Halaman

15 May 2014

Pertukaran pegawai prosedur biasa selaras perubahan MB : SUK

Dato' Haji Mazlan Ngah
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pertukaran tiga pegawai kanan kerajaan yang berkuatkuasa semalam, adalah prosedur biasa selaras dengan perubahan pucuk pimpinan negeri, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

“Tiga pegawai kanan yang bertukar serta- merta sebagaimana biasa kerana setiap MB akan memilih Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) masing masing, maka YAB MB bersetuju untuk melantik Tuan Haji Md Kamaru Al-Amin Bin Ismail sebagai Setiausaha Sulit Kanan beliau dan perkara ini telah dikeluarkan secara rasmi oleh saya pada sebelah pagi semalam.Beliau sudah memulakan tugas bermula semalam,” katanya di sidang media di Bilik Mesyuarat Tingkat 15, Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, SUSK bekas MB, Azman Ghani ditukarkan secara sementara ke Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat SUK pada pagi semalam, ditukarkan pula bagi mengisi kekosongan sebagai Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pengurusan), Pejabat Daerah Kuala Terengganu selepas mendapat makluman mengenai kekosongan jawatan itu (hari yang sama).

“Pada sebelah pagi tiada makluman kekosongan jawatan itu, apabila mendapat tahu (sebelah petang) ada kekosongan itu saya tempatkan beliau mengisi jawatan itu (Pejabat Daerah Kuala Terengganu) . 

“Sebenarnya Perkhidmatan Kumpulan di SUK ini kita ada beberapa jawatan yang diluluskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengisi kekosongan apabila kakitangan terbabit cuti bagi menyambung pelajaran, jawatannya akan ditarik ke jawatan kumpulan (Pegawai Jawatan Kumpulan SUK) supaya tempat beliau boleh diisi oleh pihak lain. Itu kaedah perkhidmatan Negeri Terengganu,”katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Berhad, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda pula ditukarkan ke Penjawatan Kumpulan Pejabat SUK (Tingkat Lapan ) sehingga pertukaran baru dilaksanakan tidak lama lagi berikutan terdapat kekosongan dua jawatan pegawai tadbir negeri yang akan bersara, pada Jun ini.

Persaraan itu melibatkan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mat Razali Kassim pada 11 Jun, manakala Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Tuan Mamat Tuan Ngah pada 2 Jun ini. “Apabila persaraan dua pegawai pentadbiran kerajaan pada Jun nanti, pastinya akan ada perubahan dalam struktur pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai portfolio di bawah menteri besar yang akan kekal atau sebaliknya, Mazlan berkata perkara itu akan diperincikan dalam perbincangan di peringkat negeri yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Dalam laporan semalam, bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Md Kamaru Al-Amin Ismail dilantik SUSK kepada MB berkuatkuasa serta merta susulan perlantikan Menteri Besar yang baharu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Berhad, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dan SUSK sebelum ini iaitu Azman Ghani @ Hussin masing-masing ditukar ke jawatan baharu iaitu sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat SUK.