Halaman

16 January 2014

Festival Candat Sotong Antarabangsa disertai 50 stesen tv seluruh dunia

Oleh: Aida Abd Rahman


Festival mencandat sotong peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di perairan Terengganu bermula April ini dijangka lebih meriah apabila 50 stesen televisyen seluruh dunia akan menjadi rakan penyiar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata berikutan kehadiran stesen televisyen seluruh dunia itu, pihaknya akan mengadakan pertandingan rakaman visual terbaik.

"Dalam pertandingan itu nanti, pemenang akan menerima hadiah berupa pakej melawat Terengganu yang ditaja kerajaan negeri seperti penginapan, tambang kapal terbang, makan minum, melawat ke tempat menarik seperti Tasik Kenyir, Air Terjun Cemerong dan sebagainya.

 "Saya dimaklumkan sehingga kini sebanyak 50 stesen televisyen bersedia untuk datang dan kami akan adakan mesyuarat bulan depan untuk muktamadkan masa, persiapan, tempat tinggal dan peralatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota Majlis PBT Terengganu 2014/2015,di Wisma darul iman, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan program candat sotong menerusi tayangan slot stesen televisyen seluruh dunia itu bagi menarik penyertaan pelancong asing.

 Katanya kerajaan negeri mahu mengeksplotasi sepenuhnya keunikan candat sotong supaya pelancong luar datang untuk merasai sendiri bagaimana keseronokan dan istimewanya aktiviti itu.