Halaman

18 December 2011

Bekas aktivis PAS Besut mahu Pemimpin parti itu selesai masalah solat Jumaat berasingan

Oleh: Mohammad Ishak

Bekas aktivis PAS Kawasan Besut mahu pemimpin parti itu membantu menyelesaikan masalah solat Jumaat berasingan yang masih berlaku di negeri ini kerana ia memecahkan belahkan masyarakat Islam akibat kejadian yang berlaku lebih 20 tahun itu.

Raja Ayub Raja Kecik, 59, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Besut , meletakkan tanggungjawab itu kepada Presiden Pas,Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab mencetuskan isu berkenaan menyebabkan umat Islam mendirikan solat Jumaat berasingan dalam satu kampung.

Katanya,kejadian yang memalukan itu tidak akan berlaku jika Abdul Hadi tidak mengeluarkan “Amanat Hai Hadi” kepada penyokong yang mengkafirkan orang Umno kerana bekerjasama dengan orang Cina dalam MCA.


“Disebabkan amanat itulah penyokong setia PAS masih mengerjakan solat berkenaan kerana tidak mahu berimamkan orang Umno kerana dituduh kafir,” katanya.

Beliau ingin bertanyakan penyokong PAS bagaimana kedudukan mereka sekarang selepas PAS kini bekerjasama dengan Cina dari DAP,tidakkah mereka juga kafir.

Raja Ayub yang menyertai UMNO pada 2000 selepas PAS berjaya memerintah Terengganu, berkata , beliau dan ramai aktivis lain dalam PAS turut tertipu dengan Amanat Haji Hadi menyebabkan beliau ketika itu begitu percayakannya hingga sanggup menyertai solat di masjid yang tidak diiktiraf kerajaan.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk membendung kejadian itu tetapi ia masih gagal dan penyokong PAS terus menjadikan markas dan masjid PAS sebagai tempat solat Jumaat berasingan.

Menurutnya, titah Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin sepatutnya dipatuhui oleh penyokong PAS malah pemimpin parti itu hendaklah bertanggungjawab terhadap apa yang sedang berlaku sekarang.

Ketika ini masih ada 9 masjid PAS di daerah Besut yang dijadikan tempat mereka mendirikan solat Jumaat berasingan setiap minggu.




YPKT sedia modul seiringan program Permata Negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan pelbagai kursus kepada ibu bapa bagi memastikan golongan itu dibekalkan dengan ilmu pengasuhan dan pendidikan yang seiringan dengan kurikulum program Permata Negara.

Antara kursus dan bengkel keibubapaan termasuk Bengkel Menggilap Potensi Awal Kanak-kanak, Bengkel Bermain di Taska, Bengkel Kreatif Bersama Ibu Bapa dan Bengkel Urutan Bayi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha yang dilaksanakan YPKT itu sebagai pendedahan supaya golongan ibu bapa memahami konsep kepentingan program Permata Negara yang bakal diterapkan kepada anak-anak mereka kelak.

Katanya, selain kursus dan bengkel berkenaan, pihaknya turut menekankan isu pemakanan yang menjadi elemen penting dalam pembangunan serta perkembangan minda awal kanak-kanak.

“Kerajaan melalui YPKT bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi mengadakan satu bentuk menu berkhasiat dan berkualiti menggunakan sumber pemakanan asas-asas dengan kos hidangan yang lebih rendah,” katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan juga berharap agar dengan adanya menu pemakanan yang sihat bersesuaian dengan diet dan nutrisi yang terkandung dalam menu itu mampu membantu perkembangan minda kanak-kanak.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata bermula tahun ini, YPKT mengambil inisiatif memasukkan kurikulum Program Cahayaku Cepat Membaca kepada anak-anak berumur tiga hingga empat tahun bagi mengasah minda dan mengenal huruf ketika kecil lagi.

Malah, usaha itu bagi memastikan kanak-kanak berkenaan berupaya membaca dengan baik apabila mereka mula memasuki tadika sebaik sahaja berusia lima tahun kelak.




