Halaman

15 November 2011

Keputusan UPSR akan diumum Khamis (lusa)

Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan Khamis ini (10 November).

Lembaga Peperiksaan Malaysia sudah menghantar keputusan peperiksaan itu ke Jabatan Pelajaran Negeri dan para pelajar akan dimaklumkan keputusan mereka di sekolah masing-masing pada jam 10 pagi.

Jika Terengganu mampu mengekalkan rekod sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan tersebut tahun ini, bermakna negeri ini menjadi juara UPSR seluruh negara buat tahun ke-11 berturut-turut.

Mengikut rekod Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), pada tahun ini, seramai 23,250 calon menduduki peperiksaan UPSR melibatkan 373 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan calon tertinggi seramai 7,763 calon, Kemaman (3,780 calon), Besut (3,515), Dungun (3,055 calon), Marang (2,182), Hulu Terengganu (1,547) dan Setiu (1,408).

Bilangan calon yang menduduki peperiksaan tahun ini meningkat sedikit berbanding 23,154 calon pada tahun lalu.

Berdasarkan peperiksaan percubaan baru-baru ini, para pelajar yang menduduki peperiksaan itu menunjukkan keputusan yang amat cemerlang.



Koir SMK Bukit Besar juara peringkat negeri

Oleh; Esah Abdullah

Kumpulan Koir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Kuala Terengganu muncul juara dalam Pertandingan Koir antara Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Terengganu 2011.



Kumpulan yang dianggotai 35 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima itu di bawah bimbingan Encik Azlan Selamat yang bertindak selaku pengurus dan jurulatih.

“Masa latihan selama tiga bulan di manfaatkan sepenuhnya oleh semua peserta biar pun sebahagiannya terpaksa membahagikan masa kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Encik Azman Abdullah yang mencipta lagu dua lagu yang dipertandingkan.

Lagu ‘Terengganu Negeri Anjung Ilmu’ dan ‘Negeri Bersih Rakyat Sihat’ telah dicipta khas oleh Encik Azman itu menarik perhatian Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda yang mahu kumpulan berkenaan diketengahkan.



Sementara itu kumpulan koir Sekolah Kebangsaan (SK), Kampung Rahmat,Chalok, Setiu menang bagi kategori sekolah rendah. Johan kategori SMK dan SK ini membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, plak dan sijil.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Dato’ Haji Wan Ahamad dalam majlis yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.





Pembudayaan kebersihan diterap di sekolah

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pelajaran Terengganu (JPN) membuat perubahan terhadap kaedah penghakiman Program Pendidikan Kebersihan Sekolah (PPKS) sepanjang tahun kerana elemen utama diberi perhatian adalah faktor pembudayaan kebersihan.



Timbalan Pengarah JPN, Encik Hashim Mat Zin berkata, semua sekolah diberi penekanan mengaplikasikan pendekatan lestari iaitu sentiasa pertama dan sentiasa teratas dalam merialisasikan keberhasilan setiap program.

“Kita yakin PPKS boleh berfungsi sebagai pemangkin, pelengkap dan pemantap kepada kecemerlangan pendidikan,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan Kawasan Sekolah Peringkat Negeri Terengganu 2011 di Wisma Darul Iman semalam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda telah merasmi majlis berkenaan. Hadir sama, Penolong Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani.

Katanya, hasil pemantauan kualiti kebersihan seluruh sekolah di negeri ini semakin meningkat dan ini membuktikan komitmen tinggi yang ditunjukkan semua warga pendidik dan pelajar dalam menjayakan PPKS.

Selain itu, mulai tahun ini program berkenaan telah diperluaskan kepada murid pendidikan khas melalui beberapa aktiviti seperti pertandingan mewarna dan melukis poster, menulis esei Braille, membaca petikan Braille dan pidato bahasa isyarat.

“JPN juga bercadang untuk melaksanakan pertandingan ini kepada pelajar di sekolah Orang Asli mulai tahun depan,” katanya.



