Halaman

03 May 2011

MB kesal sikap masyarakat abai kesihatan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri kesal dengan sikap segelintir masyarakat, terutama penghidap penyakit kronik yang lebih gemar mendapatkan rawatan bomoh tradisional berbanding pakar perubatan profesional.

Kebanyakan mereka mula sedar atau ingin mendapat rawatan di hospital atau mana-mana klinik selepas penyakit yang dihidapi berada pada tahap berbahaya atau sukar dirawat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sikap seperti ini perlu dikikis kerana bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri sendiri malah keluarga dan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang.

Katanya, kesan buruk lain, termasuk menjejaskan produktiviti harian, peningkatan beban kewangan keluarga dan kualiti hidup rendah.

“Penyakit kronik mudah berlaku sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup kurang sihat, tidak aktif, mengamalkan pemakanan kurang berzat dan merokok.

“Kematian pra-matang akibat penyakit kronik juga tinggi iaitu 26 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di hospital kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Penyakit Kronik peringkat Terengganu di Bandar Permaisuri, Setiu, hari ini (3 Mei)

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar; Ahli Parlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Permaisuri, YB Haji Halim Jusoh.

Tetamu kehormat lain, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hasan, Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Ishamudin Hashim dan beberapa pemimpin masyarakat.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk senamrobik, berbasikal, dikir barat dan pertandingan mewarna poster bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya penjagaan kesihatan, mengelak penyakit dan mempromosi amalan cara hidup sihat.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kerajaan negeri membelanjakan ratusan ribu setahun bagi membina padang bola, gelanggang futsal, kawasan riadah, lokasi berjonging dan sebagainya semata-mata memberi kemudahan kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah, seperti senamborik, sukan rakyat, berkayak dan bola sepak, tetapi malangnya hanya segelintir sahaja yang mengambil peluang dan selebihnya lebih gemar berehat di rumah.

“Terdapat di antara mereka menjadikan alasan sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk beriadah sebaliknya lebih gemar melepak di warung atau kedai kopi,” katanya.




Terengganu bakal bina KTS kedua

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Terengganu Development Management (TDM) Berhad akan membina hospital pakar swasta kedua bagi menampung lebihan pesakit di Kuala Terengganu Specialist (KTS), Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu.

Hospital baru yang menempatkan 150 katil, dijangka dibina hujung tahun ini bertempat di Batu Buruk, Kuala Terengganu, bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan moden dan terkini.

Kos pembinaannya masih dalam perbincangan dan apabila siap kelak ia mampu menaikkan lagi imej Terengganu dan syarikat kerana berupaya membina banyak hospital swasta di Pantai Timur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hospital itu cukup penting kerana ruang bangunan KTS yang ada sekarang semakin terhad disebabkan permintaan pelanggan semakin tinggi setiap tahun.

Sebelum ini, TDM sudah mempunyai tiga buah hospital bersaiz sederhana termasuk Kuantan Medical Centre di Kuantan dan Kelana Jaya Medical Centre di Selangor.

Menjadi matlamat kerajaan dan TDM untuk kekal sederhana dengan konsep pakar perubatan komuniti yang menawarkan penjagaan kesihatan tanpa elemen-elemen kemewahan.

"Dengan kata lain, perkhidmatan yang ditawarkan menitikberatkan pelanggan atau pesakit dan seterusnya mampu dinikmati oleh orang ramai.

“Perkhidmatan yang ditawarkan di semua hospital milik TDM adalah setanding dengan apa yang terdapat di hospital negara-negara maju,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Penyakit Kronik peringkat Terengganu di Bandar Permaisuri, Setiu, hari ini ( 3 Mei).




Konsep 1komuniti 1koperasi digerak seluruh negara

Oleh: Esah Abdullah

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bercadang untuk menubuhkan 1kariah 1masjid bagi mewujudkan konsep 1komuniti 1koperasi yang akan digerakkan ke seluruh negara.

“Koperasi Kariah Masjid (KKM) akan dijadikan jentera bagi pembangunan masjid dan anggota kariah sesuai dengan perkembangan ekonomi negara,” kata Presiden Angkasa, Prof Dato’ Dr Mohd Ali Baharum.

Katanya, koperasi ini akan bergerak untuk membangunkan ekonomi kariah, mengerakkan kegiatan sosial dan yang lebih penting untuk menarik golongan muda mengimarahkan masjid.

Selain itu, peranan masjid menjadi lebih besar dan koperasi dapat menjadi entiti yang menjalankan perniagaan untuk memenuhi keperluan ahli-ahli kariah.

