Halaman

10 January 2014

UMT tubuh CHG

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menggerakkan Kumpulan Bencana Pesisir (CHG) yang dianggotai oleh beberapa ahli akademik bagi menjalankan penyelidikan dalam usaha membantu menangani banjir di negeri ini.

 Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Ibrahim Komoo berkata, mereka yang mempunyai kepakaran dalam aspek itu akan memfokuskan usaha mengurangkan kesan bencana itu kepada penduduk.

 Katanya, pasukan itu akan bertindak sebagai kumpulan yang berfikir secara ilmiah di mana bukan sahaja kajian dilakukan namun mencari satu alternatif untuk respons terhadap bencana itu di peringkat awal dengan kadar segera. 

"Ketika ini, memang saya lihat warga UMT sangat aktif dalam menggerakkan bantuan jangka masa pendek kepada mangsa, justeru itu, kita tubuh pasukan ini bagi membantu masyarakat untuk menghadapi bencana ini bagi jangka masa panjang dengan bantuan pakar-pakar ilmiah yang kita miliki.

"Pasukan ini akan menjalankan kajian, mencari maklumat tentang corak dan senario banjir yang melanda setiap tahun, memantau hakisan, mengumpul data impak kerugian yang dialami bagi memudahkan tindakan seterusnya," katanya

 Mengulas lanjut, beliau memberitahu, melalui kajian awal secara realistik membolehkan tindakan-tindakan jangka masa pendek dan sederhana dilaksanakan seperti bentuk bantuan, kaedah penyampaian maklumat awal serta tindakan menyelamat diberikan kepada penduduk yang terlibat.

 Jelasnya, ketika ini, pasukan ini akan mendapatkan maklumat tentang bencana ini untuk tempoh 10 hingga 20 tahun terdahulu bagi membuat perancangan dan pemerhatian seterusnya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri mahupun jabatan-jabatan berkaitan bagi memudahkan maklumat diperoleh.

 "Kita tidak mahu pasukan yang hanya membuat kajian sahaja dan apabila bencana melanda, kita tidak berbuat apa-apa. Kita mahu sebuah kumpulan yang proaktif dengan bencana dari segi kajian serta tindakan. 

"Untuk tempoh beberapa bulan ini, pasukan ini akan buat penelitian, analisis, kumpul maklumat, sediakan peta banjir serta data impak bencana dan selepas kita kenalpasti perkara itu.

 ''Kalau perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak kita akan lakukan dan untuk peringkat awal kita mungkin akan beri tumpuan kawasan berhampiran dengan UMT dahulu," jelasnya," ujarnya.