Halaman

23 February 2014

YT Terbangkan Anak Terengganu Ke Jerman Kuasai Kejuruteraan Automotif

Oleh: Fauzi Mohd

Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan menghantar pelajar tajaannya bagi mengikuti kursus kejuruteraan automotif di Jerman pada pertengahan Mac depan.

 Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, serentak dengan itu YT akan memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) bersama pengeluar kenderaan terkemuka di negara itu termasuk Mercedes Benz dan BMW untuk penempatan pelajar Terengganu ketika menjalani latihan industri di negara itu.


 Buat permulaan katanya, enam anak Terengganu yang sedang menuntut di German-Malaysia Institute (GMI) akan dipilih.

 "Kita berusaha untuk menguasai kejuruteraan automotif kerana bidang itu antara industri kritikal yang sangat memerlukan tenaga pakar anak tempatan ketika ini.

"MoU itu antara langkah awal Kerajaan Terengganu dalam usaha merintis kejayaan lebih besar dalam bidang kejuruteraan automotif di kalangan anak jati Terengganu," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Kemaman semalam.

 Tambah Ahmad, jumlah pembiayaan enam pelajar itu sepanjang melanjutkan pelajaran ke Jerman, bagaimanapun masih belum diputuskan secara terperinci.

 "Ia sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan harus dimanfaatkan oleh rakyat, terutama generasi muda dan mencurahkan bakti untuk anak bangsa," katanya.