Halaman

10 December 2013

Terengganu International Rainforest Challenge dijadikan acara tahunan

Oleh: Noraini Jusoh



Terengganu International Rainforest Challenge akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan utama negeri Terengganu bermula tahun hadapan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ia amat berpotensi untuk dikembangkan kerana Terengganu berada dalam carta sepuluh litar popular acara sukan lasak ini di seluruh dunia.

“Penyertaan menggalakkan 300 peserta, petugas serta kumpulan sokongan dari 25 negara termasuk 50 wakil media dari 13 negara berjaya membuktikan Terengganu antara lokasi pilihan.



“Setelah dijadikan acara tahunan, kerajaan negeri juga bersedia untuk menaja lebih besar lagi peruntukan untuk acara Rainforest Challenge pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Lasak kenderaaan Pacuan 4x4 Terengganu International Rainforest Challenge 2013 di Hotel Permai, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang acara sukan lasak yang dianjurkan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri itu.

Turut hadir, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ haji Mohd Jidin Shafee, Ahli-Ahli Dewan Pangkuan DiRaja dan Ahli-Ahli Majlis Mesyarat Kerajaan Negeri.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, kerajaan negeri mengharapkan sambutan hebat yang ditunjukkan akan berterusan dan lebih banyak pasukan menyertainya pada masa akan datang.