Halaman

06 February 2014

Enam pelumba TSG galas cabaran di Melbourne

Oleh: Aida Abd Rahman

Enam pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) menggalas cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal Herald Sun Tour Victoria 2014 di Melbourne, Australia sepanjang lima hari, bermula semalam (5 Februari).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozali Salleh berkata, kejohanan lima hari itu akan dibarisi enam pelumba yang diketuai dua pelumba hebat iaitu Anuar Manan dan Muhammad Adiq Hussaini Othman.

"Empat lagi pelumba ialah Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

"Ini merupakan kejohanan kedua yang disertai TSG bagi 2014 selepas Kejohanan Jiexpo Kreterium 2014 Jakarta, Indonesia pada 25 Jan lepas yang mana Manan berjaya menduduki tempat ketiga iaitu penyertaan sulungnya bersama TSG tahun ini," katanya.

Katanya, kesemua pelumba terbabit sebelum ini giat menjalani latihan intensif di sekitar bandar Kuala Terengganu dan Dungun di bawah bimbingan penolong jurulatih Jasmin Roslan sebelum ke Melbourne.

Menurutnya, latihan secara intensif itu bagi memastikan mereka mempamer persembahan hebat pada kejohanan edisi ke-61yang diadakan sejak 1952 dan mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) itu.

Anuar bekas pelumba Synergy Baku Cycling Project dari Azerbaijan dan Muhammad Adiq Muhammad Adiq bekas pelumba Champion System Pro Cycling dari China kembali bersama TSG berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, TSG sekarang sedang mencari jurulatih baharu bagi menggantikan Sebastian Duclos dari Itali yang telah tamat kontraknya untuk membimbing pasukan berkenaan.

Tambah beliau, pasukan itu juga bakal mengadakan latihan di laluan jalan raya yang terlibat dengan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang akan diadakan hujung Februari bagi memastikan setiap pelumba dapat menyesuaikan diri dengan laluan itu.

LTdL 2014 edisi ke-19 itu yang akan bermula dari 27 Feb hingga 8 Mac dengan jarak keseluruhan sejauh 1,506.5km meliputi 10 peringkat bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Terengganu.

Perlumbaan berstatus 2.HC (hors category), juga acara terbesar dalam kalendar Jelajah Asia UCI, sekali lagi mempamerkan keindahan pemandangan di seluruh Semenanjung Malaysia.