Halaman

02 May 2011

BN janjikan realiti, PAS janji fantasi

Oleh: Aida Abd Rahman


Rakyat gembira menyambut kehadiran YAB Perdana Menteri.

Umno dan Barisan Nasional (BN) menjanjikan realiti dan bukannya fantasi sebagaimana yang dijanjikan PAS, kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Jadi kita mahu masa depan kita terjamin melalui Barisan Nasional, kerana kita tidak menjanjikan fantasi tetapi kita menjanjikan realiti kerana kita boleh buat perubahan yang besar kepada negara kita,”katanya di majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kampung Pulau Bahagia, kelmarin.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal; Menteri Pertahan, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam.

"Umno lahir di istana dan bukannya lahir di jalanan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR)". Sikit-sikit (PKR) nak buat demontrasi,” katanya.

Dato’ Sri Mohd Najib berkata rakyat telah bijak untuk menilai kepimpinan yang benar-benar dapat memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Beliau berkata, masa depan rakyat lebih terjamin dengan BN dan antara perjuangan yang sudah dilaksanakan adalah mewujudkan 21 buah universiti dalam negara termasuk Universiti Teknologi Mara yang mempunyai kira-kira 200,000 pelajar.

Malah, Dato’ Sri Mohd Najib juga meminta supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

"Hadi (Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP (pakatan pembangkang)," katanya.

Dalam program itu, kira-kira 15,000 penduduk Manir dan sekitar Kuala Terengganu membanjiri tapak program sejak jam 8 pagi lagi. Masing-masing kelihatan bersemangat sambil mengibarkan bendera sebaik sahaja melihat kelibat pemimpin negara itu memasuki tapak program.

Perdana Menteri sebelum itu diiringi kira-kira 800 belia bermotosikal dari jarak lapan kilometer sebelum tiba di Kampung Pulau Bahagia. Di kiri dan kanan bahu jalan, orang ramai termasuk guru dan pelajar sekolah setia menunggu sambil melambai dan mengibarkan Jalur Gemilang serta memegang kain rentang mengalu-alukan lawatan pemimpin nombor satu negara itu.

Dato' Sri Mohd Najib kemudiannya disambut dengan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Lian 12 yang melibatkan 150 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Bahagia; SK Beladau Kolam; SK Durian Mas; SK Teluk Menara; SK Pulau Manis; SK Belara dan SK Kebor Besar.

Sebelum itu, Perdana Menteri dan rombongan meluangkan masa beberapa minit melawat Klinik kesihatan Masyarakat Yusuf Awang Hitam dan melihat operasi di dalamnya sambil beramah-mesra dengan petugas klinik itu.



01 May 2011

Meja, bangku buluh terpanjang di Manir catat Malaysia Book Of Record

Oleh: Aida Abd Rahman


Meja bulat terpanjang di negara ini sekaligus mencatat dalam Malaysia Book Of Record.

Meja bulat dan bangku terpanjang berukuran 65 meter diperbuat daripada buluh yang dicipta khas sempena lawatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak diiktiraf terpanjang di negara ini sekaligus mencatat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Hasil kerja tangan penduduk kampung yang dibina secara bergotong-royong sejak seminggu lalu itu menjadi tempat utama Perdana Menteri bersama tetamu kehormat yang lain menikmati jamuan makan tengahari bersama 15,000 rakyat yang membanjiri program Perjumpaan dan Mesra Rakyat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, semalam.

Wakil MBOR, Cik Myra Dzaman menyerahkan sijil pengiktirafan itu kepada Perdana Menteri sebelum pemimpin utama negara menyerahkannya pula kepada PP DUN, Encik Yusof Awang Hitam.

Selain meja dan bangku buluh, pentas utama juga dibina secara tradisional dengan dinding dan lantai menggunakan material kayu nibung, manakala atap dihasilkan daripada daun pokok sagu.

