Halaman

08 January 2014

KP1M agih bantuan untuk mangsa banjir bermula Ahad ini

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar bersama SUK Terengganu mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco.
Penderitaan mangsa banjir di Kemaman terus mendapat pembelaan apabila Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dijangka melancarkan program penyampaian bantuan banjir di Dewan Seri Amar, Chukai, Ahad ini, bermula jam 10 pagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata, pemimpin nombor satu negara itu akan mengagihkan bantuan dari Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berupa peti sejuk, dapur, tilam dan bantal kepada mangsa banjir terbabit.

“Saya dimaklumkan KP1M nanti akan menyampaikan bantuan kepada mangsa yang mana rumah mereka tenggelam banjir dan mengalami kerosakan harta benda dalam kejadian itu.

 “Barang-barang yang diputuskan utnuk disampaikan di setiap rumah iaitu bantal, dapur memasak dan peti sejuk. Manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek pula akan menyumbang set televisyen LCD 32 inci,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, selain bantuan peralatan tersebut, mangsa banjir juga akan menerima bantuan khas wang tunai berjumlah RM500 daripada Kerajaan Pusat dan bantuan antara RM500 dan RM1,500 daripada kerajaan negeri, bergantung kepada jumlah kerugian.

Katanya, bantuan kerajaan negeri RM1,500 kepada setiap rumah yang tenggelam dan mengalami kerosakan harta benda, sementara rumah yang tidak tenggelam dan mangsa turut berpindah pula menerima sumbangan RM500, ditambah RM500 dari Kerajaan Pusat.

Terdahulu, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program itu, semalam berkata, kira-kira 14,000 keluarga mangsa banjir di sekitar Kemaman akan menerima bantuan berkenaan yang akan diagih secara berperingkat-peringkat.

 "Kita akan agih mengikut jadual tertentu kerana melibatkan logistik yang besar, di Kemaman sahaja lebih 14,000 keluarga yang layak menerima bantuan, ini gerak kerja yang rumit, secara simbolik (Ahad ini) selepas itu kita hantar ke kampung masing-masing," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata program ini amat bermakna kerana mangsa banjir bulan lalu menanggung kerugian yang besar dan musibah itu mendapat perhatian daripada kerajaan, agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

 Kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengagihkan kira-kira 30,000 unit televisyen kepada setiap keluarga mangsa banjir termasuk 14,000 daripadanya kepada mangsa banjir di Kemaman.