Halaman

26 October 2011

Hari Keluarga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Besut meriah

Oleh: Mohammad Ishak


Sebahagian kanak-kanak PDK menunggu giliran menyertai acara sukaneka


Hari Keluarga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daerah Besut yang berlangsung di Kem Seri Keluang, Besut , disertai kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat sambutan meriah dikalangan kanak-kanak dan ibu bapa.

Program sehari membabitkan pelatih dari lima PDK iaitu PDK Jertih, Felda Tenang, Kampung Raja, Jabi dan Kampung Baru selaku tuan rumah bertujuan memberi ruang kepada kanak-kanan OKU berkomunikasi dengan masyarakat.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri,melakukan upacara perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada peserta yang berjaya.

Sepanjang program berlangsung kanak-kanak pelatih, guru dan pembantu guru PDK, ahli keluarga dan jawatankuasa PDK berkenaan turut menyertai pelbagai acara sukan yang dipertandingkan sempena Hari Keluarga terbabit.

Antara acara yang dipertandingkan termasuklah mencucuk jarum lelaki dan wanita, mengayam ketupat,isi air dalam botol, talian kasih, tiup belon, berlari berpasangan dalam kain pelikat dan membawa bola ping pon dalam sudu.

Abdullah berkata, beliau bangga penganjur mngadakan program seumpama itu kerana memberi peluang kepada kanak-kanak OKU menyertai aktibviti riadah bukan sahahaja bersama rakan sebaya malah disertai ahli keluarga masing-masing.

Beliau berharap, ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah suyapa menghantar ke pusat pemulihan termasuk kelas PDK kerana kerajaan menyediakan banyak bantuan dan kemudahan pendidikan kepada golongan terbabit jika menyertai PDK.

17 SBT jadi sekolah angkat UMT


Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 17 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negeri ini terpilih mengikuti program latihan pengurusan pusat sumber anjuran Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Bahagian Teknologi Pendidikan Terengganu.



Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, penekanan latihan khusus kepada guru dan pengawas pusat sumber bagi mendalami urusan perkhidmatan, pengurusan dan pemerosesan bahan.

Katanya, melalui program ini, perkongsian maklumat mengenai sistem pengurusan sumber komputer boleh dijadikan panduan kepada pusat sumber sekolah di seluruh negeri.

“Program latihan dua hari ini turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai scenario penggunaan perpustakaan di university serta memotivasikan mereka dalam menjadikan budaya mencintai ilmu dalam kehidupan mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutup program Latihan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Angkat di PSNZ UMT semalam.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Terengganu, Encik Alias Taib dan Timbalan Ketua Perpustakaan PSNZ, Encik Atip Ali.

Pihak UMT bercadang untuk meneruskan program iniserta menambah bilangan sekolah pada tahun akan datang memandangkan ia memberi manfaat besar kepada guru, pelajar dan sekolah terbabit.

“UMT membuat lawatan susulan ke sekolah-sekolah yang terbabit dan beberapa faktor memain peranan dalam pengoperasian pusat sumber,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga mengesan kira-kira 90 peratus guru sumber media dan pengawas pusat sumber memerlukan latihan berkaitan bagi mengendalikan pusat berkenan dengan lebih tersusun dan terancang.




Terengganu muncul juara bola sepak pantai

Oleh: Suriati Ali

KELETIHAN membawa tuah buat Terengganu apabila muncul juara selepas menumpaskan pasukan Pahang 4-3 pada aksi final Kejohanan Bola Sepak Pantai Kebangsaan Felda-FAM 2011 di Pantai Teluk Chempedak yang berakhir Ahad lalu.



Pengurusnya Mohamed Sekather Abd Hamid berkata, keletihan dialami pemain tidak mematahkan semangat berjuang sekali gus membantu Terengganu menjulang kejuaraan selepas 2009.

“Namun, kami tidak menafikan kehebatan Pahang yang hampir memusnahkan benteng pertahanan pasukan kami dengan beberapa percubaan berbahaya,” katanya.


