Halaman

09 January 2014

Pelan Strategik TISB sasar nilaian aset bersih RM2.0 bilion

Oleh: Noraini Jusoh

Syarikat pegangan pelaburan utama negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) melancarkan Pelan Strategik lima tahun bermula 2014 menumpukan pada pembangunan dan ekonomi mampan yang menyasarkan nilaian aset bersih kepada RM2.0 bilion dengan purata peningkatan sebanyak 20 peratus setahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kejayaan dalam penyediaan pelan strategik ini terhasil melalui kerjasama strategik TISB beserta anak syarikatnya dengan mengorak langkah sebagai satu entiti yang melengkapi fungsi dan peranan masing-masing.

“Sasaran ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan usaha daripada 16 buah anak syarikat termasuk dua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu TDM Berhad dan Golden Pharos Berhad, sembilan buah syarikat bersekutu dan lima buah syarikat bagi lain-lain pelaburan di bawah Kumpulan Syarikat TISB.

“Pihak TISB akan menstruktur semula sektor sedia ada dengan pengoptimumkan sinergi di kalangan syarikat tersebut contohnya sektor pembuatan makanan halal, bio teknologi, pelancongan dan perhotelan serta pelaburan hartanah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Terengganu Incorporated Sdn Bhd yang diadakan serentak dengan Majlis Penutup Program Latihan Pengarah Korporat di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, penyediaan pelan strategik ini merupakan perancangan yang komprehensif dan sangat penting supaya arah tuju perancangan dan pengurusan TISB menjadi lebih teratur, berkesan dan jelas.

“Ianya turut menggariskan hala tuju syarikat beserta langkah-langkah yang akan diambil bagi membentuk sesebuah organisasi yang berwawasan dan berprestasi tinggi di masa hadapan,” ujarnya.

Tambah beliau, pelan strategik tersebut turut memperhitungkan faktor perkembangan, cabaran dan keperluan semasa yang perlu ditangani bagi terus menumpukan perhatian kepada agenda yang komprehensif merangkumi empat komponen iaitu `statekeholders, financial, governance and internal process dan` learning and growth’.

“Berdasarkan kepada komponen tersebut, ianya akan dijadikan sebagai asas yang kukuh untuk membina pencapaian kuantitif bagi pertumbuhan yang berterusan dalam era ekonomi berdasarkan pengetahuan (k-economy),” katanya.

Katanya, dengan urus tadbir korporat yang baik TISB akan memainkan peranan utama dalam menyediakan masa depan yang mampan untuk manfaat seluruh rakyat Terengganu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.