Halaman

22 August 2011

Kerajaan bertindak atas kepentingan orang Melayu

Oleh: Esah Abdullah

Demi mempertahankan hak orang Melayu untuk mengekalkan kependudukan dalam kawasan bandaraya, kerajaan bertindak mengambil balik tanah-tanah yang terdapat di Kampung Tanjung untuk dimajukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sedar bahawa tanah di kawasan terbabit merupakan tanah hak milik dan sudah terjual kepada individu lain sedikit demi sedikit.

“Kita mahu orang Melayu kekal pada tempat asal mereka dan kerana ingin pertahankan hak mereka, kita ambil tanah berkenaan tujuan untuk dimajukan,” katanya ketika sesi penggulungan wakil kerajaan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang bermula hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pembangkang (Pas-Ladang) bahawa kerajaan telah menganiaya dan merampas tanah orang Melayu untuk pembangunan.

“Kerajaan BN tidak pernah berlaku zalim sebaliknya sentiasa mengambil berat keperluan golongan miskin dengan menghulur pelbagai bantuan,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan memerlukan peruntukan tambahan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan (RM105,543,600) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu (PTG) (RM50 juta) dengan jumlah keseluruhan adalah RM155,543,600.

“Peruntukan ini membabitkan pembinaan istana baru di Bukit Chendering (RM40 juta) manakala selebihnya bagi pembiayaan 21 projek perumahan kos rendah dan rumah mampu milik,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad meluahkan rasa dukacita kerana Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar (Pas-Ladang) ) selaku mantan Pengarah PTG buat-buat tidak faham tentang proses pengambilan tanah dan menyalahkan kerajaan dalam isu berkaitan.

Katanya, hampir kesemua wakil pembangkang tidak faham tentang keperluan bajet untuk projek khas berkenaan dan apa yang kerajaan buat untuk kepentingan golongan miskin selalu disalah tafsir.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat mengambil berat pemasalah rakyat walaupun sudah jelas mereka yang menduduki tanah kerajaan tidak layak dibayar pampasan tapi kita beri saguhati dan penempatan baru kepada yang terbabit,” katanya.




Sidang DUN Terengganu Ke-12 (Hari Pertama)



Tarik balik pinjaman pelajaran jika sertai Bersih

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan negeri akan menarik balik pinjaman pelajaran mana-mana pelajar termasuk yang sedang menuntut di Mesir Jika terbukti mereka menyertai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika menjawab soalan Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir), berkata Yayasan Terengganu (YT) sudah diarah agar mengeluarkan memo atau surat tunjuk sebab kepada pelajar berkaitan.

“Sekiranya jawapan yang diberi tidak munasabah atau tidak memuaskan, YT tidak akan bertolak ansur dan akan menarik balik pinjaman yang diluluskan,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana jelas melanggar peraturan yang ditetapkan dalam surat penjanjian YT.

“Apa yang dikesalkan mereka tetap menyertai perhimpunan itu walaupn sudah mengetahui kesan dan akibatnya,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak dapat mengesan berapa jumlah individu yang menyertai perhimpunan Bersih berikutan tiada pihak yang dilantik untuk urusan memerhati atau membilang jumlah peserta.

“Berdasarkan kenyataan Wakil Rakyat Wakaf Mempelam dalam laporan akhbar, seramai 200 individu ditahan pihak berkuasa dalam perhimpunan yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila,” katanya.

PTH diwujudkan kembali

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri bahawa Program Tunas Harapan (PTH) yang ditamatkan pada 2008 diwujudkan kembali bagi melahirkan lebih ramai atlit berpengalaman dan cemerlang.

Katanya, PTH diwujudkan sejak 1991, ketika program ini dijalankan, semua jurulatih PTH di Sekolah Sukan Bukit Nenas (SSBN) dibayar elaun sebanyak RM250 seorang.

“Bagaimanapun program ini terpaksa ditamatkan pada 2008 kerana ingin memberi tumpuan kepada Sukan Malaysia (Sukma) di mana ketika itu Terengganu sebagai tuan rumah.
Semua jurulatih, pengiat dan pengurus sukan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Sukma pada ketika itu,” katanya.

“Menyedari hakikat PTH mempunyai sumbanagn besar dalam pembangunan sukan, ia akan diwujudkan kembali dengan memulakan lima jenis sukan pada awal tahun ini,” kata ketika menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh).

Menurutnya, kerajaan negeri bangga kerana sebahagian besar atit yang lahir pada hari ini sehingga mampu mengharumkan nama di serata negara adalah dari Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu.

