Halaman

30 March 2014

Pangsapuri 30 tingkat di Ladang Kapor bakal dibina-MB

Penduduk sekitar Kampung Ladang tertarik melihat lakaran pembangunan termasuk membina sebuah lagi pangsapuri setinggi 30 tingkat di Ladang Batu Kapor, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan membina sebuah lagi pangsasuri setinggi 30 tingkat membabitkan kawasan 15 hektar di Ladang Batu Kapor, Kuala Terengganu bagi menempatkan sebahagian lagi penduduk yang belum memiliki kediaman.

Pangsapuri yang sedang dalam perancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan dilengkapi lot perkedaian dan kemudahan tempat letak kereta bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Jadi kenyataan...sebahagian penerima kunci rumah Ladang Gemilang 1 dan 2 di majlis penyerahan kunci rumah oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, hari ini.
Setakat ini dua pangsasuri iaitu Ladang Gemilang 1 sudah didiami 170 penghuni dan Ladang Gemilang II setinggi 12 tingkat pula bakal dimiliki 192 ketua keluarga dalam tempoh terdekat.

Manakala, satu pangsapuri sama di Ladang Tok Pelam setinggi 30 tingkat menyediakan 407 unit kediaman berkeluasan lebih 840 kaki persegi berharga RM195,700 (sebelum subsidi) sudah siap sepenuhnya, bakal diagihkan kepada pemilik dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sememangnya prihatin dengan nasib penduduk di kawasan ini kerana mengetahui mereka kurang berkemampuan untuk membina rumah sendiri apatah lagi membabitkan kawasan bandar.

 Katanya, bangunan kediaman yang bakal dibina di Ladang Batu Kapor itu juga akan diberi keutaman kepada penduduk Ladang, Ladang Sahak, Ladang Tok Pelam dan juga Kampung Tanjung yang melibatkan penstrukturan semula bandar Kuala Terengganu.

 “Ia akan dijual dengan harga subsidi yang bakal ditetapkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Pangsapuri Ladang Gemilang II di pangsapuri itu, Ladang, Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Osman Muda dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd.Sabri Alwi.

 Dato’ Seri Ahmad Said turut memberitahu, pembinaan kediaman cukup penting dan pada masa sama kiita perlu sedar bahawa keluarga terus berkembang dan kadang-kadang terpaksa hidup berasak-asak dalam rumah membabitkan beberapa keluarga.

 “Oleh itu kerajaan mengambil daya usaha membangunkan Kampung Ladang dan sekitarnya serta membina pangsapuri untuk menempatkan mereka dengan lebih selesa,” katanya.