Halaman

28 February 2011

TATiUC Sedia Kemudahan Pembelajaran Bertaraf Antarabangsa

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kolej Universiti TATI (TATiUC) di Kemaman menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran, khususnya di bidang teknikal yang bertaraf antarabangsa.

Justeru itu, tidak hairanlah jika permintaan untuk melanjutkan pelajaran ke TATiUC begitu mendadak sejak kebelakangan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata, lebih 5,000 orang pelajar memohon memasuki pusat pengajian tersebut setiap tahun kerana sesetengah kursus yang disediakan di situ tidak ditawarkan di pusat-pusat pengajian lain di negara ini.

Terbaru TATiUC bakal menawarkan bidang pengajian lokomotif, khususnya kepada bakal pekerja dan pemandu lokomotif yang akan berkhidmat dengan tram yang sedang dirancang di Melaka.

Menurutnya, disebabkan perkembangan pesat dan permintaan kemasukan yang tinggi ke TATiUC, pihak kerajaan negeri merancang menjadikan pusat pengajian tinggi tersebut kepada universiti penuh menjelang 2013.

“Sebelum ini, kita merancang menjadikan TATiUC sebagai universiti penuh pada 2015. Bagaimanapun, disebabkan permintaan yang menggalakkan di kalangan pelajar tempatan dan luar negara, kita mahu menjadikan TATiUC sebagai universiti penuh pada tahun 2013,” katanya.

Pada sesi pengajian akan datang yang dijadualkan berpuluh-puluh pelajar dari luar negara, termasuk Indonesia dan Timur Tengah bakal melanjutkan pengajian mereka di TATiUC.

Bagi menampung kemasukan lebih ramai pelajar pada sesi akan datang yang dianggarkan 900 pengambilan pelajar baru, pihak pengurusan TATiUC membangunkan kompleks Pusat Pupuk Semangat di Telok Kalong, sebagai kampus kedua TATiUC.




27 February 2011

Bantu Umat Islam di Kemboja


YB Ustaz Ramli menyampaikan bantuan kepada masyarakat Islam di Kemboja


Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Kerajaan Negeri Terengganu turut membantu umat Islam di Kemboja dengan pelbagai cara bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan beragama dengan sebaiknya, demikian kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Haji Mohd.Ramli Noh.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita sebaik sahaja pulang dari membuat lawatan dua hari ke sana bagi tujuan membantu dan memberi perhatian terhadap umat Islam di sana atas dasar menolong saudara seagama sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

Beliau berkata, pihaknya sekaligus mewakili umat Islam di Terengganu menyerahkan wang “Wakaf al-Quran umat Islam Kemboja” berjumlah RM45,000 kepada Mufti di sana, Ustaz Kamaruddin. Wang berkenaan merupakan hasil punggutan dari beberapa buah masjid di negeri ini bagi tujuan mencetak al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Khmer.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Mufti Kerajaan Terengganu, Dato’ Dr. Haji Alias Abdullah dan beberapa pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menurut YB Ustaz Haji Ramli, penduduk Islam di sana amatlah miskin lagi dhaif dan kita perlu membantu mereka dengan apa cara sekalipun.

Rombongan juga mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar sekolah agama di sana dan satu jamuan rakyat telah diadakan untuk masyarakat Islam di Kampung Chenan, Kemboja, kira-kira 50 kilometer dari ibu negaranya, Phnom Penh.

“Bagi mereka menikmati jamuan dan masakan daging adalah sesuatu yang jarang bagi 600,000 penduduk beragama Islam di sana,” katanya yang meminta rakyat menginsafi akan kesusahan saudara seislam di negara itu.

“Kita perlulah bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita di negara ini dan jauhi sifat bermusuhan sesama sendiri,” katanya.

TEGANUKITA

Sambutan Maulidur Rasul pupuk perpaduan

Oleh: Esah Abdullah

Perarakan sejauh tiga kilometer oleh 500 penduduk dari tujuh kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mewakili empat generasi, veteran, pemuda, wanita dan kanak-kanak berlangsung dalam suasana penuh muhibah.

“Kesepakatan, perpaduan dan semangat masih utuh melingkari kehidupan penduduk di sini dalam menyambut hari bersejarah dalam kalendar Islam,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Mohammad Ramli Noh.

Beliaui yang mengepalai kumpulan berselawat ke atas Rasullullah s.a.w bermula dari masjid Kampung Tepoh hingga ke masjid Kampung Pagar Ubi sejauh tiga kilometer.

Tujuh kampung iaitu Kampung Padang Hangus, Tokeng, Kampung Baru, Tepoh, Pondok Lalang, Pagar Ubi dan Kampung Raja sepakat mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini secara bergilir-gilir bila tiba bulan Rabiul Awal.

