Halaman

16 January 2014

Terengganu, T-Team diingat jaga reputasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Terengganu dan T-Team yang bakal memulakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, diingatkan supaya menjaga reputasi dan tidak terbabit rasuah . Jika didapati melakukan aktiviti tidak bermoral itu, mana-mana pemain terbabit boleh digugurkan dari pasukan.



Amaran awal itu dilontarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku peminat nombor satu negeri supaya pemain tidak terlibat dengan kegiatan jenayah yang boleh menghancurkan karier masing-masing.

“Saya rasa tiada sebab mereka terlibat rasuah sebab gaji yang diberikan pengurusan sudah cukup dan memadai buat mereka. Saya beri amaran awal ini sebab tidak mahu mereka terjebak dan apabila sudah terlibat pasti membunuh masa depan mereka sendiri.

 “Kalau kami dapat bukti mana-mana pemain, sama ada Terengganu, T-Team terbabit rasuah, pintu untuk mereka dalam pasukan tertutup dan undang-undang bakal tentukan nasib mereka nanti,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani kontrak, memperkenalkan jersi dan pemain Terengganu serta T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Pada musim ini, Terengganu yang dikendalikan Abdul Rahman Ibrahim menerima penajaan RM2.3 juta, sementara pasukan T-Team yang menjadi anak didik kepada Azraai Khor Abdullah pula mendapat RM2.7 juta.

Dalam pada itu, Menteri Besar berharap setiap pasukan sekurang-kurangnya mampu meraih satu piala dalam saingan musim ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menyaksikan perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan berkenaan yang berkesudahan 1-1.



Kira-kira 10,000 peminat dan penyokong setia kedua-dua pasukan Terengganu turut memenuhi stadium bagi menyaksikan perlawanan itu.

Sementara Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid pula mengakui tugas getir bakal ditempuhinya sebagai pengendali utama persatuan.

Beliau yakin matlamat setiap pasukan mampu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi dapat direalisasikan selaras dengan sasaran kerajaan negeri.

"PBSNT yakin dengan gandingan pemian tempatan dan import yang makin serasi akan membentuk pasukan yang mantap untuk bersaing dengan pasukan lain dan membawa pulang piala," katanya.