UMT hasil jel dari sisek ikan

Oleh; Esah Abdullah

Produk Seagold Probiotik Liquid iaitu makanan tambahan (supplement) yang dihasilkan oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Mohd Effendy Abd. Wahid dan Enctik Thirukanthan Chandra Segaran telah mendapat pasaran baik di negara China.

Produk kesihatan ini dilihat begitu berkesan untuk meningkatkan penjagaan kanser usus dan ia diguna pakai di beberapa wilayah di negara China.

Beliau dan rakannya juga turut menghasilkan Scalogel yang dihasil khusus untuk menyembuhkan luka dan produk kecantikan wanita.

Prof. Dr Mohd Effendy berkata, penyelidikan yang berjalan lebih tiga tahun untuk menghasilkan produk jel daripada sisek ikan ini.

Untuk melengkapkan penyelidikan banyak jenis ikan diambil untuk kajian namun memilih sisek ikan Tilapia yang mempunyai daya tahan dan anti bakteria.

Dua produk itu telah mendapat anugerah pingat emas dalam pertandingan BioMalaysia Conference dan Exhibition 2011 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah produk Seagold Probiotik Liquid; Nutritional Health Supplement telah menerima anugerah khas Biotechnologi Innovation of The Year di majlis tersebut.




KARNIVAL HIJRAH 2011 DILANCARKAN DI TERENGGANU

KARNIVAL HIJRAH 2011, PADA 22, 23 & 24 DISEMBER 2011


“Karnival Hijrah 2011 bertujuan memberi ruang kepada seluruh rakyat untuk memahami dan mendapat pendedahan mengenai pencapaian pembangunan Islam di Malaysia dan peranan yang telah dan sedang giat dimainkan oleh Kerajaan serta semua pihak termasuk Kerajaan Negeri." - Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Karnival Hijrah 2011 anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dan TV AlHijrah buat pertama kalinya akan menemui rakyat Pantai Timur khususnya rakyat negeri Terengganu Darul Iman dan negeri-negeri berdekatan pada 22 – 24 Disember 2011 nanti.

Karnival Hijrah yang akan diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu selama tiga hari ini akan dilancarkan pada hari Khamis 22 Disember 2011 jam 3 petang.

Dengan tema “HIJRAH 1 TRANSFORMASI”, Karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Terengganu ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi Kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.

Tema HIJRAH 1 TRANSFORMASI bersesuaian dengan hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai kecemerlangan melalui perubahan yang menyeluruh dalam pentadbiran Islam yang akan memberi kebaikan kepada rakyat serta membawa negara ini mencapai kemajuan khususnya dalam bidang keislaman di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom,
“Karnival Hijrah 2011 ini bertujuan untuk memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia memahami dan mendapat pendedahan mengenai pencapaian pembangunan Islam di Malaysia dan peranan yang telah dan sedang giat dimainkan oleh Kerajaan serta semua pihak termasuk Kerajaan Negeri.

“Antara empat belas Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akanterlibat secara menyeluruh bagi menjayakan Karnival Hijrah ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Waqaf Malaysia, International Zakat Organization (IZO), Yayasan Taqwa dan TV AlHijrah sebagai penganjur bersama.



Selain daripada agensi-agensi tersenarai, Karnival yang bersifat terbuka dan secara langsung ini turut melibatkan penyertaan badan-badan penyiaran seperti TV Alhijrah dan IKIM FM bersama Salam FM dan Manis FM.

FAMA juga akan turut serta dengan mini MAHA dengan membawa hasil-hasil pertanian seperti buah-buahan tempatan dan produk-produk makanan yang dihasilkan dari tanaman tempatan.

