Perwaja Holdings Berhad (Perwaja)yang melabur RM400 juta bagi membina Loji ‘Consentration’ dan ‘Pelletizing’ yang pertama di Asia Tenggara di Kemaman.

13 Ogos - Kerabat diraja Terengganu, Tengku Ismail Tengku Su yang pernah digelar ‘Putera Songket’ meninggal dunia di Hospital Royal Brompton London.

17 Ogos - Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir pada Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin di Taman Tamadun Islam yang melibatkan bantuan sebanyak RM120,000 kepada 390 penerima.

20 Ogos – Hampir 2,000 anak Terengganu yang bekerja dan belajar di sekitar Lembah Klang diraikan Dato’ Seri Ahmad Said dan pemimpin negeri dalam satu majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

22 Ogos – Sebahagian Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II mula dibuka bermula dari persimpangan Gemuruh ke Bukit Payong dan Persimpangan Ajil ke Bukit Besi.

24 Ogos – Penantian hampir 30 tahun buat 265 peneroka Felda Kertih II, Dungun untuk mendapatkan hak milik tanah berakhir apabila mereka mendapat suratan hak milik tanah yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad Said.

26 Ogos - Dato’ To’ Puan Seri Ashiahton Fadzullah Suhaimi yang juga isteri bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menerima Anugerah Tokoh Wanita Terengganu pada sambutan Hari Wanita Negeri.

26 Ogos - Adik Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12 dari Kampung Alur Keladi, Besut yang mewakili Malaysia ke Majlis Tilawah al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar menduduki tempat ketiga.

28 Ogos - Dato’ Seri Ahmad Said meluangkan masa meraikan kemeriahan Pertandingan Pelita Raya 2011 bersama penduduk di beberapa buah kampung di DUN Tepoh.

10 September - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin memahat nama sebagai juara dalam kejohanan Lumba Basikal Jelajah Brunei 2011 meninggalkan Lloyd Lucien Reynante dari pasukan 7 Eleven-RTS Racing dan rakan sepasukannya, Mohd. Harrif Salleh di tempat ketiga.

15 September - Tokoh seni bidang ukiran kayu terkenal negara Wan Su Othman, 115 tahun meninggal dunia di kediamannya di Kampung Alor Lintang, Besut.Allahyarham pernah menerima Anugerah Seni Negara pada tahun 1977.

17 September - Seramai 1,168 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima ijazah sarjana, sarjana muda dan diploma pada Istiadat Konvokesyen UniSZA ke-3 yang disempurnakan Canselor UniSZA, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

17 September - Yang Di-Pertuan Agong ,Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hotel Tanjong Vista setinggi 14 tingkat bernilai RM23 juta di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

20 September - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu untuk bersama rakyat di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Pasar Baru Kedai Buloh dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu.

20 September - Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Awang Jabar, 66, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kampung Alor Tumang, Marang.

22 September - Terengganu Incorporated (TI) mempunyai bangunan sendiri di Kawasan Perindustrian Chendering yang dirasmikan Dato’ Seri Ahmad Said.

24 September - Kolej Universiti Tati (TATiUC) melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya melahirkan 32 graduan sulung peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Pengeluaran.

30 September - Tujuh penerbangan yang membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah memulakan penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

30 September - Tuanku Nur Zahirah berkenan melancaran Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

1 Oktober - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan menyampaikan Pengurniaan Ijazah Kehormat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2011 kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Majlis Konvokesyen Ke-9, di Dewan Sultan Mizan universiti itu.

2 Oktober – Masjid terapung yang bernilai RM12 juta mula dibina di Pulau Perhentian, Besut.

8 Oktober - Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES)mengetuai cabaran perlumbaan kuda lasak sejauh 120 kilometer Sultan Mizan Cup 2011 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu .

9 Oktober - Penunggang Thailand, Wipawan Pawitayalarp muncul juara dalam Sultan Mizan Cup 2011 sekaligus membawa pulang wang tunai RM63,000 dan sebuah jam tangan AmaSwiss bernilai RM54,000.

13 Oktober - iHeal Medical Centre Sdn. Bhd. melakar sejarah dalam menawarkan perkhidmatan perubatan apabila berjaya melakukan pembedahan jantung pertama yang dilakukan sendiri Pengarah hospital itu, Dr. David Khoo Sin Keat.

21 Oktober – Dato’ Seri Ahmad Said melancarkan majlis pecah tanah projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

29 Oktober – Terengganu rangkul kedudukan naib juara Piala Malaysia selepas kalah tipis 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

31 Oktober – Bekas jurulatih KL Pos, Telekom Melaka dan Kuala Lumpur yang pernah membawa Terengganu merangkul Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001, Mat Zan Mat Aris kembali semula membimbing skuad Penyu berikutan peletakan jawatan secara mengejut jurulatihnya, Irfan Bakti.