“Kerajaan neegeri telah mengeluarkan peruntukan yang cukup besar untuk sekolah tersebut. termasuk membelanjakan sebanyak RM700 ribu setahun untuk biasiswa kepada pelajar serta bantuan insentif kepada pelajar berprestasi tinggi,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan Adun Tepoh yang ingin mewujudkan kembali bayaran elaun RM250 kepada jurulatih bermula tahun depan.

“Buat masa sekarang, SSBN sudah mempunyai jurulatih tempatan dan luar negara yang berpengalaman dan mereka dibayar gaji secara bulanan,” katanya.


Terengganu sasar setengah juta pelancong dari China

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri sedang berusaha menarik kedatangan pelancong terutama dari China dengan menyasarkan peningkatan 100 peratus pada tahun ini berbanding kira-kira 250,000 pengunjung tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said berkata, dengan mewujudkan beberapa lokasi menarik bagi pelancong berkenaan seperti Pulau Bebas Cukai dan pulau-pulau kecil di sekitar Tasik Kenyir.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Penutupan dan Penyerahan Sijil Kursus 'Act Tourism' baru-baru ini, Dato' Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program memancing 'Kenyir Cup' yang dijangka berlangsung pada Disember depan.

"Pihak kami juga ada menyiarkan pengalaman memancing di Tasik Kenyir menerusi siaran televisyen China bagi menarik pengunjung dari negara tersebut ke Terengganu menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Hulu Terengganu akan maju setanding daerah lain

Oleh: Mastura Jamaluddin

Daerah Hulu Terengganu akan maju setanding dengan daerah-daerah lain dalam tempoh terdekat ini, khususnya selepas Tasik Kenyir mula beroperasi sebagai kawasan bebas cukai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sudah banyak perancangan dilakukan bagi membangunkan Tasik Kenyir, termasuk cadangan membina hotel dan chalet, berikutan cadangan menjadikan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu sebagai kawasan bebas cukai.

“Kerajaan Pusat sudah meluluskan penempatan 84 pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Ekasais Diraja Malaysia untuk bertugas di kompleks kastam di Tasik Kenyir,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan orang ramai di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Rozi Mamat; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Mohd Nor Othman; Adun Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohd Wan Ibrahim.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menerima banyak permintaan daripada pihak berkenaan untuk membina hotel dan chalet di Pulau Poh dan Pulau Bayas dan ia sedang dipertimbangkan.

“Selepas ini lebih banyak rumah kedai dan kediaman akan dibina sekitar kawasan Tasik Kenyir bagi memenuhi permintaan peniaga dan orang ramai,” katanya.

Secara tidak langsung, bandar Kuala Berang yang menjadi pintu masuk ke Tasik Kenyir akan menjadi lebih maju di masa depan.


2,000 bungkus bubur lambuk diagih di depan Hospital Hulu Terengganu

Oleh: Mastura Jamaluddin

Bubur lambuk yang merupakan makanan tradisi bulan Ramadan menjadi rebutan orang ramai, tanpa mengira usia setiap kali tiba bulan puasa.

Hakikat ini terbukti apabila sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk berjaya di agihkan dalam masa 45 minit sahaja di depan Hospital Hulu Terengganu, petang semalam.

Program tersebut dianjurkan Lembaga Pelawat Hospital Hulu Terengganu ( ALP HHT ) dengan kerjasama UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu ( MDHT ), Kawasan Rukun Tetangga Kuala Berang dan MCA Bahagian Hulu Terengganu.

Program tersebut membuktikan bahawa Badan Bukan Kerajaan ( NGO ), jabatan kerajaan dan parti politik mampu bergerak bersama-sama dalam menjayakan program untuk kepentingan semua pihak.

“Program yang pertama kali dilaksanakan itu berjaya membuktikan bahawa konsep 1Malaysia dengan gabungan pelbagai jabatan termasuk MCA dan NGO bergabung dan bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu aktiviti.

“Kita dapat melihat sambutan yang diberikan dan pihak ALP HHT berhasrat menjadikannya satu program tahunan yang akan diteruskan pada Ramadan yang akan dating,” kata Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Hulu Terengganu, Encik Shamsaiful bin Mahari yang merupakan tonggak utama kejayaan program tersebut.

Hadir sama pada program agihan bubur lambuk Ramadan 2011 di hadapan HHT ialah Yang Dipertua MDHT. Tuan Haji Talaha Ali.


21 August 2011

150 Pelajar Daerah Besut dapat topi kaledar percuma

Oleh: Mohammad Ishak


Dr Abdullah sedang memakai topi kaleder kepada seorang pelajar.

