Halaman

10 December 2013

Telekom Malaysia (TM) beri penghargaan kepada orang ramai yang membantu banteras pencuri kabel


Anggota Polis dan orang awam bergambar selepas menerima penghargaan dari TM

Oleh: Mohammad Ishak'

Kegiatan mencuri kabel telekom di negeri ini yang dilaporkan meningkat bermula awal tahun ini semakin menurun sejak kebelakangan ini berikutan tindakan orang awam yang membantu mencegah aktiviti berkenaan.

Pengurus Besar Negeri, Telekom Malaysia Berhad, Hamidun Ismail berkata, kesedaran orang ramai untuk membantu melapor kepada pihak keselamatan dan menangkap pencuri kabel ketika terserempak dengan kejadian curi kini berkurangan apabila aktiviti mereka dihidu orang ramai.

Katanya, pembabitan orang awam membantu kes curi kebal amat dihargai oleh Telekom Malaysia (TM) kerana syarikat itu tidak mampu untuk memantau kegiatan pencuri disebabkan ketiadaan kakitangan.

Menurutnya, pihaknya merekodkan 307 kes kecurian kebal sepanjang tahun ini dan daerah Besut mencatat jumlah tertinggi membabitkan 69 kes.

Berikutan itu, katanya, seramai 3,988 pengguna telefon yang menggunakan perkhidmatan talian tetap dan kemudahan internet terjejas dengan perkhidmatan berkenaan apabila kebel dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kes kecurian kabel bukan sahaja menjejas perkhidmatan kepada orang awam malah ia turut dialami jabatan dan agensi kerajaan yang terganggu dengan perkhidmatan TM,” katanya kepada media selepas Program TM Mesra Sepakat Komuniti dan Majlis Penghargaan kepada orang awam dan anggota PDRM di sini semalam.

Ahli Exco Kerajaan negeri,Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, merasmikan program berkenaan yang dihadiri Pengerus Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rela, peronda SRS dan anggota PDRM daerah Besut.

Pada majlis itu, 29 anggota polis dan lapan orang awam yang membantu menangkap pencuri kebel di daerah Besut diberi surat penghargaan sebagai tanda penghargaan memberi keerjasama kepada TM.