Menyentuh lebih lanjut tentang aktiviti yang bakal disediakan kepada tetamu-tetamu yang hadir, Dato’ Seri Jamil Khir mengulas,“ Pelbagai aktiviti termasuk pameran yang akan berjalan di sana nanti. Antaranya ialah PAMERAN DETIK-DETIK KEGEMILANGAN ISLAM yang julung kalinya akan membawa beberapa artifak dan replika kegemilangan Islam seperti Lampu Masjid Mamluk, Astrolab, Sfera Bintang, dan Papan Lapis yang tertera perkataan “Bismillahirrahmanirrahim”.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula akan mempamerkan kepada pengunjung Alatan Penentu Tarikh Lahir Islam manakala JAKIM pula akan menganjurkan KLINIK AL-QURAN dan juga pameran tentang HALAL HUB.” kata beliau.

Pengunjung ke Karnival Hijrah juga akan dapat melihat sendiri alat menguji emas dikhemah pameran YAPEIM dan Tabung Haji pula akan menyediakan perkhidmatan dan urusan haji yang menjadi tanggungjawab utama agensi tersebut.

Sebagai tambahan, TV AlHijrah yang bertindak sebagai penganjur bersama Karnival Hijrah ini diamanahkan untuk membawa siaran secara langsung dari Dataran Shahbandar Kuala Terengganu program seperti bual bicara ASSALAMUALAIKUM dan KONSERT ULANG TAHUN TV ALHIJRAH yang membariskan artis terkemuka seperti Yasin, Nora, Opick, Rabbani, Aishah, Badri dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, rakaman program 30 MINIT BERSAMA USTAZ DON, TERENGGANU BERSELAWAT dan DIALOG HARMONI akan turut diadakan.

Sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV AlHijrah seperti Amin Idris, Ustaz Don Danial, Irma Hasmie dan Munif Isa juga akan diadakan.

Karnival yang menganggarkan kunjungan seramai 200,000 pengunjung ini turut tidak ketinggalan menyiarkan program Forum Perdana bertajuk “Hijrah Satu Transformasi ”serta program Adik-Adikku terbitan RTM.

IKIM FM, Manis FM serta Salam FM akan turut memeriahkan Karnival besar-besaran ini dengan menyiarkan siaran lintas langsung melalui frekuensi radio masing-masing.

Dengan adanya karnival ini juga kesempatan terbaik untuk rakyat negeri Terengganu datang beramai-ramai bersama keluarga sempena musim cuti sekolah untuk berada di khemah pameran agensi-agensi yang menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.



Terengganu kurangkan tajaan pelajar ke Mesir

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu mengurangkan penghantaran pelajar tajaannya melanjutkan pengajian ke Mesir kerana berpendapat sistem pengajian di negara itu agak terkebelakang berbanding beberapa negara lain.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat berikutan rasa kecewa dan dukacita pihak Kerajaan negeri terhadap prestasi akademik dan masalah disiplin sebahagian pelajar Terengganu di negara berkenaan.

Katanya, faktor sistem pengajian di negara Timur Tengah itu yang agak ‘kucar-kacir’ menyebabkan ada sebahagian pelajar Terengganu yang kurang berdisiplin serta sibuk dengan persatuan dan agenda parti politik tertentu sehingga mengabaikan pembelajaran.

Mengatasi masalah itu katanya, Terengganu memilih beberapa universiti di Jordan dan Maghribi untuk tajaan pelajar dalam bidang Pengajian Islam seperti Syariah, Usuluddin, al-Quran, Perundangan Islam dan sebagainya.

“Saya sendiri pernah berjumpa dengan tiga naib canselor universiti terkemuka dari Jordan, mereka turut bersetuju sistem pendidikan di negara itu (Mesir) agak kucar-kacir dan tidak sistematik.

“Ada pelajar Terengganu habiskan masa sampai 20 tahun untuk tamatkan pengajian di Mesir. Ada juga lapan tahun. Kita rasa sudah sampai masanya Terengganu beralih arah demi masa depan pelajar,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Yayasan Terengganu (YT) kali ke-32 di Taman Tamadun Islam, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pemangku Pengarah YT, Zakaria Yusof.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, walaupun kos pengajian di Jordan lebih mahal berbanding Mesir, Yayasan Terengganu yang memberi tajaan kepada pelajar terbabit sedia menaikkan jumlah pinjaman sekiranya diperlukan.

