Halaman

05 July 2014

SUATU PENGHARGAAN BESAR: LAWATAN PERTAMA PM KE TERENGGANU SELEPAS DATO' HAJI AHMAD RAZIF ABD RAHMAN DILANTIK MENTERI BESAR KE 14


OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang



Lawatan kerja Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Hj Abdul Razak ke Terengganu esok (6 Julai) adalah amat bersejarah kerana lawatan pertama beliau selepas Dato’ Hj Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke 14 menggantikan Dato’ Seri  Hj Ahmad Said.

Walaupun ia disekalikan dengan majlis anjuran Felda di Pejabat Felda Wilayah Timur, tetapi kita berbangga kerana Felda yang dibawah seliaan terus Perdana Menteri memilih Terengganu sebagai tuan rumah Rahmat Ramadhan Felda.


Lebih uniknya kebetulan pejabat Felda Wilayah Timur itu terletak dalam kawasan Kuala Nerus (Dun Tepoh). Kebetulan Menteri Besar,  Dato’ Hj Ahmad Razif adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus.

Dalam tempoh kira-kira 50 hari Dato’ Ahmad Razif menjadi Menteri Besar, beliau dengan penuh berhemah dan menghormati kepimpinan yang lalu meneruskan kesinambungan menguruskan kerajaan untuk rakyat.

 Seingat penulis perkara pertama yang disebut oleh Dato’ Ahmad Razif ialah meneruskan usaha pembangunan dan pentadbiran untuk rakyat dengan mengajak semua bekerja bersama-sama dan secara pasukan.

Maksudnya di sini kerja secara bersama dari semua pihak dan kerja berpasukan bukannya sendiri atau ‘ one man show’.

Beliau sendiri membentuk Pusat Transformasi Rakyat (PUTRA) di Pejabat Menteri Besar untuk membantu kerajaan membuat kajian dan keputusan dalam sesuatu perkara.

Malah beliau memperkenalkan penubuhan jawatankuasa pemikir peringkat daerah.

Diperkenalkan juga untuk urustadbir yang baik dan menjurus kepada kepentingan rakyat. Tranformasi Terengganu Baru (TTB) dengan mahu menjadikan Terengganu TerBersih dan Pasukan Kerja yang berkhidmat dengan telus (Telus Team Berkhidmat).

Mendahulukan rakyat dengan motto, “kecil bagi kita besar bagi orang”- beliau meningatkan supaya beri perhatian walaupun pada perkara yang dianggap kecil oleh sesetengah orang, tetapi besar maknanya bagi yang memerlukan.

 Contohnya, beberapa barang makanan diberikan kepada yang memerlukan amat besar ertinya bagi yang miskin itu, walaupun hanya nilainya amat kecil bagi yang kaya. Malah beliau sendiri sentiasa turun melihat apa jua bencana yang dihadapi rakyat, seperti rumah terbakar misalnya, dengan meluluskan bantuan terus tanpa mengira perbezaan politik dan sebagainya; yang penting mereka yang dalam kesukaran dibantu.

Dalam konteks pentadbiran Dato’ Ahmad Razif memperkenalkan , Transformasi Terengganu Baru- TTB sebagaimana disebutkan tadi.
TTB mempunyai cirri-ciri antara lainnya ialah:
i.                     Good governance- urus tadbir yang baik
ii.                   Insklusif- bersifat terbuka dan menerima pandangan orang lain
iii.                  Agama sebagai wadah penyatuan

Satu perkara yang kita perlu lihat sikap adil yang ditunjukkan oleh kepimpinan itu iaitu tidak lupa rakyat Terengganu dari kaum lain, lantas  beliau melantik bekas Exco Kerajaan Negeri, Toh Chin Yaw dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Besar untuk menjaga kepentingan kaum-kaum lain.


Menteri Besar yang baru tidak menangguhkan bantuan kepada rakyat di mana sahaja mereka berada dan berkelayakan.