Sehubungan itu, adik Nurul Shahida Zainal dari Sekolah Kebangsaaan Pendidikan Khas (SKPK) Bukit Besar muncul johan kategori membaca petikan Braille manakala adik Mohd Yunus Mohd Azam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar muncul johan bagi kategori sekolah menengah.



Kategori penulisan esei Braille dimenangi adik Nor Syuhada Alias dari SPBK, melukis poster kategori pelajar sindrom down dimenangi Mohd Arif Aiman dari SMK Tun Telanai, Marang dan peraduan mewarna (sindrom down) dimenangi adik Mohd. Hafizul Akil Zufri dari SK Bukit Payong, Marang.

Bagi pertandingan pidato bahasa isyarat pula dimenangi Nor Hayatul Akilah Abdul Wahab dari SMK Sura, Dungun.

Semua pemenang menerima hadiah berupa wang tunai RM250, plak dan sijil yang disampaikan oleh Dato’ Haji Wan Ahamad.





Bot pelancong ikon pelancongan terbaru Sungai Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Pertama seumpamanya di Malaysia, bas bandar yang mempunyai ciri ukiran kayu tradisional negeri selain bentuk dalaman yang selesa dan unik telah mendapat perhatian ramai terutama para pelancong sejak dilancarkan pada tahun 2007.



Semalam, satu lagi kemudahan pengangkutan yang melalui proses naik taraf bot penambang kepada bot pelancong, bakal menjadi ikon terbaru aktiviti menyusuri muara dan Sungai Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd. Said berkata, selain memaparkan kreativiti dan kesungguhan Terengganu memajukan sektor pelancongan, dua buah bot berkenaan menjadi daya penarik mempromosi ekopelancongan di negeri ini.

Menurutnya, produk pelancongan seperti 'nipah cruise', perusahaan ikan kering, bilis dan makanan laut serta kegiatan membuat bot tradisional di sekitar Seberang Takir mampu dikomersilkan untuk menambahkan pendapatan golongan nelayan.



"Bot yang bernilai RM250,000 setiap satu itu mempunyai 22 tempat duduk dan bakal menjadi pilihan utama untuk ke lokasi pelancongan Terengganu seperti Taman Tamadun Islam, Terusan Pulau Warisan, Pulau Duyong, Kompleks Tuanku Nur Zahirah dan Pasar Payang.

"Ia juga menonjolkan keupayaan tukang bot tempatan, Sulong Draman yang membina bot berkenaan," katanya pada majlis penyerahan bot berkenaan daripada Kerajaan negeri kepada Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad di Seberang Takir, petang semalam.

Hadir menerima penyerahan berkenaan, Pengerusi koperasi itu, Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.

Tambah Dato' Abdul Rahin, dengan kemudahan itu, Seberang Takir akan lebih membangun dan penduduknya, rata-rata nelayan akan mendapat manfaat daripada projek pelancongan itu.


Pusat Dialisis NFK terima dua mesin baru

Oleh: Suriati Ali

Pusat Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Terengganu, Kuala Terengganu, menerima sumbangan dua mesin dialisis bernilai RM90,000.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyerahkan sumbangan itu kepada Pengurus pusat berkenaan, Chee Gaik Thee.
Menurut Wan Farid, beliau mengambil inisiatif memohon sumbangan daripada Yayasan SP Setia setelah melawat pusat berkenaan April lalu.

"Kakitangan di situ memaklumkan bahawa mereka memerlukan mesin (dialisis) baharu bagi menampung jumlah pesakit yang kian bertambah.

"Justeru, saya merujuk perkara itu kepada Tan Sri (Lee Lam Thye) dan beliau bersetuju menyumbang dua mesin dialisis baru untuk kegunaan pusat ini," katanya kepada pemberita.

Pusat Dialisis NKF Terengganu ditubuhkan pada 1997 dan mampu menampung kira-kira 50 pesakit sehari dengan 13 buah mesin lama.