Juara, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala kejohanan yang disampaikan anakanda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Juara kategori wanita menjadi milik Perlis membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala kejohanan.





YPU giat pantau perniagaan T'Shoppe

Oleh: Suriati Ali

KERAJAAN negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) giat mengadakan pemantauan terhadap semua rangkaian perniagaan T’Shoppe di negeri ini, bagi memastikan ia mencapai had jualan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, pelbagai langkah dilakukan,termasuk mengubah struktur pentadbiran YPU agar ia mencapai had jualan rangkaian kedai tersebut selain membolehkan tugas hakiki berjalan lancar.

Katanya, pegawai YPU akan `turun padang’ bagi melihat kaedah yang dilaksanakan di 17 rangkaian T’Shoppe tempatan dan tiga lagi yang beroperasi di luar Terengganu .

“Sekiranya terdapat kelemahan dan kurang mendapat sambutan pelanggan, pelbagai perubahan akan dilaksanakan termasuk mempergiatkan promosi supaya pelanggan terus berbelanja di T’Shoppe.

“Pendekatan itu nyata memberi kesan apabila terdapat T’ Shoppe mampu mencapai sasaran yang diinginkan iaitu melebihi RM3,500 sehari,” katanya.

Dato’ Haji Mohamed berkata, jumlah kutipan jualan T’Shoppe bergantung kepada keadaan semasa dan lokasi kebiasaanya memperoleh antara RM1,500 hingga RM3,500 sehari.

T’Shoppe Kuala Berang antara rangkaian paling laris dan mendapat pandapatan kasar lebih RM100,000 sebulan.

Pelbagai jenis makanan tradisional seperti keropok sira, buah rotan, gula-gula `nisan’, kerepek ubi dan kerepek pisang terdapat di T’ Shoppe bagi memudahkan pelancong tempatan dan luar negara mendapat produk Terengganu.

“Langkah yang dilaksanakan ini nyata dapat membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing di mana sebelum ini sukar untuk berbuat demikian kerana mendapat syarat ketat dari pasar raya ternama tempatan,” katanya





Pelajar DUN Chukai terima e-Book


Oleh: Nurul Aziela Saberi

Seramai 1,132 murid Tahun 4 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai menerima e-Book secara percuma dalam satu majlis di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, baru-baru ini.

Penyerahan e-book itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera.

Menurut Puan Azizah Yusof ibu kepada pelajar Tahun 4 Hairul Ezzwan Mohd Perak dari SK Seri Iman, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah membahagikan e-Book kepada pelajar di negeri ini, termasuk anaknya yang baru belajar Tahun 4.

“Ini jelas membuktikan usaha kerajaan untuk menjadikan pelajar negeri ini golongan intelektual dan usaha ini semakin berjaya kerana mendapat sambutan daripada semua pihak terutama budak-budak sekolah,” katanya.

Katanya, rakyat Terengganu, terutama para pelajar perlu bersyukur kerana mereka diberi pelbagai kemudahan oleh kerajaan negeri dari bangku sekolah hinggalah peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Antara sekolah yang terlibat ialah SK Seri Geliga, SK Kampung Tengah, SK Mak Lagam, SK Chukai, SK Sultan Ismail dan SK Seri Iman.


JKKK DUN Kuala Berang cipta pulut kuning terpanjang


Oleh: Mastura Jamaluddin

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Kuala Berang merampas kembali rekod pulut kuning terpanjang di Malaysia melalui Malaysian Book of Record selepas mencipta pulut kuning sepanjang 487.5 meter, mengatasi rekod terdahulu 400 meter yang dibuat sebuah persatuan di Perak.

Sebanyak 30 buah JKKK di kawasan berkenaan bergabung bagi menghasilkan pulut kuning tersebut yang menggunakan lebih 1,200 kilogram beras pulut dan 90 biji kelapa.

