Halaman

28 April 2011

JKR jalankan sesi pengujian peralatan Dewan Undangan Negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan sesi pengujian peralatan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan bangunan yang baru selesai menjalani kerja pengubahsuaian dan membaik pulih itu menepati tahap yang dikehendaki serta berkeadaan baik sebelum digunakan kelak.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang turut serta bersama kira-kira 10 pegawai dan kakitangan JKR dalam sesi pengujian itu, hari ini.
Hadir sama, Setiausahanya, A Rahim Jusoh dan bakal setiausaha yang baru berkuatkuasa 1 Mei ini, Encik Azhar Jusoh.

Pra penyerahan bangunan itu kepada kerajaan negeri dilaksanakan pada 14 April lalu sebelum penyerahan penuh pada 25 April lalu.

Struktur dalaman bangunan yang lebih menarik dan kondusif itu bakal digunakan pertama kalinya pada persidangan DUN yang dijadualkan bermula 9 Mei hingga 12 Mei ini.

Dato’ Tengku Putera dalam kenyataan sebelum ini berkata, pengubahsuaian itu dikira bertepatan dan perlu bagi memberi keselesaan kepada anggota dewan terutama di tempat duduk pegawai-pegawai kerajaan di bahagian belakang.

"Dewan itu sudah berusia hampir 30 tahun dan tiba waktunya ia perlu beri sedikit keselesaan kepada ahli yang semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pengubahsuaian dewan itu dimulakan sejak Januari lalu melibatkan peruntukan lebih RM2 juta sejajar dengan usia bangunan yang sudah melebihi 26 tahun.

Malah, pengubahsuaian bagi menampung pertambahan 62 ketua Jabatan yang akan hadir sepanjang persidangan berlangsung, berbanding jumlah sebelum ini 126 orang.

Katanya, ia juga bertujuan mewujudkan keselesaan kepada kesemua ahli Yang Berhormat dan ketua jabatan apabila ruang tempat duduk antara mereka diperbesar dan dilebarkan. Sebelum ini, ia terlalu sempit hingga menyukarkan pergerakan keluar dan masuk ke dalam dewan.

Selain memastikan sistem pencahayaan dan bunyi yang lebih baik, ia juga bertujuan meningkatkan keceriaan dalam dewan sesuai dengan fungsi dewan sebagai tempat untuk membincangkan isu-isu yang berkait dengan rakyat Terengganu.

Oleh itu, Dato’ Tengku Putera berharap tidak ada pihak lain yang cuba menjadikannya sebagai `isu’ sebaliknya Dewan Undangan Negeri adalah tempat mulia untuk membuat perundangan dan dasar bagi kepentingan rakyat.




Terengganu perkenal tagline Comel

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Induk Pelancongan Terengganu memperkenalkan kalendar pelancongan negeri dengan menggunakan tagline 'Comel'.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Rahin Mohd Said, berkata Comel adalah singkatan untuk aktiviti yang akan diadakan sepanjang tahun ini iaitu Candat Sotong, Monsoon Cup (Piala Monsun), Endurance Challenge dan Leisure untuk aktiviti larian yang akan diadakan di Pulau Lang Tengah.

Katanya aktiviti itu dimulakan dengan pesta mencandat sotong yang diadakan secara besar-besaran, diikuti dengan acara tahunan seperti kejohanan kuda lasak dan kejohanan kapal layar Piala Monsun.

“Setiap tahun hampir 30 program bertaraf antarabangsa mahupun tempatan dianjurkan semata-mata ingin menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Terengganu selain mencapai sasaran 3.5 juta,” katanya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Antaranya aktiviti yang dianjurkan termasuk Terengganu World International Jetrace Challenge, Kenyir Lake International Swimathon, Pesta Buku Terengganu, Terengganu Masters Golf Invitational, Temasya Pantai Timur, Sultan`s Cup Endurance Challenge dan Pertandingan Gamelan Kebangsaan.




Umno mula gempur Manir, Bukit Tunggal

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dalam ucapan di majlis penyerahan tugas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, yang diadakan di Putrajaya, Dato’ Seri Ahmad Said berikrar untuk memastikan Umno terus kukuh di Terengganu, sambil berusaha merampas semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai parti pembangkang, pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar yang diberi mandat untuk mengetuai Umno Terengganu dan mengambil alih jawatan itu daripada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang jawatan tersebut sejak April 2009, secara berkias berkata:

"Walaupun ada pepatah mengatakan bahawa 'indah khabar dari rupa' tetapi apa yang berlaku di Terengganu adalah 'indah rupa dari khabar'.