“Peranan KKM akan menjadi lebih menyerlah dengan tertubuhnya Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (Kopsya Angkasa), membantu menyalurkan keperluan kewangan yang diperlukan untuk tujuan pembangunan masjid,” katanya pada majlis Seminar Penubuhan KKM Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI).

Menurut Prof Dato’ Dr Mohd Ali, Angkasa bersama Syarikat Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi bimbingan dari pelbagai sudut sehingga tertubuhnya KKM dan akan menunjuk ajar cara menceburi bidang perniagaan.

Sehingga ini, katanya, terdapat 6,600 buah masjid seluruh negara, daripada jumlah berkenaan 489 buah di negeri ini di mana kebanyakan masjid mempunyai harta waqf yang jika dirancang pembangunan secara sistematik pasti memberi pulangan ekonomi yang baik kepada masjid.

“Jika harta-harta waqf dapat dibangunkan secara menyeluruh lagi terancang sudah tentu pulangan hasilnya dapat membangunkan masjid dan ahli-ahli kariah mendapat manfaatnya,” katanya.






PAS penting undi dari perjuangan Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Pas masih dengan keputusan untuk berada dalam pakatan pembangkang kerana mahukan undi bukan Melayu, khususnya daripada penyokong DAP, setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, Pas tidak akan berundur daripada pakatan pembangkang yang turut disertai DAP walaupun pemimpinnya tahu parti itu tidak mendapat keuntungan untuk memperjuangkan agenda Islam kerana sebab berkenaan.

“Pemimpin Pas memang tahu bahawa pemimpin DAP seperti Karpal Singh tidak akan menyokong perjuangannya untuk menegakkan undang-undang Islam.

“Tetapi kerana mahu undi orang Cina dan masyarakat bukan Melayu, Pas tetap mahu bergabung dengan DAP,” katanya ketika diminta mengulas saranan Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar Pas keluar daripada pakatan pembangkang yang turut disertai DAP.

Dalam ucapannya di Pulau Duyong baru-baru ini, Perdana Menteri berkata slogan ’Pas Ganti Umno’ yang dimainkan parti pembangkang itu tidak menjadi kerana apa yang berlaku kini ialah ‘DAP ganti Pas’.

Malah, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada Pas, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang bekerja keras di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, kerana parti DAP yang mendapat untung.

“Orang PAS bekerja berhempas pulas di Sarawak...Haji Hadi sendiri pun kerja keras, tapi yang dapat untung DAP,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, Pas patut mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan parti pembangkang demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

“Dalam gabungan pembangkang, DAP memperkudakan Pas dan Pas pula memperkudakan PKR (Parti Keadilan Rakyat),” ujar beliau.



Program Gegar 5S merubah wajah Pejabat Daerah Setiu.

Oleh: Esah Abdullah

Program ‘gegar 5S’ yang dilancarkan pada dua tahun lalu memberi kesan mendalam kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Setiu dan menerima sijil pengiktirafan dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

“Pendedahan dan latihan dalam kursus kakitangan pelbagai bahagian pentadbiran telah menyuntik semangat dan bersama merubah wajah setiap ruang pejabat dan penyusunan fail dengan kemas dan bersih,” kata Pegawai Daerah Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim.

Katanya, usaha melaksanakan sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal (5S) ternyata menambahkan keakraban serta mengeratkan ikatan silatulrahim kakitangan pelbagai bahagian yang selama ini agak terpisah kerana kesibukan menjalankan urusan masing-masing.

“Biar pun jabatan menghabiskan banyak belanja untuk membersih dan menyusun atur ruang pejabat, namun kepuasan yang kami dapat apabila diiktiraf oleh MPC dan telah disempurnakan oleh Setausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah,” katanya di majlis Penyerahan Sijil 5S di pejabat itu semalam.

Pada majlis berkenaan Dato’ Haji Mazlan telah menerima Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S daripada Pegawai MPC, Encik Mohd Yazid Abdul Majid, kemudian diserahkan kepada Encik Mohamad Nor.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini jabatan berjaya mengutip hasil tanah berjumlah RM657,000 dan daripada 33,438 hak milik sebanyak 9,486 telah melunaskan bayaran masing-masing,” katanya.

Katanya, pelaksanaan pendekatan turun padang dengan membuka kaunter di tempat-tempat awam termasuk di pasar minggu untuk memudahkan orang ramai membuat bayaran hasil tanah masing-masing.

Selain itu katanya, terdapat 28 kekosongan pelbagai jawatan di pejabat daerah dan lima kekosongan di bahagian pentadbiran tanah dapat diisi tahun ini dalam usaha memantapkan lagi jabatan yang banyak berurusan dengan orang ramai.