Pulut kuning itu dibuat sempena Karnival Usahawan Hulu Terengganu anjuran MARA dengan kejasama Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang diadakan selama 11 hari bermula 24hb Oktober hingga 4hb November ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, YBM Dato’Haji Tengku Putera Tengku Awang mewakili YAB Menteri Besar Terengganu.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Hulu Terengganu , Haji Shamsaiful Mahari, berkata sebanyak 70 buah gerai yang menjual pelbagai barangan dibuka oleh usahawan tempatan dan luar seperti Kuala Lumpur dan Pahang sepanjang karnival itu.

“Kami juga mendapat kerjasama daripada agensi-agensi lain seperti Hospital Hulu Terengganu yang mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan sekolah yang menyediakan khidmat catering bagi makan minum.

“Tujuan utama karnival ini dianjurkan ialah bagi merapatkan hubungan antara agensi-agensi ini dengan peniaga-peniaga supaya kita dapat bergabung dalam setiap kepakaran yang kita ada,” katanya pada majlis perasmian karnival tersebut.

Turut hadir ialah ADUN Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail; Timbalan Pengarah MARA Negeri Terengganu, Encik Mohd Tahir Mohd Jusoh dan wakil-wakil jabatan kerajaan serta pemimpin setempat.

Pemimpin Umno Marang aktif masuk kampung



Oleh : Amirullah Othman

Setiap hari rutin harian yang dilakukan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda ialah menziarahi mereka yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan keluarga yang kematian waris.

Pemimpin yang tidak mengenal erti lelah itu sentiasa murah dengan senyuman apabila bertemu dengan masyarakat di kawasan itu sangat senang didekati dan selalu bertemu dengan rakyat untuk mendengar segala permasalahan mereka.

Baru-baru ini beliau menyampaikan dua buah kerusi roda kepada pesakit lumpuh dari Taman Permint Permai, seorang daripadanya Mat Sani Abdullah, 49, yang menghidap penyakit saraf, jantung, kencing manis dan lumpuh.

Mat Sani lumpuh sejak 10 tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300.

Pesakit kedua ialah Ghazali @ Mohd Muda, 70, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan juga lumpuh.

Ghazali yang menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 terpaksa menjalani pemeriksaan berkala di hospital dan memerlukan kos yang banyak.

Encik Zaidi ketika ditemui wartawan Teganukita kelmarin melahirkan keazaman beliau untuk membantu sedaya upaya bagi menyelesaikan segala permasalahan rakyat di kawasan DUN Bukit Payong.

Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi agensi berkenaan bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan dengan agensi mereka agar rakyat mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Pelajar SMK Tengku Lela Segara dirai di majlis graduasi



Oleh : Amirullah Othman


Seramai 49 pelajar pra-universiti dan 143 pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara dirai dalam Majlis Graduasi Kali Ke-3 di sekolah berkenaan, kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru, Encik Roslan Ngah; Penolong Bendahari Alumni, Encik Anuar Yahya dan Pengetua sekolah, Encik Mukhtar A. Ghani.

Majlis penuh gilang gemilang ini turut disaksikan ratusan ibu bapa yang datang ke sekolah itu bagi melihat anak-anak mereka menerima graduasi dengan memakai jubah seperti penuntut universiti.

Dalam ucapannya Dato’ Abdul Rahman mengingatkan para pelajar mengenai kepentingan bidang pendidikan kerana tanpa ilmu tidak mungkin negara mampu berkembang maju dan menjana modal insan.

Beliau juga meminta ibu bapa supaya mementingkan pelajaran anak-anak dan tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan mereka tercicir dalam pelajaran kerana kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar bagi meningkatkan bidang tersebut.

Antara bantuan kerajaan kepada pelajar di negeri ini ialah pemberian e-Book secara percuma, bantuan permulaan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta dan sekolah berasrama penuh serta pusat-pusat kemahiran.

Encik Mukhtar pula dalam ucapannya menyatakan ‘graduan’ yang berjaya adalah mereka yang memperolehi kepujian Bahasa Malaysia dan sekurang-kurangnya 6.0 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia , manakala dalam STPM pula pelajar perlu mendapat sekurang-kurangnya 2.0 dan lulus penuh mata pelajaran Pengajian Am.