Majlis sambutan diselit dengan ceramah agama oleh penceramah bebas, Ustaz Abdul Rashid Long yang mengupas kebesaran dan keluhuran sifat Nabi Muhammad yang perlu dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam.

“Contohi peribadi Rasullullah yang mulia, sentiasa merendah diri serta menghormati golongan lain yang tidak sealiran dengan agama Islam,” katanya.


TEGANUKITA


TERTARIK....




Akhbar Teganukita semakin diminati....Kelihatan Ketua Penerangan Umno Terengganu merangkap Exco Kerajaan Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman bersama Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri (APMT), Haji Roshali Taha menatap akhbar tersebut.

Tentu ada sesuatu yang menarik perhatian mereka di akhbar berkenaan, disaksikan oleh beberapa peserta Program Bicara Penerangan yang diadakan di Melaka baru-baru ini.

Akhbar ini diterbitkan oleh Unit Komunikasi (Ukom) Negeri Terengganu.


TEGANUKITA

Rombongan Bistari kagum kemajuan Terengganu.

Oleh: Suriati Ali

Rombongan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Melaka (Bistari) kagum dengan perubahan yang berlaku di Terengganu, bukan saja di segi kemudahan prasarana, tetapi ia juga meliputi kemudahan awam, lanskap dan kebersihan yang terjaga rapi.

Pengerusinya, Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman berkata, berdasarkan perubahan ini, tidak hairanlah pelancong menaruh minat untuk kembali melawat Terengganu sekaligus menyaksikan bilangan pengunjung meningkat setiap tahun.

“Peningkatan pelancong akan mendorong lebih ramai pelabur tempatan dan asing melebarkan empayar perniagaan masing-masing, sekaligus mampu menambah pendapatan penduduk dan ekonomi negeri bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Teganukita ketika mengadakan lawatan kerja di sekitar Kuala Terengganu selama tiga hari yang berakhir hari ini (28 Februari).

Dalam lawatan itu beberapa lokasi menarik telah dikunjungi termasuk, Taman Tamadun Islam (TTI), menyelusuri Sungai Terengganu dengan menaiki Bot Cruise, Pasar Besar Kedai Payang dan Bazar Warisan.

Rombongan terdiri daripada 18 ahli itu rata-ratanya seronok dan berhasrat akan kembali mengunjungi Terengganu sekiranya mempunyai kelapangan masa.

Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah berjanji apabila pulang ke Melaka nanti, beliau dan ahli-ahli rombongan akan menghebahkan kepada pelbagai persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan mengenai kecantikan Terengganu.

“Saya percaya mereka juga tidak sabar-sabar untuk datang ke sini terutama untuk melihat keindahan Tasik Kenyir, TTI dan merasai keseronokan menyelusuri Sungai Terengganu dengan menaiki `Bot Cruise’,” katanya.




Ubah Sikap Untuk Baiki Mutu Perkhidmatan

Oleh: Suriati Ali

Setiap penjawat awam perlu memiliki sikap ingin berubah menjalankan tugas masing-masing, bagi membaiki imej perkhimatan kerajaan yang dikatakan masih berada di takuk lama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, terdapat segelintir masyarakat luar menganggap mutu perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tidak banyak berubah dan masih wujud kesulitan ketika berurusan.

Katanya, pelaksanaan tugas di sektor kerajaan cukup berbeza jika dibandingkan pihak swasta di mana kakitangan agensi itu mempunyai nekad untuk berusaha lebih maju semata-mata ingin mencapai sasaran yang ditetapkan majikan dalam tempoh tertentu.

“Oleh itu, sebagai penjawat awam, kita perlu membaiki persepsi negatif dengan melaksanakan tugas secara tekun, jujur, amanah dan bertanggungjawab.

“Saya mengakui terdapat perubahan dalam perkhidmatan yang ditawarkan tetapi tidak banyak dan kurang memuaskan, banyak lagi perlu dibaiki terutama berkaitan khidmat pelanggan,” katanya.

Menurutnya, slogan seperti Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran serta Terengganu Ke Arah Globalisasi yang disuarakan pemimpin sewajarnya dilaksanakan dan tidak guna hanya mendengar atau menghayati sahaja.

“Sekiranya ingin maju dan mengubah imej perkhidmatan kerajaan, pelbagai pihak perlu memainkan peranan terutama pegawai atasan dan ketua jabatan di setiap unit.

“Mereka perlu sentiasa membuat pemantauan terhadap kakitangan bawahan di samping membaiki kelemahan diri supaya tidak di pandang remeh, jika ketua melakukan kesilapan dan tidak berdisplin, cukup sukar untuk menegur kakitangan lain terutama berkaitan kedatangan harian, tepati masa dan cara berkomunikasi,” katanya.