“Namun, tajaan pelajar bidang perubatan ke negara itu masih diteruskan kerana kita mendapati sistem pembelajarannya kursus itu masih baik di samping kos pengajiannya yang rendah,” jelasnya.

Pada majlis itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Petronas, Kemaman, Raja Akif Raja Zahiruddin diumumkan sebagai penerima Pingat Emas Yayasan Terengganu 2011 yang disampaikan Menteri Besar.

Anak jurutera Petronas Carigali itu memperolehi keputusan 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2010 dan membawa pulang wang tunai RM5,000, komputer riba serta sijil penghargaan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Bioteknologi dari Imperial College of Landon, United Kingdom, Mohd. Fridaus Samsudin menerima Anugerah Khas 2011 dan 44 lagi graduan menerima Anugerah Sarjana Terengganu 2011.



Hari keluarga WDI meriah

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said sempat meluangkan masa hampir sejam pada Majlis Hari Keluarga Wisma Darul Iman (WDI0 di Stadium Tertutup di Gong Badak, semalam (17 Disember) sempat mencabut nombor bertuah utama yang dimenangi oleh Mardihah Aziz dari kumpulan Niner’s.





Beliau dalam ucapan ringkasnya sebelum itu, berharap supaya majlis seumpama itu menjadi medan bagi mengeratkan hubungan di kalangan kakitangan serta pegawai kerajaan.

Hubungan yang baik itu katanya, diteruskan pula apabila berurusan dengan masyarakat luar dan memberi perkhidmatan terbaik supaya imej sektor awam sentiasa baik dan dihormati semua pihak.


“Ia juga selaras dengan konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ , di mana rakyat diutamakan dan mereka akan berasa lebih selesa dalam apa jua aspek,” katanya.

Kira-kira 3,000 kakitangan termasuk ahli keluarga masing-masing hadir ke majlis yang menyediakan lebih 400 hadiah cabutan bertuah itu.




Antara acara yang disediakan termasuk penyampaian hadiah kepada anak-anak kakitangan yang cemerlang dalam peperiksaan awam 2010, kakitangan yang akan pencen dan sukaneka untuk kanak-kanak mahupun dewasa seperti memasukan benang ke dalam jarumm dan membawa bola ping pong dalam sudu.



Pada malam sebelumnya diadakan pertandingan karaoke yang disertai lebih 30 kakitangan KWDI yang mewakili kelab masing-masing dan berjaya tampil dengan bakat serta gaya tersendiri.



Pembangkang perlu bertanggungjawab

Oleh: Suriati Ali

Penyokong parti pembangkang dan pemimpinnya perlu bertanggungjawab kerana menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam sehingga berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di negeri ini masih berlarutan hingga sekarang.

Malah, Pas melalui kepimpinan tertinggi parti itu perlu bersungguh-sungguh dengan mengikis sikap ego mereka supaya penyokongnya tidak lagi terikut-ikut dengan `fatwa' mewajibkan solat berasingan dengan umat Islam daripada parti lain khususnya UMNO.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menegaskan, parti tersebut sewajarnya dipersalahkan kerana membeza-bezakan antara masjid milik kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan masjid Pas sehingga menyebabkan umat Islam berpecah belah.

Menurut beliau, amalan seumpama itu mesti dihentikan bagi memastikan keharmonian kalangan umat Islam terus kukuh dan perpecahan dapat dielakkan daripada menjadi bertambah serius.

"Pas telah menimbulkan perpecahan kalangan umat Islam seperti bina masjid dengan cat hijau dan pasang bendera parti. Tempat ibadat bukan untuk parti tapi demi agama Islam dan untuk keselesaan umatnya.

"Tapi bila (Pas) menang (pilihan raya), mereka guna untuk bersembahyang di masjid kita (kerajaan) tapi bila kalah, mereka lari pula.