Dana Raya berjumlah RM81 juta tahun ini diumumkan termasuk kepada Dana Bakti Remaja RM25 juta. Dana raya dibayar sebelum menjelang hari raya dan dipermudahkan.

Difahamkan dinaikkan RM100 kepada golongan miskin dan ramai tanggungan, suatu sikap yang cukup merakyatkan dan mengambilkira kesusahan orang bawahan.


Beliau juga telah member suatu perasaan gembira kepada orang Besut apabila memindahkan  pelajar SM Imtiaz Besut ke Kompleks Imtiaz Besut.

Beliau juga memperkenalkan  Sijil Umum Menengah Antarabangsa (IGCSE)- pertama di negara ini bagi sekolah-sekolah menengah.

Di bawah kepimpinan baru ini, rumah untuk rakyat dipercepatkan pembahagiannya supaya rakyat dapat segera menikmatinya.

Meletakkan perpaduan sebagai asas utama dalam apa juga perkara  dan meminta elak dendam.
Ketua-ketua Umno Bahagian juga dilantik sebagai Pegawai Pembangunan di samping memperkasakan peranan wakil-wakil rakyat yang sedia ada.

Ini kerana beliau berpendapat, perpaduan adalah perkara utama dan penting dalam apa jua perkara dan mesti diberi perhatian dan keutamaan.
“Jangan memuaskan hati kita dengan melepaskan dendam, tetapi yang penting dan utama ialah bagaimana kita wujudkan perpaduan dan menghargai semua orang” katanya.
“Tiap-tiap apa yang kita hendak lakukan untuk kebaikan rakyat,mestilah dirunding dan dibincang dahulu dengan mereka, sekurang-kurangnya pendapat mereka dirai,” pernah Menteri Besar menyatakan demikian kepada penulis dalam satu perbualan.

Inilah sikap keterbukaan Menteri Besar,  Dato’ Hj Ahmad Razif yang cukup disukai rakyat dengan penuh harapan mahukan amalan itu diteruskan oleh pemimpin pemimpin yang lain juga.

Bersikap terbuka dan mesra dengan pembangkang-beliau tidak melihat perbezaan parti boleh menyebabkan perhubungan sesama Islam menimbulkan masalah kerana baginya agama adalah sebagai wadah penyatuan bukan perpecahan.

Malahan beliau menjadikan masjid dan surau sebagai institusi penting perpaduan dan beliau sentiasa bersolat jemaah di masjid dan surau di samping menemui para jemaah, suatu amalannya sejak dahulu lagi.


Beliau dan rombongan melawat sendiri  jenazah pemimpin veteran Pas Allahyarham Abu Bakar Chik yang meninggal dunia. Dipenuhi ramai oleh ahli –ahli Pas di kawasan kediaman Allahyarham di Tok Jiring, beliau tetap selesa dengan situasi demikian.


Malah terbaru Dato’ Menteri Besar telah menemui  Presiden Pas Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur. Presiden Pas baru sahaja keluar dari mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau juga hadir memenuhi  undangan di majlis perkahwinan anak bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk  Rahin Mohd Said dan juga hadir  menerima jemputan Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Terengganu) bagi merasmikan mesyuarat agung persatuan tersebut.

 Kedua-dua (Dato’ Nasir dan Datuk Rahin) baru-baru ini bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, tetapi nasib menyebelahi  Dato’ Haji Ahmad Razif dipilih sebagai Ketua Bahagian.

Bahkan beliau mengekalkan perlantikan beberapa Pegawai Khas Menteri Besar yang dilantik di bawah pimpinan yang lalu, termasuk Dato’ Nasir dan Datuk Rahin; suatu yang cukup murni dan berjiwa besar.

Demikianlah Dato’ Ahmad Razif, Menteri Besar Terengganu yang juga telah bekerja keras dan komited mengatur lawatan Perdana Menteri  ke Terengganu ini berjalan lancar dan jayanya.

Semoga dengan lawatan Perdana Menteri ini memberi suntikan kepada Dato’ Hj Ahmad Razif untuk terus mengemudikan Terengganu dengan jayanya.