Halaman

08 March 2014

YB Muhamad Pehimi Yusof..Pesara aset penting


Muhamad Pehimi berucap di hadapan pesara kerajaan

Oleh: Mohammad Ishak 

“Biarpun bergelar pesara tetapi khidmat dan idea yang berkualiti kerana banyak pengalaman masih diperlukan untuk membantu masyarakat dan kerajaan membina Negara,” kata Ahli Exco Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Muhamad Pehimi Yusof.

Katanya, tanggungjawab pesara tetap diperlukan kerana mereka mumpunyai pengalaman luas ketika berkhidmat dalam jabatan kerajaan dan perlu digunapakai dalam komuniti selepas berstatus pesara.

Menurutnya, kerajaan juga amat menghargai jasa dan khidmat pesara kerana banyak membantu usaha kerajaan terutama membangunkan masyarakat.

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata, pesara kerajaan amat beruntung kerana mereka juga turut menikmati pelbagai insentif yang diberikan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Daerah Besut, di Dewan Nurul Ehsan, Bangunan UMNO Besut hari ini.

Seramai 150 ahli yang sebelum ini bertugas di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat menghadiri mesyuarat pertama selepas ditubuhkan pada 2011.

Muhamad Pehimi turut memuji usaha pesara menubuhkan persatuan kerana menerusi suara yang ramai nasib mereka akan lebih terjamin dan didengar oleh pihak terbabit.

Beliau berharap, lebih ramai pesara kerajaan yang bersara dapat menyertai persatuan berkenaan kerana banyak manfaat jika menjadi ahli persatuan berkenaan yang diiktiraf kerajaan.