Halaman

23 November 2011

Terengganu bakal pengeluar limau langkap negara

Terengganu merancang menjadi salah sebuah negeri pengeluar limau madu dan limau langkap terbesar di negara ini pada masa akan datang.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Md Yusof Maidin berkata ini berikutan Jabatan Pertanian mengadakan projek perintis ke arah pembangunan semula limau berkenaan di negeri itu.

“Kita memulakan projek perintis tanaman limau di Kampung Lubuk Periok, Hulu Terengganu yang dijangka akan mula mengeluarkan hasil tahun depan,” katanya semalam.

Katanya, ia melibatkan kawasan bekas sawah padi huma terbiar seluas lapan hektar yang ditanam 2,400 pokok limau madu dan limau langkap membabitkan 27 peserta.

Menurut Md Yusuf, projek itu dijangka memberikan hasil sebanyak antara 12 hingga 25 metrik tan sehektar pada tahun pertama dan pokok limau itu mampu hidup lama jika diuruskan dengan baik.

Beliau berkata, harga limau di pasaran sekarang antara RM3.50 hingga RM4.50 sekilogram dan ini akan memberi pulangan yang lumayan kepada pananam-penanam limau.

Katanya, benih limau dibeli dengan harga RM8 hingga RM8.50 sepokok daripada pengusaha limau yang terbesar di Perak untuk projek perintis itu.

Md Yusuf berkata, terdapat dua lagi projek tanaman limau di Hulu Terengganu yang diusahakan oleh individu, masing-masing di Kampung Telaga seluas 0.8 hektar dan Kuala Puih seluas 0.4 hektar.

Beliau berkata, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM170,000 untuk menyediakan kemudahan asas termasuk pengairan untuk projek tanaman perintis itu.

PPAT wujud 107 perpustakaan

Oleh: Suriati Ali

Sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

“Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

“Dalam tempoh lima tahun iaitu 2006, PPAT menerima seramai 609,247 bilangan pengunjung, 2007 (805,278), 2008 (1,037,934), 2009 (1,155,205) dan 2010 pula kira-kira 1,200,049 pengunjung pelbagai peringkat umur,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katannya, pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya .


Banjir di tiga daerah semakin buruk

Oleh; Esah Abdullah

Jumlah mangsa banjir di tiga daerah yang dilanda banjir di negeri meningkat kepada 1,439 orang pagi ini berbanding 373 orang petang semalam.



Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyatannya memaklumkan, daerah Setiu mencatat jumlah mangsa paling ramai berada dipusat pemindahan iaitu 671 orang diikuti Besut 560 orang dan Hulu Terengganu 208 orang.

Sehubungan itu, jumlah pusat pemindahan turut bertambah iaitu sembilan di Besut, tujuh di Setiu dan lima di Hulu Terengganu, membabitkan balai raya, dewan serbaguna, masjid dan sekolah.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengesahkan paras air di beberapa sungai utama di negeri ini telah melebih paras bahaya pagi ini.

Di Besut, paras air di Kampung La mencecah 19.54 meter berbanding paras bahaya 19.20 meter dan di Jambatan Jertih bacaannya ialah 8.73 meter melebihi paras amaran 8.10 meter.

Manakala Sungai Nerus di Kampung Bukit mencatat bacaan 13.56 meter berbanding paras bahaya 12 meter dan di Kampung Langkap, Setiu 21.95 meter (bahaya 21.50 meter).

Keadaan cuaca pagi ini mendung dan sesekali berlaku hujan lebat disertai angin kencang.




Dokumentari ‘orang kita’ rakam kehidupan masyarakat Terengganu

Oleh; Esah Abdullah


Porogh merupakan permainan tradisional yang jarang dikenali oleh generasi hari ini.

Lima orang krew Radio Televisyen Malaysia (RTM1) Kuala Lumpur berkampung selama empat hari di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit bagi menyiapkan program dokumentari ‘orang kita’ yang bersiaran melalui TV1 setiap Khamis jam 2 petang.

Program ini menyingkap sejarah kehidupan, keunikan dan kepayahan hidup yang dilalui datuk nenek mereka sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Ketua projek, Encik Ahmad Faizal Mohd Said berkata, sepanjang berada di negeri ini, pihaknya memilih dua kampung iaitu Kampung Tirok, Serada dan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang dianggap memiliki keistimewaan tersendiri mengenai budaya dan makanan eksotik masyarakat setempat.

“Contohnya di Kampung Bukit Wan terdapat sejenis makanan yang popular pada zaman pemerintahan Jepun iaitu Ubi Gadong sebagai ganti nasi untuk menyambung kelangsungan hidup pada zaman itu,” katanya.

Domuntari berkenaan juga telah mengangkat kembali permainan porogh sejenis sukan tradisional yang menjadi kegilaan orang muda pada tahun 1940an yang kini dilupakan malah sudah tidak dikenali lagi oleh generasi hari ini.

Permainan ini menggunakan tempurung kelapa dan bermain secara berkumpulan (3 on 3) dan kalah menang sebuah pasukan dikira melalui empat peringkat seperti kuis (gelek), tipung (campak), legok (berjalan ke arah lawan dengan mendongak ke atas) serta tik ( tuju buah membelakangi lawan).

