Halaman

13 February 2014

SAIS juara bolajaring MSSDS.

Oleh: Aminudin Ismail.

SEKOLAH Menengah (SM)Sains Setiu (SAIS) muncul juara dalam kejohanan bolajaring bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Setiu (MSSDS) menewaskan SM Putera Jaya dalam perlawanan akhir kategori itu yang diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek, Setiu, hari ini.

Dalam kategori bawah 15 tahun pula, pasukan SM Bukit Nenas berjaya menjadi juara menewaskan pasukan SMK Pelong manakala bawah 12 tahun, tempat pertama dimenangi pasukan Zon Setiu Utara menewaskan Zon Setiu Barat.


Norasikin Simat, Pengerusi Teknik Bolajaring Sekolah Rendah Daerah Setiu, berkata prestasi perlawanan bolajaring pada kejohanan ini semakin baik dan setiap pasukan bertanding dengan penuh bersemangat.

"Kita sudahpun memilih pemain-pemain melalui kejohanan ini untuk mewakili daerah Setiu di kejohanan bolajaring MSST tidak lama lagi.

"Ramai yang berbakat untuk mewakili daerah tetapi kita hanya memilih pemain yang betul-betul berpotensi darisegi bentuk fizikal dan kemahiran," katanya.

Norasikin berkata, pasukan yang bertanding ialah sebanyak 12 pasukan bawah 18 tahun dan 12 pasukan bawah 15 tahun manakala kategori bawah 12 tahun ialah sebanyak empat pasukan.

"Kepada pasukan yang gagal menjadi juara, jangan berputus asa, tingkatlah latihan dan kemahiran selepas ini bagi menghadapi kejohanan pada tahun hadapan dan kepada pasukan yang menang dan mereka yang terpilih mewakili daerah saya ucapkan tahniah," katanya.

Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah kejohanan itu ialah wakil Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Hasmadi Nasir dan Guru Besar SK Sungai Lerek, Zanariah Jaafar.