Sebelum pengumuman dan penyerahan MBOR itu, Perdana Menteri terlebih dahulu menyampaikan bantuan pakaian sekolah dan kebajikan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Antara penerima bantuan berkenaan adalah Wan Ibrahim Wan Yusof, 72, dari Kampung Tualang bagi kategori warga emas, Lim Hin Tian, 72, dari Kampung Kedai, Manir yang mewakili 300 penerima dari kategori miskin, Abdullah Long, 51, dari Kampung batu Hampar menerima bantuan RM20,000 akibat rumahnya terbakar baru-baru ini.

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada 1,450 penerima bantuan pakaian sekolah bagi seluruh DUN Manir dan diikuti penyampaian Bantuan Hari Raya daripada Perdana Menteri kepada PP DUN untuk golongan warga emas, ibu tunggal, miskin, Orang Kurang Upaya yang berjumlah 5,800 penerima.



Penduduk lega PTP berjalan lancar

Oleh: Suriati Ali



Penduduk Parlimen Kuala Nerus dan Parlimen Hulu Terengganu menyatakan rasa syukur kerana apa yang dirancang bagi menjayakan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu, semalam (30 April) semuanya berjalan dengan sempurna.

Sambutan berkonsepkan mesra rakyat benar-benar terlaksana di mana setiap lokasi terutama di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu mendapatkan sambutan diluar jangkaan dan ianya cukup meriah.

Barisan Nasional (BN)Terengganu selaku penganjur terpaksa menambah 6,000 lagi kerusi pada majlis tersebut selepas tetamu yang hadir melebihi jangkaan asal iaitu 20,000 orang.

Rakyat Terengganu terutama yang terlibat secara langsung dengan PTP mengharapkan pemimpin utama negara itu tidak jemu untuk kembali mengunjungi Terengganu.

Ketua Umno Bahagian yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata dia dan penduduk Bukit Tunggal akan ingat pesanan dan amanat yang disampaikan Dato’ Sri Mohd Najib ketika berucap di beberapa program sempena lawatan sehari beliau.

Katanya, dia percaya kawasan Bukit Tunggal akan menjadi milik BN sekiranya penduduk bersepakat mahukan kemajuan dan perubahan daripada pelbagai aspek termasuk kebajikan, pembangunan dan pendidikan.

“Oleh itu, saya mahu penduduk di kawasan tersebut mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti, agar kawasan itu dapat dikembalikan semula kepada BN.

“BN memenangi kawasan tersebut pada pilihan raya 2004, tetapi kalah kepada calon Pas pada 2008 dengan majoriti yang kecil saja,” katanya.

Pelbagai pihak berpendapat kawasan tersebut mampu dimenangi semula oleh BN pada pilihan raya umum akan datang, dengan syarat jentera BN bekerja keras dan menyokong calon BN yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

Dato’ Haji Mohd Nasir, berkata kedatangan Perdana Menteri di kawasan tersebut sudah lama dinanti-nantikan seluruh warga Kuala Nerus.

Katanya, mereka begitu teruja apabila Dato’ Sri Mohd Najib memilih DUN Bukit Tunggal sebagai lokasi utama PTP dan kemenangan Bukit Tunggal pada pilihan raya akan datang amat wajar sebagai ‘kenang-kenangan’ daripada rakyat untuk Perdana Menteri.






PPPM Terengganu tubuh tabung untuk beramal

Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Terengganu telah berjaya memberi bantuan kewangan kepada 12 orang kanak-kanak dan bayi yang menghidap penyakit kronik melalui Tabung Amal yang diwujudkan empat tahun lalu.

Yang Dipertua PPPM Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, persatuan juga telah melancarkan Tabung bencana Tsunami di Jepun pada Mac lalu dan berjaya mengumpulkan RM40,000 dalam kutipan tersebut.

“Semua ini merupakan projek khidmat kami untuk membantu meringankan beban yang ditanggung akibat mala petaka dan musibah yang melanda masyarakat masyarakat,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang di Padang Astaka, Dungun semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua PPPM, Datin Sri Rosmah Mansor. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib; Naib Yang Dipertua PPPM, Raja Nor Mahani Raja Shahar dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Zalilah Mohd Taib.

