Halaman

28 May 2014

Dana Remaja akan disampaikan di IPT/ Penghargaan buat dua pegawai kanan kerajaan dari MB

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Aminudin Ismail. 

PEMBERIAN Dana Remaja 2014 akan ditambahbaik di mana penuntut IPT yang menerimanya tidak perlu pulang ke kampung untuk mengambil wang itu tetapi sebaliknya mereka akan menerima di kampus.

Bercakap kepada Unit Komunikasi Negeri (UKOM), selepas selesai mesyuarat Exco, hari ini, Menteri Besar, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, dengan cara itu, ia tidak akan menyusahkan lagi penuntut terbabit untuk pulang ke kampung menerima wang dana itu.

"Saya mengharapkan dengan penambahbaikan ini ia akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada penuntut IPT yang menerima wang dana itu kerana mereka tidak perlu lagi meninggalkan pengajian untuk menerima wang itu.

"Dengan cara itu, juga ia adalah satu penghormatan kerajaan negeri kepada penuntut IPT terbabit yang menuntut di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada dua pegawai tertinggi negeri iaitu Pegawai Kewangan Dato' Haji Mat Razali Kassim dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Dato' Tuan Mamat Tuan Ngah yang akan bersara.

"Saya ucap terima kasih dan berbanyak penghargaan ke atas dua pegawai kanan terbabit iaitu Dato' Mat Razali Kassim dan Dato' Tuan Mamat Tuan Ngah atas sumbangan mereka berdua ke atas negeri Terengganu dan semoga mereka akan mendapat kesejahteraan dalam persaraan," katanya.