9 November -Dato' Seri Ahmad Said menerima kunjung hormat Duta Besar Singapura Ke Malaysia Mr Ong Keng Yong di pejabatnya di Wisma Darul Iman.

12 November - Terengganu merupakan negeri pertama yang mewujudkan kolaborasi rasmi dengan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) bagi melaksanakan program khas melalui Memorandum Persefahaman antara SME Bank dan Yayasan Pembangunan Usahawan.

14 November - Dato' Seri Ahmad Said membuat laporan polis berhubung fitnah kononnya beliau ditangkap khalwat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

17 November - Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan mencatatkan 15.6 peratus mendapat keputusan semua A daripada keseluruhan 23,250 calon.

18 November - Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Antarabangsa Negeri Terengganu di Kem Pengangkap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir.

27 November - Juragan pasukan GAC Pindar, Ia William merangkul gelaran berganda apabila muncul juara Piala Monsun 2011 yang menjadi pentas terakhir Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) di Pulau Duyong. Pelayar dari Britain itu juga dinobatkan sebagai juara WMRT 2011.

3 Disember - Cabaran sepuluh hari aksi lasak Rainforest Challenge International Terengganu 2011 (RFC 2011) mencatatkan penyertaan paling ramai lebih 500 peserta dari 30 buah negara bermula.


Murid cemerlang dalam UPSR mengalami pengalaman manis

Oleh: Mohammad Ishak


Ramlan melambai tangan kepada murid yang diarak


LIMA murid cemerlang dalam ujian peperiksaan UPSR tahun lalu mengalami kenangan manis yang tidak mudah dilupakan apabila mereka diarak menggunakan motosikal yang diubahsuai sebagai treler kecil mengelilingi Kampung Pondok Paku, Kerandang dalam DUN Jabi.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pondok Paku, bertujuan memberi penghormatan kepada anak kampung itu yang memperolehi kejayaan cemerlang sekalu gus sebagai pembakar semangat kepada murid lain.

Pengerusinya, Hamid Ismail berkata, idea mengubah suai treler kecil yang digunakan untuk mengangkut rumput kemudian dihias indah dan ditarik menggunakan motosikal itu dicetuskan penduduk sendiri sebagai lambing kejayaan anak petani dalam pelajaran.

Katanya, majlis perarakan itu turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu,Mohd Iskandar Jaafar dan lebih 500 penduduk kampung sekitar.

Menurutnya, acara julung kali diadakan itu berjaya membangkitkan semangat kerjasama antara penduduk yang sanggup menyiapkan lima motosikal berhias yang dijadikan knderaan mengangkut murid terbabit.

Hamid berkata, beliau bangga dengan semangat dan sokongan penduduk kampung itu yang memberi sokongan untuk mengiktiraf anak rakan sekampung yang Berjaya mencipta nama dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Ramlan ketika berucap meraikan murid terbabit berkata, usaha yang dilakukan oleh JKKK kampung itu patut dicontohi penduduk tempat lain yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk meraikan anak kampung.

Beliau berharap, menerusi kerjasama itu tahap perpaduan penduduk kawasan itu dapat dikekalkan malah menjadi ikutan kepada penduduk di tempat lain.




Hujan berterusan, risiko banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kawasan rendah di beberapa negeri khususnya Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis berisiko mengalami banjir berikutan hujan lebat berterusan sehingga malam ini.

Berikutan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga.
Menurut kenyataan jabatan itu, kawasan yang terlibat di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. Manakala di Kelantan ialah daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli.

Sementara di Kedah melibatkan kawasan Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik dan Langkawi serta Perlis di Padang Besar, Kangar dan Arau.





JKM keluar kad baru kepada OKU

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memperkenalkan kad keahlian Orang Kelainan Upaya (OKU) yang baru bercirikan keselamatan dan lebih tahan lama kepada kira-kira 10,000 ahlinya yang berdaftar tahun ini.

Pengarah JKM negeri, Encik Zuhaimi Omar berkata, kad keahlian OKU baru yang bersaiz dan bercirikan seperti kad pengenalan diri itu mula diperkenalkan sejak Ogos lalu bagi mengantikan kad sedia ada yang berbentuk plastik.

Katanya, pada masa ini lebih 1,000 ahli telah menukar kad keahlian tersebut dan yang lain dijangka selesai menukarnya menjelang Julai tahun depan.

“ OKU boleh mengunjungi ke semua pejabat JKM negeri dan daerah serta 40 Pusat Khidmat Komuniti di seluruh negeri bagi memudahkan penukaran kad kedahlian yang baru,” katanya

Sehubungan itu katanya, pihaknya berharap semua OKU dapat menukar segera kad keahlian yang lama kepada yang baru yang diberikan secara percuma,’’ katanya pada majlis Sambutan Hari OKU di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa petang semalam yang dirasmikan oleh isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, Toh Puan Rohani Abdullah.

