Halaman

10 May 2011

Pusat latihan ICT ganti pusat animasi

Oleh: Esah Abdullah



Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu bahawa Pusat Latihan dan Pengeluaran Produk Animasi di Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu telah dijadikan Pusat Latihan ICT negeri di bawah pengendalian Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kursus-kursus komputer untuk kakitangan kerajaan negeri dan Pusat turut diadakan di situ.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM4.4 juta bagi program berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk).

Katanya, tahun lalu kerajaan berjaya melahirkan 1,727 perantis di bawah program animasi termasuk 283 orang yang terakhir mengikuti kursus animator, program e-farm (203) dan program Efik ICT/ECER (80) di mana peranti itu mempunyai kemahiran animasi bertaraf antarabangsa dan mampu berdikari.

YB Haji Ahmad Razif, konsep yang dilaksanakan ini adalah untuk memberi latihan dan mereka akan dapat peluang pekerjaan sama ada membuka perniagaan sendiri atau bekerja dengan syarikat berkaitan yang kebanyakannya ada di luar Terengganu.

Selain itu katanya, kerajaan negeri telah menyatukan semua pusat-pusat ICT berkenaan iaitu M2Farm, D3D dan Jusper di bawah pengendalian pihak UPMN.

“Sekarang kerajaan tidak memberi fokus sangat dengan konsep animasi ini sebaliknya menumpukan kepada latihan ICT kerana bidang ini sentiasa ada pembaharuan dari semasa ke semasa,” katanya.




Rekrut juruteknik selenggara alat siaraya di masjid

Oleh: Aida Abd Rahman



Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu perlu merekrut juruteknik bagi menyelenggara peralatan siaraya di masjid seluruh negeri supaya ia dapat diselenggara secara berkala dan boleh digunakan lebih lama dan terjamin.

“Kebanyakan masjid selalu alami kerosakan `PA System’ berpunca daripada kegiatan pegawai masjid yang terlalu kreatif mengendalikan peralatan siaraya. Kerosakan peralatan ini melibatkan kos yang besar dan biasanya dibebankan kepada wakil rakyat kawasan (untuk membeli baru),” kata YB Haji Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) ketika membahaskan ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Sri Bendahara Raja dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau sebelum itu turut berterima kasih dengan komitmen Kerajaan Terengganu yang meneruskan agenda membangunkan masjid di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu sebagai antara langkah kerajaan bagi meningkatan syiar Islam.

Katanya, DUN yang dipimpinnya terpaksa melalui penggiliran mengikut daerah bagi membangunkan rumah ibadat itu berikutan sebahagian DUN termasuk dalam daerah Kuala Terengganu sementara sebahagian lagi dalam daerah Marang.

“Pada 2010 giliran kampung di kawasan yang terletak di daerah Kuala Terengganu, namun pada tahun ini satu lagi kampung di daerah Kuala Terengganu menuntut supaya masjid baru dibina di kampung mereka.

“Sedangkan pada masa yang sama kampung di daerah Marang sepatutnya menerima giliran mereka dan mendesak kerajaan membina masjid baru atas alasan mahu menampung jemaah di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah yang sedang dirancang pembinaannya,” katanya.

Beliau kemudiannya memohon supaya kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pembinaan dua masjid di DUN Alor Limbat melibatkan Masjid Banggol Katong yang mampu memuatkan antara 750 hingga 1,000 jemaah dan kedua, Masjid Alor Limbat dengan kapasiti 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Katanya, kerajaan juga perlu menangani vandalisme dan jenayah yang banyak berlaku di kawasan masjid seluruh negeri ini dengan memasang kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).



Industri petrokimia Pulau Kerengga perlu diteruskan

Oleh: Aida Abd Rahman



YB Haji Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) meminta agar projek industri petrokimia di Pulau Kerengga bernilai RM10 bilion yang dirancang pada 1993 melibatkan Kerajaan Terengganu dan Syarikat Asia Pacific Refinery (APR) diteruskan supaya daerah Marang turut mendapat faedah hasil pelaburan tersebut.