SMK Tengku Lela Segara merupakan sekolah yang begitu cemerlang dalam akademik serta melahirkan atlet-atlet negeri Terengganu terutamanya dalam sukan mendayung dan kenu.

25 October 2011

Pantau kawasan elak virus

Oleh: Suriati Ali

KERAJAAN Negeri meminta Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Jabatan Kesihatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung memantau tahap kebersihan kawasan sekitar sekolah, khususnya sekolah yang terletak di luar bandar.

Ia susulan tujuh murid perempuan dan empat murid lelaki Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dimasukkan ke hospital akibat virus Leptospirosis atau kencing tikus baru-baru ini.

Selain 11 murid tahun satu hingga lima itu, 16 orang lagi penduduk Orang Asli kawasan berkenaan turut dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan Hospital Hulu Terengganu setelah terkena virus terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihak terbabit perlu memberi penjelasan dan penerangan kepada guru serta komuniti setempat berkaitan bahaya virus kencing tikus yang boleh membawa maut ini.

“Kita memandang serius insiden yang menimpa ini dan menyeru pihak yang terbabit dapat membuat tindakan sewajarnya,” katanya.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada penggunaan air sungai di Sungai Berua berhampiran sekolah itu yang berkemungkinan dicemari kencing tikus.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang dijangkiti wabak itu telah dibenarkan pulang.

Katanya, sehingga kini terdapat 109 murid Orang Asli yang menduduki tahun satu hingga lima di SK Sungai Berua dan kawasan itu didiami 384 Orang Asli membabitkan 88 buah keluarga


Perlu semangat juang untuk julang Piala Malaysia

Oleh: Suriati Ali


IMPIAN kesebelasan utama pasukan Penyu untuk menamatkan kemarau panjang selama 10 tahun bagi merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2001, hanya sekadar angan-angan sekiranya tiada semangat juang yang tinggi pemain.

Tonggak pasukan Terengganu, Marzuki Yusof menyifatkan, perjuangan memburu kejuaraan harus diiringi dengan semangat juang yang tinggi sekiranya ingin melihat piala paling berprestij dalam arena bola sepak tanah air hinggap di bumi penyu itu.

Bagi Marzuki, kejayaan yang dikecap dalam beberapa siri perlawanan sebelumnya termasuk peringkat suku akhir ketika menentang The Red Wariors dan separuh akhir ketika bertemu Selangor, belum cukup untuk dijadikan sandaran bagi memastikan keputusan sama bakal dicatatkan dalam perlawanan akhir yang disifatkan amat getir itu.

Marzuki berkata, perlawanan akhir pada 29 Oktober nanti menjadi titik penghabisan perjuangannya bersama pasukan Terengganu dalam siri kejuaraan Piala Malaysia musim 2011.

“Ibarat askar di medan perang, kami akan berjuang habis-habisan, selagi wisel penamat belum ditiupkan, selagi itulah kami akan berjuang.

“Misi kami bukan setakat menempah tiket ke perlawanan akhir, sebaliknya membawa pulang Piala Malaysia, itulah harapan dan impian kami, bukan sahaja pemain, tetapi untuk rakyat negeri ini,” katanya.

Marzuki berkata, pesanan pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim agar rakan sepasukannya mengekalkan taktik menyerang sehingga tempoh 90 minit berakhir akan menjadi pedoman penting buatnya, biarpun ketika itu mungkin Terengganu sudah mendahului pasukan lawan.

Katanya, mendahului lawan melalui gol awal memberi suntikan semangat buat pasukan seperti yang pernah dilakukan dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

Ketika ditanya tugasnya sebagai benteng pertahanan utama Marzuki berkata, amanah itu akan dipikul dengan sebaiknya bagi memastikan kemaraan Negeri Sembilan berjaya disekat.

Marzuki berkata, kerjasama rakan sepasukan penting bagi memastikan setiap sudut padang dikuasai pemain berjersi putih hitam itu.