Misi bagi mewujudkan amalan pemakaian topi keledar sebagai budaya hidup dikalangan pengguna jalan raya kini perluaskan kepada pelajar dan ibu bapa di seluruh negeri ini bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal.

Program anjuran bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Pejabat Pelajaran Daerah, bertujuan menggalakkan penggunaan topi keledar dikalangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah menngunakan motosikal.

Seramai 150 pelajar sekolah daerah Besut yang membomceng motosikal ibu bapa masing-masing turut mendapat faedah menerusi program itu apabila mereka diagihkan topi keleder oleh JKKR sempena Kempen Keselatan Kanak-Kanak Sekolag Peringkat Daerah Besut tahun ini.

Program yang berlangsung di Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Mahood, Besut, dirasmikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.hadir sama Pengarah JKJR Terengganu,Mohd Khairil Amirul Mohd Aziz.

Abdullah ketika berucap pada majlis itu berharap, memalui program itu ibu bapa yang menunggang motosikal dan membawa anak supaya mengamalkan budaya memakai topi keleder walaupun jarah rumah dengan sekolah tidak jauh.

Katanya, kempen itu amat penting kerana ia bertujuan mendidik pelajar serta ibu bapa agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga.

“Disiplin yang tinggi dan sikap yang betul di kalangan pengguna jalan raya perlu dipupuk dan dibentuk dari awal lagi,” katanya.

Beliau menyifatkan usaha penganjur mengadakan kempen itu amat baik dan perlu dihayati oleh ibu bapa sepanjang berada di jalan raya terutama ketika menunggang motosikal bersama anak-anak.



Maidam terima bayaran zakat perniagaan RM59,794.13

Oleh: Suriati Ali


Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan (dua dari kanan) menerima zakat daripada wakil kokitab Encik Khazali (kanan)

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (Kokitab) Berhad di Majlis Penyerahan Zakat, pejabat Maidam hari ini.

Wakil Kokitab, Setiausaha Kehormat Kokitab, Encik Khazali Musa menyerahkan sejumlah RM59,794.13 kepada Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan Hashim.

Sementara itu Encik Khazali berkata, pihaknya berusaha mempelbagaikan projek pembangunan semata-mata untuk meningkatkan keuntungan dan menaiktaraf ekonomi koperasi pada setiap tahun.

Katanya, sebanyak 13 unit rumah kedai dua tingkat, di Bandar Permaisuri, Setiu sudah siap dibina dan kini dalam proses jualan untuk ahli Kokitab dan pihak luar. Projek itu diusahakan awal 2009 dengan nilaian lebih RM2.8 juta.

“Manakala projek hartanah seluas 1.5 hektar yang dipecahkan kepada 24 lot di Kampung Bukit Kemudu, Pemaisuri, turut dalam proses jualan dengan menawarkan harga antara RM20,000 hingga RM24,000 setiap lot.

“Pihak kami sentiasa memberi keutamaan kepada ahli kokitab terlebih dahulu untuk berurusniaga sama ada berkaitan rumah kedai, rumah kediaman atau hartanah sebelum dibuka untuk orang ramai sekiranya kurang mendapat sambutan dikalangan ahli itu sendiri,” katanya selepas majlis itu.

Katanya, kokitab mempunyai kira-kira 10,000 ahli berdaftar dan kebanyakan mereka aktif mempunyai pelbagai jenis pinjaman.

“Penjawat awam yang baru diterima bekerja digalakkan menjadi ahli kokitab kerana pelbagai kemudahan disediakan termasuk pinjaman kecemasan tanpa faedah sebanyak RM3,000,” katanya.


YIT jalin usahasama bina hotel RM100 juta

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Islam Terengganu (YIT) bakal memeterai kerjasama dengan sebuah syarikat hartanah bagi membina sebuah hotel empat bintang di bandar raya Kuala Terengganu yang dianggarkan bernilai RM100 juta pada awal tahun depan.

Pengarah yayasan berkenaan, Md. Kamarul Al-Amin Ismail berkata, pembinaan hotel 20 tingkat bersebelahan bangunan Wisma Darul Iman itu bakal menonjolkan seni bina Islam serta rekabentuk bangunan beridentitikan Terengganu.

Menurutnya, melalui pelaburan itu, YIT akan mempunyai kira-kira 30 peratus pegangan saham dalam projek itu manakala selebihnya milik rakan kongsi yang bakal diumumkan kelak.

“Hotel yang dijangka berperasi pada tahun 2014 itu, menjadi projek perhotelan kedua YIT selepas hotel saiz serdehana 20 bilik di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Md. Kamarul, YIT merancang untuk membangunkan tanah-tanah milik yayasan itu di seluruh negeri dengan pelbagai projek komersil yang menguntungkan.