Wan Farid berkata, pihaknya bersetuju untuk menyumbang RM10,000 untuk tempoh dua bulan bermula bulan ini bagi membantu pesakit yang tidak berkemampuan ketika mendapatkan rawatan berkenaan.

"Bukan semua pesakit mendapat pembiayaan penuh daripada kerajaan negeri dan syarikat tertentu. Ada juga terpaksa membayar sendiri.

"Kos yang perlu ditanggung jika sekali rawatan (dalam tempoh empat jam) mencecah sehingga RM150 untuk satu sesi dan rawatan itu pula perlu dijalankan sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu," katanya.



Pelajar Besut jelajah Negara Arab

Oleh: Mohammad Ishak


Lima pelajar elit lelaki dari sekolah menengah daerah Besut berpeluang mengenali beberapa negara Arab dan London sempena Program Ekspedisi Jejak Hidayah selama sebulan mulai 17 November ini.

Program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Besut dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Besut (MBDB), Kerajaan Negeri Terengganu dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terbabit mengenai budaya hidup rakyat di negara berkenaan.

Ketua Ekspedisi, Mohd Zaharani Omar berkata, projek berkenaan dirancang sejak awal tahun ini memberi peluang kepada pelajar terpilih melawat beberapa negara Timur Tengah termasuk Mesir,Turki,Jordan dan London dalam misi jelajah untuk menghayati tempat bersejarah perjuangan pemimpin Islam.

Katanya, ketika berada di negara terbabit pelajar akan di bawa melawat beberapa tempat bersejarah yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan Islam zaman silam bertujuan meningkatkan kualiti pengetahuan dalam aspek sejarah dan peradaban Islam.

Menurutnya, antara tempat yang bakal dilawati pelajar termasuklah kesan peninggalan Destinasi Firaun, kesan peninggalan Nabi Muhammad, kawasan kejatuhan empayar Islam di Mesir, peninggalan sejarah Rom Purba dan beberapa tempat lain.

Mohd Zaharani berkata, ekspedisi antarabangsa pertama kali dianjurkan oleh pihak terbabit diharap dapat meningkatkan lagi penetahuan pelajar selain ketahanan jati diri ketika tinggal di negara terbabit.

“Kami sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Luar dan semua tempat yang dikunjungi peserta akan membuat kunjungan hormat kepada pejabat kedutaan negara,” katanya.

Selain pelajar,katanya, ekspedisi itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad yang juga Pengerusi MBDB dan dua guru lain yang bertindak sebagai fasilitator dan jurugambar.

Beliau berkata eksedisi itu juga dapat membuka minda pelajar selain meralisasikan usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu negeri anjung ilmu.


Lebih ramai pemain sepak takraw wanita di Terengganu

Terengganu bakal melahirkan ramai pemain sepak takraw wanita untuk negara dalam tempoh beberapa tahun lagi apabila Majlis Sukan Negeri (MSN) mewujudkan program tunas harapan.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Mohd Shapian Ali berkata Sekolah Menengah Bukit Sawa, Marang dipilih untuk pembangunan sepak takraw wanita.

"Saya difahamkan MSN akan menjalankan program tersebut dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Mohd Shapian berkata, MSN mengadakan program berkenaan di Sekolah Menengah Bukit Sawa kerana badan itu mendapati sekolah tersebut mempunyai ramai pelajar wanita yang berminat dalam sukan sepak takraw.

“Kejohanan Piala Presiden PSTNT sebahagian besarnya telah disertai pelajar wanita sekolah tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata, MSN melantik seorang guru di sekolah itu untuk menjadi jurulatih dalam program tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata pemain-pemain wanita yang keluar dari sekolah itu nanti akan diberikan pendedahan oleh PSTNT bagi memantapkan lagi skil permainan mereka.