Azizulhasni, Fatehah kekal olahragawan dan olahragawati Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Ahmad Said bersama Olahragawan dan Olahragawati Terengganu pada Majlis Anugerah Sukan Negeri di Wisma Darul Iman. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Pengiktirafan daripada negeri kelahiran suatu yang cukup bermakna dan meninggalkan kesan lebih manis buat pelumba keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang apabila dia dinobatkan sebagai Olahragawan Terengganu buat kali kedua berturut-turut sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2009/2010, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam semalam.

Mohd Azizulhasni menerima anugerah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Turut mengiringi Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan Negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Encik Zainal Abidin Hussin.

Kemenangan itu membolehkan anak Dungun yang hadir ke majlis itu sambil ditemani isteri, Athiah Ilyana Abdul Samat dan keluarga terdekat, menerima wang tunai RM5,000, piala, sijil penghargaan dan pakaian sukan .

“Alhamdulillah kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu menghargai kerja keras saya selama ini. Sebelum ini saya mendapat penghargaan daripada negara sebagai olahragawan dan anugerah daripada negeri sendiri meninggalkan kesan lebih manis,” katanya.

Atlit yang terkenal dengan jolokan `The Pocket Rocketman’ itu mula berlatih secara berperingkat dan intensif diselangi dengan rawatan fisioterapi di Majlis Sukan Negara sejak kelmarin selepas dua bulan berehat akibat kecederaan kaki kirinya.



Mohd Azizulhasni mengalami kecederaan serius apabila betisnya tertusuk serpihan kayu velodrom sepanjang 20 sentimeter ketika bertanding dalam acara final keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England, Februari lalu.

Dia bakal menyertai Kejohanan Universiti Dunia di Shenzen, China pada Ogos ini, diikuti empat siri kejohanan basikal dunia bermula penghujung sehingga awal tahun depan yang berakhir di Melbourne, sebelum prospek utama negara bagi merebut emas pertama Malaysia itu bersaing di trek perlumbaan temasya Sukan Olimpik London 2012.

Manakala penerima Anugerah Olahragawati Negeri Terengganu pula disandang atlit berbasikal negara, Fatehah Mustafa. Anak kelahiran Hulu Terengganu itu juga membawa pulang wang tunai RM5,000, piala, sijil penghargaan dan pakaian sukan.

Fatehah yang ditemui sejurus majlis itu, berkata dia tidak menduga akan mengekalkan kemenangan itu tahun ini, memandangkan persaingan finalis olahragawati amat sengit khususnya daripada atlit skuasy kebangsaan, Siti Munirah Jusoh.

"Perasaan saya sangat gembira dan tidak menduga akan mendapat anugerah ini kerana keputusan penyertaan saya dalam beberapa kejohanan berbasikal pada tahun lalu kurang baik, berbanding tahun 2009. Bagaimanapun Allhamdulillah, saya masih terpilih walaupun berasa 50/50 disebabkan persaingan yang sengit pada kali ini,” katanya.

Fatehah dijadualkan kembali menjalani latihan di Melbourne pada 9 Mei ini sebagai persediaan menghadapi kejohanan piala dunia di Khazastan, Oktober ini.

Selain Mohd Azizulhasni dan Fatehah, Olahragawan dan Olahragawati Harapan masing-masing menjadi milik atlit kanu, Siti Rajiah Ali dan Muhammad Adiq Husainie Othman (berbasikal). kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,500 dan sijil penghargaan setiap seorang.

Acara kanu turut memenangi tiga kategori lain iaitu Pengurusan Persatuan Terbaik, Pasukan Wanita dan Lelaki Terbaik. Kemenangan dalam empat kategori itu membolehkan Persatuan Kanu Negeri Terengganu yang mula ditubuhkan pada 1993 mengumpul wang tunai RM4,000 berserta sijil kepujian.

Bagi kategori Pasukan Wanita dan Lelaki Terbaik, 24 atlit kanu masing-masing 12 atlit wanita dan 12 atlit lelaki berjaya membawa pulang RM500 setiap seorang.



Manakala bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong menerima anugerah Tokoh Sukan, diikuti Anugerah Kepimpinan Sukan menjadi milik Tuan Haji Shapian Ali (Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia).

