Halaman

02 March 2014

Guru diminta layan murid seperti anak sendiri


YB Muhamad pehimi menyuap kek kepada Firdaus sempena hari kelahirannya.

Oleh: Mohammad Ishak 

Guru sekolah diminta melayan murid dan ibubapa murid sekolah tempat mereka berkhidmat sebagai anak dan keluarga sendiri untuk memastikan perhubungan erat terjalin antara mereka yang boleh menentukan kecemerlangan murid mereka dalam pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Negeri, Muhamad Pehimi Yusof berkata kasih sayang yang terjalin secara ikhlas dan erat antara guru dan murid serta keluarga mereka amat dituntut kerana jarang benar diamalkan di peringkat sekolah selama ini.

 “ Sebaiknya guru melapangankan sedikit masa untuk menyambut ketibaan murid mereka di sekolah sambil memastikan mereka hadir dalam keadaan terurus dengan berpakaian kemas sebelum masuk ke dalam bilik darjah bagi memulakan pelajaran,” katanya ketika melancarkan Program Guru Penyayang peringkat sekolah di Sekolah Kebangsaan Pelagat di sini hari ini.

Selain itu, katanya,, sekiranya terdapat murid atau keluarga mereka yang sakit samada di rumah atau di mana-mana hospital usaha untuk menziarahi mereka amat dituntut agama.

Menurutnnya, guru perlu menganggapkan bahawa anak murid adalah sebahagian daripada kehidupan mereka dalam memastikan tanggungjawab mereka benar-benar berkesan dalam melahirkan anak bangsa yang berhemah dan tahu membalas budi di masa depan.

Ketika melancarkan program berkenaan, Muhammad Pehimi telah menarik kain pemidang Program Guru Penyayang dan kemudiannya bersama adik Firdaus Che Mat, 10 dari Sekolah kebangsaan Pelagat yang hari lahirnya jatuh pada hari ini dipilih untuk menotong kek harijadi dan menyuap kek itu kepada murid berkenaan disamping kepada bapanya Che Mat Hassan, 58.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jertih mengumumkan mulai tahun ini beliau akan memulakan anugerah kepada mana-mana sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Jertih yang mencapai prestasi terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga kepada mana-mana sekolah di DUN Jertih yang berjaya mengatasi sekolah-sekolah di peringkat DUN lain.

Katanya, usaha itu adalah bagi memastikan daerah Besut mampu mengekalkan pencapaiannya sebagai daerah terbaik dalam pencapaian peratus tertinggi calon yang mendapati 5A disamping berusaha untuk memastikan daerah Besut juga terbaik dalam Gred Purata Sekolah (GPS) di peringkat negeri.