Katanya pemain-pemain itu juga mungkin akan dibimbing oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman supaya mereka boleh mewakili negara pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shapian berkata PSTNT akan menghantar pasukan sepak takraw Sukma Terengganu berlatih dengan pasukan tentera laut Thailand di Bangkok Januari tahun depan.

Beliau berkata PSTNT memilih pasukan tentera laut Thailand untuk latihan pasukan Sukma kerana hampir keseluruhan pemain sepak takraw negara itu bekerja dalam pasukan tentera laut.

Katanya pasukan sepak takraw Sukma Terengganu dilatih oleh bekas jurulatih sepaktakraw kebangsaan Thailand, Vitayabontal.


Fitnah tangkap khalwat - MB buat laporan polis

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said membuat laporan polis berhubung fitnah kononnya beliau ditangkap khalwat.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 3.35 petang, hari ini (14 November).



"Saya diarah untuk membuat laporan polis berhubung fitnah itu, dan bersama ini saya serahkan bahan cetak fitnah tersebut (kepada polis) bagi membantu siasatan,” kata Datuk Wan Ahmad Nizam kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Turut serta, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Kata Wan Ahmad Nizam, pihaknya meminta polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas individu yang melakukan perbuatan memfitnah itu.

Sebelum ini, Dato' Seri Ahmad berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa penulis blog yang dikatakan memfitnah beliau kononnya ditangkap khalwat.

14 November 2011

Projek Touch Point Kerajaan Pusat bantu penduduk miskin

Oleh: Mohammad Ishak





Program membantu golongan miskin menerusi Projek “Touch Point” yang diperkenalkan Kerajaan Pusat dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk yang kurang berada negeri ini mendapat pelbagai bentun bantuan

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, projek berkenaan yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah akan diberi pilihan untuk mendapatkan batuan segera termasuk kaca mata, gigi, peralatan kerja, basikal dan kemudahan lain yang difikirkan perlu oleh pihak terbabit.

Katanya, peruntukkan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat menerusi Ahli Parlimen kemudian diagihkan kepada setiap Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) di kawasan masing-masing bertujuan membantu golongan miskin.

Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri berkata, bagi kawasan parlimen Besut beliau sudah mengagihkan peruntukan yang disediakan kepada semua empat ADUN membabitkan kawasan Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut dan Kota Putera.

“Peruntukan itu juga akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dan terpuluang kepada ADUN terbabit menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan rakyat,” katanya pada majlis penyerahan basikal kepada pelajar di Kampung Padang Luas dekat sini semalam.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberi tanggungjawab menyenaraikan nama mereka yang layak untuk dikemukakan kepada ADUN terbabit bagi membeli peralatan dan peperluan yang dipohon penduduk.

Bagi Parlimen Besut,katanya, beliau sudah menyediakan peruntukan RM70,000 kepada setiap wakil rakyat dan peruntukkan tambahan akan diberikan semula sebaik mereka habis membiayai projek berkenaan.

Beliau berharap, dengan adanya peruntukan menerusi projek segera itu ia dapat membantu rakyat berpendapatan rendah untuk membeli barang keperluan masing-masing.



Terengganu uji tujuh pemain import mulai Rabu ini

Oleh FAUZI MOHD

Sekurang-kurangnya tujuh pemain daripada beberapa buah negara akan diuji oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam rangka pencarian pemain import bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, setakat ini pihaknya akan menguji pemain-pemain dari Ghana, Nigeria dan Brazil mulai minggu depan.

"Langkah pertama, kita akan menguji dua pemain dari Ghana Rabu ini sebelum menguji tiga pemain dari Nigeria dan dua pemain Brazil,” katanya hari ini.

Selain itu, menurut beliau ramai lagi pemain-pemain import yang sanggup datang dan bermain dengan Terengganu dan pihaknya kini sedang berurusan dengan ejen pemain-pemain berkenaan.

Sheikh Tajudin yang juga Naib Yang Dipertua PBSNT berkata, begitupun pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam pengambilan pemain-pemain import kerana pendaftaran pemain masih lagi panjang.