"Maknanya Umno Terengganu taklah seburuk yang digambarkan oleh orang dan saya bersedia melakukan apa sahaja demi kemenangan Barisan Nasional," kata beliau.

Bagi menunjukkan kesungguhan untuk merampas semula kerusi yang dimenangi parti pembangkang, Menteri Besar dalam ucapannya ketika merasmikan persidangan berkelompok Umno cawangan, Pergerakan Pemuda dan Wanita Bahagian Kemaman, mengumumkan Umno akan menggempur dua kerusi DUN yang diwakili Pas iaitu Manir dan Bukit Tunggal.

Sesungguhnya kehadiran Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, di dua kawasan itu yang diwakili Pas Sabtu depan, merupakan acara ‘letak kerja’ dalam usaha Umno menggempur kawasan tersebut.

Selepas ini, pelbagai tindakan susulan bakal dilakukan pemimpin Umno Terengganu untuk memenangi semula hati penduduk di kawasan berkenaan, seterusnya memastikan ia kembali semula ke pangkuan Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Jika diteliti sejarah lampau, kedua-dua kawasan tersebut bukanlah kubu kuat Pas kerana beberapa pemimpin Umno pernah menang di kawasan berkenaan.

Kawasan Manir kini diwakili pemimpin Pas, Dato’ Haji Harun Taib manakala Bukit Tunggal dimenangi Dr Haji Alias Razak. Kedua-dua wakil rakyat tersebut pernah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang sama dalam pilihan raya sebelum ini.

Dalam erti kata lain, mereka bukanlah ‘kebal’ dan tidak boleh dikalahkan oleh calon lain pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan usaha gigih pemimpin Umno dan BN, diikuti sokongan kuat daripada penduduk di kawasan tersebut, peluang BN memenangi semula kawasan tersebut amat cerah dan jika ini berlaku mereka boleh ‘menghadiahkan’ kawasan itu kepada Presiden parti yang bekerja keras untuk menguatkan semula Kerajaan BN di seluruh negara.

T-Team buat rombakan

Oleh: Suriati Ali



Kemelut yang melanda skuad tajaan Persatuan Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu, T-Team melihatkan beberapa tindakan diambil dalam usaha mempertingkatkan prestasi skuad itu.



Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Haji Rozi bin Mamat, berkata Ketua Jurulatih T-Team, Encik Yunus Alif terpaksa direhatkan selepas prestasi kurang memuaskan pasukan berkenaan dalam beberapa kejohanan penting ketika ini.

“Kita mengambil serius mengenai prestasi T-Team dan selepas mendapat persetujuan bersama pihak pengurusan tindakan itu diambil untuk kepentingan bersama.



“Dua calon telah dikenalpasti bagi menggantikan tempat Encik Yunus untuk memperkemaskan skuad T-Team selain menempuh baki perlawanan Liga Super akan datang,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri di. Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam (28 April).

Katanya, Encik Marzuki Yusof yang juga bekas pengendali T-Team musim lepas serta Yusof Ali, bekas pemain bolasepak Terengganu dikatakan bakal menggalas cabaran sebagai pemangku jurulatih skuad berstatus kelab itu.kerajaan negeri.



“Jika kedua mereka menunjukkan prestasi memuaskan, pihak pengurusan tidak akan teragak-agak menyerap terus mereka mengetuai T-Team dan seterusnya merealisasikan impian mengecapi salah satu kejuaraan berprestij dalam arena bola sepak negara pada musim ini,” katanya.




27 April 2011

MB buat lawatan tinjau ke lokasi PTP Perdana Menteri


Petang ini (26 April) Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said mengetuai rombongan jawatankuasa persiapan dan penyelarasan lawatan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri membuat lawatan ke setiap lokasi yang akan dilawati oleh pemimpin nombor satu negara Sabtu ini.



Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan di Wisma Darul Iman bersama-sama Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ketua-ketua jabatan terbabit dan badan-badan bukan kerajaan.

Dato' Seri Ahmad mahu memastikan lawatan PTP Perdana Menteri ke Terengganu beberapa hari lagi berjalan dengan lancar dan berkesan untuk kebaikan rakyat.



"Segala persiapan terbaik telah dibuat dan saya telah beberapa kali turun ke lokasi lawatan termasuk petang ini,"katanya.

Dalam lawatan itu beliau amat menekankan soal kebersihan dan kekemasan suasana di sepanjang tempat yang akan menjadi lokasi lawatan Perdana Menteri.RAR



SRS bantu kurang jenayah di kampung

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu (JPNIT) dijangka menambah bilangan penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada 82 buah tahun lalu kepada 90 buah menjelang akhir tahun ini.