Manakala di Kampung Tirok pula masyarakat keturunan Cina disitu hampir 95 peratus menjalani kehidupan masyarakat Melayu dari pelbagai sudut termasuk budaya, makanan, dialek, cara berpakaian malah rupa paras serta gelaran nama juga disebut mek (perempuan) dan awang (lelaki).

“Semua ini akan menjadi bahan khazanah dan disimpan dalam arkib Kementerian Penerangan dan Komunikasi,” katanya.

Program ini telah menjelajah keserata pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak dan sehingga ini sudah 32 episod berjaya disiapkan untuk tatapan umum.




Empat sekolah bersaing dalam Anugerah Melangkaui Sempadan Wilayah 2011

Oleh FAUZI MOHD

Empat sekolah angkat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersaing bagi Anugerah Melangkaui Sempadan Wilayah 2011 yang berteraskan penggunaan bahasa Inggeris hari ini.

Program peringkat Wilayah Timur itu melibatkan pertandingan The Beyond Borders Interschool Project, The Beyond Borders Planet Green Interschool Project di samping The Golden Pen Award: Essay Writing dan Act It Up Interschool Drama.

Pertandingan itu dianjurkan bagi mempertingkatkan penguasaan pertuturan dan pengucapan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid di samping meningkatkan keyakinan guru dalam proses pengajaran.

MAHB dalam satu kenyataan memberitahu, projek itu juga bagi mencorakkan suasana pembelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang meriangkan.

Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr. Aris Othman akan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam majlis yang akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.



22 November 2011

Terengganu lokasi terbaik teruskan Piala Monsun



Oleh FAUZI MOHD


Kerajaan yakin dengan pengalaman dan kemampuan Terengganu untuk terus menjadi lokasi kejohanan kapal layar Piala Monsun yang akan berakhir pada 2012.

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya berbangga dan menyokong penuh sekiranya Pulau Duyong terus menjadi medan perlayaran acara berprestij itu.

Menurutnya, Terengganu mempunyai fasiliti lengkap bagi acara tahunan sejak 2005 itu dan sejarah uniknya juga menyebut Piala Monsun dicipta untuk 'memanaskan' musim tenkujuh di negeri ini.

"Sememangnya kita berbangga dan menyokong jika sukan kapal layar Piala Monsun terus diadakan di Terengganu kerana ia dapat meningkatkan martabat sukan yang bertaraf antarabangsa itu," katanya.



Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan kejohanan itu di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd. Said; Pengerusi T-Best Event selaku penganjur kejohanan, Tan Sri Sabaruddin Chik dan Naib Presiden I Persatuan Perlayaran Malaysia, Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Tambah Dato' Sri Shabery, beliau mengakui ada beberapa negeri yang telah menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah acara itu.

"Walaubagaimanapun, Terengganu yang sudah sinonim dengan kejohanan ini awal-awal lagi menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang jitu untuk terus menjadi penganjur untuk tahun-tahun seterusnya," ujarnya.



Kejohanan lima hari itu menyaksikan 12 pasukan dari lapan negara yang berentap memburu juara dunia dan siri jelajah akhir World Match Racing Tour (WMRT) yang menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM1.39 juta.

Memberi saingan, pasukan Malaysia akan diwakili Jeremy Koo dari pasukan Abdullah Chan/KRT, yang sebelum ini telah mengekalkan kejuaraan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011.

Membawa cabaran kapal layar Foundation 36 di muara Sungai Terengganu, pasukan Berntsson Sailing Team, Sweden yang diketuai Johnie Berntsson; Bruni Racing, Itali (Francesco Bruni); YANMAR Racing, Australia (Dato' Peter Gilmour); Mekonomen Sailing Team, Sweden (Bjorn Hansen) dan French Match Racing, Perancis (Damien Iehl).

Selain itu, The Wave Muscat, Australia (Torvar Misky); Adrian Lee & Partners, Denmark (Jesper Radich); French Match Racing, Perancis (Mathieu Richard); WAKA Racing, New Zealand (Phil Robertson); Full Metal Jacket Racing, New Zealand (William Tiller) dan Team GAC Pindar, Britain (Ian Williams).

Tahun lalu, pasukan Team Origin of Great Britain yang diketuai Ben Ainslie muncul juara Piala Monsun setelah menewaskan Mirsky Racing Team, Australia yang diketuai Torvar Misky yang turut bertanding tahun ini.


Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 373 orang

Kampung Merbau Menyusut, Setiu ditenggelami air .

Oleh FAUZI MOHD

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Terengganu meningkat kepada 373 orang sehingga lima petang ini melibatkan 84 keluarga dan 8 pusat pemindahan, menurut Majlis Keselamatan Negara Terengganu.

Daripada jumlah itu, Besut mencatatkan jumlah tertinggi 175 orang daripada 39 keluarga yang kini berada di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Masjid Kampung Keruak, Dewan Masjid Kampung La dan Dewan Serbaguna Kampung Keruak.