"Sedangkan hukum tak boleh diubah-ubah. Masalah ini adalah soal politik kepartian telah mengatasi Islam," katanya kepada pemberita selepas program Hari Keluarga Wisma Darul Iman, di Stadium Tertutup di Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (17 Disember).

Dato’ Seri Haji Ahmad diminta mengulas titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam yang melahirkan rasa dukacita kerana kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di negeri ini masih berlaku.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar kesucian agama Islam, seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turut mengesan 11 buah masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong kejadian solat berasingan dalam satu kariah, kebanyakannya terletak di Besut dan Marang.

Dato’ Seri Haji Ahmad selanjutnya memberi contoh, kejadian solat Jumaat berasingan dalam satu kariah berlaku di Jabi, Setiu yang jarak antara masjid kerajaan BN dan masjid hanya beberapa meter antara satu sama lain.

"Masjid adalah sebuah institusi ibadat untuk perpaduan serta kebaikan umatnya, malangnya mereka sampaikan khutbah dengan mengutuk orang. Mana boleh dalam masjid, mereka kutuk, hina, caci dan hina orang," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) supaya mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah tersebut demi perpaduan umat Islam.

Tambahnya, selain daerah Besut, masalah sedemikian turut dikesan di daerah lain iaitu Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.



MB kecewa kedaifan lampu limpah

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri kecewa dan malu mengenai 'kedaifan' lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang masih belum dibaikpulih sebelum dijadikan gelanggang Kejohanan Piala AFC pada Mac tahun depan.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tidak berpuas hati dengan kualiti lampu berkenaan yang kapasiti tenaga sedia ada sekadar 800 lux sedangkan mengikut piawaian mengendalikan kejohanan bertaraf antarabangsa, ia memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 lux.

Malahan beliau turut mempertikaikan pihak berkenaan yang tidak memaklumkan dengan jelas kepada kerajaan negeri mengenai keperluan dan standard sebenar lampu limpah sebelum ia mula dipasang, sebelum ini.

"Kita kecewa, dulu masa suruh pasang, kenapa tak beritahu standard. Mengikut piawaian antarabangsa, lampu limpah berkapasiti 3,000 lux diperlukan dan yang sedia ada cuma 800 lux.

“Tak kan kita nak ganti dua tiga kali. Ini bukan kerja mudah kerana ia perlu belanja besar termasuk pasang tiang, kabel dan sebagainya. Bila pasang setahun tapi kena buat balik, tak baguslah," katanya kepada pemberita
selepas majlis Hari Keluarga Wisma Darul Iman di Stadium Tertutup di Gong Badak, semalam (17 Disember).

Menteri Besar mengulas masalah lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang masih belum dibaikpulih sebagai persiapan Kejohanan Piala AFC yang turut disertai skuad Penyu pada Mac nanti.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak akan menanggung kos membaikpulih serta menaiktaraf lampu limpah di stadium berkenaan sebaliknya menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk tindakan sewajarnya.

"Buat masa ini, kerajaan biar dulu. Dia (PBSNT) kena tanggunglah. Kita malu dengan apa yang berlaku dan sepatutnya persatuan (PBSNT) beritahu kita (masalah sebenar)," katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad tidak menolak kemungkinan jika masalah itu gagal ditangani dalam tempoh segera, sebarang perlawanan bola sepak termasuk untuk Liga M atau Piala AFC terpaksa dilangsungkan pada sebelah siang.

Pada Kejohanan Piala AFC nanti, Terengganu berada dalam kumpulan F bersama kelab Kitchee dari Hong Kong, Song Lam Nghean (Vietnam) dan Tempenis Robers (Singapura).


Sedia RM28 juta untuk laksana SBPA

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menyediakan peruntukkan tambahan sebanyak RM28 juta setahun bagi melaksanakan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bermula tahun depan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata peruntukan itu melibatkan kenaikan purata 10 peratus pendapatan penjawat awam, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan di Terengganu.

Menurutnya, penerangan secara terperinci akan diadakan minggu depan yang akan dikendalikan sepenuh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan borang penukaran kepada skim SBPA akan diedarkan selepas itu.