Pegawai JPNIT daerah Kuala Terengganu, Puan Norma Mohd Nor berkata, jumlah berkenaan bagi kawasan Kuala Terengganu sahaja dan tidak termasuk daerah lain di seluruh negeri.

Skim Rondaan Sukarela (SRS) juga dijangka bertambah kepada 60 daripada 56 tahun lalu,” katanya ketika berucap di majlis Bengkel Pengurusan KRT Zon Utara di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

Katanya, anggota masyarakat yang menyertai SRS akan dilindungi insurans dan jika berlaku kematian akibat kemalangan dan kailatan kekal akibat kemalangan akan menerima pampasan RM20,000 manakala kematian biasa RM1,000.

“Tuntutan perbelanjaan hospital akibat kemalangan (RM1,000) dan elaun kemasukan ke hospital (RM50 sehari) maksimun 30 hari akan diberi kepada anggota SRS dan juga Jawatankuasa KRT,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu sangat mengalu-alukan penubuhan KRT dan SRS di kampung-kampung kerana dapat mengurangkan kadar jenayah dalam membantu mengawal keamanan dan keselamatan dalam kawasan bandar mahu pun di pedalaman.

Terdapat 15 KRT daripada 20 KRT dalam Zon Utara telah menghadiri bengkel berkenaan bertujuan mengemaskini pengurusan serta mengatur perbelanjaan berhemah persatuan.

“Setiap KRT menerima geran pentadbiran setiap tahun bagi mengurus pelbagai aktiviti untuk mengekal semangat perpaduan kalangan masyarakat,” katanya.




40,000 rakyat dijangka sertai program lawatan PM

Oleh: Suriati Ali


Rakyat Terengganu mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke Terengganu sempena Program Turun Padang pada Sabtu ini (30 April).

Lebih 40,000 penduduk termasuk urusetia dijangka terlibat dalam lawatan sehari Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu pada 30 April ini (Sabtu).

Lawatan sempena Program Turun Padang (PTP) itu membabitkan lima lokasi penting di kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Perdana Menteri yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu kira-kira jam 8.45 pagi sebelum memulakan lawatan ke Pasar Batu Enam dan melawat rumah seorang penduduk yang uzur di Kampung Pengkalan Arang.

“Selepas itu beliau akan merasmikan tapak Pasar Bukit Tunggal dan seterusnya melawat Klinik Rakyat di Kampung Pulau Bahagia, Manir dan bertemu rakyat di padang bola di kampung yang sama.

“Pada sebelah petang pula, Dato’ Sri Mohd Najib akan merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong, sebelum dijadualkan bersama kepimpinan masyarakat termasuk parti komponen Barisan Nasional serta menemui rakan laman sosial `facebook’,” katanya.

Menurutnya, pada sebelah malam pula, Perdana Menteri akan menemui kira-kira 20,000 penduduk Terengganu serta menikmati makan malam bersama-sama di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

“Selepas menamatkan program terakhir sempena lawatan kerja sehari itu, beliau akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Terengganu berharap Perdana Menteri akan mengumumkan berita gembira dan istimewa untuk rakyat Terengganu sama ada berkaitan pembangunan mahupun sebarang bentuk bantuan sempena lawatan itu nanti.

“Terengganu bersama Kerajaan Pusat sentiasa menjalin hubungan baik dan setakat ini kita masih lagi menerima peruntukan dalam bentuk geran dan beberapa bantuan lain,” katanya.


Peruntukan RM564 ribu untuk pelajar aktif sukan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan RM565,000 bagi membayar elaun kepada 690 pelajar sekolah menengah di negeri ini yang aktif di bidang sukan.

Bayaran elaun RM60 sebulan yang dimasukkan ke dalam akaun itu dikhaskan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sukan Bukit Nanas, Setiu serta mereka yang mengikuti kelas sukan di SMK Padang Midin, Kuala Terengganu dan SMK Ampuan Intan, Kuala Berang.

Tidak ketinggalan mana-mana atlit yang terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma) dan masih belajar layak menerima elaun yang akan dibayar bermula Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan sama akan dimasukkan ke dalam bajet tahunan kerajaan negeri, bermula tahun depan dan akan disalurkan kepada Yayasan Terengganu.

“Tempoh bayaran elaun bergantung kepada beberapa lama pelajar itu menuntut ilmu di Terengganu, sekiranya mereka belajar sehingga ke tingkatan enam atas pun kita akan bayar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.