Di Setiu, 115 mangsa terlibat dari 30 keluarga yang dipindahkan ke Masjid Kampung Merbau Menyusut dan Balairaya Kampung Tasek.

Manakala di Hulu Terengganu tiga pusat pemindahan dibuka iaitu Balairaya Kampung Peladan, Balairaya Kampung Cheting dan Masjid Kampung Sekayu dengan melibatkan 83 mangsa banjir dari 15 keluarga.

Jalan Kuala Berang -Sungai Tong ditutup kepada semua kenderaan apabila ditenggelami air sedalam 0.6 meter.


PTT tawar program cuti sekolah


Oleh; Esah Abdullah


Pusat Tutorial Terengganu (PTT) menawarkan program cuti sekolah bagi pelajar lepasan PMR mendalami bahasa Inggeris dan SPM bagi persediaan memasuki Pusat Pengajian Tinggi (IPT) serta kursus yang sesuai untuk pelajar IPT.

PTT turut menawarkan kelas esei bahasa Malaysia, ulangkaji pelajar tingkatan empat, kelas insentif bahasa Arab dan kelas pemulihan membaca dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk pelajar pra-sekolah.

Pengurus PTT, Encik Ong Chong Beng berkata, pihaknya menyediakan guru-guru berpengalaman luas dalam tuisyen dan sedia memberi bimbingan yang sistematik di samping ruang tempat belajar yang selesa.

Katanya, semua mata pelajaran beroreantasikan peperiksaan dan teknik peperiksaan dan PTT akan memberi potongan yuran bulanan bagi pelajar yatim piatu serta pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam akan diberi hadiah.

Tambahnya, bagi kelas ulangkaji pelajar tingkatan empat, ia terbuka untuk pelajar di sekolah asrama penuh dan sekolah biasa untuk beberapa mata pelajar seperti bahasa Inggeris, fizik, biologi dan sebagainya.

Menurutnya PTT juga menawarkan tuisyen kepada pelajar tahun satu hingga lima (UPSR), tingatan satu hingga 3 (PMR) dan tingkatan empat serta pelajar yang bakal menduduki SPM.

Ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke PTT boleh berhubung di talian 096232425 atau 0129578999 atau datang terus ke pejabat di alamat tingkat 1, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terenggau.






Kem Telaga Batin diisytihar nama baru


Oleh: Suriati Ali

Kem Pengakap Telaga Batin, Seberang Takir, Kuala Terengganu kini diisytiharkan nama kepada Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan mengisytiharkan nama kem itu ketika merasmikan Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2011, baru-baru ini.

Pengisytiharan sempena nama anakanda baginda Tengku Muhammad Ismail itu secara tidak langsung meletakkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan ulung.

Kira-kira 10,800 pengakap dari 21 negara penuh minat menyertai Jambori yang diadakan selama lapan hari dan berakhir 25 November itu

Antara negera yang turut serta, termasuk Mesir, Jepun, Hongkong, Singapura, Vietnam, Nepal, Indonesia, Sri Langka, Brunei, Maldives dan Kazakhstan.

Pelbagai aktiviti diadakan, termasuk kembara Bandar, aktiviti lasak, aktiviti air, pertandin Mesir, Jepun, Hongkong, Singapura, Vietnam, Nepal, Indonesia, Sri Langka, Brunei, Maldives dan Kazakhstan.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, berkata lebih 4,000 peserta dari Terengganu menyertai jambori kali ini dan selebihnya iaitu, 6,000 peserta dalam negara serta 800 lagi dari luar negara.

“Pihak kami mahu setiap peserta mengambil manfaat sepenuhnya aktiviti ini kerana mampu memupuk semangat kerjasama antara pelbagai kaum, membina jati diri supaya lebih berdisplin, mengerat hubungan persaudaraan dan mengenali cara hidup dan budaya pelbagai Negara,” katanya.



Sekolah Terengganu sumbang RM80,513 untuk Palestin

Oleh FAUZI MOHD

Kempen Ramadan Untuk Palestin yang digerakkan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) di sekolah-sekolah seluruh negeri sepanjang Ogos lalu berjaya mengumpul RM80,513.

Pengarahnya, Razali Daud berkata, sumbangan terbesar diterima dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu iaitu sebanyak RM24,046 diikuti Kemaman sebanyak RM13,035.

Manakala Besut berjumlah RM10,625, Marang (RM10,055), Dungun (RM9,846), Hulu Terengganu (RM7,778) dan Setiu (RM5,126).

“Sumbangan ini diterima daripada pelajar menerusi tabung yang dibekalkan ke setiap sekolah menengah dan rendah.

“Dengan adanya sumbangan ini, ia diharap dapat menampung peruntukan sebanyak RM511,000 yang diperlukan oleh Aman Palestin bagi diserahkan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis ringkas bagi menyerahkan cek sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut baru-baru ini.

Razali memberitahu, selain pungutan derma, pihak Aman Palestin juga dibenarkan mengadakan ceramah dan tayangan video berkaitan isu-isu Palestin di empat sekolah di negeri ini.