Katanya, banyak lagi program yang dirancang termasuk mengimpikan sebuah bangunan sendiri yang akan melancarkan lagi segala bentuk operasi yang bakal dijalankan.

“Sehingga ini, persatuan sudah berjaya mendapatkan sebidang tanah di Kuala Terengganu namun kerana kekangan kewangan hasrat mendirikan bangunan masih belum tercapai dan berharap ada pihak yang sudi menghulur sumbangan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, program turun padang ini telah diadakan sejak sebulan lalu dengan pelbagai pengisian dalam usaha persatuan mendekati masyarakat khususnya golongan masyarakat nelayan di sini.

Antaranya termasuklah forum perdana, kelas iqra’, tusyen, kelas jahitan, masakan, gotong royong, sukaneka, tahlil dan ceramah kesihatan.







BN Sedia Peta Jalan Terperinci Bawa Malaysia Jadi Negara Maju - PM



Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan "peta jalan" yang terperinci dan jelas bagi membawa Malaysia menjadi negara maju.

Sehubungan itu, katanya, jika rakyat ingin melihat impian itu tercapai, BN adalah pilihan terbaik untuk memikul tanggungjawab tersebut berdasarkan rekod kejayaan yang dicapai sejak merdeka.

"Kita mesti faham bukan calang-calang orang boleh kita beri kepercayaan untuk mentadbir negara.

"Sekiranya kita ingin melihat Malaysia terus maju, maka kerajaan BN telah sediakan satu peta jalan, ia bukan perancangan biasa tetapi peta jalan yang terperinci dan jelas," katanya, di sini malam Sabtu.

Pedana Menteri yang berucap pada Jamuan Rakyat yang dihadiri lebih 26,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat dan keturunan di Dataran Shahbandar, berkata impian menjadi negara maju bukan satu fantasi, tetapi bakal menjadi realiti dengan iltizam dan kesungguhan kerajaan BN.

"Saya beri ketetapan dan jaminan, kalau tidak ada sesuatu (faktor) yang berlaku di luar negara, matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju akan tercapai pada tahun 2020," katanya.

Sebaliknya kata beliau, pembangkang tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian seperti yang terjadi pada rakyat negeri Terengganu yang merana ketika pemerintahan PAS pada 1999.

Beliau berkata pembangkang hanya pandai memperdagangkan janji namun gagal mengotakannya.

Dato’ Seri Najib turut meluahkan keyakinan Terengganu akan kekal di tangan BN pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima BN Terengganu pada jamuan tersebut.

Ini adalah jamuan terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini, katanya.

Terdahulu, BN Terengganu selaku penganjur terpaksa menambah 6,000 lagi kerusi pada majlis tersebut selepas tetamu yang hadir melebihi jangkaan asal 20,000 orang.



Kerajaan BN bertanggungjawab – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sentiasa menunaikan segala janjinya kepada rakyat.

Malah, dalam banyak hal BN melaksanakan pelbagai projek walaupun ia tidak pernah berjanji dengan rakyat untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu bukti kecaknaan Kerajaan BN kepada rakyat, khususnya penduduk negeri ini.

“Kita buat macam-macam untuk rakyat dan kita tidak pernah tipu rakyat. Tetapi selalunya rakyat yang tipu kerajaan,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyong, petang semalam.

Dalam menyediakan projek perumahan, katanya, sudah banyak kediaman lebih selesa disediakan kerajaan negeri untuk rakyat di mana harga jualannya jauh lebih rendah daripada kos pembinaan.

“Oleh itu, kita mahu rakyat bersyukur dan member sokongan kepada kerajaan. Tak usahlah dengan kata-kata pemimpin pembangkang kerana mereka membawa racun kepada rakyat,” katanya.



DUN Bukit Tunggal ‘hadiah’ untuk PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, mahu ‘menghadiahkan’ kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, sempena lawatan beliau ke DUN tersebut, semalam.


Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Sehubungan itu, beiau mahu penduduk di kawasan tersebut mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti, agar kawasan itu dapat dikembalikan semula kepada BN.

BN memenangi kawasan tersebut pada pilihan raya 2004, tetapi kalah kepada calon Pas pada 2008 dengan majoriti yang kecil saja.

Pelbagai pihak berpendapat kawasan tersebut mampu dimenangi semula oleh BN pada pilihan raya umum akan datang, dengan syarat jentera BN bekerja keras dan menyokong calon BN yang dipilh oleh pucuk pimpinan parti.

Dato’ Haji Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, berkata kedatangan Perdana Menteri di kawasan tersebut amat dinanti-nantikan seluruh warga Kuala Nerus.

Katanya, mereka begitu teruja apabila Dato’ Sri Mohd Najib memilih DUN Bukit Tunggal sebagai lokasi utama Program Turun Padang dan kemenangan Bukit Tunggal pada pilihan raya akan datang amat wajar sebagai ‘kenang-kenangan’ daripada rakyat untuk Perdana Menteri.



Penantian lebih 30 tahun berakhir

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Penantian lebih 30 tahun penduduk kawasan Bukit Tunggal untuk mendapat pasar baru menggantikan pasar lama yang usang, bakal berakhir tidak lama lagi apabila Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan sebuah pasar baru akan dibina dalam tempoh terdekat ini.

Peruntukan sebanyak RM4 juta disediakan kerajaan bagi membina pasar baru yang lebih selesa, untuk kegunaan peniaga di pasar lama tersebut.

Pengumuman projek pembinaan pasar baru itu merupakan ‘ole-ole’ yang dibawa Perdana Menteri sempena Program Turun Padang ke Terengganu, yang sebahagian besarnya melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal.

Perdana Menteri sempat melawat Pasar Bukit Tunggal dan menikmati sarapan pagi di Pekan Batu Enam serta melawat rumah beberapa penduduk miskin di Kampung Pengkalan Arang, semasa program turun padang itu.

Malah, pada sebelah malam sebelum memulakan lawatan kerja ke Terengganu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Paduka Rosmah Mansor, turut menginap di Pulau Duyong.
Selain itu, Dato’ Seri Mohd Najib turut memberi ole-ole kedua kepada penduduk Bukit Tunggal iaitu projek pembinaan jejantas bernilai RM3 juta berhampiran Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.

Malah, lebih menggembirakan lagi bukan saja di kalangan penduduk DUN Bukit Tunggal, tetapi seluruh warga Parlimen Kuala Nerus apabila Perdana Menteri memberi komitmen untuk mewujudkan daerah Kuala Nerus - impian mereka sejak sekian lama.

Dalam ucapannya di Pulau Duyong yang merupakan lokasi keempat yang dilawat Perdana Menteri, beliau memberi jaminan Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan penubuhan daerah Kuala Nerus.



Lawatan Kerja Perdana Menteri Di Terengganu






Tererengganu amat diyakini kekal di bawah BN- kata PM




















"Saya amat yakin negeri Terengganu kekal di tangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang memandangkan sambutan rakyat Terengganu terhadap BN di negeri ini," demikian kata YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak.

Beliau menegaskan BN adalah pilihan terbaik, jika rakyat mahukan sebuah negara yang makmur dan maju kerana kerajaan BN menyediakan 'road map' atau peta jalan yang terperinci dan jelas bagi membawa negara ini ke sebuah negara maju.


"Bukan calang-calang pihak boleh kita beri kepercayan untuk mentadbir negara," katanya yang juga Pengerusi BN.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di majlis Jamuan Rakyat di Dataran Shah Bandar Kuala Terengganu malam tadi.

Kira-kira 26,000 orang ramai hadir di majlis jamuan terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini. Jamuan itu adalah kemuncak kepada lawatan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak ke Terengganu sehari suntuk semalam(30 April).
Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said dan seluruh saf kempimpinan negeri hadir. Majlis berlangsung dalam suasana rakyat biasa boleh duduk bersama pemimpin tanpa halangan protokol.