Halaman

21 January 2014

100 guru ETA memulakan khidmat selama 10 bulan


Seramai 20,000 guru bahasa Inggeris sedia ada akan dilatih semula tahun ini untuk meningkatkan penguasaan bahasa mereka, kata Menteri Pendidikan Kedua, Dato' Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata untuk permulaan pada Februari ini 9,000 guru akan dilatih manakala selebihnya akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Jumlah ini meningkat berbanding 5,000 pada tahun lepas, ini supaya pendedahan yang diberikan oleh guru mudah difahami pelajar dan seterusnya penggunaan bahasa itu dapat dicapai dengan baik.

 "Ia juga bagi menyahut seruan kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright kepada 100 siswazah dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat di kementerian itu, semalam.

Dato' Seri Idris berkata perancangan tahun depan pula kementerian juga menjangkakan jumlah yang sama iaitu 20,000 guru akan dilatih.

Terdahulu mengenai program berkenaan, bakal guru dari Amerika itu akan ditugaskan selama 10 bulan di sekolah menengah dan rendah di enam negeri iaitu Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak. 

Selain membantu guru bahasa Inggeris di dalam kelas, mereka juga akan menjalankan aktiviti kurikulum yang dilaksanakan dalam bahasa Inggeris seperti program perkhemahan.