Katanya, tanah dengan luas keseluruhan 29.6 hektar yang dimiliki YIT di Kemaman, Besut, Setiu dan Kuala Terengganu akan dibangunkan secara berperingkat agar ia memberi manafaat kepada penduduk sekitar khususnya pelabur tempatan.

“Pihak YIT mengalu-alukan penyertaan sektor swasta untuk jalin kerjasama dengan YIT bagi membangunkan tanah berkenaan seperti pembinaan rumah kedai dan ruang pejabat.

“Dengan kedudukan tanah yang strategik, pelaburan itu mampu meningkatkan penyertaan YIT dalam bidang hartanah serta memberi pulangan optimun kepada kami,” ujarnya.

Mufin Ubi Gadong jadi hidangan istimewa

Oleh FAUZI MOHD

Nama yang cukup asing bagi sesetengah orang, Ubi Gadong iaitu sejenis tumbuhan hutan yang beracun.

Setelah diolah dan diproses dengan teliti, ia menjadi salah satu sajian istimewa pada majlis berbuka puasa Menteri Besar bersama perantau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.


Mufin Ubi Gadong UniSZA yang menjadi hidangan istimewa pada majlis berbuka puasa Menteri Besar Terengganu bersama perantau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam tadi. Gambar Harish Fadzillah

Dengan nama ‘Mufin Ubi Gadong UniSZA’, makanan yang dihasilkan oleh penyelidik dari Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu itu mencuri tumpuan sebahagian pengunjung pada majlis itu.

Presiden Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pesat), Dato’ Ramlan Ibrahim berkata, selain pencuci mulut itu, turut disajikan pelbagai makanan tradisional Terengganu seperti kerepok lekor, nekbat, sata, otak-otak dan lompat tikam.



Katanya, program anjuran bersama Pesat dan Kerajaan Negeri itu sedikit sebanyak mampu membawa air tangan orang Terengganu ke PICC yang sering dirindui oleh kebanyakkan perantau ketika berbuka puasa.

Teruja berbuka puasa bersama Menteri Besar

Oleh FAUZI MOHD

Setiap kali ketibaan bulan Ramadan pastinya ia disambut dengan gembira oleh warga siswa dan siswi bersama dengan rakan-rakan dan pihak universiti.

Lazimnya di kampus, banyak program berbuka puasa dianjurkan dalam memenuhi keadaan pelajar yang berjauhan daripada keluarga untuk mengurangkan kesayuan masing-masing.


Sebahagian pelajar Terengganu yang turut serta pada majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Gambar Harish Fadzillah

Sikap prihatin dan penyayang pentadbiran universiti serta organisasi lain berjaya menjadikan sambutan Ramadan meriah dan sempurna dengan pelbagai program serta aktiviti yang dianjurkan.

Malam tadi, sebahagian daripada mereka bertuah apabila berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan beberapa pemimpin negeri yang lain di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Program anjuran bersama Kerajaan negeri dan Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pesat) itu berjaya menghimpunkan lebih 2,000 anak Terengganu termasuk kira-kira 300 pelajar yang menuntut di kampus universiti sekitar Lembah Klang itu.

Penuntut Sarjana Muda jurusan Farmasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bukhari Mat Rahim, 20, ketika ditemui berkata, kesudian Menteri Besar meluangkan masa berbuka puasa bersama anak Terengganu menunjukkan sifat keperihatinan dan ambil berat beliau terhadap golongan pelajar.

“Majlis ini memberi mesej yang jelas bahawa Dato’ Seri mahu melihat mahasiswa lahir sebagai graduan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya yang berasal dari Kampung Sura Hujung, Dungun.



Bagi pelajar Bacelor Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Maziah Ahmad Rafie, 24, memberitahu, jemputan itu merupakan satu penghormatan kepada mereka sebagai penuntut yang berada di luar Terengganu.

“Kami teruja dengan jemputan ini dan berharap ia membuka lembaran baru dalam meningkatkan lagi kemajuan pendidikan anak Terengganu pada masa akan datang,” ujarnya yang merupakan anak jati Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Muhamad Nafis Mohd. Noor, 21, pelajar Sains Kejurulatihan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia bangga dengan pendekatan yang dilakukan Kerajaan Negeri yang berjaya menghimpunkan ramai anak Terengganu pada majlis itu.

“Ia sedikit sebanyak berjaya mengubati kerinduan kami terhadap suasana Ramadan di kampung kerana pada kami ia cukup indah terutamanya bila dapat bersama ahli keluarga tatkala waktu berbuka puasa,” katanya.