TEGANUKITA


Perunding Dilantik Periksa Struktur Stadium

Oleh: Aida Abd Rahman


Imbas kembali kerja-kerja membersih stadium yang runtuh.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu akan melantik perunding bagi memeriksa kekuatan struktur bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu.

Kerja peringkat kedua susulan runtuhan bumbung stadium dijangka mengambil masa tiga bulan, sebelum rekabentuk bagi membaik pulih semula bumbung stadium berkenaan disiapkan.

Pengarah JKR Terengganu, Ir Haji Shahawai Awang, berkata hasil siasatan teknikal mengenai Stadium SMZA diserahkan kepada Pengurusan Kompleks Sukan Negeri sejak awal bulan lalu, untuk tindakan lanjut pihak kerajaan negeri.

“JKR kini dalam proses semakan integriti atau menyemak kekuatan struktur bangunan stadium melalui perunding yang bakal dilantik,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap peringkat dan fasa yang dilaksanakan memerlukan masa serta penelitian rapi bagi mendapatkan hasil kajian lengkap serta tidak timbul sebarang kesilapan teknikal.

Ir Haji Shahawai berkata, selepas kedua-dua peringkat selesai, JKR akan melaksanakan peringkat ketiga iaitu pembinaan baru yang bakal dijalankan sejurus tender dikeluarkan kepada kontraktor terpilih.

“Selepas semua peringkat itu selesai dan lengkap mengikut tempohnya, barulah bumbung stadium itu dapat dibina baru dan dijangka siap dan dapat digunakan semula tahun depan ,” katanya.

Struktur sebahagian bumbung stadium yang digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu runtuh pada 2 Jun 2009, kira-kira jam 9 pagi. Runtuhan melibatkan bahagian depan, kiri dan kanan stadium.

Menurut laporan sebelum itu, kegagalan pihak yang dilantik membina SSMZA mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak menjadi punca bumbung stadium berkenaan runtuh.

Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh. Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina.

TEGANUKITA

Zoo Bukit Takal Gamit Pelancong

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman yang menempatkan pelbagai spesies haiwan menjadi tumpuan pelancong. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Bukit Takal yang dulunya diselubungi hutan rimba, makin dikenali ramai, khususnya di kalangan pelancong kerana di situ terdapat Taman Rekreasi dan Mini Zoo yang menempatkan pelbagai spesies haiwan.

Sehingga ini, terdapat lebih 200 ekor haiwan terdiri daripada 74 spesies, ditempatkan di zoo berkenaan.

Bilangan haiwan ini akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keupayaan pihak pengurusan zoo.



Antara haiwan yang terdapat di mini zoo ini termasuk burung unta serta pelbagai spesies burung lain, rusa, beruang, monyet, ungka, ular, buaya dan ikan naga.

Turut menjadi perhatian pengunjung zoo berkenaan “Chiko”, harimau jantan berusia dua tahun serta pasangannya harimau betina, “Country” yang jauh lebih tua, iaitu tujuh tahun.

Kedua-dua haiwan tersebut yang dibawa dari Zoo Melaka pada bulan Mac lalu, kini sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran zoo berkenaan.

Kawasan Taman Rekreasi dan Mini Zoo ini yang dulunya merupakan dusun buah-buahan, kini menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, terutama menjelang hujung minggu.

Taman ini mula dibuka pada 11 April 2009, melibatkan kawasan seluas 120 hektar. Sehingga ini hampir 200,000 orang telah mengunjungi mini zoo terbesar di Pantai Timur itu dengan kutipan mencecah RM1 juta.

Mini zoo Bukit Takal yang jaraknya hanya kira-kira 14 kilometer dari bandar Chukai kini mula menjadi tarikan pelancong ke Terengganu, khususnya di kalangan penduduk Pantai Timur.

Orang ramai tidak perlu lagi pergi ke Pantai Barat untuk melihat haiwan di zoo sama ada di Hulu Kelang mahu pun Ayer Keroh, Melaka.

Taman Rekreasi dan Mni Zoo Bukit Takal berbeza dengan zoo-zoo lain kerana ia lebih menekankan konsep terbuka dan mengekalkan alam semulajadi agar haiwan lebih selesa ditempatkan di sini.

Lebih menarik, taman ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan beriadah untuk seiisi keluarga, taman permainan kanak-kanak, kolam renang dan gelongsong air.

Bukit Takal dipilih kerana ia terletak di kawasan pertengahan antara pusat bandar Kuala Terengganu dan Kuantan. Selain itu, ia juga memudahkan penduduk dari negeri lain seperti Pahang , Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk turut berkunjung bersantai bersama keluarga di situ.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung, pelbagai kemudahan disediakan seperti surau, tandas, laluan berjalan kaki, kios dan restoran.

