Halaman

10 March 2014

Bersama tangani gejala rempit- Dato' Jamshah.

Jamshah...perlu kerjasama.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEMUA pihak perlu menangani masalah gejala ‘mat rempit’ yang berlaku di beberapa tempat di negeri ini termasuklah di Bandar Kuala Terengganu pada hujung minggu dan tidak hanya mengharapkan kepada penguatkuasaan oleh pihak Polis semata-mata.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustaffa berkata, merempit adalah satu budaya yang tidak sihat dan perlu ditangani dari akar umbi oleh semua pihak.

“Gejala mat rempit ini bukanlah elemen penguatkuasaan sahaja, tetapi ia melibatkan pelbagai agensi, (persatuan) belia, (Jabatan) pendidikan ada juga, majlis agama pun ada juga (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu), bukan Polis sahaja kerana ini masalah melibatkan semua.

“Jadi kita merangka satu pendekatan yang ‘intergrated’ untuk jangka panjang bagi menangani gejala ‘mat rempit’ ini,” katanya.

Jamshah berkata, pihaknya membuat pendekatan dengan melaksana operasi bersepadu bagi menghalang ‘mat rempit’ daripada melakukan pekerjaan yang tidak bermoral itu.

“Sekarang ini ‘aproach’ kita memang bersepadu tetapi tidak melibatkan tentera, kita melibatkan JPJ, Rela, JPAM, dewan bandaraya (MBKT),” katanya.

Dalam pada itu, Jamshah berkata pihaknya sedang merangka satu strategi yang lebih agresif bagi mengatasi masalah ‘mat rempit’ itu. Sehubungan itu, beliau mahu setiap masyakat memberi kerjasama bagi menangani masalah itu kerana tanpa kerjasama semua pihak usaha Polis agak sukar.

“Masyakat perlu memberi kerjasama sebab ini adalah masalah bersama, jika masyakat tidak memberi kerjasama kita tidak dapat melaksanakan tugas penguatkuasaan (dengan berkesan).

"Dalam hal ini, pertama sekali masyarakat kena elak daripada menjadi penonton dan perlu melaporkan diri manakala yang ketiga mereka yang tidak berkaitan jangan masuk ke dalam kumpulan ‘mat rempit’ itu,” katanya dalam satu majlis di Setiu, baru-baru ini.