Halaman

12 February 2014

Misi ke Antartika bukan pembaziran

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tetap dengan pendirian, misi penerokaan ilmu ke Antartika bukan satu pembaziran sebaliknya membawa ilmu cukup bermakna kepada generasi akan datang.

Menteri Besar bersama SUK Terengganu ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Menyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman.

Katanya,bangsa dan agama lain sudah lama ke sana dengan menjalankan pelbagai kajian, mempunyai ‘base station’ dan kita baru hendak memulakan, walaupun mengetahui sudah lama patut diusahakan.

“Pembangkang hanya pandai melihat semua usaha kerajaan itu satu pemaziran, termasuk misi ke Antartika, sedangkan dalam agama kita sendiri, kita diajar, perlu meneroka ilmu hingga ke serata dunia.


“Pihak itu sebenarnya dengki, ketika dia dapat memerintah dulu pun, tetap ada misi ke luar negara untuk pelbagai tujuan, apabila kerajaan Barisan Nasional mentadbir Terengganu, semuanya tidak kena dan apa yang dilaksanaka dianggap membazir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, program itu membuktikan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara yang menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

“Kalau kita ketinggalan dalam kajian di sana, maka kita akan terus ketinggalan dalam mengetahui perubahan yang sedang berlaku di kutub yang juga memberi suatu kesan kepada perubahan alam seluruhnya,” katanya

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan menganjurkan satu seminar berkaitan kajian Antartika dalam tempoh terdekat sebagai langkah menyebar dan memperluaskan ilmu kepada masyarakat setempat terutama golongan pelajar dan penuntut universiti.

“Dalam seminar berkaitan, sainstis yang pernah menjalankan kajian di negara itu akan dijemput untuk membentangkan kertas kerja dan berkongsi pengalaman,’” katanya.