Halaman

01 February 2014

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu terima 10,800 pelancong TMT 2013


Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang menerima lebih 10,800 pelancong sepanjang tahun lepas sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Abdul Khalil Abdul Karim berkata jumlah tersebut bagaimanapun menurun berbanding tahun 2012 yang mencatat kunjungan 12,493 orang.

"Kita harap tahun ini jumlah pelancong ke pusat tersebut akan meningkat dengan adanya program kesedaran penyu di Prinz Park Resort," katanya.

Beliau berkata tahun lepas hampir 800 pelancong daripada luar negara terutamanya daripada Perancis dan United Kingdom telah berkunjung ke pusat tersebut untuk menyaksikan pameran dan juga aktiviti penetasan penyu yang dijalankan di pantai Rantau Abang.

Sementara itu, katanya antara pengunjung dalam negara yang paling ramai melawat pusat konservasi tersebut ialah pelajar Universiti Tenaga Nasional Berhad dan pelajar sekolah dari seluruh negara.

Katanya sebanyak 21 program kesedaran penyu telah dijalankan di pusat konservasi itu melibatkan seramai 1,333 orang pelajar, penduduk kampung dan petugas syarikat petroleum sepanjang tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Perikanan akan bekerjasama dengan Prinz Park Resort Terengganu dalam usaha menarik pelawat ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang. 

Beliau berkata untuk itu, satu pameran mini berhubung kehidupan penyu akan diajurkan di perkarangan resort itu, bulan hadapan.