Beliau juga mahu golongan OKU yang belum mendaftar dapat berbuat demikian kerana banyak manfaat yang diperolehi apabila menjadi ahli.

Tambahnya, banyak kemudahan yang disediakan kerajaan kepada golongan itu termasuk lebih 30 kemudahan yang boleh diperolehi ahli antaranya tambang pengangkutan.

Beliau menganggarkan masih ramai OKU yang tidak mendaftar dengan JKM , walaupun pelbagai usaha termasuk turun padang dan hebahan dilakukan untuk mendaftarkan mereka.

``Faktor malu di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak cacat masih ada sedangkan banyak peluang yang boleh membantu tuntuk mereka berdikari,’’ ujarnya.

Katanya, JKM telah membelanjakan kira-kira RM89.8 juta untuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada seramai 32,877 orang pada tahun ini.

“Bantuan itu termasuk bantuan am negeri, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja cacat, orang tua, bantuan penjagaan OKU dan pesakit kronik serta bantuan OKU tak bekerja,” katanya.





JHEAT lantik 203 hafiz Quran

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah melantik 203 hafiz melalui skim menghfaz al Quran dewasa seluruh negeri sehingga kini .

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT (Bahagian Dakwah), Hajah Shamsiah Awang berkata, melalui skim itu mereka yang terpilih, layak menerima imbuhan bulanan antara RM250 hingga RM1,000.

Menurut beliau, imbuhan yang diberikan itu berdasarkan jumlah juzuk al Quran yang dihafaz seperti hafaz juzuk pertama hingga juzuk ketujuh akan menerima imbuhan RM250 sebulan.

``Penambahan bagi setiap juzuk sebanyak RM30 sehingga kepada 30 juzuk sebanyak RM1,000 sebulan,’’ katanya.

Tambahnya, selain imbuhan bulanan, hafiz al-Quran turut diberikan ganjaran jika meninggal dunia antara RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan jumlah juzuk yang dihafaz.

Menurutnya, JHEAT tidak pernah menghalang mereka yang mempunyai pekerjaan tetap untuk menyertai skim tersebut, tetapi dengan syarat memenuhi kreteria yang ditetapkan dan usaha ini adalah untuk melahirkan lebih ramai hafiz di negeri ini.





Sokong tubuh MBI

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menyokong penuh dan menyambut baik penubuhan Majlis Bahasa Inggeris (MBI) mulai tahun ini berikutan dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar selain mampu mengkaji serta menambah baik sistem pengajaran, pembelajaran sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kebanyakan pelajar di Terengganu masih lemah dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Ini mungkin disebabkan kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam bahasa itu menyebabkan ada pelajar kita yang tercicir pada mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Kita ada membuat permohonan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menghantar lebih ramai guru-guru yang mahir Bahasa Inggeris ke Terengganu bagi meningkatkan penguasaan pelajar," katanya kepada pemberita pada program pemimpin bersama masyarakat di 18 Rijmen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Kem Seri Pantai, Seberang Takir ,semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris bagi mengkaji kualiti dan standard sistem pengajar, pembelajaran serta pencapaian bahasa itu di kalangan pelajar.

YB Ahmad Razif turut memberitahu, permohonan itu dilaksanakan susulan masalah kekurangan guru untuk mata pelajaran itu yang semakin ketara sejak kebelakangan ini.

“Pada sama sama kerajaan negeri turut meninjau peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Perth, Australia untuk memperkukuhkan dan meningkatkan penguasaan pelajar dalan bahasa itu,” katanya.


88 penduduk di Daerah Setiu dipindahkan kerana banjir

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 88 penduduk dari daerah Setiu terpaksa dipindah ke tempat selamat apabila kampung mereka ditengelami banjir selepas hujan lebat tidak berhenti henti dalam tempoh 24 jam lalu.

Mereka ialah 43 lelaki dan 45 perempuan kini di tempatkan di pusat pemindahan di balai raya Kampung Jabi,Masjid Jabi,Kmpung Jaya Sungai Tong,Masjid Guntong dan Sekolah Kebangsaan Sungai Ikan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat , penduduk terbabit dipindah kira-kira jam 1 pagi tadi tadi apabila air naik dan melimpah di kawasan kampung terbabit.

Tinjuan mendapati keadaan hujan yang berterusan sejak pagi semalam menyebabkan banyak kawasan rendah sekitar daerah Setiu dinaiki air.

Dalam perkembangan lain persiapan sambutan Tahun Baru 2012 yang dijadualkan berlangsung di sekitar daerah Besut malam tadi terpaksa dibatalkan akibat hujan lebat menyebabkan orang ramai pulang hampa ke rumah masing-masing.