Halaman

22 April 2014

Isu tukar MB, Ahmad Said tidak mahu komen

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tidak mahu ‘mengambil pusing’ dan melayani sebarang khabar angin serta dakwaan yang hangat diperkatakan mengenai peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri Terengganu.

 “Saya tidak mahu komen. Itu tulisan di blog. Macam-macam berlaku. Saya pun tidak tahu. Tiada komen. Itu sahaja yang boleh saya kata. Nak kata macam mana.

 “Kita kan 17-15, kita kena tumpukan persiapan untuk pilihan raya akan datang dan bukan bercakap soal-soal itu,” katanya di sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang dan semua Exco.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung dakwaan yang tersebar di laman sosial dan blog, yang mengaitkan sumber yang boleh dipercayai daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak memetik sebagai berkata, bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat menempelak pihak yang tidak bertanggung jawab menyebar fitnah berhubung dakwaan mengaitkan namanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Sebaliknya, Adun Telemong itu tampil menafikan dakwaan yang turut mengaitkan nama beliau bakal menggantikan Dato' Seri Ahmad Said menerajui pucuk pimpinan pentadbiran negeri.