Katanya, satu perjanjian persefahaman (MoU) sudahpun ditandatangani bagi melaksanakan projek itu yang bertujuan membangunkan kawasan Pulau Kerengga dan mengunjur ke Sungai Merchang, Marang dengan keluasan kira-kira 4,000 hektar.

“Mungkin Mou belum dibatalkan sehingga sekarang yang melibatkan komponen `refinery plant’, `chemical plant’, Pusat Latihan Industri Kimia dan pembinaan pelabuhan Pulau Kerengga yang menurut kajian dikatakan pelabuhan paling dalam serta strategik di Malaysia.

“Industri kimia yang dirancang adalah memproses dan menapis minyak mentah atau `crude oil’ yang diimport dari Iran atau Negara Teluk dan pada masa yang sama menjual serta mengeksport air dari Tasik Kenyir ke Arab Saudi,” katanya ketika membahaskan ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Sri Bendahara Raja di sidang Dewan Undangan Neger, hari ini.

YB Haji Alias berkata, peruntukan berjumlah kira-kira RM10 bilion itu mampu menyediakan 20,000 peluang pekerjaan, sekaligus menjadi pemangkin pembangunan di daerah Marang selain turut memberi limpahan faedah ke Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Dungun.

Beliau turut meminta Kerajaan Terengganu mengenal pasti pelabur baru di bidang petrokimia dan mengadakan usahasama dalam bidang pelaburan itu, jika syarikat APR tidak lagi berminat meneruskan projek itu.

Pada masa yang sama, YB Haji Alias juga tidak mahu apabila menyebut mengenai perindustrian, rakyat hanya tertumpu kepada daerah Kemaman disebabkan faktor kemudahan infrasruktur sedia ada di daerah itu termasuk Pelabuhan Kemaman dan Pelabuhan Kuantan.

“Ini menyebabkan pembangunan antara daerah-daerah tidak seimbang kerana daerah lain dalam Terengganu tidak mempunyai kawasan industri yang berdaya saing. Saya mahu semua pihak melihat semula perkembangan dan pembangunan yang berjalan di daerah Marang yang dikatakan agak mundur dalam aspek pembangunan dan kegiatan perindustrian berbanding daerah lain di Terengganu,”katanya.

YB Alias berkata, pembukaan kawasan industri baru itu mampu menarik penglibatan pelabur luar dan dalam negara sebagai antara teras memacu perkembangan ekonomi negeri berdasarkan pelan hala tuju perkembangan Terengganu.

Malah, bidang Industri Kecil Sederhana (IKS) juga disentuh YB Alias apabila kawasan perindustrian Bukit Kor yang menjadi lokasi sebagai tapak kegiatan IKS, bagaimanapun kemajuan kawasan itu kurang memberangsangkan dan berharap kerajaan negeri mampu melakukan lonjakan bagi menarik lebih ramai pelabur ke kawasan itu.

Selain itu, katanya, Bukit Kor juga bakal menjadi hub pendidikan di negeri ini dengan menempatkan empat universiti tempatan.

Antara universiti yang bersetuju menempatkan kampus masing-masing termasuk Kolej Universiti Sedaya Antarabangsa (UCSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) dan terbaru Universiti Kuala Lumpur (UniKL) . UCSi sudah mula operasi, manakala UMT baru memulakan pembersihan kawasan dan kerja-kerja tanah.

Manakala Universiti Terbuka Malaysia (OUM) masih belum melakukan apa-apa di kawasan itu dan pada masa yang sama UniKL dan UKM hanya menunjukkan minatnya sahaja untuk membuka kampus di kawasan yang sama.

“Peluang keemasan bagi Marang dan Kuala Terengganu menyaksikan kewujudan hub pendidikan di Selatan Kuala Terengganu yang mampu menempatkan 25,000 pelajar pada satu-satu masa dan dijangka mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan, selain mampu menampung kira-kira 100,000 penduduk,” katanya.

YB Haji Alias sebelum itu menyentuh mengenai kandungan ucapan YTM Tengku Sri Bendahara Raja secara komprehensif menggambarkan inisiatif kerangka pembangunan yang sedang dan akan dijalankan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, bersama jentera parti dan pentadbiran Kerajaan Terengganu bagi merealisasikan cita-cita bersama menjadikan Terengganu negeri maju menjelang 2020.






