Halaman

Showing posts with label bendahari. Show all posts
Showing posts with label bendahari. Show all posts

26 January 2011

YB RAZIF DAN YB DATO’ ZA’ABAR SEBAGAI KETUA PENERANGAN DAN BENDAHARI

Laporan terkini oleh: Ruslan Abdul Rahman

Segala teka teki terjawab, apabila malam ini YB Tengku Putera Awang diumumkan kekal sebagai Setiausaha Umno Negeri Terengganu, manakala Exco Kanan Kerajaan Negeri YB Haji Ahmad Razif Abul Rahman (Ketua Penerangan) dan YB Dato’ Za’abar Mohd Adib (Exco Kerajaan Negeri) sebagai Bendahari.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said membuat pengumuman ini kepada media sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Umno Negeri kali pertama 2011 malam ini (25 Januari), selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi BPUNT berkuatkuasa 1 Januari baru-baru ini.

Semua Ketua-Ketua Bahagian dari lapan bahagian di Terengganu hadir.



YB Haji Ahmad Razif, 46 tahun merupakan Ahlijawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) Kawasan Seberang Takir yang baru bertanding dan menang dalam PRU yang lalu. YB Haji Ahmad Razif merupakan Exco kerajaan Negeri bagi portfolio Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri.



Manakala Dato’ Za’abar Mohd Adib adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Dungun dan ADUN Rantau Abang serta Exco Kerajaan Negeri bagi portfolio Pembangunan Infra dan Kemudahan Awam Negeri.

Dato’ Seri Ahmad juga memaklumkan bahawa satu jawatan baru diwujudkan iaitu Pengarah Strategik Umno Terengganu, disandang oleh Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan, sekaligus menduduki jawatankuasa Pengurusan Umno Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BPUNT, YB Haji Yahya Khatib Mohamad (Ketua Bahagian Marang).

Menjawab soalan wartawan,Dato’ Seri Ahmad yakin bahawa Umno Terengganu cukup mantap untuk menghadapi Piliharaya Umum ke 13 dengan penyusunan baru dan perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh ketua-ketua bahagian yang hadir.

“Saya mengucap terima kasih kepada semua ketua-ketua bahagian yang hadir dan tahniah kepada semua yang dilantik, termasuk Timbalan, YB Haji Yahya Khatib Mohamad”.

Sementara itu, Tengku Putera Awang ketika diminta oleh Teganukita mengulas mengenai pengekalannya sebagai Setiausaha BPUNT berkata, kini Umno Terengganu begitu jelas berada dalam penyatuan di semua peringkat.

“Segala kemelut yang digembar-gemburkan selama ini telah pun berakhir dan kita sudah bersedia untuk menghadapi PRU 13 dan Pengerusi sendiri memberi jaminan akan mengambilkira semua peringkat parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Besut Dato’ Seri Idris Jusoh ketika mengulas pelantikan dan penyusunan semula BPUNT berkata; “Insya Allah akan menyerlahkan lagi semangat baru untuk mempastikan kemenangan cemerlang dalam pilihanraya umum akan datang”.

TEGANUKITA