Halaman

Showing posts with label azmi razik. Show all posts
Showing posts with label azmi razik. Show all posts

12 February 2011

YPU Sasar Tempahan RM500,000

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mensasarkan RM500,000 nilai tempahan mampu diterima untuk pakej perkahwinan sepanjang tiga hari festival berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, dalam festival yang diadakan tahun lalu tempahan yang diterima pengusaha industri pengantin berjumlah RM300,000.

“Tahun ini saya yakin jumlah tempahan akan meningkat kepada RM500,000 berdasarkan beberapa petunjuk termasuk produk yang disediakan mempunyai kelainan dan lebih ekslusif,” katanya kepada pemberita di Festival Pelamin dan Rias Pengantin di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) yang berakhir hari ini.

Katanya, pengusaha dalam industri ini mampu pergi jauh dan dapat menjana pendapatan lumayan jika rajin dan kreatif serta sentiasa memenuhi cita rasa pelanggan dengan tawaran harga berpatutan.

Haji Azmi turut menyarankan para pengusaha membuat promosi produk masing-masing pada laman twitter atau facebook, yang boleh dilayari oleh semua orang dan tidak terhad kepada orang disekeliling sahaja.

“Di samping menyediakan persalinan, eksesori dan pelamin, pengusaha boleh lebarkan perniagaan dengan menyediakan pakej bulan madu kepada pasangan pengantin kerana negeri kita kaya dengan tempat-tempat menarik,” katanya.

Haji Azmi berkata YPU juga menyediakan kursus-kursus latihan untuk bakal usahawan yang berminat terutama golongan muda yang ingin berjinak dalam bidang perniagaan.

Katanya, sambutan terhadap festival ini begitu memberangsangkan dan akan dijadikan acara tahun bagi YPU untuk mewujudkan persaingan sihat kalangan mereka serta bertukar idea bagaimana meningkatkan hasil jualan.

Festival kali ini menerima 74 penyertaan dari pengusaha pelamin dan yang berkaitan dengan perkahwinan termasuk lot menjual bunga, aksesori, pakaian, bekas telur, bekas hantaran dan lain-lain lagi.

TEGANUKITA