Kerajaan terima royalti RM938 juta

Oleh Esah Abdullah



Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu tidak ada terma dan perjanjian baru akan dibuat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan berhubung royalti minyak yang diterima Kerajaan Terengganu.

“Sehingga Mac tahun ini kerajaan negeri telah menerima wang royalti berjumlah RM670 juta,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika menjawab soalan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang).

Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mewakili Dato’ Seri Haji Abdul Hadi yang tidak hadir sidang DUN kerana ada urusan di Kuala Lumpur, meminta kerajaan negeri nyatakan terma yang dipersetujui dalam rundingan antara Kementerian Kewangan, kerajaan negeri dan Petronas untuk mengembalikan semula royalti Petroleum kepada kerajaan negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad menegaskan, jumlah yang sepatutnya diterima kerajaan negeri adalah RM938 juta di mana pemberian pertama sebanyak RM670 (Mac), RM150 juta (minggu ini -Mei) dan baki RM118 juta lagi akan dibayar bulan depan (Jun).

“Ini bererti jumlah keseluruhan yang akan kerajaan terima royalti minyak daripada Kerajaan Pusat adalah sebanyak RM938 juta sehingga Jun tahun ini,” katanya.

Katanya, kerajaan diberi tahu Petronas akan membayar sebanyak RM938 juta dan akan menerima jumlah berkenaan secara berperingkat sebagaimana yang dijanjikan dan ia kekal seperti dalam perjanjian asal ,cuma cara pembayarannya dibuat melalui Kerajaan Pusat.

Menjawab soalan tambahan daripada Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) Menteri Besar menjelaskan, Petronas telah membuat pembayaran sebanyak lima peratus hasil royalti (RM938 juta) berkenaan melalui Kerajaan Pusat yang kemudiannya menyalurkannya kepada kerajajan negeri dan Kerajaan Pusat tidak ambil satu sen pun wang berkenaan.

“Cuma ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terutama berkaitan Dana Khas dulu ada peruntukan kerajaan negeri yang digunakan untuk pembiayaan projek-projek lain dan projek yang komited itu masih belum selesai bayarannya,” katanya.

Katanya, hasil rundingan terakhir baru-baru ini, telah mencapai kata sepakat bahawa semua baki yang tinggal akan diserahkan kepada kerajaan negeri setelah semua urusan berkaitan projek pembinaan fasa kedua Lapangan Terbang Sultan Mahmud selesai.




Kerajaan belanja RM121 juta biaya sistem perparitan

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri telah membelanjakan RM121 juta di bawah projek pembinaan sistem perparitan seluruh negeri dalam tempoh 2005 hingga 2010.

Perbelanjaan berkenaan membabitkan projek pembinaan baru dan penambahbaikan projek asal yang sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Haji Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang), di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini.

Dato’ Haji Tengku Hassan ingin mengetahui rancangan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah perparitan di seluruh negeri terutama di kawasan bandar dan taman-taman perumahan yang sering dinaiki air bila berlaku hujan lebat.

Dato’ Seri Haji Ahmad menjelaskan kerajaan sentiasa membuat kajian dan pemantauan secara menyeluruh di semua kawasan liputan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membina longkang-longkang yang lebih besar daripada sedia ada berasaskan kajian yang dibuat konsultan yang dilantik.

“Kerajaan juga tidak akan memberi kelulusan di sesetengah kawasan paya atau tangkungan air sebagai kawasan pembangunan ,” katanya.

Oleh itu, kerajaan telah membuat perancangan untuk mengkaji secara mendalam untuk mengatasi sebarang kemungkinan pada musim hujan dan yang bertanggung jawab adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui sumber peruntukan kerajaan negeri dan Pusat.





Peniaga gembira banyak program sukan

Oleh: Suriati Ali



Penganjuran pelbagai program dan sukan peringkat kebangsaan serta antarabangsa bukan saja mampu menaikkan imej Terengganu sebagai tuan rumah, malah turut membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan.

Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia (Sukanun) kali ke-7 nyata memberi impak besar kepada peniaga, terutama yang berniaga di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu dan keropok lekor tempatan apabila tidak menang tangan melayan pelanggan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah kerajaan negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan pelbagai kejohanan nyata menggembirakan peniaga berikutan mendapat keuntungan berganda.

Katanya, kebanyakan peserta program akan mencari pelbagai produk dan makanan tradisional Terengganu seperti keropok lekor, batik dan kain sutera untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

“Apabila situasi ini berlaku, kita menolak andaian segelintir pihak yang menyatakan merugikan duit rakyat dan membazir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sukanun di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu malam tadi (9 Mei).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Tetamu kehormat lain, Yang Dipertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UMT merangkap Penasihat Kejohanan, Prof Dr Aziz Deraman.

Seramai 6,000 atlit dan 300 pegawai terlibat dalam 17 acara yang dipertandingan termasuk memancing, tenis, boling padang, tenpin boling, badminton, bola tampar pantai, bola jaring, karom, pencarian harta karun, futsal, ping pong dart tarik tali, perbarisan, bola sepak, sepak takraw dan golf.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, melalui sukan ini sudah tentu dapat melahirkan lebih ramai atlit yang berbakat dan berdisplin di samping dapat membudayakan sukan sebagai aktiviti yang sihat.

Katanya, melaluinya juga, sikap kerjasama dan bermuafakat antara kakitangan atasan dan bawahan dapat diwujudkan.

“Penganjuran kejohanan yang kedua terbesar selepas Sukan Malaysia (Sukma) wajar diterusnya kerana memberi pelbagai kebaikan dan manfaat,” katanya.



UMT bangga dapat anjur Sukanun

Oleh: Suriati Ali



Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganggap penganjuran Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia (Sukanun) sebagai landasan terbaik kepada atlet yang terlibat kerana dapat mempamerkan semangat kesukanan dan persaudaraan.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata kejohanan ini bukan saja untuk mengumpul semua atlet untuk bersaing mengejar kemenangan semata-mata, malah merupakan platform dalam menyumbang nilai-nilai positif.

“Semangat persaingan sihat, muhibah, sikap tolak ansur , toleransi, kesefahaman serta mampu membina moral dan fizikal yang mantap secara sendirinya dizahirkan semua atlit ketika berada di gelanggang kejohanan,” katanya ketika berucap sempena Sukanun kali ke 7 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu malam tadi (9 Mei).

Sukanun yang berlangsung selama tujuh hari dan berakhir 14 Mei ini dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Kejohanan itu melibatkan 6,000 atlit dan 300 pegawai dalam 17 acara yang dipertandingan.

Katanya, mereka yang terlibat disaran mengambil peluang semaksimum mungkin untuk menyemai nilai-nilai murni di samping memburu kemenangan.

“UMT juga berasa bertuah kerana mempunyai Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail dan Sukanun menjadi sukan terbesar pertama yang dianjurkan sejak dimansyurkan awal April lalu oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya



Penjelasan Isu Ladang Gemilang





Rumah baru untuk mangsa kebakaran di Pengkalan Maras

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri akan memastikan lapan sekeluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Pengkalan Maras, Tepoh, petang kelmarin dapat mendiami rumah baru selewat-lewatnya tiga bulan dari sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pihaknya akan membantu dengan kadar segera bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan membangunkan rumah baru di tapak asal rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, peruntukan kira-kira RM33,000 menerusi Tabung Darul Iman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan digunakan untuk membina rumah berkenaan untuk mangsa sekeluarga yang kini menumpang di rumah ibunya yang terletak berhampiran tempat kejadian itu.

“Selain bantuan rumah yang akan kita usahakan dengan secepat mungkin kepada lapan beranak ini yang diselaraskan JKM melalui Pejabat Daerah (Kuala Terengganu), kita juga membawa wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk melihat bantuan yang sewajarnya dari aspek kewangan bagi membeli keperluan dan barangan dalaman untuk keluarga ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di Pengkalan Maras, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, seorang pembantu Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) hanya mampu berputih mata apabila rumah dan harta bendanya musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Maras.

