Halaman

21 April 2014

DOA RAKYAT DUN TEPOH BUAT DATO' SERI MOHD.NAJIB DAN DATO' SERI AHMAD SAID


Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Mohd.Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri menyatakan bahawa sokongan padu perlu terus diberikan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang banyak membuat rancangan dan pembangunan untuk faedah rakyat Terengganu.
 “Semua perlu mendoakan untuk kesejahteraan pemimpin utama kita, Dato’ Seri Haji Ahmad agar terus memimpin negeri ini dan meneruskan agenda-agenda pembangunan untuk faedah rakyat termasuklah pelbagai bantuan yang diperkenalkan untuk rakyat di negeri ini,” katanya sewaktu berucap merasmikan penyampaian Bantuan Dana Perayaan 2013, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh di Stadium Negeri, Gong Badak, pagi tadi.
 Beliau juga meminta para hadirin mendoakan kesejahteraan untuk Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga banyak memperkenalkan skim bantuan untuk rakyat, termasuklah terbarunya iaitu BRIM.
 Turut hadir di majlis itu, Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Encik Abdul Fatah Hussien dan penghulu-penghulu mukim serta Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
 Kira-kira 2,500 penerima dana pada hari ini untuk sebahagian penerima bagi Dun Tepoh membabitkan kos lebih kurang RM850,000 dan untuk kumpulan kedua penerima bagi Dun berkenaan seramai 2000 orang lagi akan diadakan pada 28 April ini.
 Dato’ Haji Mohd Nasir yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Menteri Besar Terengganu menyampaikan salam kepada semua.
  “Doa tuan-puan juga adalah untuk kebaikan diri masyarakat Dun berkenaan juga bagi manfaat bantuan dan segala pembangunan yang bersifat untuk faedah rakyat”, katanya dengan iringan tepukan bergemuruh oleh hadirin ditujukan khas kepada Menteri Besar Terengganu.