Pelawat juga boleh menggunakan trem yang mengangkut penumpang dari pintu masuk utama zoo hingga ke kawasan pertengahan zoo tersebut.



Bayaran masuk ke zoo iaitu RM10 untuk dewasa dan kanak-kanak RM5 amat berpatutan dan tidak membebankan pelawat.

Berdasarkan bilangan pelawat yang semakin bertambah,pastinya zoo ini bakal menjadi satu lagi destinasi pelancongan utama di Terengganu.

TEGANUKITA

Sehari tanpa beg plastik

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Semua pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negeri melalui kempen sehari tanpa beg plastik yang dilaksanakan setiap Sabtu iaitu empat kali sebulan

Orang ramai yang ingin berkunjung ke pasar raya di negeri ini diingatkan supaya membawa beg sendiri bertujuan bagi mengisi barangan yang diibeli kerana mulai Januari lalu semua premis berkenaan tidak lagi menyediakan beg plastik percuma untuk pelanggannya.

Penguatkuasaan ini diselaraskan di semua pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negeri melalui kempen sehari tanpa beg plastik yang dilaksanakan setiap Sabtu iaitu empat kali sebulan.

“ Terdapat 13 pasar raya besar dan premis terpilih telah mengenakan caj antara 10 hingga 20 sen bagi setiap beg plastik pada kempen tanpa beg plastik setiap hari Sabtu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Moktar.



Dr. A. Rahman berkata, hasil daripada caj tersebut disimpan dalam dana khas yang akan digunakan untuk program-program kepenggunaan serta kemasyarakatan yang menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Sejak awal tahun ini katanya, sejumlah RM3,782.70 hasil jualan plastik berjaya dikumpul dan usaha ini dilihat lebih kepada mendidik orang ramai supaya tidak menggunakan langsung beg plastik.

“Kerajaan amat serius dalam hal berkaitan kesihatan rakyat dan hasil kajian, beg plastik merupakan penyumbang kepada masalah kesihatan dan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Katanya, beg plastik dapat mengeluarkan toksik yang boleh menyebabkan masalah kemandulan kepada lelaki , sakit buah pinggang dan kanser.

“Usaha melupuskan bahan tersebut mengambil masa lama iaitu 500 tahun untuk reput, sehubungan itu penggunaannya perlu dikurangkan atau dihapus terus kerana ia menimbulkan banyak kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Selain itu katanya, kajian juga menunjukkan 100,000 hidupan marin mati setiap tahun akibat termakan benda asing yang diperbuat daripada plastik atau pencemaran laut yang berpunca daripada pembuangan plastik.
TEGANUKITA

T-Team Tebus Kecewa, Baham Singa Utara

Oleh: Aida Abd Rahman

Selepas mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan, akhirnya T-Team berjaya menebus kekecewaan itu dengan meraih kejayaan pertama di hadapan penonton sendiri malam tadi.

Pasukan kendalian Yunus Alif itu berjaya menjinakkan pasukan yang berada di tangga tercorot liga, Perlis dengan kemenangan bergaya 3-0 dalam persaingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu.

Gol-gol T-Team dijaringkan oleh Khairul Izwan Khalid seawal minit ketiga dan minit ke-59, manakala Badrul Hisani Abd Rahman meledak jaringan kedua tuan rumah pada minit ketujuh sekaligus membuatkan skuad Singa Utara terpaksa pulang hampa dengan badi kekalahan kelima berturut-turut.

Sementara Terengganu yang turun selaku `pelawat’ menentang Kuala Lumpur, di stadium yang sama kelmarin, turut mencatat kemenangan tipis, 2-1.

Terengganu kini berada di kelompok lima terbaik Liga Super mendapat gol hasil jaringan Abdul Hadi Yahya (minit ke-38) dan Ashaari Shamsuddin pada minit ke-52, sebelum Kuala Lumpur merapatkan jurang pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Yong Kuan Yong (minit 83).

Kemenangan buat kali kedua anak buah, Irfan Bakti selain mencatat dua kali seri dan sekali kalah dalam lima perlawanan kesemuanya menghadiahkan Sang Penyu lapan mata untuk turut berkongsi mata yang sama dengan Harimau Muda A, Selangor dan Felda United.

Pada Selasa (1 Mac) ini, Terengganu akan berdepan dengan Johor FC dengan sepak mula perlawanan pada jam 4.45 petang, di SSINS. Manakala T-Team pula bakal berkunjung ke Stadium Kuala Lumpur, Cheras untuk bertemu Kl Felda United FC, pada jam 8.45 malam.


TEGANUKITA