Bagi Anugerah Jasamu dikenang dianugerahkan kepada Allahyarham Haji Mohamad Muda (bekas Ketua Penolong Setiausaha Sumber Manusia - 2004), Jurulatih Terbaik dianugerahkan kepada Khalid Mohd Dahan (Penolong Jurulatih T-Team), Anugerah Majlis Sukan Daerah dimenangi Majlis Daerah Dungun dan akhbar Sinar Harian pula menerima penghargaan bagi kategori Anugerah Media.




Jalan untuk perpaduan Melayu sentiasa terbuka

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Bekas Presiden Parti Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah, yakin orang Melayu boleh bersatu, tetapi mesti ada sebab serta isu yang sesuai dan tidak harus lahir atas dasar konflik dengan kaum lain.

Sewaktu berucap pada Majlis Perhimpunan Veteran Umno Kedah kelmarin, Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan penyatuan secara menyeluruh orang Melayu yang kelihatan agak sukar berikutan perbezaan politik ketika ini boleh berlaku jika ada isu besar mengugat kedudukan mereka.

Jika dikaji secara teliti, Presiden Umno, Dato’ Sri Najib baru-baru ini menyarankan Pas supaya keluar daripada pakatan parti pembangkang kerana tidak ada keuntungan bagi parti itu bergabung dengan parti-parti yang ada dalam gabungan itu, khususnya DAP.

Saranan Perdana Menteri itu memang berasas kerana selama ini DAP memperkudakan Pas, termasuk para pemimpinnya yang selama ini gemar melaungkan kononnya parti itu memperjuangkan Islam.

Dengan saranan ikhlas Dato’ Sri Najib itu, peluang sudah terbuka luas untuk pemimpin Pas bersatu dengan Umno dan melupakan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), demi masa depan umat Islam dan orang Melayu.

Jika Tengku Razaleigh boleh membukarkan Semangat 46 bagi mengukuhkan kedudukan orang Melayu, tidak ada sebab mengapa Pas tidak sanggup bergabung dengan Umno untuk tujuan yang sama.

Kini terpulanglah kepada pemimpin Pas untuk memikirkan tawaran Presiden Umno dan membincangkan apa yang perlu bagi kepentingan umat islam dan masyarakat Melayu.

Wanita lari ke Lombok, selamat pulang ke Kuala Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman


Hasil perkahwinan dengan Abdullah, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Zulfaqar, 13 bulan.

Angkara terpedaya dengan janji manis lelaki Lombok, Indonesia seorang wanita beranak empat dari Kampung Nibong, Kuala Terengganu terpaksa berdepan dengan kegetiran dan kedaifan hidup hampir dua tahun berada di kepulauan itu selepas ditinggalkan lelaki berkenaan tanpa khabar berita.

Harlizan Ibrahim, 36, nekad meninggalkan keluarga dan mengikut Abdullah Asbi, 40, seorang pekerja ladang kelapa sawit di Sungai Tong, Setiu yang dikenalinya kira-kira tiga tahun menerusi seorang kenalannya untuk bersama lelaki berkenaan dan menetap di Kampung Gubuk Baru, Permatang Narmada (Lombok).

Setibanya di kepulauan itu, Harlizan mengambil keputusan mengahwini kekasihnya itu tanpa pengetahuan keluarga di kampung, kecuali memaklumkan pemergiannya kepada ibunya. Hasil perkahwinan dengan Abdullah, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Zulfaqar, 13 bulan.

Harlizan sebelum itu sudah memiliki tiga anak lelaki berusia enam hingga 17 tahun hasil perkahwinan pertama dan kesemua anak-anak berada di bawah jagaan bekas suaminya di Terengganu.

“Saya nasihatkan adik-adik dan saudara-saudari yang ada perasaan cinta kepada warga asing terutama orang Indonesia jangan sampai terpedaya dan membawa diri ke negara mereka kerana apa yang saya lalui ini cukup perit dan menderita sepanjang di sana.

“Dia (Abdullah) hanya janji kosong sahaja. Katanya memiliki rumah besar, banyak harta, kebun dan sawah, selain berjanji mahu sama-sama menjalankan perniagaan apabila berada di sana nanti. Tetapi sebenarnya harta itu milik bapanya, malah sudah dijual kesemuanya kepada keluarga yang lain, “ katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, Jalan Gong Kapas, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrol Hisham Zaki. Misi membawa pulang Harlizan dan anak bongsunya itu berjaya diselesaikan hasil inisiatif Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu dengan kerjasama Biro Pengaduan Komuniti Umno Malaysia.

Berkongsi pengalaman di kepulauan itu, Harlizan berkata, deritanya semakin bertambah apabila sejak Januari tahun lalu, Abdullah yang mendakwa mahu kembali ke Malaysia untuk mencari pekerjaan dan dikatakan berada di Pahang gagal dihubungi menyebabkan wanita itu terpaksa mengharapkan ehsan keluarga mertua selain menumpang berteduh di rumah abang iparnya.