“Bagaimanapun penjawat awam masih mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan skim lama ataupun menyambung perkhidmatan dengan skim baru SBPA.

“Opsyen ini bukan satu paksaan, sebaliknya mereka (penjawat awam) diberi dua pilihan, sekiranya mereka ingin kekal pada skim lama maka tangga gaji mereka kekal sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Temu Mesra SUK bersama Kakitangan Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Mufti Terengganu, Dato’ Dr Alias Abdullah dan Persuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Encik Mohd Rozali Salleh.

Sementara itu, Dato’ Haji Mazlan memaklumkan sehingga kini sebanyak 8,000 jawatan daripada 12,000 kekosangan sudah diisi manakala baki 4,000 kekosongan lagi masih dibekukan sehingga penyelarasan skim SBPA dilaksanakan sepenuhnya.

Pada majlis itu, Dato’ Haji Mazlan berharap setiap penjawat awam di negeri ini dapat menghayati pengertian sebenar penghijrahan dengan melakukan perkara ke arah kebaikan dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Katanya, penjawat awam juga disarankan supaya meningkatkan ilmu pengetahuan, minat, mempunyai pelbagai kemahiran dan menerapkan nilai-nilai murni melalui konsep KITA (Knowledge, Interest, Multitasking, Attribute).

Manakala, mereka diminta supaya mengelakkan dan menjahuhi penyelewangan, pembawasan dan pembaziran yang bukan sahaja merugikan jabatan malah kepada diri mereka sendiri.



Parlimen Kuala Nerus, Giatmara tubuh skuad banjir



Oleh FAUZI MOHD


Skuad Banjir kelolaan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Giatmara Kuala Nerus yang dilancarkan semalam bersiap sedia bagi membantu mangsa banjir di sekitar kawasan Parlimen itu.

Skuad yang disertai lebih 30 pelatih Giatmara itu sedia menghulurkan bantuan awal di kawasan yang dinaiki air di tiga kampung terlibat iaitu Kampung Kuala Belara, Bukit Petiti Luar dan Bukit Petiti Dalam, di sini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, pasukan khas yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung itu telah mendapat latihan asas kecemasan berkaitan bencana alam itu.

“Selain agensi kerajaan berkaitan, skuad ini akan bertindak sebagai pemantau dan seterusnya menghulurkan bantuan dalam usaha membantu mangsa banjir,” katanya selepas melancarkan skuad itu di Giatmara Kuala Nerus di Kampung Bukit Petiti, Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengurus Giatmara itu, Azmi Ali dan Skuad Sayang Wanita UMNO Kuala Nerus yang diketuai Khadijah Awang.

Selain menerima sumbangan baju hujan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, skuad itu turut dilengkapi peralatan bantuan kecemasan serta peruntukan awal RM3,000 daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tambah Doto’ Mohd. Nasir, masalah yang berkaitan dengan mangsa banjir adalah perkara biasa di kawasan ini khususnya di Kuala Belara yang setiap tahun dinaiki air dan Skuad Banjir bersedia menghadapinya dalam usaha memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik.

"Lebih banyak skuad ini akan ditubuhkan di peringkat kampung-kampung di Kuala Nerus bagi memudahkan kita akan turun padang dan mengisi segala kekurangan yang mereka hadapi semasa musim tenkujuh ini," jelasnya.

Sebelum itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus itu bersama kepimpinan JKKK dan pelatih Giatmara berkayuh basikal untuk melawat 10 buah rumah warga emas dan penduduk di tiga kampung berkenaan.

Dalam lawatan mesra itu, dua orang kurang upaya mendapat sumbangan kerusi roda, empat pesakit kronik terima bantuan berjumlah RM2,000 serta membaiki dua buah rumah warga emas yang uzur.

Doto’ Mohd. Nasir turut meninjau projek penanaman jagung berkelompok yang diusahakan 25 orang petani di Bukit Petiti yang mendapat peruntukan RM15,000 daripada beliau.