Halaman

02 February 2014

Kementerian Pendidikan akan bantu Aisyah dan adik-adiknya.

Idris..beri pendidikan terbaik.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KEMENTERIAN Pendidikan memberi jaminan akan memberi kemudahan proses persekolahan kepada empat beradik yang kedua ibubapa mereka kini ditahan di Sweden sekiranya keluarga kanak-kanak terbabit mahu kanak-kanak itu bersekolah di negara ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai warganegara Malaysia mereka mempunyai hak untuk belajar dan mendapatkan pendidikan terbaik di negara ini seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Sebenarnya itulah, jika kita lihat Pelan Pendidikan Malaysia (PPPM), kita nak pastikan semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk belajar, jadi kita akan memudahcarakan agar anak-anak mereka itu akan dapat pendidikan yang sempurna .

Idris berkata, pihak kementerian akan berbincang dengan penjaga kanak-kanak terbabit bagi menempatkan tempat yang sesuai untuk empat beradik itu  (Aisyah (14), Ammar (12) Adam (11) dan Arif, 7) belajar.

“Kementerian akan pastikan mereka akan dipermudahkan segala permohanan mereka  supaya mereka (kanak-kanak itu) mendapat pendidikan yang terbaik di negara ini,” katanya.

“Justeru jika mereka ingin meneruskan persekolahan di sini (Malaysia) saya beri jaminan yang semua urusan persekolahan akan dimudahcara oleh pihak kementerian mahupun jabatan pendidikan negeri yang berkaitan,”katanya selepas melancarkan Kelab Sukan dan Rekreasi UMNO Bahagian Besut dan program Membara Kembali Ke Sekolah, di Kuala Besut, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Adun Jertih yang juga Exco kerajaan negeri, Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Besut, Mohd Mahadi Musa. (Adun Kota Putera).

Pada majlis itu juga, Idris turut menyampaikan sebuah Perodua Viva bernilai RM26,000 kepada peserta Walk Of Malaysia, Mohd Noor Mat yang berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Julai lalu.