Halaman

12 January 2014

Mangsa banjir terharu terima sumbangan

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kamri Ngah
Keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengagihkan sumbangan barangan dan wang tunai kepada seramai 19,205 keluarga mangsa banjir, akhir tahun lalu cukup mengharukan penerima.

Bagi peringkat pertama pengagihan, 30 daripada 600 kumpulan pertama mendapat bantuan yang disampaikan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir dan Meraikan Sukarelawan peringkat kebangsaan, di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, hari ini.

Sebahagian mangsa banjir yang merupakan kumpulan pertama yang mendapat bantuan banjir yang disampaikan Perdana Menteri di Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Setiap keluarga menerima bantuan berupa bantal, tilam, dapur, peti sejuk dan televisyen bersaiz 32 inci sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kelab Putera 1Malaysia, secara berperingkat-peringkat sehingga April nanti.

Selain itu, mereka juga akan menerima bantuan wang tunai RM500 daripada Kerajaan Pusat dan bantuan antara RM500 dan RM1,500 daripada kerajaan negeri bergantung kepada jumlah kerugian.

 Penerima dari Kampung Pengkalan Pandan, Cukai, Kemaman, Kamri Ngah, 48, berkata, ia cukup terharu dengan sumbangan yang diterima itu kerana tidak pernah sebelum ini mendapat barangan dan wang tunai dalam jumlah begitu besar.

Lim Boh Nor
 Katanya, sebaik saja mendapat berita terpilih menerima sumbangan yang akan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, kesedihan yang ditanggung sedikit terubat dan dianggap berbaloi walaupun mengalami kerugian kira-kira RM30,000 akibat banjir besar, baru-baru ini.

“Payah juga nak terima hakikat semua barangan dan perabot rumah rosak, ditambah pula kereta dan van untuk berniaga turut ditenggelami air. Apabila ada pihak yang mengambil cakna, kesedihan itu sedikit terubat dan semakin boleh dilupakan,” katanya

Seorang penerima dari Kampung Mentok, Kemaman, Lim Boh Nor, 70, berterima kasih kepada Kerajaan BN kerana sudi menyelami perasaan dan keperluan  mangsa dengan mengagihkan kelengkapan elektrik dan bantuan kewangan berkenaan.

Abdul Rahim Daud
 “Barangan elektrik banyak rosak kerana ditenggelami banjir, hendak diganti yang lain tidak mampu,
kerana duit yang ada hanya untuk membeli pakaian dan barangan keperluan dapur,” katanya.

Penerima lain, Abd Rahim Daud, 71, berkata dia menganggap pemberian itu cukup bermakna memandangkan sehingga kini ini tiada lagi pihak lain tampil memberi sumbangan begitu besar.

 “Syukur kepada Maha Esa dan terima kasih kepada pemberi sumbangan kerana turut memilihnya untuk menerima sumbangan,” katanya.

Manakala, seorang lagi mangsa, P. Selvathurai pula berkata, bukan semua orang bertuah dapat melihat Perdana Menteri secara dekat dan bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu.

"Saya rasa cukup bertuah kerana terpilih untuk mengambil sumbangan daripada Dato' Sri Mohd Najib. Sumbangan itu membuktikan kerajaan prihatin dan mengambil berat terhadap rakyat yang kesusahan," katanya.