MB bawa perkhidmatan awam ke landasan gagasan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berjaya membawa perkhidmatan awam negeri ini ke landasan gagasan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Demikian kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, dalam kata-kata aluan pada buku ‘3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ yang dilancarkan Menteri Besar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, Menteri Besar menjadi inspirasi kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan pengetahuan, berintergriti, inovasi, kompentesi dan akauntabiliti serta bertindak proaktif dan fleksibel mengikut tuntutan perubahan persekitaran, kehendak majoriti rakyat dan hala tuju Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Terengganu.

“Perkhidmatan awam negeri perlu meningkatkan usaha dan menjadi pemudahcara kepada aktiviti sektor swasta.

“Untuk berbuat demikian, kita tiada pilihan kecuali meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di samping mengubah persepsi dan sikap agar bersifat terbuka, berinisiatif untuk melakukan perubahan,” ujar beliau.

Beliau berkata, dalam pelaksanaan agenda pentadbiran dan pembangunan negeri, kita perlu menerokai, mengharungi dan melaksanakan perubahan secara drastik selaras dengan tuntutan semasa dan ekspektasi rakyat.

Dato’ Haji Mazlan turut mengungkapkan dua rangkap pantun yang ditujukan khas kepada YAB Menteri Besar:

Dato’ Seri Ahmad Said amat disenangi
Mudah bicara menjadi teman
Jasamu Dato’ Seri kami sanjungi
Akan dikenang sepanjang zaman

Di Kijal Kemaman tempat dilahirkan
Di Kuala Terengganu pemimpin berjasa
Kepada Dato’ Seri kami doakan
Semoga berbahagia, sejahtera dan sihat sentiasa



Buku 3 Tahun MPPNT terjemah KPI kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Buku sempena genap tiga tahun pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang diedarkan kepada orang ramai khususnya kakitangan awam selepas dilancarkan dalam satu majlis di Wisma Darul Iman, pagi ini menjadi medium bagi menterjemahkan hasil usaha kerajaan sepanjang tiga tahun dalam merealisasikan hasrat untuk `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ (MPPNT).

Malah, MPPNT yang kini diakui sebagai pendekatan holistik yang memberi keutamaan kepada aspirasi rakyat. Pada masa yang sama, buku ini juga memaparkan kejayaan yang dicapai, Indeks Penunjuk Presatasi (KPI) yang terkini Dato’ Seri Haji Ahmad sebagai bukti sokongan rakyat terhadap pentadbiran beliau.
Seorang kakitangan awam, Puan Malina Ali, 35, dari Pejabat Daerah Kuala Terengganu berkata, buku yang dihasilkan sempena ulang tahun pentadbiran pucuk pimpinan negeri itu jelas mampu memberi gambaran tepat mengenai pencapaian Terengganu sehingga kini.

“Buku ini menjadi wadah terbaik menceritakan pelbagai usaha dan kejayaan yang sudah dicapai yang perlu dikongsi oleh semua pihak, sekaligus menilai setiap hasil dan manfaat itu dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Pegawai Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Negeri, Encik Saifuddin Mohamed,48, menyokong penuh usaha menerbitkan buku yang cukup signifikan sebagai bahan berguna yang dapat menyampaikan maklumat kepada umum mengenai prestasi kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun.

“Penerbitan buku ini amat signifikan dan menjadi ukuran sebenar setiap pencapaian kerajaan negeri yang berusaha merealisasikan pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’.

“Kandungannya bukan hanya menceritakan pencapaian sebelah pihak yang membuat dasar atau kerajaan negeri sahaja, malah juga kejayaan rakyat yang mendapat perkhidmatan sewajarnya daripada pembuat dasar, sama ada di peringkat negara serta antarabangsa,” katanya.

Sementara kakitangan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Encik Mohd Shaiful Bahri Ali, 28, berkata buku ini membuktikan kejayaan yang sudah dilestarikan Menteri Besar dalam mencapai gagasan Merakyat Pentadbiran dan pembangunan Negeri Terengganu.

Katanya, `output’ buku ini juga mampu menutup pandangan negatif dan sikap segelintir pihak yang seakan-akan tidak nampak usaha dan pencapaian yang sudah dilaksanakan kerajaan, walhal tanpa sedar mereka turut sama menikmati segala kemudahan itu.

“Banyak perkara positif daripada buku tiga tahun MPPNT ini dan saya juga mahu menyimpannya sebagai koleksi peribadi dan rujukan saya apabila diperlukan kelak,” katanya.