Rumah yang didiami mangsa, Zaidi ismail, 47, bersama isteri, Rohani Omar,41, bersama enam anak berusia empat hingga 19 tahun sejak 14 tahun lalu, dipercayai terbakar akibat litar pintas yang bermula dari bilik anak sulung pasangan itu, Hidayatul Solehah, 19.

Empat jentera bomba bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi jiran mangsa kira-kira sepuluh minit kemudian dan api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan yang terletak hanya beberapa meter daripada rumah mangsa.

Kerugian akibat kemusnahan rumah dan harta benda dalam kebakaran itu dianggarkan bernilai RM150,000.

Sementara itu, Zaidi bersyukur dengan keprihatinan kerajaan negeri termasuk pemimpin kawasan yang segera tampil dan turun padang membantu meringankan bebanan yang sedang dihadapi mereka sekeluarga akibat kejadian malang itu.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat yang sudi membantu kami sekeluarga. Saya berharap sangat dapat tinggal di rumah sendiri melalui bantuan kerajaan negeri dengan kadar segera. Walaupun rumah saya musnah, saya bersyukur sebab keluarga saya terselamat,” katanya.






Rumah pembantu perpustakaan awam negeri musnah terbakar

Oleh: Aida Abd Rahman

Seorang pembantu Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) hanya mampu berputih mata apabila melihat api marak membakar keseluruhan rumah dan harta bendanya sebaik tiba dari tempat kerja, dalam kejadian di Kampung Pengkalan Maras, Tepoh, kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Rumah yang didiami mangsa, Zaidi ismail, 47, bersama isteri, Rohani Omar,41, dan enam anak berusia empat hingga 19 tahun sejak 14 tahun lalu dipercayai terbakar akibat litar pintas yang bermula dari bilik tidur anak sulung pasangan itu, Hidayatul Solehah, kira-kira jam 6.30 petang.

Menurut Zaidi, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal daripada tempat kerja di bandar ini dan dihubungi isteri sebaik tiba di Kampung Wakaf Tembesu bagi memaklumkan kejadian itu.

“Sebaik pulang saya sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana api begitu marak memusnahkan seluruh rumah. Semua barang dan harta benda musnah sama sekali. Namun, saya bersyukur isteri dan tiga anak berusia empat hingga tujuh tahun yang berada di rumah ketika kebakaran itu berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Rohani berkata, ketika kejadian dia berada di dapur sedang menyiapkan hidangan makan malam untuk keluarga sambil ditemani dua anak sebelum dikejutkan dengan jeritan seorang daripada dua anaknya itu yang memaklumkan terdapat api dari sebuah bilik tidur.

Katanya, anaknya yang berusia tujuh tahun memasuki ruang tamu dan bergegas ke dapur menerpa kepadanya sambil menjerit memberitahu kebakaran itu sebelum dia sendiri turut memeriksa dan segera keluar untuk mendapatkan bantuan jiran dan keluarga terdekat bagi membantu memadamkan kebakaran yang disangkanya masih sempat dikawal.

“Saya tidak menyangka api yang pada mulanya kecil marak dengan begitu cepat. Hanya beberapa minit keluar mendapatkan pertolongan, rumah saya sudah hampir keseluruhan dijilat api.

“Ramai datang membantu, tapi sudah takdir tiada apa yang boleh diselamatkan kecuali kami anak-beranak keluar dari kawasan yang berbahaya itu.Lagipun masa kejadian itu, saya tidak terfikir mengenai harta benda selain memikirkan keselamatan keluarga,” katanya.

Empat jentera bomba bergegas ke tempat kejadian kira-kira sepuluh minit kemudian selepas dihubungi jiran mangsa. Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan yang terletak hanya beberapa meter daripada rumah mangsa.
Kerugian akibat kemusnahan rumah dan harta benda dalam kebakaran itu dianggarkan bernilai RM150,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Haji Muhammad Ramli Nuh meninjau tempat kejadian kira-kira 15 minit selepas kejadian itu dan menghulurkan bantuan peribadi bagi meringankan bebanan mangsa.

Haji Muhammad Ramli turut mengadakan lawatan susulan petang tadi bagi memastikan keluarga malang itu mendapat bantuan yang sewajarnya termasuk menyediakan tempat tinggal dan sumber kewangan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).