“Saya terpaksa menjual semua barang kemas saya untuk menyara kehidupan dan kegunaan anak yang baru dilahirkan selepas suami gagal dihubungi dan tiada sumber kewangan untuk hidup di sana,” katanya lagi.

Akibat desakan hidup, Harlizan akhirnya menyerah diri kepada polis berikutan visanya yang sudah tamat, sementara pasportnya pula hampir tamat tempoh. Dia kemudiannya ditempatkan di pusat perlindungan keluarga, Pati Asuhan Budirini di Mentaram, Lombok.

Dalam pada itu, usaha membawa pulang Harlizan dan anaknya ketika itu terpaksa mengambil masa beberapa bulan bagi menyelesaikan urusan dokumentasi kerana pihak berkuasa Indonesia mahu mengambil anak kecil itu sebagai anak angkat berikutan taraf kerakyatannya di negara itu.

Selepas kira-kira lima bulan, Zulfaqar akhirnya mendapat kewarganegaraan Malaysia selain berjaya memperolehi sijl kelahiran negara ini yang melayakkannya dibawa pulang ke tanah air tanpa sebarang sekatan.

Sementara itu, Encik Badrol berkata, sepatutya urusan membawa pulang Harlizan dan anak kecil itu pada Jumaat lalu, bagaimanapun ditangguhkan keesokkan harinya akibat masalah kesihatan Harlizan di saat-saat akhir waktu jadual penerbangan dari kepulauan itu.

Mereka selamat tiba dengan menaiki bas di bandar ini, kira-kira jam 5.30 pagi semalam selepas berangkat dari kepulauan itu ke Kuala Lumpur kira-kira jam 5.30 petang kelmarin (Ahad).






02 May 2011

Penerbangan terus Terengganu – Bandong Jun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said menjawab pertanyaan wartawan dalam sesi sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan penjawat awam agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan jabatan Persekutuan daerah Hulu Terengganu.

Perkhidmatan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Bandong, Indonesia akan dimulakan pada bulan Jun depan, bagi meningkatkan bidang pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penerbangan terus yang dikendalikan Syarikat Heritage Air akan dimulakan pada 2 Jun depan di mana pesawat akan bertolak dari Lapangan Sultan Mahmud Kuala Terengganu terus ke Bandong.

“Syarikat berkenaan akan menawarkan pakej empat hari tiga malam untuk pelancong dari Terengganu berada di Bandong dan begitu juga dari Bandong akan tinggal di Kuala Terengganu selama empat hari tiga malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan penjawat awam agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan jabatan Persekutuan daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, buat masa syarikat tersebut akan mengadakan perkhidmatan itu dua kali seminggu bagi membolehkan pelancong dari Bandong melawat Terengganu dan sebaliknya.

“Kita harap perkhidmatan ini akan menambah bilangan pelancong ke negeri ini dan meningkatkan aktiviti pelancongan negeri,” ujarnya.

Beliau juga berkata, perkhidmtan itu mungkin akan ditambah di masa depan jika ia mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelancong.



Pastikan persekitaran pejabat berkualiti

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuat pengambilan 25 orang Pegawai Tadbir Negeri secara kontrak bagi mengisi kekosongan yang terdapat di beberapa jabatan di negeri ini tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, untuk pengambilan tahun ini semua jawatan berkenaan akan ditawarkan kepada golongan lelaki memandangkan bilangan kakitangan wanita sudah mencukupi.

“Bukan kerajaan menidakkan peranan wanita dalam perkhidmatan awam tetapi memandangkan bilangan wanita sudah ramai, kita putuskan ambil kaiitangan lelaki tahun ini,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S, di Pejabat Daerah dan Tanah Setiu hari ini.

Katanya, semua jabatan perlu melatih pekerja agar mematuhi sistem persekitaran berkualiti secara berterusan supaya ia menjadi amalan dan budaya kerja dalam organisasi.

“Sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal (5S) mestilah menjadi amalan berterusan, bukan terhenti bila mendapat sijil kerana amalan ini dapat memberi kemudahan kepada kakitangan ketika menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu Dato’ Haji Mazlan turut mengingatkan semua penjawat awam dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“Dalam dunia perkhidmatan bukan pembendaharaan yang membayar upah kepada penjawat awam tetapi pelangan yang membayar gaji, kerana sumber hasil yang dikutip daripada orang ramai itulah memberikan mereka upah,” katanya.